Friday, May 14, 2010

PEMBAHAGIAN SIFAT-SIFAT ALLAH

Sifat – sifat Allah yang wajib bagi Allah yang dua puluh yang telah dihuraikan di dalam bab yang kelima yang lalu terbahagi kepada empat bahagian seperti berikut :-
1)Sifat nafsiah.
Ertinya sifat yang terbangsa kepada diri zat.Sifat yang termasuk di dalam sifat nafsiah hanya satu iaitu wujud.Dikatakan wujud itu sifat nafsiah yakni sifat yang terbangsa kepada diri zat kerana tidak dikatakan wujud itu melainkan kepada zat.Sifat nafsiah itu wujud pada zihin (dalam fikiran) tetapi tiada wujud pada kharij (di luar fikiran).Dikatakan ianya wujud pada zihin kerana sifat itu ada bagi zat Allah.Dikatakan pula tiada wujud pada kharij kerana sifat itu tidak berta’aluk terhadap sesuatu pun , sebab ia bukannya dari jenis sifat yang berta’aluk.
2)Sifat salbiah.
Ertinya sifat yang menolak dan menafikan sifat – sifat kekurangan yang tidak layak bagi zat Allah.Sifat – sifatnya ada lima :-
i)Kidam ertinya sedia – Menafikan ada permulaan bagi wujud Allah.
ii)Baqa’ ertinya kekal – Menafikan ada kesudahan bagi wujud Allah.
iii)Mukhalafatuhu Taala lil hawadis ertinya tidak serupa Allah Taala dengan segala yang baharu – Menafikan serupa zat Allah dengan yang baharu.
iv)Qiamuhu Taala binafsihi ertinya berdiri Allah dengan sendirinya – Menafikan Allah itu berhajat kepada yang lain.
v)Wahdaniah ertinya esa Allah Taala – Menafikan berbilang – bilang Allah Taala itu.
Sifat salbiah merupakan sifat yang tiada wujud pada zihin dan tiada wujud pada kharij.Dikatakan tiada wujud pada zihin kerana ia bukannya sifat yang ada bagi zat Allah tetapi ia hanya ibarat daripada ternafinya kekurangan bagi Allah.Maka dengan sebab itu sifat salbiah adalah termasuk daripada amrun i’tibari (perkara yang diibaratkan).Misalnya sifat kidam itu adalah ibarat daripada tiada permulaan bagi wujud Allah.Sifat baqa’ adalah ibarat daripada tiada kesudahan bagi wujud Allah dan begitulah seterusnya dengan lain – lain sifat salbiah.Dikatakan pula sifat salbiah itu tiada wujud pada kharij kerana sifat salbiah itu tidak berta’aluk kepada sesuatu pun kerana seperti nafsiah , ia juga bukan dari jenis sifat yang berta’aluk.
3)Sifat ma’ani.
Ertinya sifat yang wujud pada zihin (dalam fikiran) dan wujud pada kharij (di luar fikiran) yang mewajibkan sifat ma’nawiah.Dikatakan sifat ma’ani itu wujud pada zihin kerana sifat tersebut ada pada zat Allah.Dikatakan sifat ma’ani itu wujud pada kharij kerana sifat ma’ani tersebut berta’aluk pada yang lain.Dikatakan sifat maani itu mewajibkan sifat ma’nawiah kerana dengan sebab ada ma’ani maka adalah sifat ma’nawiah.Sifat ma’ani itu ada tujuh iaitu :-
i)Kudrat ertinya kuasa – Berta’aluk kepada sekelian mumkin dan mewajibkan sifat kaunuhu kadiran iaitu keadaan Allah yang berkuasa.
ii)Iradat ertinya berkehendak – Berta’aluk kepada sekelian mumkin dan mewajibkan sifat kaunuhu muridan iaitu keadaan Allah yang berkehendak.
iii)Ilmu ertinya mengetahui – Berta’aluk kepada sekelian yang wajib , mustahil dan harus dan mewajibkan kaunuhu aliman iaitu keadaan Allah yang mengetahui.
iv)Hayat ertinya hidup – Tidak berta’aluk kepada sesuatu.Tetapi merupakan salah satu daripada sifat – sifat ma’ani kerana ia menjadi syarat kepada sifat – sifat ma’ani yang lain.Mewajibkan kaunuhu hayyan iaitu keadaan Allah yang hidup.
v)Sama’ ertinya mendengar – Berta’aluk kepada sekelian yang maujudat (yang wujud) dan mewajibkan kaunuhu sami’an iaitu keadaan Allah yang mendengar.
vi)Basar ertinya melihat – Berta’aluk kepada sekelian yang maujudat dan mewajibkan kaunuhu basiran iaitu keadaan Allah yang melihat.
vii)Kalam ertinya berkata – kata – Berta’aluk kepada yang wajib , mustahil dan harus dan mewajibkan kaunuhu mutakalliman iaitu keadaan Allah yang berkata – kata.
4)Sifat ma’nawiah
Ertinya sifat yang ada bagi zat Allah dan adanya itu dikeranakan oleh sifat – sifat ma’ani.Sifat ma’nawiah wujud pada zihin yakni ada bagi zat Allah tetapi tiada wujud pada kharij kerana sifat ini tidak berta’aluk kepada sesuatu.Sifat ma’nawiah ada tujuh iaitu :-
i)Kaunuhu kadiran ertinya keadaan Allah yang berkuasa dikeranakan adanya sifat kudrat iaitu kuasa.
ii)Kaunuhu muridan ertinya keadaan Allah yang berkehendak dikeranakan adanya sifat iradat iaitu berkehendak.
iii)Kaunuhu aliman ertinya keadaan Allah yang mengetahui dikeranakan adanya sifat ilmu ertinya mengetahui.
iv)Kaunuhu hayyan ertinya keadaan Allah yang hidup dikeranakan adanya sifat hayat iaitu hidup.
v)Kaunuhu sami’an ertinya keadaan Allah yang mendengar dikeranakan adanya sifat sama’ iaitu mendengar.
vi)Kaunuhu basiran ertinya keadaan Allah yang melihat dikeranakan adanya sifat basar iaitu melihat.
vii)Kaunuhu mutakalliman ertinya keadaan Allah yang berkata – kata dikeranakan adanya sifat kalam iaitu berkata – kata.

