Wednesday, December 29, 2010

Ahli sunnah wal jamaah dan beberapa pendiriannya.

Berikut adalah pendirian ahli sunnah berhubung beberapa isu :
1)Tentang takwil.Ijmak di kalangan ahli sunnah bahawa ayat-ayat Al Quran dan hadis yang mutasyabihat yang boleh mendatangkan sangkaan penyerupaan Allah dengan yang baharu itu wajib ditakwilkan.Tetapi mereka berselisih tentang menentukan takwilnya.Mazhab salaf iaitu para ulama yang hidup di dalam tempoh 300 tahun hijrah iaitu para sahabat,tabiin dan tabi’uttabiin,berpendapat bahawa segala sifat-sifat Allah yang boleh mendatangkan sangkaan penyerupaan Allah dengan yang baharu yang terdapat di dalam nas-nas yang mutasyabihat itu hanya khabariah jua.Iaitu sifat yang datang pada khabar sahaja dan tidak boleh diertikan dengan makna hakiki yang segera difaham(al mutabadir ilal fahmi).Oleh yang demikian sifat tersebut berkehendak kepada takwil tetapi mereka tidak menentukan apakah takwilnya,sebaliknya mereka menyerahkan takwil tersebut kepada Allah yang lebih mengetahui di samping mengiktikadkan suci Allah itu daripada menyerupai dengan yang baharu.Adapun mazhab khalaf,iaitu para ulama yang hidup selepas tempoh 300 tahun hijrah,berpendapat harus mentakwilkan nas-nas yang mutasyabihat itu dengan makna yang layak dengan kebesaran Allah dengan syarat takwil yang dibuat itu hendaklah mengambil kira ayat-ayat lain di dalam Al Quran dan hadis di samping mengambil kira kaedah lughawiah (peraturan bahasa Arab)dan qawathi’ ul aqliah(hukum akal).
2)Tentang Al Quran adakah ia makhluk.Ijmak di kalangan ahli sunnah bahawa Al Quran itu adalah berasal dari kalam Allah yang nafsi dan bukan makhluk.Adapun Al Quran yang lafzi yang tersurat pada mashaf itu maka ianya makhluk dengan tiada syak tetapi haram disarihkan(dinyatakan secara terus-terang) sebagai makhluk kerana beradab terhadap kalam Allah yang nafsi yang qaim pada Zat Allah kerana kalam Allah yang nafsi itu merupakan asal dan makna kepada kalam lafzi.Melainkan di dalam majlis belajar dan mengajar maka barulah boleh diterangkan untuk mengetahui hakikat yang sebenarnya.
3)Tentang amal adakah ia sebahagian daripada iman.Ijmak di kalangan ahli sunnah bahawa iman itu merupakan tasdik(membenarkan) dengan hati,iqrar (mengucapkan) dengan lidah dan diamalkan dengan anggota.Adapun tasdik dengan hati itu merupakan asal iman.Mengucapkan dengan lidah itu merupakan syarat bagi diperlakukan hukum Islam dan mengamalkan dengan anggota itu merupakan syarat kesempurnaan iman.Sekiranya seseorang itu telah membenarkan dengan hati,dan tidak mengucapkan dengan lidah maka ia dikira mukmin di sisi Allah dengan ertikata tidak dikekalkan di dalam neraka kerana ada padanya tasdik yang ianya merupakan asal iman,dengan syarat sekiranya ia disuruh untuk mengucap ia tidak membantah atau menolak.Walaubagaimanapun ia kafir di sisi manusia dengan ertikata tidak boleh diperlakukan hukum-hukum Islam atas dirinya seperti tidak sah bernikah kahwin dengannya,tidak sah solat di belakangnya sebagai makmun,tidak halal sembelihannya, tidak boleh disembahyangkan atas jenazahnya dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam sekiranya meninggal dunia kerana tidak ada padanya ucapan dua kalimah syahadah yang menjadi bukti bahawa dia seorang yang beriman.Adapun sekiranya ada padanya tasdik di hati dan iqrar dengan lidah,tetapi ia terlibat dengan maksiat yang tidak membawa kepada kekufuran di samping tidak mengingkari kewajiban yang difardukan oleh Allah ke atas dirinya atau tidak menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah maka ia dikira sebagai mukmin yang derhaka dan hukumannya di akhirat adalah terpulang kepada masyiah (kehendak) Allah.Jika dikehendak diampuninya dan jika dikehendak disiksanya.Namun ia tidak dikekalkan di dalam neraka.
4)Tentang qadar.Ijmak sekelian ahli sunnah wajib kita beriman dengan qadar dan mengingkarinya itu adalah terkeluar daripada agama kerana ia merupakan salah satu rukun iman seperti yang sabit di dalam Al Quran dan hadis.Dan wajib kita mengiktikadkan segala perkara yang berlaku samada baik atau buruk semuanya terbit daripada af’alullah dalam ertikata Allahlah yang menjadikan seseorang itu beriman atau kufur,baik atau jahat,kaya atau miskin,mulia atau hina kesemuanya tidak terkeluar daripada perbuatan,kehendak dan ilmu Allah taala.Namun haram kita mensarihkan perkataan bahawa Allah menjadikan segala yang keji-keji pada makam syariat dan adab,bahkan wajib disandarkan segala perkara yang keji itu kepada makhluk melainkan pada majlis belajar dan mengajar untuk mengetahui hakikat yang sebenarnya.
5)Tentang tawassul.Ijmak sekelian ahli sunnah bahawa bertawassul dengan ertikata bertabarruk(mengambil berkat) adalah dibenarkan kerana ada padanya unsur memuliakan orang yang dimuliakan Allah seperti bertawassul dengan para nabi,para sahabat, wali-wali dan para salihin walaupun mereka telah meninggal dunia kerana mereka mempunyai karamah di sisi Allah dan adalah perbezaan antara sihir dengan karamah itu ialah,sihir itu lenyap dengan kematian ahlinya sedangkan karamah itu tidak lenyap dengan kematian ahlinya.Dengan syarat hendaklah diiktikadkan karamah para wali itu tidak mempunyai sifat ta’thir samasekali di dalam menunaikan hajat kita.Hanyasanya ta’thir itu tertentu bagi Allah.Cuma nama-nama mereka itu kita hadapkan kepada Allah memandangkan mereka orang-orang yang diredai Allah dan diharapkan dengan mengemukakan nama-nama mereka itu doa dan permohonan kita terlebih hampir untuk diperkenankan.
6)Berkenaan dengan hadis nabi.Ijmak sekelian ahli sunnah bahawa hadis nabi itu merupakan sumber perundangan yang kedua selepas Al Quran.Ijmak sekelian ahli sunnah juga orang yang mengingkari hadis yang mutawattir itu hukumnya kafir,kerana hadis mutawattir itu merupakan khabar yakin dan lazim daripada mengingkarinya menafikan rukun iman yang keempat iaitu percaya dan membenarkan rasul.Ijmak juga di kalangan ahli sunnah bahawa orang yang mengingkari khabar ahad yang sahih itu tidak menjadi kafir kerana khabar ahad yang sahih itu memberi faedah ilmu secara zan sahaja (tidak mencapai darjat yakin) berdasarkan perkiraan bahawa perawi hadis merupakan manusia biasa yang tidak maksum yang walaupun bersifat adil berkemungkinan melakukan kesilapan.Namun orang yang mengingkari hadis ahad yang sahih itu tetap dihukumkan fasik kerana menentang perkara yang disandarkan kepada nabi samada tanpa alasan atau dengan alasan yang lemah.Namun tidak dihukumkan kafir kerana tabiat agama Islam tidak membenarkan mengkafirkan seseorang berdasarkan zan.Adapun hadis daif,di sisi ahli sunnah tidak menjadi hujjah di dalam mensabitkan hukum namun ia tetap diterima sebagai mutaba’ah (penguat yang meneguhkan) segala hukum-hakam yang telah disabitkan dengan hadis yang sahih dan diterima sebagai dalil kepada perkara-perkara fadailul amal berdasarkan kepada ihtiath dan pertimbangan bahawa seseorang perawi yang tertuduh pendusta itu secara tafsilinya tidaksemestinya selama-lamanya akan berdusta memandangkan kemungkinan di dalam perkara yang tertentu adakalanya berkemungkinan dia bercakap benar.Kerana bimbang kemungkinan hadis yang disampaikannya merupakan hadis yang benar,maka para ulama tidak menolak hadis yang dibawanya itu bulat-bulat,sebaliknya tetap diterima di dalam perkara yang berkaitan dengan fadailul amal dengan syarat-syaratnya seperti yang telah digariskan oleh ahli-ahli hadis.Sikap berihtiath (berhati-hati) ini adalah supaya kita tidak terlalu boros di dalam menolak dan membuang apa sahaja perkhabaran yang disandarkan kepada Rasulullah di dalam rangka menghormati kemuliaan baginda.
7)Berkenaan dengan para sahabat.Ijmak seluruh ahli sunnah bahawa sekelian para sahabat adalah adil dengan umum ayat-ayat Al Quran dan hadis.Tetapi mertabat mereka itu adalah berlebih kurang antara satu sama lain.Yang paling afdhal di kalangan mereka itu adalah Sayidina Abu Bakar ra,kemudian Umar ra,kemudian Uthman ra,kemudian Ali ra,kemudian enam orang yang termasuk sepuluh yang dijanjikan syurga,kemudian ahli peperangan badar ,kemudian ahli bai’aturridhwan dan yang selebihnya hanya diketahui oleh Allah tentang tinggi rendahnya darjat mereka di sisi Allah.Wajib kita mendiamkan diri daripada menyebut-nyebut siapakah yang bersalah antara Ali dan Muawiyah di dalam peperangan Siffin,begitu juga antara Ali dan Aisyah di dalam peperangan Jamal dan mereka yang terlibat seperti Zubair dan anaknya Abdullah dan lain-lain sebagai tanda menghormati mereka dengan mengiktikadkan mereka yang terlibat di dalam peperangan yang terjadi di zaman Ali itu tidak kira dari mana-mana pihak pun adalah memperjuangkan kebenaran menurut ijtihad masing-masing dan tindakan mereka semuanya adalah benar kerana mereka semua adalah ahli bagi berijtihad.Sebagaimana kita wajib menahan diri daripada menyebut kesalahan mereka kita hendaklah membersihkan hati kita daripada berhasad terhadap salah seorang daripada mereka dan cenderung kepada yang lain,sebaliknya hendaklah kita bersikap berkecuali di samping menghormati mereka kesemuanya tanpa beza-membeza kerana mereka adalah wasilah kita kepada Rasulullah dan silsilah terakhir kepada Rasulullah di dalam agama kerana mereka adalah pembawa-pembawa agama.Wajib juga kita mengiktikadkan bahawa Ali dan Uthman telah terbunuh secara zalim dan para pembunuhnya merupakan orang yang fasik kepada Allah.
8)Berkenaan imamah.Ijmak sekelian ahli sunnah bahawa imam yang sah selepas daripada Rasulullah saw itu adalah Sayidina Abu Bakar Assiddik ra,kemudian Umar ra,kemudian Uthman ra,kemudian Ali ra,kemudian Sayidina Hasan ra,kemudian Husain ra dan seterusnya sesiapa sahaja yang berkuasa yang dapat memelihara agama Islam dan menegakkan keamanan di kalangan masyarakat walau dengan jalan kekerasan sekalipun.Ijmak juga di kalangan ahli sunnah bahawa menegakkan imamah itu hukumnya wajib berdasarkan kepada matlamat “Al muhafazhatu ‘aladdin wassiasatuddunya bihi” yakni memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama khusunya memelihara al kulliyatil khamsah yakni prinsip yang lima iaitu memelihara agama,nyawa,akal,keturunan dan harta.Wajib ke atas awamul muslimin memberikan bai’ah yang tidak berbelah bagi kepada ulil amri dan haram mengangkat senjata memerangi mereka jika sekiranya mereka itu zalim sekalipun selagi mereka memelihara kaedah-kaedah agama Islam dan menjalankan peraturannya.Adapun sekiranya di dapati mereka sudah tidak memelihara lagi kaedah-kaedah agama maka tatkala itu tidak wajib lagi memelihara bai’ah dengan mereka bahkan wajib dicampakkan bai’ah itu samada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi.
9)Berkenaan dengan takfir.Ahli sunnah tidak mengkafirkan mereka yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah selagi dia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan iman atau menafikan mana-mana ajaran Islam yang telah ijmak ulama tentang sabitnya atau menghalalkan perkara-perkara yang telah ijmak ulama akan haramnya.Begitu juga ahli sunnah tidak mengkafirkan puak-puak ahli bid’ah di dalam Islam selagi mereka itu merupakan ahli qiblat seperti puak syiah yang memaki sahabat.Maka halal sembelihan mereka,sah bernikah kahwin dengan mereka dan bersolat di belakang mereka sebagai makmum serta hukumnya makruh.Khilaf bagi mazhab Maliki kerana memaki para sahabat itu merupakan kekufuran di sisi mereka.Begitu juga lain-lain ahli bid’ah yang tidak mengeluarkan dari agama dengan sebab bid’ah mereka seperti muktazilah,jabariah ,qadariah,murjiah dan lain-lain melainkan puak yang ghulu dari kalangan mereka seperti mereka yang mempertuhankan Ali dari kalangan Syiah atau yang mengingkari surah Yusuf dari kalangan khawarij maka wajib dibunuh kerana mereka adalah zindiq.
10)Berkenaan tasawuf dan tarikat.Ijmak seluruh ulama sunnah tentang dituntut seseorang itu mengamalkan tasawuf sebagai wajib fardhu ain kerana ajaran tasawuf di ambil daripada Al Quran dan hadis.Tetapi mereka khilaf tentang mempelajari fikah tasawuf.Jumhur berpendapat sekiranya seseorang itu mampu mengamalkan tasawuf secara semulajadi kerana memang fitrahnya adalah fitrah yang baik,maka mempelajari fikah tasawuf tidak wajib baginya tetapi sekiranya dia mempelajarinya juga maka yang demikian itu adalah lebih baik dan sunnat hukumnya pada haknya dan secara kolektifnya dia telah memenuhi tuntutan fardhu kifayah bagi masyarakat kerana wajib bagi sesebuah masyarakat Islam itu ada ahlinya yang menceburkan diri di dalam bidang tasawuf secara mendalam.Adapun bagi orang yang tidak dapat mengamalkan ajaran tasawuf melainkan dengan mempelajari fikah tasawuf seperti mempelajari kaifiat mengosongkan diri daripada sifat-sifat mazmumah dan menghiaskan diri dengan sifat-sifat mahmudah,maka wajiblah dia mempelajari yang tersebut kerana kaedah menyebutkan “ma la yatimmul wajibu illa bihi fahua wajibun” yang ertinya jika tidak sempurna yang wajib itu melainkan dengan suatu perkara maka perkara itu menjadi wajib.Adalah asas ajaran tasawuf itu diambil daripada Al Quran,hadis,ijmak dan qias yang mana qias ini termasuklah uruf dan tajribah dan ianya dapat berubah dari semasa ke semasa dan dari seorang individu berbanding individu yang lain.
11)Tentang mazhab.Ijmak di kalangan ahli sunnah mengatakan bahawa berpegang dengan sesuatu mazhab hukumnya wajib pada hak orang yang tidak mencapai darjat mujtahid dan haram hukumnya mengamalkan mazhab yang bercampur aduk melainkan tatkala dharurat dan hajat yang mendesak sebagai rukhsah di dalam keadaan-keadaan yang tertentu berdasarkan kepada kaedah “al masyaqqah tajlibut taisir” yang bererti setiap kesukaran dapat menarik kemudahan.Adapun di dalam keadaan biasa wajib seseorang itu melazimi hanya kepada satu-satu mazhab yang masyhur di kalangan ulama-ulama sunnah mengikut bidang masing-masing.Maka di dalam ilmu kalam wajib seseorang itru bertaklid kepada salah satu samada Maturidi atau Asy’ari.Di dalam ibadat wajib berpegang kepada salah satu daripada mazhab yang empat.Di dalam tasawuf wajib bertaklid kepada salah satu samada Imam Junaid atau Imam Qusyairi.
Demikianlah pendirian ahli sunnah terhadap beberapa isu,dan semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk berpegang teguh dengan prinsip-prinsip ahli sunnah selagi hayat di kandung badan.Amin ya Rabbal alamin.

