Sifat Allah yang ketiga belas wajib diketahui oleh mukallaf itu ialah kalam ertinya berkata – berkata iaitu satu sifat yang wajib bagi Allah dengannya menunjukkan dan menzahirkan apa – apa yang di dalam ilmu Allah.Adalah kalam Allah itu tidak berhuruf dan bersuara dan tidak di dalam perkataan yang berdahulu kemudian antara satu sama lain.Bagi menghampirkan kepada kefahaman bagaimana yang dikatakan kalam Allah itu tidak berhuruf , tidak bersuara dan tidak dengan perkataan yang berdahulu kemudian antara sama lain maka dibuat perbandingan sebagai perbandingan yang menghampirkan kepada kefahaman seperti berikut :-
Ditakdirkan anda memandu kereta untuk pergi ke suatu tempat yang jauh dari kediaman anda untuk berkursus di tempat itu selama beberapa hari.Setelah anda memandu sebegitu jauh , tiba – tiba anda dapati di hadapan ada sekatan jalan raya oleh pegawai JPJ dan ketika itulah baru anda teringat bahawa dompet anda yang di dalamnya wang anda , kad pengenalan , kad ATM , kad kredit dan lesen memandu telah tertinggal.Di dalam keadaan begitu anda tidak dapat berpatah balik kerana anda telah begitu jauh memandu dan kereta anda pula sedang kekurangan petrol.Di samping itu juga anda telah terperangkap di dalam kesesakan yang mana di hadapan, belakang , kiri dan kanan anda terdapat kenderaan yang menghalang.Ketika itu timbullah perasaan bimbang.Maka perasaan bimbang anda itu adakah berhuruf?Atau ada suaranya?Atau adakah datang dalam bentuk ayat?Tidak bukan?Pada hal kebimbangan anda itu jika hendak diungkapkan dalam bentuk ayat, mungkin memakan ruang sebanyak beberapa halaman untuk diungkapkan seperti bimbang akan disaman , bimbang kehabisan petrol , di mana hendak bermalam , kepada siapa hendak diminta pertolongan , bimbang tidak dapat menghadiri kursus , dimarahi majikan , diturunkan pangkat dan seterusnya.Namun semua kebimbangan anda yang berjela – jela itu anda rasakan dan fahami di dalam sekelip mata sahaja tanpa huruf , tanpa suara , tanpa ayat – ayat dan tidak berdahulu kemudian satu sama lain.Demikianlah tamsilan bagi kalam Allah yang tidak berhuruf , tidak bersuara , tidak dengan ayat dan tidak dengan perkataan yang berdahulu kemudian antara satu sama lain.
Walaupun demikian perumpamaan di atas masih belum tepat untuk menjelaskan hakikat kalam Allah kerana perumpamaan di atas hanyalah sebagai ‘tamsil’ yang hanya menghampirkan kefahaman jua dan bukan dimaksudkan sebagai ‘tasybih’ iaitu menyerupakan kerana kalam Allah itu maha suci daripada dapat diserupakan dengan apa – apa bandingan sekalipun.
Lawan sifat kalam itu ialah bukmun ertinya bisu
Mustahil Allah itu bersifat bisu atau pada maknanya seperti Allah berkata dengan suara , berhuruf dan dengan perkataan yang berdahulu kemudian kerana itu semua sifat – sifat baharu (makhluk).Wajiblah kita percaya Allah bersifat dengan sifat kalam dan sesungguhnya kalam Allah itu maha sempurna.
Dalil sifat kalam
Dalil naklinya firman Allah Taala
ﻭﻜﻟﻢ ﺍﷲ ﻤﻭﺴﻰ ﺘﻜﻟﻴﻤﺎ
Ertinya :dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa Dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).
Dalil aklinya ialah sekiranya Allah itu tidak bersifat dengan sifat kalam nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu bisu.Bisu itu sifat kekurangan.Mustahil Allah bersifat dengan kekurangan wajiblah kita percaya Dia bersifat dengan kesempurnaan iaitu berkata – kata.