Ungkapan adanya sifat ma’nawiah dikeranakan adanya sifat ma’ani itu hanya pada lafaz jua bukan pada hakikat memandangkan bahawa dari sudut lughawi (bahasa) apabila dikatakan seseorang itu berniaga misalnya , maka disebutlah dia itu peniaga.Maka dia disebut peniaga adalah dikeranakan oleh kerja berniaga yang dilakukannya.Maka demikianlah keadaan Allah yang berkuasa misalnya adalah dikeranakan adanya sifat kuasa itu bagi zat Allah.Adapun dari segi hakikatnya sifat maknawiah dan ma’ani itu sama – sama kadim lagi azali dan tidak berdahulu kemudian antara satu sama lain dan yang satu tidak menjadi sebab bagi adanya yang lain.

Pertikaian tentang sifat ma’ani.
Mazhab muktazilah iaitu suatu firqah (kumpulan) yang sesat di dalam Islam yang lebih mengutamakan akal daripada wahyu telah menafikan adanya sifat ma’ani bagi Allah.Mereka berkata tiada bagi Allah itu sifat kudrat (kuasa) bahkan Allah itu kadirun bizatihi yakni berkuasa dengan zatnya tanpa sifat kudrat.Tiada bagi Allah itu sifat iradat tetapi Allah itu muridun bizatihi yakni berkehendak dengan zatNya tanpa sifat iradat dan begitulah seterusnya dengan sifat – sifat ma’ani yang lain.Pendekata mereka menafikan adanya sifat – sifat ma’ani bagi zat Allah.Dan lagi menurut dakwaan mereka bahawa dengan mengakui adanya sifat ma’ani adalah bertentangan dengan keesaan Allah kerana dengan itu bererti wujud dua yang kadim (yang bersifat kidam) iaitu kadimnya zat Allah dan kadim pula sifat – sifatnya.Kita menolak dakwaan yang pertama itu dengan mengatakan bahawa sesuatu zat itu tidak dikatakan kadir (zat yang berkuasa) melainkan jika ada padanya sifat kudrat (kuasa).Tidak dikatakan ia itu murid (zat yang berkehendak) melainkan jika ada padanya sifat iradat (kehendak).Tidak dikatakan ia itu alim (zat yang berilmu) melainkan jika ada padanya sifat ilmu.Dan begitulah seterusnya.Oleh itu sesiapa yang mengatakan bahawa Allah itu kadir (zat yang berkuasa) tetapi tidak ada padanya sifat kuasa , murid (zat yang berkehendak) tetapi tidak ada padanya sifat kehendak , alim (zat yang mengetahui) tetapi tidak ada padanya sifat mengetahui dan seterusnya sudah sangat terang salahnya dan tidak ada yang akan mengatakan demikian melainkan orang itu adalah orang yang tersangat bodoh atau gila.Tentang dakwaan mereka kononnya jika Allah bersifat dengan sifat – sifat ma’ani maka akan bertentangan dengan keesaan Allah kerana akan ada dua yang kadim iaitu kadim zat Allah dan kadim sifatnya maka kita tolak dakwaan itu dengan kita katakan bahawa wujud sifat ma’ani itu hanya khabariah jua yakni wujud dari segi bahasa dan bukan pada hakikat kerana pada hakikatnya perhimpunan semua sifat itulah zat dan zat itu tidak lain adalah perhimpunan semua sifat yakni merujuk kepada perkara