Sunday, December 26, 2010

Murtad , syirik , kufur , munafik , zindik dan bid’ah

Murtad ertinya keluar daripada agama Islam dengan sebab beberapa perkara yang telah dihuraikan sebelum ini.Murtad ini merupakan sejahat – jahat kekufuran kerana menolak nikmat kebenaran setelah mengetahui dan merasainya.Semoga Allah menjauhkan kita dan ahli keluarga kita dari perkara tersebut.
Syirik ertinya mempercayai kepada ada tuhan atau kuasa yang lain di samping Allah serta berharap dan bertawakkal kepadanya seperti berharap dan bertawakkal kepada Allah..Syirik terbahagi dua :-
1)Syirik akbar atau syirik besar iaitu syirik yang mengeluarkan daripada agama.Contohnya mempercayai Allah mempunyai anak atau mempercayai ada kuasa lain yang menyamai kuasa Allah.Ianya salah satu faktor yang membawa kepada kufur.Adalah kufur itu terlebih umum daripada syirik kerana tiap – tiap syirik itu kufur tetapi bukanlah semua kekufuran disebabkan oleh syirik.
2)Syirik asghar atau syirik kecil iaitu syirik yang tidak sampai mengeluarkan seseorang daripada agama.Contohnya riak di dalam beramal , ujub (merasa bangga dengan kebolehan diri sendiri) sombong , takabbur dan lain – lain maksiat yang batin.
Kufur ertinya ingkar.Juga terbahagi dua iaitu :-
1)Kufur akbar atau kufur besar iaitu kufur yang mengeluarkan seseorang daripada agama.Perkara – perkara yang menyebabkan kufur akbar ialah perkara – perkara yang boleh menyebabkan murtad seperti huraian yang telah lalu.Pelakunya digelar kafir.Jika kufur akbar itu dilakukan oleh orang yang asalnya muslim disebut kafir murtad.
2)Kufur nikmat iaitu kufur yang tidak mengeluarkan seseorang daripada agama.Contoh – contohnya , meninggalkan suruhan Allah seperti meninggalkan solat atau melakukan tegahan Allah seperti berzina dan minum arak di dalam keadaan tidak menafikan segala perintah Allah dan tidak menganggap halal perkara – perkara yang haram tersebut.Disebut kufur nikmat kerana pelakunya seolah – olah telah mengkufuri nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya.Pelakunya disebut fasik.
Munafik ertinya menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran pada batin.Sifat – sifat munafik disebut nifak.Nifak juga terbahagi kepada dua :-
1)Nifak akbar iaitu nifak yang mengeluarkan dari agama dan mengekalkan di dalam neraka.Ini adalah nifak dari segi akidah iaitu seseorang yang tidak percaya sama sekali kepada agama Islam tetapi berlakon seolah – olah dia seorang Islam yang tulen.
2)Nifak asghar iaitu nifak yang tidak mengeluarkan dari agama dan tidak mengekalkan di dalam neraka tetapi pelakunya akan diberatkan siksaannya di akhirat kelak.Semoga Allah melindungi kita semua dari yang demikian.Amalan yang membawa kepada nifak asghar itu ialah berbohong apabila bercakap , memungkiri apabila berjanji , khianat dengan amanah dan berlebih – lebihan apabila bertengkar.
Zindik ertinya manusia yang mendakwa kononnya Islam pada zahir dan batin tetapi kepercayaannya bercanggah dengan Al Quran , hadis dan ijmak.Dengan ertikata lain , seseorang pelaku zindik itu menyangka bahawa ajaran yang dianutnya itu sebagai ajaran Islam padahal pada hakikatnya bukan ajaran Islam.Contohnya pengikut ajaran sesat seperti ajaran Taslim , ajaran Qadiayani , ajaran agama Bahai , ajaran Batiniah , Ayah Pin dan lain – lain yang seumpamanya.Kesemua golongan zindik dihukumkan sebagai kafir murtad dan wajib atas pemerintah Islam memerangi dan membunuh mereka untuk memadamkan fitnah dan memelihara agama.
Bid’ah ertinya mengada – adakan perkara baru di dalam agama dengan tidak ada dalil syarak.Dalil syarak ada empat iaitu Al Quran , hadis , ijmak dan kias.Jika sesuatu perkara itu tidak terdapat dalil di dalam Al Quran dan hadis tetapi ada di dalam kias maka perkara tersebut tidak boleh dinamakan bid’ah.Jika dinamakan juga sebagai bid’ah maka penamaan itu hanyalah dari sudut bahasa sahaja bukan sebagai bid’ah yang diistilahkan nabi yang memasukkan pelakunya ke neraka.Maka dengan sebab itu menurut para ulama bid’ah terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Bid’ah mazmumah ertinya bid’ah yang dikeji.Inilah bid’ah yang dimaksudkan oleh nabi yang dapat menjerumuskan seseorang ke neraka atau sekurang – kurangnya mendedahkan seseorang itu kepada siksaan berpanjangannya hisab dan cercaan pada hari kiamat.Terbahagi pula kepada dua iaitu :-
i)Bid’ah haram.Contohnya , memukul-mukul dan melukakan tubuh pada Hari Asyura.
ii)Bid’ah yang makruh.Contohnya menghiasi masjid.Bid’ah jenis ini sungguhpun tidak memasukkan seseorang ke neraka tetapi mendedahkannya kepada berpanjangannya hisab dan cercaan pada hari kiamat.
2)Bid’ah yang mahmudah ertinya bid’ah yang terpuji.Iaitu bid’ah yang direka untuk tujuan kebaikan dan mengandungi kemaslahatan yang sungguhpun tidak ada perintah secara khusus untuk melakukannya oleh Allah dan rasul tetapi tidak terkeluar malahan selari dengan kehendak dalil – dalil umum yang menjadi kaedah – kaedah hukum agama Islam.Terbahagi kepada dua iaitu :-
i)Bid’ah wajib.Contohnya membukukan Al Quran.Ini adalah berdasarkan kaedah “saddu zara’i’ (menutup pintu – pintu kerosakan) yang terkandung di dalam prinsip ‘addharar yuzaal’ yang bererti kemudaratan hendaklah dihilangkan.Tujuannya untuk memelihara Al Quran dari pupus yang merupakan kemudaratan di dalam agama sekiranya tidak dibukukan.
ii)Bid’ah sunnat.Contohnya mengucapkan salawat dengan menyebut ‘sayidina’ di dalam tasyahud walaupun tidak diperintahkan oleh nabi kerana dengan cara itu kita lebih beradab kepada nabi.Ini adalah berdasarkan kaedah ‘sulukul adab muqaddamun alal imtithalil awamir’ yang bererti mendahulukan adab adalah diutamakan daripada sekedar mematuhi perintah seperti yang mashur di dalam sunan Abi Dawud di dalam peristiwa Sayidina Abu Bakar yang lebih mengutamakan adab dengan tidak mengimami solat sewaktu kehadiran nabi walaupun beliau diperintah oleh nabi untuk mengimami solat tersebut lalu tindakannya diikrarkan oleh nabi yang mana nabi tidak membantah sikap tersebut.

