Saturday, September 18, 2010

BERIMAN KEPADA NABI DAN RASUL

Erti nabi dan rasul
Dari segi bahasa nabi bererti pembawa berita.Adapun dari segi istilah , nabi bererti lelaki yang dipilih oleh Allah untuk diberikan wahyu kepada dirinya sahaja dan tidak diperintah bagi disampaikan kepada orang lain.Rasul pula dari segi bahasa bererti utusan.Adapun dari segi istilah iaitu lelaki yang dipilih oleh Allah untuk diberikan wahyu bagi dirinya dan wajib atasnya menyampaikan kepada orang lain.Adalah tiap – tiap rasul itu nabi tetapi tidak semestinya tiap – tiap nabi itu rasul.

Ciri – ciri nabi dan rasul
1)Lelaki
2)Paling sempurna akalnya
3)Paling sempurna akhlaknya
4)Paling sempurna kejadiannya
5)Baik budi pekerti

Hukum beriman dengan nabi dan rasul
Hukum beriman dengan nabi dan rasul itu wajib dan menjadi kafir sesiapa yang mengingkarinya kerana ia termasuk di dalam rukun iman yang enam.Firman Allah Taala
ءامن الرسول بما أنزل إليه من ربه والمؤمنون كل ءامن بالله وملائكته وكتبه ورسله
Ertinya : Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang Dengan Yang lain Rasul-rasulnya".
Ayat di atas datang dalam bentuk khabar yang membawa maksud wajib beriman dengan rasul kerana Allah tidak mensifatkan orang yang beriman itu melainkan orang yang beriman dengan rasul – rasul.
Di dalam hadis Jibril rasulullah saw menerangkan salah satu daripada rukun iman itu ialah
أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله
Ertinya :Bahawa kamu beriman dengan Allah , para malaikatNya , kitab – kitabNya dan rasul – rasulNya….

Hikmah diutuskan rasul
Mengutuskan rasul – rasul itu tidak wajib bagi Allah namun Allah dengan kasih sayangnya kepada makhluk mengutuskan rasul – rasul untuk mengingatkan umat manusia terhadap perintah – perintah Allah dan memimpin mereka ke arah keselamatan di dunia dan di akhirat.Di samping itu juga supaya manusia tidak dapat berdalih lagi di akhirat kelak bahawa mereka tidak diutuskan rasul.Firman Allah swt
رسلا مبشرين ومنذرين لئلا يكون للناس حجة على الله بعد الرسل
Ertinya : Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang Yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang Yang kafir dan Yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu

Bilangan nabi dan rasul
Tidak ada ketentuan yang pasti tentang bilangan nabi dan rasul.Tetapi kaul yang paling hampir menyebutkan bahawa bilangan nabi itu berjumlah seratus dua puluh empat ribu orang dan tiga ratus tiga belas orang daripadanya dipilih menjadi rasul.Adapun yang wajib diketahui nama – namanya secara tafsil hanyalah dua puluh lima orang kerana dua puluh lima orang tersebut telah disebutkan oleh Allah di dalam Al Quran yang mana tidak ada khilaf di kalangan ulama tentang kenabian dan kerasulan mereka.

Nama rasul yang dua puluh lima.
Berikut adalah nama – nama rasul yang dua puluh lima alaihimussolatu wassalam:-
(1)Adam (2)Idris (3) Nuh (4)Hud (5)Saleh (7)Ibrahim (8)Luth (9)Ishak (10)Ismail (11)Ya’akub (12)Yusuf (13)Syuaib (14)Musa (15)Harun (16)Ilyas (17)Ilyasa (19)Zulkifli (20)Daud (21)Sulaiman (22)Yunus (23)Yahya (24)Isa (25)Muhammad saw .
Daripada dua puluh lima yang tersebut lima orang daripadanya merupakan nabi yang berpangkat ulul azmi.Mereka ialah :-
1)Nuh as
2)Ibrahim as
3)Musa as
4)Isa as
5)Muhammad saw
Ulul azmi ertinya nabi – nabi yang mempuyai keazaman dan ketabahan yang kuat di dalam menanggung tugas menegakkan agama Allah dan semasa menjalankan tugas tersebut mereka banyak disakiti oleh kaum masing – masing. Wajib atas tiap – tiap mukallaf menghafaz nama – nama rasul yang dua puluh lima yang tersebut dengan sekira – kira jika ditunjukkan nama – nama mereka kepadanya nescaya dia dapat mempastikan bahawa nama tersebut rasul atau tidak.