yang sama.Perbezaan antara zat dan sifat hanyalah perbezaan dari segi takrif sahaja yakni dari segi bahasa bukan dari segi hakikat wujud.Kalau kita berbalik kepada takrif zat dan sifat sebelum ini , maka zat bererti sesuatu yang dikenali menerusi sifat.Sifat pula ialah keadaan sesuatu zat.Misalnya kapur itu zat.Sementara putih , bulat , panjang dan digunakan untuk menulis itu adalah sifat – sifatnya.Jika kita hendak mengungkapkan kapur itu dengan iktibar zatnya maka kita katakanlah ianya kapur.Jika kita hendak mengungkapkan kapur dengan iktibar sifat – sifatnya maka kita katakanlah bahawa ianya adalah sesuatu yang putih , bulat , panjang dan digunakan untuk menulis.Kedua ibarat tadi tidak lain merujuk kepada benda yang sama.Oleh kerana sifat ma’ani hanya wujud dari segi bahasa sahaja , maka wujudnya itu bukan wujud istiqlal (wujud yang asing sendiri) , maka dengan sebab itu tidaklah dengan kewujudannya itu menafikan keesaan zat Allah.Dengan lain perkataan sifat ma’ani itu hanya dikatakan wujud pada makam ‘bercerita’ semata - mata.Tetapi tidak wujud secara hakiki sebaliknya yang wujud pada makam secara hakiki hanya zat.Dimisalkan (sebagai misal yang menghampirkan kepada kefahaman) bahawa orang Malaysia yang belum pernah ke Mekah dan belum pernah melihat hajarul aswad maka tatkala dia mendengar cerita orang bahawa hajarul aswad itu bersifat hitam.Ketika itu tergambarlah dalam fikirannya bahawa hajarul aswad itu ada padanya sifat hitam.Ini hanyalah pada makam cerita dan khabar iaitu seolah-olah ada dua perkara batu(zat) dan hitam(sifat).Tetapi apabila dia sendiri telah pergi ke Mekah dan melihat sendiri hajarul aswad itu secara berpandangan maka ketika itu hilanglah gambarannya selama ini bahawa hajarul aswad itu ada padanya sifat hitam sebaliknya ia menyaksikan bahawa yang hitam itulah hajarul aswad.Adapun kaum muktazilah menentang pendapat ahli sunnah yang mengakui wujudnya sifat ma’ani sebab mereka menyangkakan bahawa kita golongan ahli sunnah mengiktikadkan sifat ma’ani itu mempunyai wujud istiqlal (wujud yang asing sendiri) , dan zat juga mempunyai wujud istiqlal , lalu sifat itu bersebati dengan zat Allah seperti bersebatinya gula yang larut di dalam air.Sangkaan yang demikian adalah semata – mata jahil dan salah kerana bukan begitu yang kita iktikadkan.Walaupun kaum muktazilah mengingkari sifat ma’ani bagi Allah seperti berkuasa , berkehendak , hidup , mendengar dan melihat tetapi fahaman itu tidak menjadikan mereka kafir menurut ittifaq ulama kerana mereka tidak menafikan asalnya dan masih tetap percaya kepada sifat ma’nawiah iaitu Allah berkuasa dengan zatNya , berkehendak dengan zatNya , hidup dengan zatNya , mendengar dengan zatNya dan melihat dengan zatNya.Namun demikia.