Wednesday, December 22, 2010

Rukun dan syarat mengucapkan syahadah

Rukun dan syarat mengucapkan syahadah
Rukun dan syarat mengucapkan syahadah adalah seperti berikut:-
1)Orang yang mengucapkan syahadah.Disyaratkan pada orang yang mengucapkan itu
i)Berakal
ii)Memahami kandungan syahadah sekurang – kurangnya makna yang hakiki iaitu tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.
iii)Dengan rela hati tanpa dipaksa.
iv)Yakin dengan percaya dengan syahadah yang diucapkan
2)Lafaz.Disyaratkan pada lafaz itu
i)Mengandungi kedua – dua syahadah iaitu pengakuan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan pengakuan bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah.
ii)Berturut – turut antara dua kalimah syahadah dengan tidak diselangi oleh diam yang panjang atau diselangi oleh perkataan yang lain yang tidak ada kena mengena dengan ucapan syahadah.
iii)Dengan lafaz “asyhadu” yang bererti “aku naik saksi” dan tidak memadai dengan lafaz yang lain daripada itu seperti a’lamu (aku mengetahui) atau uqirru (aku berikrar) atau sebagainya.
iv)Menyebut nama Allah tertentu dengan lafaz Allah sahaja dan tidak memadai dengan nama Allah yang lain seperti dikatanya “Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Arrahman” maka yang demikian tidak memadai.
v)Dengan lafaz nafi dan isbat iaitu menafikan ketuhanan selain daripada Allah kemudian menetapkan ketuhanan itu bagi Allah.Tidak memadai dengan lafaz isbat semata – mata seperti dikatanya aku naik saksi bahawa Allah itu Tuhan.
3)Ada saksi.Ini bagi orang kafir yang memeluk Islam atau bagi orang yang murtad yang ingin kembali kepada Islam.

Rukun dan syarat syahadah
Rukun syahadah itu ada empat :-
1)Mengakui keesaan zat Allah.Syaratnya ada enam.
i)Wujud
ii)Kidam
iii)Baqa’
iv)Mukhalafatuhu taala lil hawadis
v)Qiamuhu taala binafsihi
vi)Wahdaniah
2)Mengakui sifat Allah syaratnya tujuh
i)Kudrat
ii)Iradat
iii)Ilmu
iv)Hayat
v)Sama’
vi)Basar
vii)Kalam
3)Mengakui af’al (perbuatan) Allah syaratnya tujuh
i)Kaunuhu kadiran
ii)Kaunuhu muridan
iii)Kaunuhu aliman
iv)Kaunuhu hayyan
v)Kaunuhu sami’an
vi)Kaunuhu basiran
vii)Kaunuhu mutakalliman
4)Mengakui kebenaran Rasulullah saw syaratnya tiga
i)Qauli membenarkan perkataan baginda
ii)Fi’li membenarkan perbuatan baginda
iii)Ahwali membenarkan sikap dan persetujuan baginda

Perkara – perkara yang membatalkan syahadah
Batal syahadah dengan salah satu daripada tiga jalan :-
1)Perbuatan.Iaitu melakukan perkara – perkara yang pada urufnya menunjukkan telah hilang kepercayaannya kepada agama Islam seperti sujud kepada berhala , membuang ancak , mencium kitab agama lain dan seumpamanya.
2)Perkataan.Iaitu dengan mengucapkan perkataan yang pada urufnya menunjukkan telah hilang kepercayaannya kepada agama Islam seperti mengejek – ngejek agama Islam dengan perkataan , menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan perkara yang halal.Begitu juga mempersendakan sunnah nabi dengan perkataan.
3)Niat.Seperti diiktikadkan ada agama yang sama atau lebih baik daripada agama Islam.Begitu juga mengiktikadkan ada hukum yang sama atau lebih baik daripada hukum Islam.Atau berniat untuk keluar daripada agama Islam , walaupun niat tersebut digantungkan kepada suatu masa yang akan datang menjadi batal syahadahnya ketika itu juga.
Orang yang telah batal syahadahnya menjadi murtad (terkeluar daripada agama Islam) dan wajib diminta taubat daripadanya dengan diberi tempoh selama tiga hari.Sekiranya ia enggan maka wajib dibunuh oleh pemerintah dan jenazahnya tidak boleh diperlakukan sebagai jenazah muslim seperti dimandikan , dikafankan , disembahyangkan , dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam.Sabda rasulullah saw
ﻣﻦ ﺑﺩﻝ ﺩﻳﻧﻪﻓﺎﻗﺗﻟﻭﻩ
Ertinya :Barang siapa yang menukar agamanya maka bunuhlah ia.
Sabda rasulullah saw lagi
ﻻ ﻳﺣﻝ ﺪﻡ ﺍﻣﺭﺉ ﻤﺳﻟﻡﺇﻻ ﻣﻦ ﺇﺣﺪﻯ ﺛﻼﺙ ﺍﻟﺛﻳﺏ ﺍﻟﺯﺍﻧﻲ ﻭﺍﻟﻧﻓﺱ ﺒﺎﻟﻧﻓﺱ ﻭﺍﻟﺗﺎﺭﻚ ﻟﺩﻳﻧﻪ ﺍﻟﻣﻓﺎﺭﻖ ﻟﻟﺟﻣﺍﻋﺔ
Ertinya :Tidak halal darah seseorang muslim itu melainkan salah satu daripada tiga perkara orang yang telah berkahwin tetapi berzina , orang yang melakukan jenayah membunuh dan orang yang keluar daripada agama dan memisahkan diri daripada jamaah.

Asas murtad
Asas murtad itu adalah keingkaran samada keingkaran itu dilakukan dengan perbuatan atau perkataan atau niat seperti berikut:-
1)Mengingkari Allah dan rasulnya atau salah satu sifat atau lebih daripada sifat – sifat Allah dan rasulnya atau salah satu nama atau lebih daripada nama – nama Allah dan rasulnya yang telah ijmak oleh sekelian ulama akan sabitnya.
2)Mengingkari satu ayat daripada ayat – ayat Al Quran atau lebih yang telah ijmak sekelian ulama Islam bahawa ayat tersebut merupakan ayat Al Quran.
3)Mengingkari hadis – hadis nabi yang mutawattir iaitu hadis - hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang ramai yang sampai kepada bilangan mustahil untuk mereka berpakat mengadakan dusta atau mustahil mereka melakukan kesilapan di dalam perkara yang sama.
4)Mengingkari satu rukun daripada rukun – rukun iman atau lebih atau mengingkari satu rukun daripada rukun – rukun Islam atau lebih.
5)Mengingkari satu kewajiban atau lebih yang telah ijmak ulama akan wajibnya seperti kewajiban berbuat baik kepada ibu bapa , kewajiban menunaikan janji dan seumpamanya.Ini termasuk juga jika perintah yang sunnat sekalipun.
6)Mengingkari satu keharaman atau lebih daripada perkara – perkara yang dilarang oleh Allah yang telah ijmak ulama akan haramnya seperti haram minum arak , makan daging babi dan seumpamanya.Ini termasuk juga walaupun larangan yang makruh.
7)Mengkafirkan orang yang beriman atau tidak mengkafirkan orang yang telah jelas kekafirannya.
Murtad boleh berlaku walaupun dilakukan dengan niat bergurau dan bermain – main.Wal iyazubillah.Sabda rasulullah saw


Ertinya :Tiga perkara yang jika dilakukan bersungguh – sungguh jadi sungguh dan jika dilakukan secara bermain – main pun menjadi sungguh iaitu murtad , menceraikan isteri dan membebaskan hamba.
Walaubagaimanapun hukuman murtad tidak dapat dijatuhkan jika murtad itu berlaku di dalam keadaan dipaksa dengan ancaman bunuh atau disiksa dengan siksaan yang tidak tertanggung pada adat atau dilakukan di dalam keadaan lupa atau jahil.

Tuntutan dua kalimah syahadah
1)Membanyakkan zikir la ilaha illa llah dan menyungguh – nyungguhkan maknanya selama – lamanya selagi hidup.
2)Menjauhi perkara – perkara yang bertentangan dengan dua kalimah syahadah iaitu amalan kufur ,syirik , nifak ,bid’ah , maksiat dan lalai.
3)Melaksanakan perkara – perkara yang dituntut daripada amalan wajib dan sunnat khususnya rukun Islam yang lima.
4)Melaksanakan amar makruf dan nahi munkar terhadap diri , keluarga dan masyarakat.
5)Menyebarkan akidah tauhid kepada sekelian manusia lebih – lebih lagi ke atas diri , keluarga dan masyarakat.
6)Ikhlas kepada Allah
7) Bertaubat kepada Allah dari dosa dan lalai.
8)Takut dan harap kepada Allah.
9)Bersyukur kepada Allah atas nikmat dan sabar serta reda atas musibah.
10)Membanyakkan berfikir atas kebesaran Allah.
11)Mencintai Allah , rasul dan orang – orang yang beriman.
12)Bertawakkal kepada Allah di dalam semua urusan.
13)Mengingati mati dan mencintai akhirat.
14)Berjihad menegakkan dan mempertahankan Islam samada dengan lisan , pena atau pedang.
15)Bercita – cita untuk syahid dan bersedia untuk mati syahid.

Saturday, December 11, 2010

MAKNA KALIMAH SYAHADAH

Makna kalimah syahadah yang pertama
Kalimah syahadah yang pertama itu ialah
ﺃﺷﻬﺩ ﺃﻥ ﻻ ﺇﻟﻪ ﺇﻻﺍﷲ
Ertinya:Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.
Bagi kalimah syahadah yang pertama ada dua makna iaitu :
1)Makna hakiki iaitu makna sebenar.
2)Makna lazim.Dinamakan demikian kerana ianya melazimi makna yang hakiki.
Makna hakiki itu ialah maknanya yang sebenar yang masyhur yang dibawa dan diingatkan di dalam hati ketika melafazkan kalimah laa ilaha illa llah iaitu “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”.Makna lazim pula ialah makna yang melazimi (yang membawa kepada) makna hakiki yang mana tidak sampai seseorang itu kepada maksud makna hakiki itu jika tidak memahami makna lazim iaitu
ﻻ ﻳﺴﺗﻐﻧﻲ ﻋﻥ ﻛﻝ ﻣﺎﺳﻭﺍﻩ ﻭﻳﻓﺗﻗﺭ ﺇﻟﻳﻪ ﻜﻝ ﻣﺎ ﻋﺪﺍﻩ ﺇﻻ ﷲ
Ertinya :Tiada yang kaya daripada yang lain dan berhajat yang lain kepadanya melainkan Allah.
Maka dengan yang demikian makna lazim terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Kaya Tuhan dari sekelian yang lain disebut ‘Istighna’ ”
2)Berhajat sekelian yang lain kepadaNya disebut “iftiqar”
Dikatakan makna lazim itu melazimi makna yang hakiki kerana dengan adanya makna lazim itu barulah dapat diketahui kehendak yang sebenar dari makna yang hakiki itu.Seperti yang telah diketahui makna yang hakiki itu ialah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.Ini bererti melazimkan kaya Tuhan dari yang lain dan berhajat oleh yang lain kepadaNya kerana kalaulah Allah itu tidak bersifat kaya daripada yang lain maka tidaklah layak Ia disembah.Begitu juga kalaulah tidak berhajat oleh sekelian yang lain kepadanya maka tidaklah juga Ia layak disembah.Kaya Allah daripada sekelian yang lain itu mewajibkan sebelas sifat daripada sifat Allah yang dua puluh dan berhajat oleh yang lain kepada Allah itu mewajibkan sembilan sifat.