Jika dipertikaikan adalah Al Quran itu kalam Allah tetapi ada baginya huruf , perkataan dan ayat.Ini bertentangan dengan kata kamu bahawa kalam Allah itu tidak mempunyai huruf dan ayat?Bagi menjawabnya maka kita katakan bahawa kalam Allah itu terbahagi dua:-
i)Kalam Allah yang nafsi - Inilah kalam Allah yang tidak berhuruf dan bersuara dan merupakan kalam yang hakiki.Keadaannya sentiasa bagi Allah dan tidak pernah berpindah dari zat Allah kerana ia merupakan sifat Allah yang kadim lagi azali dan bukannya makhluk.
ii)Kalam Allah yang lafzi – Iaitu kalam Allah yang tersurat di dalam mushaf , berhuruf dan bersuara dan yang dituturkan oleh malaikat Jibril kepada nabi Muhammad saw.
Kalam Allah yang nafsi itulah kalamNya yang hakiki yang tidak berhuruf dan tidak bersuara.Selama – lamanya bagi Allah dan tidak berpindah kepada yang lain.Adalah Al Quran itu disebut kalam Allah kerana ianya menunjukkan kepada makna kalam Allah yang hakiki yang ada pada zat Allah yang mana Al Quran itu berasal daripada kalam Allah yang nafsi yang hakiki itu , dan malaikat Jibril memahaminya daripada Allah hal keadaannya tidak berhuruf dan bersuara.Kemudian malaikat Jibril menuturkan kalam Allah yang telah difahaminya itu kepada malaikat hafazah maka menjadilah ia kalam lafzi lalu dituliskan di luh mahfuz dan diberi huruf satu – persatu sehingga selesai tiga puluh juzuk sekali gus.Kemudian diturunkan sekali lagi ke Baitul Izzah di langit dunia juga keadaannya sekali gus.Kemudian baharulah diturunkan kepada nabi kita Muhammad saw sedikit demi sedikit di dalam tempoh dua puluh dua tahun , dua bulan , dua puluh dua hari.Adalah suara Al Quran yang dituturkan oleh malaikat Jibril , yang ditulis di luh mahfuz , juga yang ditulis di Baitul Izzah dan yang ditulis di mashaf – mashaf di atas dunia ini , kertasnya , huruf – hurufnya , dakwatnya dan bunyi suara qari yang membacanya itu adalah kalam lafzi dan ianya makhluk dengan tiada syak namun demikian haram kita menyatakan Al Quran yang lafzi yakni yang ada di dalam mashaf (suratan) itu makhluk tujuannya ialah untuk beradab kepada kalam Allah yang hakiki kerana ditakuti mendatangkan sangkaan kepada khalayak ramai seolah – olah kalam Allah yang nafsi yang qaim pada zat Allah itu makhluk kerana kalam Allah yang nafsi itu adalah asal dan makna kepada Al Quran yang lafzi yang ada di atas dunia ini melainkan di dalam majlis belajar dan mengajar untuk menerangkan perkara yang sebenarnya.Ini samalah seperti seseorang yang menunjukkan kalimah “Allah” kepada khalayak ramai lalu berkata ini bukan Tuhan kita.Walaupun dia bermaksud benar kerana yang dimaksudkan ialah tulisannya itu bukan Tuhan namun perbuatannya tetap haram dan biadab.Maka dengan sebab itu haram kita mengatakan Al Quran yang ada di dalam mashaf itu makhluk walaupun yang kita maksudkan adalah tulisannya kerana dapat mendatangkan sangkaan seolah - olah Al Quran kalam yang nafsi itu makhluk kerana ianya adalah asal dan makna bagi Al Quran yang lafzi , bahkan wajiblah kita mengatakan secara umum bahawa Al Quran itu kalam Allah dan bukan makhluk.Melainkan di dalam majlis mengajar dan belajar baharulah boleh diterangkan perincian yang sebenarnya.
Putar putar...sama juga mcm muktazilah.
ReplyDeleteMana ada sama tuan.Muktazilah tidak percaya bahawa Allah mempunyai kalam.Sedangkan ahli sunnah percaya Allah mempunyai kalam hanya kalam Allah itu tidak berhuruf dan tidak bersuara.Jibril memhami kalam Allah itu hal keadaannya tidak berhuruf dan bersuara kemudian Jibril membacakan kalam Allah tersebut dgn bimbingan Allah.
ReplyDeleteHabis tu Kalam ALLAH dengan Musa?
Deletehijab nabi musa diambil seketika dan kemudian dikembalikan semula hijabnya.
DeleteSalam kepada penulis. Terima kasih atas penerangan yang telah diberikan. Mudah difahami.
ReplyDelete