Nabi Muhammad saw
Wajib atas tiap – tiap mukallaf mengkhususkan pengetahuannya tentang nabi Muhammad saw sebagai nabi yang terakhir dan nabi umat ini yang mana kita adalah umatnya seperti mana berikut :-
1)Nama baginda :Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin Ghalib bin Fihir bin Malik bin Annadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan.Telah ijmak sekelian ahli – ahli tarikh dan riwayat bahawa Adnan yang tersebut bersambung nasabnya kepada nabi Ismail anak kepada nabi Ibrahim alaihimassalam dengan tidak ada syak.
2)Tarikh diputerakan :Pada hari Isnin 12 hari bulan Rabi’ul Awal tahun gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi.
3)Keadaan ketika dilahirkan :
i)Di dalam keadaan yatim kerana bapanya telah wafat ketika baginda berusia dua bulan di dalam kandungan bondanya.
ii)Baginda dilahirkan di dalam keadaan kepalanya memandang ke langit dan di dalam keadaan suci bersih dan sudah berkhatan.
4)Para pengasuh :
i)Selepas dilahirkan baginda disusukan oleh Thuwaibah Al Aslamiah selama tiga hari.
ii)Kemudian disusukan dan diasuh oleh Halimah Assa’diah sehingga berusia enam tahun.
iii)Selepas itu dikembalikan ke pangkuan bondanya Aminah selama dua tahun sebelum bondanya wafat.
iv)Kemudian baginda dipelihara pula oleh nindanya Abdul Mutallib sehingga berusia sepuluh tahun.
v)Kemudian dipelihara pula oleh bapa saudaranya Abu Talib sehingga dewasa.
5)Pekerjaan baginda :Semasa kecil baginda bekerja mengambil upah menggembala kambing.Ketika dewasa baginda menjalankan perniagaan Siti Khadijah.Adapun selepas dilantik menjadi rasul semua pekerjaan tersebut ditinggalkan kerana baginda menumpukan usaha kepada kerja – kerja dakwah.
6)Keluarga baginda :Baginda telah berkahwin dengan isteri yang pertama Siti Khadijah ketika berusia dua puluh lima tahun dan mendapat enam cahaya mata dua putera dan tiga puteri.Putera dan puteri baginda dengan Siti Khadijah adalah seperti berikut :-
i)Tahir
ii)Taib
iii)Zainab
iv)Ruqayyah
v)Ummu Kalthum
vi)Fatimah
Selepas kewafatan Khadijah baginda berkahwin lagi dengan beberapa orang wanita seperti berikut iaitu Aisyah , Hafsah , Sa’udah ,
7)Tempoh menjadi nabi :Baginda dilantik menjadi rasul ketika berusia empat puluh tahun dan sejak itu telah berdakwah menyampaikan seruan Islam selama dua puluh tiga tahun iaitu tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah.
8)Kewafatan :Baginda wafat di dalam usia kira – kira enam puluh tiga tahun dan dimakamkan di dalam rumah Siti Aisyah di dalam masjid nabawi di Madinah Al Munawwarah.Salam dan salawat atas baginda dari Allah dengan salam dan salawat yang berkekalan selama – selamanya.
9)Fizikal nabi Muhammad :Baginda tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah.Rambut baginda lebat dan ikal.Dahinya luas.Kening baginda dikatakan hampir bertemu hujungnya.Wajah baginda putih kemerahan dan tampak berseri-seri.Baginda adalah seorang yang cantik dilihat dari jauh dan manis dilihat secara dekat.Dada baginda bidang dan ditumbuhi bulu-bulu halus.Gigi baginda putih dan rapi.Janggutnya lebat dan kemas.Baginda selalu memendekkan misai dan memanjangkan janggut.
10)Akhlak baginda :Baginda adalah seorang yang terkenal jujur,bercakap benar dan menyempurnakan janji.Apabila berbicara baginda akan berbicara perlahan-lahan supaya orang dapat mengerti apa yang dibicarakan.Bicaranya ringkas tetapi padat dan bernas.Baginda tidak meninggikan suara samada di pasar mahupun di jalan-jalan.Apabila baginda tertawa baginda tidak pernah mengeluarkan suara.Sekiranya baginda sangat gembira baginda hanya tersenyum sehingga menampakkan gerahamnya.Apabila baginda berjalan ,jalannya tenang tetapi berwibawa.Baginda sentiasa dahulu mengucapkan salam apabila bertemu.Apabila baginda menegur sesuatu kesilapan baginda akan menegur secara umum sahaja.Baginda adalah seorang yang sangat sabar,berani dan mengasihi orang lain.Apabila baginda berbicara di dalam kumpulan sahabat-sahabatnya setiap dari sahabatnya masing-masing merasakan dialah yang paling dekat dengan baginda.Baginda sesekali bergurau dengan sahabat dan keluarga tetapi gurauan baginda adalah sederhana dan tidak pernah ada dusta di dalamnya.Baginda orang yang paling baik terhadap keluarga.Apabila ke pasar baginda menggendong sendiri barangan yagn dibeli.Baginda selalu membantu isterinya di rumah.Menampal pakaian sendiri dan menjahit kasut yang rosak.Baginda tidak pernah mengkritik makanan yang dihidangkan.Jikalau baginda suka dimakannya dan jika baginda tidak suka ditinggalkannya.Baginda akan memenuhi undangan walau dari siapa pun walaupun makanan yang dihidangkan Cuma kaki kambing.Baginda tidak pernah marah di dalam sesuatu perkara keduniaan.Baginda hanya marah apabila hak-hak Tuhan dan agama dicabuli dan apabila baginda marah tidak seorang pun yang kuasa menatap wajah baginda bahkan tidak seorang pun kuasa untuk berdiri.Sungguhpun begitu baginda adalah seorang yang sangat pemalu lebih pemalu dari gadis yang dipingit.Apabila baginda bercakap di dalam majlis dengan seseorang baginda tidak pernah bangun lebih dahulu sehingga orang yang diajak berbicara itu terlebih dahulu bangun untuk meninggalkan majlis.Apabila berjabat tangan baginda tidak akan melepaskan tangannya sehinggalah orang yang dijabat tangannya itu terlebih dahulu melepaskan tangannya.Apabila baginda berjalan baginda seolah-olah turun dari tempat yang tinggi kerana kepalanya ditundukkan ke bumi.Dan jika baginda ditegur oleh seseorang ketika sedang berjalan baginda akan berhadapan ke arah orang yang ditegur itu dengan keseluruhan badan baginda sebagai tanda hormat ke atas orang tersebut.Baginda tidak suka dihormati dan dibesarkan bahkan baginda melarang sahabatnya memuliakannya melebihi dari nabi-nabi yang lain.Sesungguhnya akhlak baginda yang mulia sangat panjang untuk dibicarakan dan tidak memadai melainkan dengan memakan masa dan kertas yang berhalaman-halaman.

No comments:

Post a Comment