Sebelas sifat termasuk di dalam istighna’(kaya Allah dari sekelian yang lain)
1)Wujud ertinya ada lawannya tiada.Sekiranya Allah tidak bersifat wujud nescaya Dia berkehendak kepada yang menjadikanNya.Berkehendak itu menafikan kaya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Maka wajiblah Dia bersifat wujud.
2)Kidam ertinya sedia.Sekiranya Allah tidak bersifat kidam nescaya Dia bersifat baharu.Jika Ia baharu nescaya berkehendak kepada yang menjadikan.Berkehendak itu menafikan kaya.Maka tidaklah Ia berhak disembah.Pada hal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kidam.
3)Baqa’ ertinya kekal.Sekiranya Ia tidak bersifat kekal nescaya Ia bersifat dengan lawannya iaitu binasa.Maka bererti wujudNya ketika itu adalah wujud yang harus dan berkehendak kepada yang menjadikan.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat baqa’.
4)Mukhalafatuhu lil hawadis ertinya tidak serupa dengan segala yang baharu.Sekiranya ia serupa dengan segala yang baharu nescaya Dia baharu dan berkehendak juga kepada yang menjadikan.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Ia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah oleh itu wajiblah Dia bersifat mukhalafah lil hawadis.
5)Qiamuhu binafsihi ertinya tidak berhajat kepada yang lain.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan qiamuhu binafsihi nescaya Dia berkehendak kepada yang lain pada menjadikan dirinya atau menyempurnakan kekurangannya.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat qiamuhu binafsihi.
6)Sama’ ertinya mendengar.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan sama’ nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu pekak atau tuli.Pekak atau tuli itu sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada suatu yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah ia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat sama’.
7)Basar ertinya melihat.Sekiranya Dia tidak bersifat melihat nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu buta.Buta itu sifat kekurangan dan berkehendak kepada suatu yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat basar.
8)Kalam ertinya berkata – kata.Sekiranya Dia tidak bersifat kalam nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu bisu.Bisu itu sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Ia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kalam.
9)Kaunuhu sami’an ertinya keadaannya yang mendengar.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan kaunuhu sami’an nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu keadaannya yang pekak.Keadaannya yang pekak itu merupakan sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia layak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kaunuhu sami’an.
10)Kaunuhu basiran ertinya keadaannya yang melihat.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan keadaan yang melihat nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu keadaannya yang buta.Keadaan yang buta itu adalah sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Ia berhak disembah.Padahal Allah itu layak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kaunuhu basiran.
11)Kaunuhu mutakalliman ertinya keadaannya yang berkata – kata.Sekiranya Ia tidak bersifat dengan kaunuhu mutakalliman nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu keadaannya yang bisu.Keadaannya yang bisu itu adalah sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia layak disembah.Padahal llah itu layak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kaunuhu mutakalliman.
Tiga sifat lagi termasuk di dalam istighna’
1)Tidak mengambil faedah Allah Taala itu daripada segala perbuatan dan hukumnya.Lawannya mengambil faedah.Jika Allah Taala mengambil faedah daripada sebarang perbuatan dan hukumnya nescaya jadilah Dia berkehendak kepada faedah.Berkehendak itu menafikan kaya , maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia tidak mengambil faedah dari perbuatan dan hukumnya.
2)Tidak wajib Allah itu menjadikan mumkin (makhluk)dan tidak wajib juga bagiNya meninggalkan daripada menjadikan mumkin.Lawannya wajib bagi Allah menjadikan mumkin atau wajib baginya untuk tidak menjadikannya.Jika wajib bagi Allah menjadikan mumkin atau tidak menjadikannya bererti Dia berkehendak atau terdesak kepada melakukan sesuatu atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu.Berkehendak itu menafikan kaya.Maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu tidak wajib baginya menjadikan mumkin atau tidak menjadikannya.
3)Tidak memberi bekas oleh sesuatu dengan tabi’at.Lawannya memberi bekas dengan tabi’at.Contohnya tabi’at api itu tidak memberi bekas bagi menghanguskan.Hanya yang menghanguskan itu Allah jua.Sekiranya memberi bekas sesuatu itu dengan tabi’at nescaya tatkala itu Allah Taala berkehendak kepada perantaraan sesetengah makhluknya pada menjadikan sesuatu seperti berkehendak kepada api pada menghanguskan , berkehendak kepada air pada menghilangkan dahaga makhluknya , berkehendak kepada makanan pada menghilangkan lapar dari makhluknya , berkehendak kepada ubat bagi menghilangkan sakit pada hambanya.Berkehendak akan sekelian yang tersebut itu menafikan kaya.Maka jika demikian tidaklah Dia berhak disembah.Padhal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah tidak memberi bekas sesuatu itu dengan tabiat.

Sembilan sifat termasuk di dalam iftiqar (berhajat oleh yang lain kepada Allah)
1)Wahdaniah ertinya esa.Lawannya berbilang – bilang dua atau lebih.Sekiranya Allah itu berbilang – bilang nescaya tidak dapat menjadikan alam kerana lazim lemahnya ketika itu.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepada Allah.Maka tidaklah berhak Dia disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat wahdaniah.
2)Kudrat ertinya kuasa.Jika Dia tidak bersifat kuasa nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu lemah.Jika Dia lemah maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kudrat.
3)Iradat ertinya berkehendak.Jika Dia tidak bersifat dengan kehendak nescaya ternafilah daripadanya sifat kudrat (kuasa) kerana tiap – tiap yang tidak mempunyai kehendak nescaya tidak mempunyai kuasa.Maka lemahlah Dia ketika itu.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat iradat.
4)Ilmu ertinya mengetahui.Jika Dia tidak mengetahui nescaya ternafilah daripadanya sifat kehendak kerana tiap – tiap yang tidak mengetahui nescaya tiada padanya kehendak.Jika ternafi kehendak nescaya ternafilah sifat kuasa maka bererti Dia lemah ketika itu.Maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.
5)Hayat ertinya hidup.Jika Dia tidak bersifat hayat bererti Dia mati.Jika Dia mati maka ternafilah sekelian sifat ilmu , berkehendak , berkuasa dan lain – lain sifat idrak.Bererti Dia lemah.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya dan tidaklah Dia berhak disembah.
6)Kaunuhu kadiran ertinya keadaannya yang berkuasa.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaan yang berkuasa bererti Dia bersifat dengan keadaan yang lemah.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Maka tidaklah Dia berhak disembah.
7)Kaunuhu muridan ertinya keadaannya yang berkehendak.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaan yang berkehendak nescaya ternafilah keadaannya berkuasa.Bererti Dia lemah dan tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya dan tidaklah Dia berhak disembah.
8)Kaunuhu aliman ertinya keadaannya yang mengetahui.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaannya yang mengetahui nescaya ternafilah keadaannya yang berkuasa maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.
9)Kaunuhu hayyan ertinya keadaannya yang hidup.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaan yang hidup maka ternafilah juga keadaannya yang berkuasa maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.

Dua lagi termasuk dalam iftiqar
1)Baharu alam ini.Lawannya kadim alam ini.Jika alam ini kadim nescaya tidaklah berhajat kepada Allah yang menjadikan.Oleh itu tidaklah berhak Allah itu disembah.
2)Tidak memberi bekas sesuatu itu dengan kuat yang dijadikan Allah padanya.Lawannya memberi bekas.Sekiranya memberi bekas sesuatu itu dengan kuat yang dijadikan Allah padanya nescaya tidak berhajat lagi kepada Allah.Dengan demikian tidaklah berhak Allah itu disembah.
Demikianlah huraian tentang makna istighna’ (kaya Allah dari yang lain) dan makna iftiqar (berkehendak oleh tiap – tiap yang lain kepadanya) yang kesemuanya itu masuk di dalam erti tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.Adalah sifat – sifat yang masuk di bawah istighna’ itu sebelas lawannya sebelas menjadi dua puluh dua.Kemudian ditambah tiga lagi lawannya tiga jumlahnya enam.Kemudian dicampurkan dua puluh dua dengan enam jumlahnya dua puluh lapan.Adapun sifat yang masuk di bawah iftiqar ada sembilan lawannya sembilan jumlahnya lapan belas.Kemudian ditambah dua lawannya dua jadi jumlahnya empat dan dicampurkan empat dengan lapan belas maka jadilah jumlahnya dua puluh dua.Kemudian dicampurkan dua puluh lapan sifat istighna’ dengan dua puluh dua sifat iftiqar maka jumlahnya semua sekali ialah lima puluh aqaid (simpulan – simpulan iman) yang masuk di dalam erti syahadah yang pertama iaitu tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Sembilan aqaid yang masuk di dalam makna syahadah yang kedua
Bagi kalimah syahadah yang kedua juga mempunyai dua makna iaitu makna hakiki dan makna lazim.Makna hakikinya ialah “Aku naik saksi sesungguhnya nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”.Apabila kita mengakui bahawa nabi Muhammad itu utusan dan pesuruh Allah maka melazimi pula kita percaya kepada sifat – sifat yang wajib bagi rasul sepertimana berikut :
1)Siddik ertinya benar lawannya kazib bererti dusta.Mustahil rasul itu dusta wajib kita percaya rasul itu bersifat benar.Sekiranya rasul itu dusta maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
2)Amanah ertinya kepercayaan lawannya khianat.Mustahil rasul itu khianat wajib kita percaya rasul itu amanah.Sekiranya rasul itu khianat maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
3)Tabligh ertinya menyampaikan lawannya kitman ertinya menyembunyikan.Mustahil rasul itu menyembunyikan wajib kita percaya rasul itu menyampaikan.Sekiranya rasul itu menyembunyikan maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
4)Fatanah ertinya bijaksana lawannya baladah ertinya bodoh.Mustahil rasul itu bodoh wajib kita percaya rasul itu bersifat bijaksana.Sekiranya rasul itu bodoh maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
Demikianlah aqaid yang masuk di dalam syahadah risalah iaitu empat sifat yang wajib bagi rasul lawannya empat sifat yang wajib menjadi jumlahnya lapan aqaid.Kemudian masuk pula di dalam syahadah risalah empat aqaid lagi iaitu :-
1)Percaya kepada malaikat
2)Percaya kepada para nabi dan rasul
3)Percaya kepada kitab
4)Percaya kepada hari kiamat
Semua perkara di atas termasuk di dalam makna syahadah yang kedua iaitu penyaksian ke atas kerasulan nabi Muhammad saw kerana nabi Muhammad saw yang telah mengajar dan mengkhabarkannya.Jumlahnya empat , lawannya empat menjadi lapan.Kemudian dicampurkan dengan lapan yang dahulu jadilah jumlahnya enam belas aqaid masuk di dalam pengakuan kita bahawa sesungguhnya nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Demikianlah makna – makna yang terkandung di dalam dua kalimah syahadah iaitu lima puluh aqaid masuk di dalam pengakuan kita bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan enam belas aqaid masuk di dalam pengakuan kita bahawa sesungguhnya nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Wednesday, December 8, 2010

BERIMAN DENGAN KADHAK DAN KADAR

Erti kadhak dan kadar
Huraian tentang kadhak dan kadar sebenarnya telah pun dihuraikan semasa membincangkan ta’aluk sifat – sifat Allah di muka surat 117 yang lepas iaitu di bawah tajuk kecil takdir.Di dalam bab ini kita akan mengulang sekali lagi apa yang telah dihuraikan tersebut.Kadhak ertinya perlaksanaan oleh Allah ke atas kejadian – kejadian yang telah ditentukannya.Kadar pula ialah ketentuan Allah ke atas kejadian yang akan Ia laksanakan.Kadar juga dikenali dengan sebutan ‘takdir’.Secara mudahnya percaya kepada kadhak dan kadar bererti mempercayai bahawa apa sahaja yang berlaku di alam ini sesungguhnya bukan terjadi secara kebetulan tetapi segala – galanya telah ditentukan , dirancang dan ditetapkan oleh Allah.

Hukum beriman dengan kadhak dan kadar
Hukum beriman dengan kadhak dan kadar itu adalah wajib dan sesiapa yang mengingkarinya nescaya menjadi kafir.Wal iyazubillah.Firman Allah Taala
ما أصاب من مصيبة في الأرض وفي أنفسكم إلا في كتب من قبل أن نبرأها إن ذلك على الله يسير
Ertinya : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Rasulullah saw bersabda
ﺃﻥ ﺗﺅﻣﻥ ﺑﺎﷲﻭﻣﻼﺋﻛﺗﻪ ﻭﻛﺗﺑﻪ ﻭﺭﺳﻟﻪ ﻭﺍﻟﻳﻭﻡ ﺍﻷﺧﺭ ﻭﺗﺅﻣﻥ ﺑﺎﻟﻗﺩﺭ ﺧﻳﺭﻩ ﻭﺷﺭﻩ
Ertinya:Bahawa kamu beriman dengan Allah dan para malaikatnya dan kitab-kitabnya dan sekelian rasul-rasulnya dan hari akhirat dan kamu beriman dengan takdir samada baik atau buruk.
Pembahagian takdir
Apabila membicarakan tentang kadhak dan kadar kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang pembahagian takdir.Adalah takdir itu terbahagi kepada tiga iaitu :
1)Takdir di dalam ilmu Allah.
2)Takdir yang ditulis di luh mahfuz.
3)Takdir di dalam rahim ibu.