Masalah sifat ma’nawiah.
Telah berlaku khilaf (perselisihan) antara dua mazhab ahli sunnah di dalam ilmu kalam tentang sifat – sifat ma’nawiah.Mazhab Maturidiah berpegang bahawa sifat ma’nawiah itu pada hakikatnya bukanlah sifat yang lain dari sifat ma’ani kerana menurut mereka hakikat sifat ma’nawiah itu adalah ibarat daripada adanya sifat ma’ani bagi zat Allah.Oleh sebab itu mereka menafikan bahawa ada sifat lain bagi Allah yang dinamakan ma’nawiah selain daripada sifat ma’ani.Oleh itu menurut mazhab ini , bahagian sifat – sifat Allah yang wajib diketahui itu hanya tiga sahaja iaitu nafsiah , salbiah dan ma’ani.Walaubagaimanapun mereka bukanlah menafikan adanya sifat ma’nawiah sekali – kali kerana sesiapa yang menafikan samasekali sifat ma’nawiah jadi kafir dengan ittifaq ulama.Wal iyazubillahi min zalik.Mereka hanya mengatakan sifat ma’nawiah itu bukanlah suatu sifat yang lain dari sifat ma’ani kerana hakikat ma’nawiah itu adalah ibarat daripada adanya ma’ani bagi zat Allah.Jadi apabila ada ma’ani maka adalah ma’nawiah bersama dengan ma’ani itu.Adapun menurut Asya’irah sifat maknawiah itu adalah sifat yang memperihalkan adanya sifat ma’ani bagi zat Allah oleh itu ianya berlainan dari sifat ma’ani.Misalnya sifat kudrat lain dari sifat kaunuhu kadiran kerana kudrat ertinya kuasa sedangkan kaunuhu kadiran ialah sifat yang memperihalkan adanya kuasa itu bagi zat Allah.Berdasarkan hujah daripada kedua – dua pihak ternyata kedua – duanya berada di atas landasan yang benar kerana mereka tidak berselisih tentang hakikat adanya sifat ma’nawiah hanyasanya perselisihan tersebut hanyalah dari segi metod perbahasan sahaja iaitu bagaimana kedua – dua mazhab dalam memahami hakikat ma’nawiah sahaja.Wallahu a’lam.Namun mazhab ini tetap dihukumkan fasik lagi bid’ah.

No comments:

Post a Comment