Takdir di dalam ilmu Allah.
Bermaksud Allah telah mengetahui di dalam ilmunya yang azali semua perkara yang akan dijadikan dari awal kejadian perkara – perkara tersebut hinggalah kesudahannya secara tafsil (terperinci) hal keadaannya terang dan nyata di dalam ilmu Allah.Takdir yang di dalam ilmu Allah ini sekali – kali tidak dapat berubah kerana ilmu Allah adalah kadim , muktamad dan pasti.

Takdir pada luh mahfuz.
Ini adalah takdir yang dicatatkan di luh mahfuz.Terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Kadhak mubram
2)Kadhak muallaq
Kadhak mubram ertinya kadhak yang ditetapkan oleh Allah tanpa syarat.Seperti Allah menetapkan semua makhluk yang bernyawa akan mati seperti firman Allah
كل نفس ذائقة الموت
Ertinya : Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati
Begitu juga Allah menetapkan bahawa tiap – tiap makhluk itu akan diberi rezeki seperti firman Allah
وما من دابة في الأرض إلا على الله رزقها
Ertinya : Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya
Kadhak muallaq pula ialah kadhak yang ditetapkan dengan syarat.Contohnya menetapkan umur seseorang samada panjang atau pendek dengan tahun yang tertentu seperti enam puluh tahun atau tujuh puluh tahun atau sebagainya.Begitu juga menetapkan rezeki seseorang samada banyak atau sedikit.Ianya dengan syarat amal yakni ikhtiar yang sesuai dan juga doa.Takdir samada syurga atau neraka juga adalah termasuk di dalam bahagian ini.Firman Allah
من عمل صلحا فلنفسه ومن أساء فعليها ثم إلى ربكم ترجعون
Ertinya : (Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa Yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.
Maka di dalam ayat di atas takdir masuk syurga itu digantungkan dengan syarat beramal saleh.Begitu juga takdir masuk neraka adalah digantungkan dengan syarat melakukan maksiat.
Sebagai misalan , dapatlah kita katakan apabila seseorang itu telah ditakdirkan di luh mahfuz sebagai ahli neraka maka takdirnya itu ditaklikkan (digantungkan) dengan syarat yakni jika tidak bertaubat.Maka jika sekiranya ia mengubah sikap dari jahat kepada baik dan berusaha bersungguh – sungguh untuk memperbaikki amalannya di samping bersungguh –sungguh berdoa kepada Allah maka takdirnya di luh mahfuz sebagai ahli neraka itu akan dapat berubah sehingga ia dituliskan pula sebagai ahli syurga.Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.
Sabda Rasulullah saw

ﻻ ﻳﺭﺩ ﺍﻟﻗﺿﺎﺀ ﺇﻻﺑﺎﻟﺩﻋﺎﺀ
Ertinya :Tidak tertolak kadhak itu melainkan dengan doa.
Walaubagaimanapun perubahan tersebut pada hakikatnya tidak mendatangkan apa – apa kesan terhadap takdir yang di dalam ilmu Allah kerana perubahan tersebut pada hakikatnya telah pun diketahui oleh Allah di dalam ilmunya yang azali.Firman Allah
يمحوا الله ما يشاء ويثبت وعنده أم الكتب
Ertinya : Allah menghapuskan apa jua Yang dikehendakiNya dan ia juga menetapkan apa jua Yang dikehendakiNya. dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu Segala suratan".(di dalam ilmuNya yang azali)
Takdir di dalam rahim ibu.
Ini adalah takdir yang dicatatkan oleh malaikat semasa janin di tiupkan ruh di dalam rahim ibu samada sesuatu janin itu lelaki atau perempuan , hidup atau mati dan menjadi orang yang berbahagia atau orang yang celaka.

Adab – adab terhadap takdir yang belum terjadi
Adab – adab terhadap takdir yang belum berlaku itu dua perkara iaitu :-
1)Hendaklah seseorang itu beriman secara ijmal (umum) sahaja bahawa tiap – tiap yang akan berlaku itu telah pun ditakdirkan oleh Allah secara pasti di dalam ilmunya dan tidak akan berubah.Seseorang itu juga wajib percaya bahawa takdir tersebut kemudiannya dituliskan di luh mahfuz yang mana sesetengahnya akan berlaku dengan bersyarat dan bersebab dan sesetengahnya akan berlaku tanpa syarat dan tanpa sebab.Namun seseorang itu dilarang untuk mentafsilkan sesuatu takdir yang belum berlaku itu dengan membuat andaian seperti dikatanya “kalaulah aku telah ditakdirkan sebagai ahli neraka (di dalam ilmu Allah)maka tidak guna aku beramal” atau lain – lain seumpamanya.Yang demikian adalah dilarang kerana tiga sebab:
i)Seseorang itu tidak mengetahui apa yang ditakdirkan oleh Allah dan perkara tersebut termasuk di dalam perkara yang ghaib.Apabila ia membuat andaian dan mengagak – agak bererti dia telah tidak beradab terhadap perkara yang ghaib.
ii)Perbuatan itu merupakan senjata syaitan untuk membuatkan seseorang itu berputus asa dari rahmat Allah sedangkan berputus asa dari rahmat Allah itu satu kekufuran.Wal iyazubillah.
iii)Seseorang itu tidak diwajibkan beriman secara tafsil terhadap perkara yang belum berlaku dan belum diketahui olehnya.Hanyasanya perintah supaya beriman terhadap takdir yang belum berlaku itu hanyalah secara ijmal jua.Rasulullah saw bersabda
ﺇﺫﺍ ﺫﻛﺭ ﺍﻟﻗﺩﺭﻓﺄﻣﺳﻛﻭﺍ
Ertinya :Apabila disebutkan tentang kadar (takdir) maka tahanlah diri kamu (daripada mentafsilkan dan berdalam – dalam pada membicarakannya).
Imam Jaafar Assadik rhm berkata bahawa apa yang Allah hendak lakukan (mentakdirkan sesuatu) kepada kita disembunyikannya daripada kita dan apa yang Allah hendak kita lakukan maka dinyatakannya kepada kita (yakni telah pun dinyatakan di dalam Al Quran dan hadis yang berupa perintah dan larangan).Maka oleh itu mengapa kita sibuk memikirkan apa yang Allah sembunyikan sehingga meninggalkan apa yang Allah telah nyatakan untuk kita lakukan.
2)Hendaklah seseorang itu bertawakkal kepada Allah dan bagi tawakkal itu ada tiga mertabat.
i)Hendaklah ia bertawakkal kepada Allah seolah – olah seseorang yang menghadapi tuduhan di mahkamah bertawakkal kepada peguam yang akan membelanya.Seseorang yang ingin melepaskan daripada tuduhan di mahkamah biasanya benar – benar bertawakkal (berpegang) kepada peguambelanya sehingga dia sanggup melaksanakan segala syarat – syarat yang diminta oleh peguambelanya.Demikianlah seseorang yang bertawakkal kepada Allah yang mana Allah itu adalah pembelanya di dunia dan di akhirat , maka hendaklah dia menunaikan syarat – syarat yang telah ditetapkan oleh Allah untuk berjaya di dunia dan di akhirat seperti melakukan amal saleh , menjauhi maksiat dan sebagainya.Jika tidak , dia tidak dapat disifatkan sebagai orang yang bertawakkal kepada Allah.
ii)Hendaklah dia bertawakkal kepada Allah seperti seorang anak kecil yang bertawakkal kepada ibunya.Anak yang masih kecil biasanya tidak pandai mengurus diri termasuklah makan minumnya.Segala – galanya diminta bulat – bulat daripada ibunya yang memelihara dan mengasuhnya.Demikianlah seseorang yang bertawakkal kepada Allah pada ketika berdoa yang mana Allah itu adalah pemelihara dan pengasuhnya.Ketika itu hendaklah dia merasakan dirinya kerdil dan tidak ada daya upaya melainkan dengan mengharapkan kepada Allah semata – mata bagaikan seorang anak kecil yang mengharapkan kepada ibunya.Hendaklah ia merasakan segala usaha ikhtiar yang dilakukannya hanyalah sekedar memenuhi syarat tawakkal jua dan tidak sekali – kali memberi bekas.Hanya yang memberi bekas itu dengan izin Allah jua.
iii)Hendaklah ia bertawakkal kepada Allah seperti mayat di hadapan orang yang memandikannya yakni sebagaimana mayat yang dimandikan itu membiarkan sahaja orang yang memandikannya melakukan sekehendaknya ke atas tubuh badannya maka demikian jugalah seseorang itu bertawakkal kepada Allah pada peringkat menerima kadhak Allah , maka hendaklah ia redha dan pasrah dengan bersangka baik sepenuh – penuhnya kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.Firman Allah di dalam hadis qudsi
ﺃﻧﺎ ﻋﻧﺩ ﻆﻦ ﻋﺑﺩﻱ ﺑﻲﻭﺃﻧﺎ ﻣﻌﻪ ﺣﻳﻦ ﻳﺫﻛﺭﻧﻲ
Ertinya :Aku adalah menurut sangkaan hamba – hambaku terhadapKu dan Aku bersamanya ketika dia mengingati Aku.
Yakni jika kita yakin bahawa Allah akan berbuat baik kepada kita maka kebaikanlah yang akan diperbuat Allah kepada kita.Sebaliknya jika kita merasa ragu dengan kebaikan Allah maka keburukkanlah yang akan kita perolehi.Wal iyazubillah min zalik.

Adab terhadap takdir yang telah berlaku.
Adab terhadap takdir yang telah berlaku tidak dapat tidak empat perkara :-
1)Jika ditakdirkan dapat melakukan ketaatan maka hendaklah kita bersyukur.
2)Jika ditakdirkan melakukan maksiat hendaklah kita bertaubat.Mudah – mudahan jika kita mati ketika itu maka kita mati di dalam taubat.
3)Jika ditakdirkan mendapat nikmat maka hendaklah kita bersyukur.
4)Jika ditakdirkan mendapat musibah hendaklah kita bersabar.
Semua yang tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna jika kita melakukan muraqabah (mengawasi diri sendiri) dan muhasabah (membuat penilaian) terhadap segala amalan yang kita kerjakan.


Monday, December 6, 2010

BERIMAN DENGAN HARI KIAMAT

Erti hari kiamat
Kiamat dari segi bahasa bererti kebangkitan.Erti hari kiamat dari segi istilah ilmu tauhid menurut ajaran Islam ialah hari di mana Allah akan mematikan sekelian makhluknya , kemudian dibangkitkan dan dihidupkan semula dan dihimpunkan di padang mahsyar untuk diperhitungkan segala amalan mereka sewaktu hidup di dunia lalu diberi balasan samada syurga atau neraka.Nama – nama lain bagi hari kiamat itu antaranya adalah sebagaimana berikut :-
1)Yaumul akhir yang bererti hari yang penghabisan kerana ia merupakan penghabisan segala hari – hari dunia.
2)Yaumul mahsyar yang bererti hari perhimpunan kerana pada hari itu semua makhluk akan dihimpunkan di padang mahsyar.
3)Yaumul din yang bererti hari pembalasan kerana pada hari itu akan dibalas semua amal perbuatan makhluk samada buruk atau baik.
4)Yaumul waqi’ah bererti hari yang pasti berlaku kerana hari kiamat itu pasti akan berlaku tanpa sebarang syak.
5)Yaumul nadamah bererti hari penyesalan kerana pada hari itu semua makhluk akan menyesali kesalahan – kesalahan yang mereka lakukan di dunia.
6)Yaumul hisab bererti hari perhitungan kerana pada hari itu semua amalan manusia akan diperhitungkan.
7)Yaumul zalzalah bererti hari gempa kerana pada hari tersebut alam keseluruhannya mengalami gempa yang sangat dahsyat.

Hukum beriman dengan hari kiamat
Hukum beriman dengan hari kiamat itu wajib dan menjadi kafir sesiapa yang mengingkarinya kerana telah sabit di dalam Al Quran dan hadis – hadis.Firman Allah Taala
ولكن البر من ءامن بالله واليوم الأخر
Ertinya : tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat
Rasulullah saw bersabda
ﻥ ﺗﺅﻣﻥ ﺑﺎﷲﻭﻣﻼﺋﻛﺗﻪ ﻭﻛﺗﺑﻪ ﻭﺭﺳﻟﻪ ﻭﺍﻟﻳﻭﻡ ﺍﻷﺧﺭ
Ertinya :Bahawa kamu beriman dengan Allah dan para malaikatnya dan kitab-kitabnya dan sekelian rasul-rasulnya dan hari akhirat.

Pembahagian kiamat
Kiamat terbahagi kepada dua iaitu:-
1)Kiamat kecil iaitu kematian yang berlaku ke atas individu yang telah sampai ajalnya.Kiamat kecil juga dinamakan kiamat khusus.Sabda Rasulullah saw
ﺇﺫﺍ ﻣﺎﺕ ﺃﺣﺩﻛﻡ ﻓﻗﺩﻗﺎﻣﺕ ﻗﻳﺎﻣﺗﻪ
Ertinya :Apabila mati seseorang daripada kamu maka berlakulah kiamat atas dirinya.
2)Kiamat besar atau kiamat umum.Inilah yang disebutkan di dalam Al Quran sebagai yaumul ghasyiah yang bererti hari yang meliputi kerana berlakunya meliputi atas sekelian makhluk tanpa kecuali.

Alam barzakh
Sepertimana yang telah dinyatakan apabila mati seseorang itu maka berlakulah kiamat atas dirinya yang mana dengan kematian tersebut berpindahlah ruhnya dari alam dunia kepada alam kubur dan akan tinggal di sana sementara menantikan berlakunya kiamat besar yang meliputi.Alam kubur ini juga disebut alam barzakh.Barzakh itu ertinya ‘sempadan’ kerana ia merupakan sempadan di antara alam dunia dengan alam akhirat.Semasa berada di dalam alam kubur atau alam barzakh tersebut ruh akan menghadapi :-
1)Fitnah kubur yakni soalan – soalan yang akan dikemukakan oleh malaikat Munkar dan Nakir di alam kubur.Sebab kedua – dua malaikat tersebut dinamakan Munkar dan Nakir kerana keduanya akan datang dengan rupa yang sangat tidak dikenal dan sangat menakutkan.Soalan – soalan yang akan ditanya itu adalah soalan tentang akidah si mati seperti siapa Tuhanmu , siapa nabimu , apa ikutanmu , siapa saudara - saudaramu dan seterusnya.Bagi orang yang beriman akan diulang – ulang soalan tersebut selama tujuh hari kerana memuliakan dan membanggakan mereka atas malaikat.Bagi orang kafir akan diulang – ulang pertanyaan tersebut selama empat puluh hari untuk menghinakan mereka.Dalil adanya fitnah kubur adalah hadis nabi setelah baginda selesai dari mengkebumikan jenazah salah seorang sahabat baginda , baginda bersabda
ﻓﺳﺋﻟﻭﺍ ﻷﺧﻳﻛﻡﺍﻟﺗﺛﺑﻳﺖ ﻓﺈﻧﻪ ﺍﻵﻥ ﻟﻳﺴﺋﻝ
Ertinya :Pohonkan bagi saudara kamu ini ketetapan kerana dia sekarang akan ditanya.
2)Nikmat kubur dan azab kubur yakni setelah selesai urusan pertanyaan malaikat munkar dan nakir yang tersebut keduanya akan pergi dan tidak akan kembali lagi namun akan menanti pula nikmat kubur bagi orang – orang yang beriman dan azab kubur bagi orang – orang yang kafir dan derhaka.Nikmat dan azab ini akan berkekalan sehinggalah berlaku kiamat.Sabda Rasulullah saw
ﺇﻧﻣﺎ ﺍﻟﻗﺑﺭ ﺭﻭﺿﺔ ﻣﻥﺭﻳﺎﺽ ﺍﻟﺟﻧﺔ ﺃﻭ ﺣﻓﺭﺓ ﻣﻥ ﺣﻓﺭ ﺍﻟﻧﺎﺭ
Ertinya :Hanyasanya kubur itu adalah satu taman daripada taman syurga atau satu lubang dari lubang neraka.Sabda Rasulullah saw
ﺗﻧﺯﻫﻭﺍ ﻋﻥ ﺍﻟﺑﻭﻝﻓﺈﻥ ﻋﺎﻣﺔ ﻋﺫﺍﺏ ﺍﻟﻗﺑﺭ ﻣﻧﻪ
Ertinya :Bersihkanlah kencing kerana kebanyakan azab kubur adalah disebabkan oleh kencing.
3)Himpitan bumi yang mana semua jenazah yang telah dikebumikan tidak akan terlepas daripada himpitan bumi kecuali jenazah anbia’ , orang – orang yang mati syahid dan Fatimah binti Asad.Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa jikalau dapat terlepas seseorang daripada himpitan bumi nescaya akan terlepaslah Saad bin Muaz yang pada hari kematiannya bergoncang arasy Allah Taala.Hanyasanya jenazah orang – orang yang beriman akan dihimpit bumi seperti ibu memeluk anaknya.
Ya Allah lindungilah kami dan sekelian orang – orang yang beriman daripada sekelian yang tersebut dan Engkau tetapkanlah iman kami , kedua ibubapa kami , anak isteri dan zuriat kami , kaum kerabat kami , guru – guru kami , murid – murid kami dan sekelian saudara – saudara kami yang beriman.Sesungguhnya kami tiada daya dan upaya untuk menyelamatkan diri kami melainkan semata – mata dengan kurniamu jua ya Allah.

Amalan yang dapat melepaskan diri daripada huru hara di dalam kubur
1)Mengukuhkan iman terhadap Allah dan rasulnya dengan cara mentaati suruhan Allah dan rasul dan menjauhi larangan Allah dan rasul.
2)Memperbanyakkan zikrullah.Rasulullah saw bersabda
ﻣﺎ ﻋﻣﻝ ﺃﻧﺟﻰ ﻣﻥﻋﺫﺍﺏ ﺍﻟﻗﺑﺭ ﺇﻻ ﺫﻛﺭ ﺍﷲ
Ertinya :Tiada amalan yang terlebih melepaskan daripada azab kubur daripada zikrullah.
3)Mengamalkan sunnah nabi.
4)Membaca surah Al Muluk pada tiap – tiap malam.
5)Bersungguh – sungguh memelihara solat.
6)Bersungguh – sungguh memelihara hukum taharah (kebersihan) terutamanya kencing.
7)Menjaga perpaduan kaum muslimin dan menjauhi amalan hasut menghasut.
Semoga Allah memberi taufik dan hidayah untuk kita melakukan amalan – amalan tersebut.

Tanda – tanda hari kiamat.
Allah dan rasulnya tidak menentukan tarikh berlakunya kiamat sebagai ujian ketaatan ke atas manusia.Namun Allah dengan sifat kasih sayangnya kepada manusia telah memberitahukan tanda – tanda kedatangan kiamat tersebut.Tanda – tanda kiamat itu terbahagi dua iaitu tanda – tanda kecil dan tanda – tanda besar.Tanda – tanda kecil adalah seperti berikut :-
1)Diutusnya nabi Muhammad saw sebagai rasulullah.
2)Para pemimpin akan terdiri daripada keturunan yang rendah dan hina.
3)Hamba melahirkan tuannya.
4)Orang-orang miskin yang berkaki ayam akan membina gedung-gedung yang menjulang tinggi.
5)Ada dua golongan yang besar yang akan berbunuh-bunuhan padahal seruan mereka sama.
6)Akan muncul dajajil(dajal-dajal kecil) yakni para penipu yang menyesatkan.
7)Ilmu pengetahuan akan dilenyapkan.
8)Banyak berlaku gempa bumi.
9)Banyak timbul fitnah.
10)Banyak haraj (pembunuhan)
11)Harta kekayaan akan melimpah ruah.
Adapun tanda – tanda besar pula adalah seperti berikut:-
1)Munculnya Imam Mahdi
2)Munculnya Dajjal
3)Turun Nabi Isa as.
4)Terbitnya matahari dari sebelah barat.
5)Keluarnya dabbatul ardh (sejenis binatang)
Proses berlakunya kiamat.
1)Tiupan sangkakala yang pertama menandakan proses penghancuran alam dan kematian seluruh makhluk.
2)Tiupan sangkakala yang kedua yang menandakan proses kebangkitan sekelian makluk yang telah dimatikan yang mana mereka akan dihidupkan semula untuk dikumpulkan di padang mahsyar.Selang antara dua tiupan tersebut adalah empat puluh tahun.Sangkakala itu adalah trompet besar yang berbentuk seperti tanduk diperbuat daripada kaca ditiup oleh malaikat Israfil.Besarnya sangkakala tersebut digambarkan di dalam hadis – hadis andaikata langit dan bumi ini dimasukkan ke dalam lubangnya nescaya muat.
3)Makhluk yang telah dibangkitkan itu akan digiring dan dikumpulkan di padang mahsyar di dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang.Keadaan mereka dari hal susah dan senang adalah bergantung kepada amalan masing – masing.Padang mahsyar adalah bumi yang rata yang berwarna putih seperti roti.Di sana manusia akan menunggu untuk diadili.Lamanya manusia di sana mengikut riwayat Abu Ya’la dan Ibnu Hibban ialah selama dua puluh lima ribu tahun.Di sana manusia akan pergi dari satu nabi kepada satu nabi untuk memohon syafaat agar dipercepatkan hisab.Akhirnya hisab dijalankan dengan syafaat nabi Muhammad dan inilah yang dipanggil “syafaat kubra” ertinya syafaat yang besar yang merangkumi seluruh makhluk samada muslim atau kafir dan samada manusia atau jin iaitu syafaat untuk dipercepatkan hisab.
4)Hisab ialah proses menghitung amalan – amalan makhluk samada baik atau buruk.Cara penghisaban dilakukan bergantung kepada amalan seseorang itu.Sesetengah manusia dihisab dengan hisab yang sangat berat.Sesetengah manusia dihisab dengan hisab yang ringan.Bagi orang yang menutup aib orang lain semasa di dunia maka hisab ke atas mereka akan dijalankan dengan tersembunyi di sebalik tabir dan Allah akan menutup aib mereka pula dengan memberi keampunan supaya kesalahan mereka tidak diketahui oleh orang lain.Bagi yang dihisab secara terang – terangan akan dihisab di hadapan orang – orang yang mereka kenali semasa di dunia supaya mereka mendapat malu yang amat sangat bagi setiap kesalahan yang mereka lakukan.Semoga Allah menutup aurat (keaiban) kita dan mengamankan ketakutan kita pada hari tersebut.Sebelum penghisaban dijalankan ke atas manusia , akan diserahkan kepada mereka buku catatan amalan yang mereka telah lakukan di dunia.Orang – orang yang berbahagia akan mendapat catatan amalannya dari sebelah kanan dan orang – orang yang celaka akan mendapat catatan amalan mereka dari sebelah kiri atau dari arah belakang.Kemudian catatan amalan itu akan ditimbang di atas neraca yang dipanggil “mizan” yakni neraca yang sangat adil dan teliti yang dapat menimbang amalan seseorang walau sekecil zarrah sekalipun.Adalah besar kedua – dua daunnya jika diletakkan dunia dengan sekelian isi – isinya nescaya muat ia.
5)Kemudian manusia akan diperintah untuk melintas titian sirat iaitu jambatan yang merentangi atas neraka jahannam.Kadar lebarnya adalah bergantung kepada amalan dan iman manusia iaitu luas dan lebar bagi orang – orang mukmin yang bertakwa dan sempit dan halus bagi orang – orang yang fasik dan munafik sehingga sampai ia akan halusnya itu seolah – olah rambut atau lebih halus lagi daripada itu.Rasulullah saw bersabda
ﻫﻭ ﺃﺩﻕ ﻣﻥ ﺍﻟﺷﻌﺭﺓﻭﺃﺣﺩ ﻣﻥ ﺍﻟﺳﻳﻑ
Ertinya :Sirat itu adalah terlebih halus daripada rambut dan terlebih tajam daripada pedang.
Jauhnya perjalanan sirat itu adalah seribu lima ratus tahun peralanan.Keadaan manusia semasa melintas sirat itu berbeza – beza dari segi bersegera atau lambat dengan kadar bersegera atau lambatnya mereka menunaikan perintah – perintah Allah Taala semasa di dunia.Sesetengahnya seperti kilat yang menyambar.Sesetengahnya seperti angin yang bertiup.Sesetengahnya seperti burung yang terbang.Sesetengahnya seperti kuda yang berlari.Sesetengahnya seperti berlarinya seorang lelaki yang kuat.Ada yang berjalan.Ada yang merangkak dan ada yang mengisut.Ada yang sampai di dalam sekelip mata.Ada yang sehari.Ada yang sebulan.Ada yang setahun.Ada yang beribu ribu tahun.Orang – orang yang munafik akan jatuh ke dalam neraka sementara orang – orang yang beriman akan sampai di syurga dengan selamat.

Syurga dan neraka
Syurga adalah satu tempat yang disediakan oleh Allah ke atas hamba – hambanya yang taat di dalamnya penuh dengan segala kenikmatan.Kenikmatan yang terdapat di syurga itu antara lain ialah :-
1)Bidadari – bidadari yang cantik jelita.
2)Minuman yang lazat citarasanya seperti arak , madu dan susu.
3)Makanan dan buah – buahan yang lazat.
4)Pelayan – pelayan dari anak – anak muda yang cantik dan sebaya.
5)Gedung – gedung dan rumah – rumah yang cantik.
6)Hidup selama – lamanya dan tidak mati.Muda selama – lamanya dan tidak tua.
Nama – nama syurga adalah sepertimana berikut :-
1)Jannatul firdaus.
2)Jannatul adnin
3)Jannatul ma’wa
4)Jannatul naim
5)Jannatul khuldi
6)Darul Qarar
7)Darul salam.
8)Darul muqamah
Firman Allah di dalam hadis qudsi
ﺃﻋﺩﺩﺕ ﻟﻌﺑﺎﺩﻱﺍﻟﻣﺘﻗﻳﻦ ﻣﺎ ﻻ ﻋﻳﻦ ﺭﺃﺕ ﻭﻻ ﺃﺫﻦ ﺳﻣﻌﺕ ﻭﻻﺧﻁﺭ ﻓﻲ ﻗﻟﺏ ﺑﺷﺭ
Ertinya :Telah Aku (Allah) sediakan untuk hamba-hambaku yang bertakwa suatu (balasan syurga) yang tak pernah dilihat oleh mata,dan tidak pernah didengar oleh telinga,dan (bahkan) tidak pernah terlintas pun di dalam hati (mana-mana)manusia.
Neraka adalah satu tempat yang disediakan oleh Allah untuk menghukum orang – orang yang derhaka kepada Allah yang terdiri daripada orang – orang munafik , orang – orang kafir dan orang – orang yang melakukan dosa – dosa besar yang mati tanpa bertaubat dan dosa mereka itu tidak diampunkan Allah.Di antara siksaan – siksaan yang telah disediakan oleh Allah itu ialah :-
1)Api yang menyala – nyala.
2)Rantai dan belenggu.
3)Binatang – binatang yang berbisa seperti ular dan kala.
4)Yang menjaga dan mengawal neraka itu terdiri daripada malaikat yang kasar dan keras.
5)Zaqqum iaitu buah yang sangat pahit dan dhari’ iaitu buah yang beracun dan berduri.
6)Minumannya adalah air yang tersangat panas yang dapat memutuskan tali perut dan wapnya dapat menghancurkan daging muka.Nauuzubillah min zalik.
Berikut adalah nama – nama neraka :-
1)Neraka jahannam
2)Neraka jahim
3)Neraka sa’ir
4)neraka lazha
5)Neraka huthamah
6)Neraka saqar
7)Neraka hawiah

Pahala dan dosa
Pahala ertinya jaminan balasan baik yang diberikan ke atas orang – orang yang melakukan kebajikan.Dosa ialah jaminan balasan buruk yang diberikan ke atas orang – orang yang membuat maksiat.Pahala dan dosa inilah yang ditimbang di atas neraca mizan pada hari kiamat nanti.FirmanAllah Taala
من جاء بالحسنة فله عشر أمثالها ومن جاء بالسيئة فلا يجزى الا مثلها وهم لا يظلمون
Ertinya : Sesiapa Yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) Yang sama dengannya; dan sesiapa Yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) Yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).


Syafaat
Syafaat ertinya pertolongan yang akan diberikan di akhirat ke atas manusia – manusia yang berdosa yang dikehendakki Allah.Jenis – jenis syafaat itu adalah seperti berikut :-
1)Syafaat mempercepatkan hisab.Syafaat ini dikhususkan bagi nabi Muhammad saw sahaja.Ianya juga dikenali dengan syafaat uzhma atau syafaat kubra yang bererti syafaat yang besar kerana ia meliputi semua makhluk tanpa kecuali samada manusia atau jin , muslim atau kafir.
2)Syafaat supaya diringankan siksaan.
3)Syafaat memasukkan orang – orang yang beriman ke dalam syurga tanpa hisab.
4)Syafaat untuk orang yang berdosa yang mewajibkan masuk ke neraka tetapi tidak dimasukkan ke neraka.
5)Syafaat untuk orang yang masuk ke neraka tetapi disingkatkan tempoh siksaan.
6)Syafaat untuk mengeluarkan semua orang yang melakukan dosa – dosa besar yang mati atas tauhid lalu dimasukkan ke dalam syurga.
Perhatian :Syafaat dari jenis yang ketiga hingga keenam itu hanya khusus untuk orang – orang yang mati di dalam akidah tauhid sahaja dan tidak akan dapat diperolehi oleh orang – orang yang mati di dalam keadaan mensyirikkan Allah.Firman Allah Taala
إن الله لا يغفر أن يشرك ويغفر دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افترى إثما عظيما
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar.
Selain nabi Muhammad , sekelian nabi – nabi yang lain , para ulama dan orang – orang yang mati syahid turut mendapat keistimewaan memberikan syafaat.Rasulullah saw bersabda
ﻳﺷﻓﻊ ﻳﻭﻡ ﺍﻟﻗﻳﺎﻣﺔﺍﻷﻧﺑﻳﺎﺀ ﺛﻡ ﺍﻟﻌﻟﻣﺎﺀ ﺛﻡ ﺍﻟﺷﻬﺩﺍﺀ
Ertinya :Akan memberikan syafaat pada hari kiamat nanti oleh para nabi , ulama dan juga orang – orang yang mati syahid.
Selain itu terdapat juga syafaat dari anak – anak yang mati sewaktu kecil bagi ibu bapa mereka yang beriman.Terdapat juga syafaat bagi penghafaz – penghafaz Al Quran bagi sepuluh ahli keluarga mereka yang mewajibkan neraka tetapi tidak dimasukkan ke neraka.Semoga Allah menetapkan iman kita semua dan melayakkan kita untuk memperolehi syafaat pada hari yang dahsyat tersebut.Amin ya Rabbal alamin.
Di antara usaha – usaha untuk memperolehi syafat itu ialah :-
1)Memelihara akidah selama hayat dikandung badan.
2)Memelihara solat fardu lima waktu.
3)Membanyakkan sedekah
4)Membanyakkan salawat ke atas nabi Muhammad saw.
5)Bersabar dan reda dengan musibah hidup.
6)Membanyakkan doa dan merendah diri kepada Allah swt.
7)Suka menolong orang – orang yang beriman.
8)Membanyakkan membaca kalam Allah ayat – ayat suci Al Quran al karim.
9)Sentiasa bertaubat dan memperbaiki amalan.

Perkara – perkara sam’iyat
Perkara – perkara sam’iyat ertinya perkara – perkara yang di dengar daripada perkhabaran Al Quran dan hadis.Wajib atas tiap – tiap manusia beriman dengan adanya perkara – perkara tersebut seperti yang dinyatakan oleh Al Quran dan hadis.Mengingkari perkara – perkara sam’iyat yang sabit daripada Al Quran itu adalah kufur yang mengekalkan di dalam neraka.Wal iyazubillah.Begitu juga mengingkari perkara – perkara sam’iyat yang sabit daripada hadis yang mutawattir (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang ramai sehingga mencapai darjat yakin) juga boleh menyebabkan kufur.Adapun mengingkari perkara – perkara sami’yat yang sabit dengan khabar ahad (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang kurang dari mutawattir) tidak menjatuhkan seseorang kepada kufur sebaliknya menjadikan seseorang itu fasik (berdosa besar).Kesimpulannya kita wajiblah mempercayai perkara – perkara sam’iyat samada perkhabarannya itu mutawattir atau tidak supaya kita terselamat dari sebarang gelaran samada kufur atau fasik.Perkara – perkara sam’iyat itu adalah sebagaimana berikut :-
1)Para malaikat dan sekelian yang berkaitan dengan mereka seperti yang diceritakan di dalam Al Quran dan hadis.
2)Para nabi dan sekelian yang berkaitan dengan kisah mereka seperti yang diceritakan oleh Al Quran dan hadis.
3)Kitab – kitab yang diturunkan Allah sebelum Al Quran dan sekelian yang berkaitan dengannya seperti yang diceritakan di da lam Al Quran dan hadis.
4)Hari akhirat dan sekelian yang berkaitan dengannya seperti yang diceritakan di dalam Al Quran dan hadis.
5)Makhluk jin , syaitan dan Iblis dan sekelian yang berkaitan dengannya seperti yang diceritakan di dalam Al Quran dan hadis.
6)Kadhak dan kadar.
7)Arasy.
8)Kursi.
9)Luh Mahfuz.
10)Qalam.
12)Ruh.
Pendekata apa sahaja yang diceritakan oleh Al Quran dan hadis maka yang demikian itu adalah perkara – paerkara sami’yat yang wajib diimani oleh tiap – tiap mukallaf.

Wednesday, December 1, 2010

BERIMAN DENGAN KITAB

Erti kitab
Kitab ertinya himpunan wahyu Allah yang dikurniakan kepada para rasul untuk menjadi panduan kepada umat manusia di dalamnya mengandungi ajaran tentang akidah , syariat dan akhlak.

Hukum percaya kepada kitab
Wajib atas tiap – tiap mukallaf percaya bahawa Allah telah menurunkan kitab – kitab dari langit kepada para rasul untuk menjadi panduan kepada umat manusia dari segi akidah , syariat dan akhlak.Firman Allah swt
وأنزل معه الكتب بالحق ليحكم بين الناس فيما اختلفوا فيه
Ertinya : dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci Yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa Yang mereka perselisihkan


Jumlah kitab yangditurunkan oleh Allah.
Jumlah kitab yang diturunkan oleh Allah ialah seratus empat buah yang terdiri dari seratus kitab kecil dan empat buah kitab yang besar.Kitab – kitab kecil tersebut juga dinamakan suhuf yang bererti lembaran – lembaran yang mengandungi wahyu daripada Allah.Adalah kitab – kitab kecil yang diturunkan oleh Allah yang berjumlah seratus buah itu sepertimana yang berikut :-
1)Enam puluh buah diturunkan kepada Nabi Allah Syith as.
2)Tiga puluh buah diturunkan kepada Nabi Ibrahim as.
3)Sepuluh buah diturunkan kepada nabi Musa as sebelum Taurat.
4)Sepuluh buah diturunkan kepada nabi Nuh as.
Kitab – kitab besar ada empat buah seperti berikut :-
1)Taurat diturunkan kepada nabi Musa as.
2)Zabur diturunkan kepada nabi Daud as.
3)Injil diturunkan kepada nabi Isa as.
4)Al Quran diturunkan kepada nabi Muhammad saw.

Taurat , Injil dan Zabur.
Kitab Taurat yang menjadi pegangan orang – orang Yahudi bererti ‘Kitab yang mengandungi lima bab’.Sesuai dengan namanya ia mengandungi lima sifir (kitab) iaitu sifir kejadian , sifir keluaran , sifir Imamat , sifir bilangan dan sifir ulangan.Kitab Zabur pula bererti ‘nyanyian’ dan tidak mengandungi hukum – hakam sebaliknya hanya mengandungi puisi – puisi dan pujian – pujian terhadap Tuhan.Kedua – dua Taurat dan Zabur itu dikenali dengan ‘Perjanjian Lama’.Kitab Injil pula bererti ‘khabar gembira’ dan terdiri daripada empat kitab iaitu Injil Mata , Injil Lukas , Injil Yuhanna dan Injil Markus.Kitab – kitab Injil tersebut dikenali dengan perjanjian baharu.Gabungan Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu itulah yang dikenali dengan ‘Bible’ yang menjadi pegangan orang – orang Keristian sekarang.

Injil Barnaba
Di sekitar tahun 1700 an masyarakat Keristian telah digemparkan dengan penemuan sebuah kitab Injil yang ditulis oleh St Barnaba dan injil tersebut seterusnya dikenali sebagai Injil Barnaba.Adalah dipercayai bahawa inilah sebenarnya kitab Injil yang asli.Kitab tersebut ditulis di dalam bahasa Greece.Ianya ditemui di salah sebuah perpustakaan di Sepanyol dan ditulis dengan tinta emas.Isinya berlainan daripada kandungan injil –injil yang menjadi pegangan orang – orang Keristian sebaliknya mempunyai banyak persamaan dengan Al Quran Al Karim.St Barnaba adalah salah seorang sahabat Nabi Isa yang dua belas.Beliau adalah seorang Yahudi yang berasal dari Cyprus kemudian berhijrah ke Palestin lalu menjadi anak murid kepada Nabi Isa as dan semasa Nabi Isa ditangkap oleh askar – askar Rom beliau telah lari dan menyembunyikan diri.Berkemungkinan besar kitab tersebut ditulis semasa di dalam tempoh persembunyiannya.Di dalam kitab tersebut dinyatakan bahawa nabi Isa tidak disalib seperti yang disangkakan oleh kebanyakan orang tetapi telah diangkat ke langit.Di dalam kitab tersebut dinyatakan bahawa nabi Isa hanyalah seorang rasul dan manusia biasa dan bukannya tuhan atau anak tuhan.Disebut juga bahawa akan lahir seorang nabi yang terakhir yang bernama Ahmad atau Muhammad.Oleh kerana isinya mempunyai persamaan dengan Al Quran maka kitab ini telah tidak diakui oleh orang – orang Keristian.Walaubagaimanapun dengan penemuan skrol lama di dalam sebuah gua di laut mati di dalam tahun 1956 telah menguatkan dan menyokong akan kebenaran fakta – fakta yang terdapat di dalam Injil Barnaba yang tersebut.

Pengubahan atas Taurat , Injil dan Zabur.
Kesemua kitab – kitab Allah yang diturunkan sebelum Al Quran iaitu Taurat , Injil dan Zabur telah diubah isi kandungannya dengan ditokok tambah , dikurangkan , diselewengkan dan diletakkan bukan pada tempatnya.Perkara ini telah dilakukan oleh para pendita yang korup dengan tujuan mendapat keuntungan dunia yang sedikit.Akibatnya banyak perkara yang tidak benar telah mencemari kitab – kitab tersebut.Di antara perkara yang tidak benar itu ialah seperti berikut :-
1)Di dalam kitab Taurat disebutkan bahawa nabi Sulaiman as mengamalkan sihir dan terpengaruh dengan penyembahan berhala sewaktu tua.
2)Di dalam Taurat juga disebut bahawa nabi Luth telah berzina dengan dua orang anak perempuan baginda sewaktu mabuk.
3)Disebut juga bahawa nabi Daud adalah seorang yang keras hati dan gemar membunuh.
4)Menghalalkan makan riba.
5)Dihilangkan banyak nas – nas tentang kerasulan nabi Muhammad saw di akhir zaman.
Di antara bukti terdapat pengubahan ke atas kitab – kitab tersebut adalah seperti berikut :-
1)Kitab Taurat yang menjadi pegangan orang – orang Yahudi dengan Taurat yang beredar dari kalangan orang Nasrani terdapat perbezaan dari segi isi dan maklumat.
2)Di dalam surat – surat Paulus kepada jamaah Korintinus terdapat pemansukhan (pembatalan) terhadap pengharaman daging babi dan perintah berkhatan padahal haramnya babi dan wajibnya berkhatan itu telah termaktub di dalam Taurat dan ini bertentangan dengan kandungan injil yang meriwayatkan bahawa Isa berkata “Aku tidak datang untuk membatalkan Namus (Taurat).”
3)Terdapat perbezaan fakta di antara keempat – empat kandungan injil yang mana perbezaan tersebut tersangat banyak dan tersangat menjolok sehingga tidak terdapat kemungkinan untuk dijamakkan.
4)Di dalam kitab tersebut jelas menunjukkan kepada gaya penulisan dan gaya penceritaan oleh manusia biasa yang mana terdapat di dalamnya kisah – kisah perzinaan dan persundalan yang ditulis dengan penuh asyik oleh ‘penulisnya’ dan tidak mungkin kisah – kisah itu ditulis oleh Tuhan Yang maha Penyantun.
5)Kitab Taurat yang ada sekarang ditulis selepas sembilan ratus atau lapan ratus tahun jatuhnya kerajaan Yahuza dan ditulis tanpa sanad.Ini memungkinkan fakta – fakta palsu diseludup masuk ke dalam isi kandungannya apatah lagi ianya ditulis tanpa sanad dan sistem periwayatan yang boleh dipercayai.
6)Dan banyak lagi.
Allah swt berfirman
فويل للذين يكتبون الكتب بأيديهم ثم يقولون هذا من عند الله ليشتروا به ثمنا قليلا فويل لهم مما كتبت أيديهم وويل لهم مما يكسبون
Ertinya : Kecelakaan besar bagi orang-orang Yang menulis Kitab Taurat Dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah Dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka Dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia Yang sedikit. maka Kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa Yang ditulis oleh tangan mereka, dan Kecelakaan besar bagi mereka dari apa Yang mereka usahakan itu.
Sebab - sebab kitab Al Quran tidak dapat diubah
Al Quran adalah satu – satunya kitab Allah yang kekal sehingga hari kiamat dan sesekali tidak dapat dicemarkan ketulenannya dan tidak akan dapat diubah samasekali oleh para pengkhianat berdasarkan kepada faktor – faktor berikut.
1)Terdapat jaminan daripada Allah sendiri untuk memelihara Al Quran.Firman Allah Taala
ﺇﻨﺎﻧﺤﻦﻧﺯﻟﻨﺎﺍﻟﺫﻛﺭﻮﺇﻨﺎﻟﻪﻟﺤﻔﻈﻮﻦ
Ertinya : Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya.
Ayat di atas merupakan jaminan mutlak dari Allah bahawa Dia sendiri akan memelihara Al Quran.Di dalam kitab – kitab yang terdahulu tidak terdapat satu nas pun yang berupa jaminan seperti ini.Cuma di dalam Bible terdapat ancaman bahawa sesiapa yang mengubah sesuatu daripada kalam Allah maka dia akan dilaknati.Ini bukan satu jaminan bahawa Allah akan memelihara Bible.Malahan itulah bukti yang menunjukkan Allah telah mengetahui bahawa akan ada orang yang akan mengubah kalamNya.Samalah seperti jika Allah berfirman sesiapa yang melakukan dosa maka dia akan masuk ke neraka , maka ianya tidak bererti jaminan bahawa tidak ada orang yang akan membuat dosa.Berbeza dengan Al Quran perkataan memelihara disebut dengan jelas.
2)Al Quran diturunkan sedikit demi sedikit selama kira – kira dua puluh dua tahun.Ini menyebabkan ianya mudah dihafaz oleh para sahabat.Semasa kewafatan nabi Al Quran telah pun sedia dihafaz oleh seratus dua puluh empat ribu sahabat nabi.Selain itu terdapat ramai di antara mereka yang menghafaz tiga puluh juzuk Al Quran.Sahabat – sahabat yang hafiz yang syahid di dalam peperangan riddah pada zaman Sayidina Abu Bakar sahaja jumlahnya mencecah tujuh puluh orang.Di samping itu , Al Quran juga dibacakan oleh para sahabat setiap waktu solat dan didengar oleh para sahabat yang lain samada ketika solat lima waktu mahupun solat tarawih di bulan Ramadhan yang dimulakan secara berjemaah oleh Sayidina Umar.Sekiranya berlaku kesilapan maka dengan mudah dapat dikesan oleh lain – lain sahabat.Untuk mengatakan kesemua seratus dua puluh empat ribu para sahabat bermuafakat untuk menyelewengkan kesemua atau sebahagian ayat – ayat Al Quran adalah tersangat mustahil.Sejarah menyaksikan mereka sanggup berperang sesama mereka untuk mempertahankan ijtihad yang mereka anggap benar.Maka adakah mereka akan berdiam diri sekiranya Al Quran cuba diselewengkan?Sebelum habis jenerasi sahabat iaitu pada zaman Sayidina Abu Bakar di mana masih ramai sahabat – sahabat nabi dan penghafaz – penghafaz Al Quran masih hidup Al Quran telah dibukukan.Sesiapa yang hendak melakukan penyelewengan Al Quran selepas dari tempoh tersebut , maka ia terpaksa melakukan dalam bentuk naskhah.Tetapi ini tidak berlaku kerana kalau ia berlaku sudah tentulah kita akan menemui naskhah Al Quran yang berbeza – beza pada hari ini.Tetapi kenyataannya sehingga hari ini umat Islam tetap hanya mempunyai hanya satu sahaja versi Al Quran walaupun mereka berpecah kepada pelbagai mazhab.
3)Ayat – ayat Al Quran mempunyai langgam bahasa yang sangat indah dan ianya berbeza dari mana - mana karangan ciptaan manusia.Ianya bukan syair dan bukan nathir (prosa).Semua ayat – ayatnya sama dari segi keindahan dan kefasihan.Perkataan – perkataannya adalah tersangat fasih dan ringkas tetapi padat.Ayat - ayatnya syahdu dan menusuk perasaan.Perumpamaannya jitu.Janjinya tegas.Kecamannya terhadap orang – orang yang kafir tajam tetapi indah.Sesiapa yang mendengar pasti terpesona dan akan hambarlah baginya sekelian perkataan makhluk.Sesiapa yang membacanya nescaya bertambahlah imannya.Oleh itu sebarang usaha untuk menyelitkan sesuatu yang bukan Al Quran ke dalam Al Quran nescaya akan menampakkan semata – mata kejanggalan dan keganjilan.Sebab itulah semua percubaan meniru al Quran telah gagal.Percubaan meniru Al Quran telah berlaku sejak dari zaman nabi hinggalah ke hari ini tetapi kesemuanya menemui kegagalan dan sesetengahnya hanya layak menjadi bahan tertawaan kerana begitu jauh sekali keindahan al Quran jika dibanding dengan kata – kata manusia samada dari segi lafaz mahupun makna.Firman Allah Taala
ﻮﺇﻦ ﻛﻨﺘﻡ ﻔﻲ ﺭﻴﺏ ﻤﻣﺎﻨﺯﻟﻨﺎ ﻋﻟﻰ ﻋﺑﺪﻨﺎ ﻔﺄﺗﻭﺍ ﺑﺴﻭﺭﺓ ﻤﻦ ﻤﺛﻟﻪ ﻭﺍﺪﻋﻭﺍ ﺷﻬﺪﺍﺀﻜﻢ ﻤﻦ ﺪﻭﻦ ﺍﻟﻟﻪ ﺇﻦ ﻜﻨﺘﻢ ﺻﺪﻘﻴﻦ
23. Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa Yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah Yang sebanding Dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang Yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang Yang benar.
4)Lafaz – lafaz Al Quran diriwayatkan secara muttasil (sambung menyambung tanpa terputus sanad) serta mutawattir oleh perawi – perawi yang ramai yang tidak memungkinkan para – para perawi itu melakukan kesilapan secara bersama atas perkara yang sama.Hal ini berbeza dengan Injil kerana ianya hanya ditulis seratus tahun sesudah Al Masih dan kesemua penulis Injil merupakan orang – orang yang tidak tidak pernah bertemu dengan Nabi Isa as secara langsung.Inilah sebabnya walaupun umat Islam berpecah kepada beberapa sekte seperti Sunnah , Syiah dan lain - lain namun mereka tetap bersepakat menggunakan Al Quran yang sama.Perbezaan hanyalah dari segi penafsiran dan bukan pada lafaz.