Tuesday, August 31, 2010

TAAKLUK SIFAT KALAM

1)Cara ta’aluknya
Cara ta’aluk kalam (berkata – kata) itu ialah dalalah ertinya menunjukkan , menzahirkan dan memberi kefahaman akan segala yang di dalam ilmu Allah.
2)Tempat ta’aluknya
Tempat ta’aluknya adalah pada sekelian yang wajib , yang mustahil dan yang harus.Yang wajib itu ialah tentang zat diriNya sendiri iaitu zat Allah dan sekelian sifat – sifatNya.Misal ta’aluknya pada yang wajib itu ialah seperti firmannya
إنني انا الله لا اله إلا أنا
Ertinya : "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku;
Misal ta’aluknya pada yang mustahil ialah firman Allah menghikayatkan kata-kata orang nasrani
لقد كفر الذين قالوا إن الله ثالث ثلاثة
Ertinya : Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang (Nasrani) bahawa Allah itu salah satu dari tiga (tuhan).
Misal ta’aluknya pada yang harus itu ialah seperti firmannya
والله خلقكم وما تعملون
Ertinya : "Padahal Allah Yang mencipta kamu dan benda-benda Yang kamu buat itu!"


3)Bahagian ta’aluknya menurut mazhab Maturidiah hanya satu iaitu tanjizi kadim yakni telah terlaksana sejak azali.Adapun menurut mazhab Asya’irah ada tiga iaitu :-
i)Tanjizi kadim iaitu telah terlaksana sejak azali tatkala Allah mengkhitab (berkata) kepada dirinya sendiri.
ii)Soluhi kadim iaitu patut dan layak sejak azali Allah mengkhitab akan segala makhluknya sebelum dijadikan sekelian makhluk itu.
iii)Tanjizi hadis iaitu terlaksana khitab Allah kepada makhluknya ketika mereka dijadikan.

TAALUK SIFAT BASAR

1)Cara ta’aluknya
Cara ta’aluk sifat basar (melihat) ialah secara inkisyaf (terang dan nyata tiap – tiap sesuatu pada penglihatan Allah).Penglihatan Allah juga tidak dapat dihalang oleh sebarang penghalang dan tidak dapat dihalang oleh dekat atau jauh dan tidak dapat disibukkan oleh banyaknya makhluk tetapi satu persatunya dilihat oleh Allah dengan terang dan nyata.Tidak harus dikatakan Allah melihat sesuatu yang dekat itu lebih jelas daripada yang jauh.Bahkan sama sahaja bagi Allah terang dan nyata sesuatu itu samada jauh atau dekat dan samada besar atau kecil.
2)Tempat ta’aluknya
Iaitu pada sekelian yang maujudat samada yang wajib adanya iaitu zat Allah sendiri atau yang harus iaitu zat sekelian makhluk.
3)Bahagian ta’aluknya
Terbahagi kepada tiga :-
i)Tanjizi kadim (terlaksana sejak azali).
Iaitu Allah melihat akan zatNya sendiri sejak azali lagi.
ii)Soluhi kadim
Iaitu patut dan layak sejak azali bahawa Allah itu melihat akan hamba – hambanya yang belum dijadikan.
iii)Tanjizi hadis (terlaksana sewaktu dijadikan)
Iaitu Allah melihat akan hamba – hambanya sebaik – baik sahaja mereka dijadikan.

Peringatan
Tiga sifat Allah iaitu ilmu , sama’ dan basar dikatakan berta’aluk dengan cara ta’aluk inkisyaf yang bererti terang dan nyata akan segala sesuatu.Sungguhpun demikian adalah inkisyaf ketiga – tiganya itu berlain – lainan antara satu sama lain.Inkisyaf ilmu itu berlainan dari inkisyaf sama’ dan inkisyaf sama’ pula berlainan dari inkisyaf basar.Jikalau sama , nescaya ini akan membawa berlakunya tahsilul hasil yakni menghasilkan perkara yang telah terhasil.Yang demikian mustahil bagi sifat – sifat Allah.Bagaimana hakikat perbezaan ketiga – tiga inkisyaf tersebut hanya diketahui oleh Allah jua.

TAALUK SIFAT SAMA'

1)Cara ta’aluknya
Cara ta’aluk sifat sama’ itu ialah secara inkisyaf ertinya terang dan nyata pendengaran Allah yang mana pendengaran Allah itu tidak dapat dihalang oleh dekat atau jauh dan tidak dapat dihalang oleh umpama sekatan dan sebagainya.Dan lagi sama’ (pendengaran) Allah itu pula tidak dapat disibukkan oleh banyaknya percakapan bahkan Allah dapat mendengar dengan jelas semua percakapan hamba – hambanya walau di mana pun mereka berada dan walaupun mereka bercakap pada masa yang sama di tempat yang berlain – lainan.Tidak harus dikatakan bahawa Allah mendengar sesuatu yang dekat lebih jelas daripada sesuatu yang jauh.Bahkan wajib kita iktikadkan sama sahaja bagi Allah terang dan nyata pendengarannya samada jauh atau dekat dan samada kuat atau perlahan dan samada bersuara atau tidak bersuara.
2)Tempat ta’aluknya.
Tempat ta’aluknya adalah pada sekelian yang maujudat (yang ada) samada yang maujudat itu yang wajib adanya iaitu zat Allah Taala atau yang harus adanya iaitu sekelian makhluk.Begitu juga samada yang bersuara mahupun yang tidak bersuara.Yang bersuara itu contohnya sekelian bunyi dan sekelian percakapan makhluk.Yang tidak bersuara pula contohnya percakapan (kalam) Allah sendiri atau percakapan seseorang di dalam hati.Semuanya dita’aluk oleh pendengaran Allah Taala secara inkisyaf (terang dan nyata) pada pendengaran Allah Taala.
3)Bahagian ta’aluk sama’
Terbahagi tiga iaitu :-
i)Tanjizi kadim (terlaksana sejak azali)
Iaitu Allah Taala mendengar kalamnya sendiri sejak dari azali lagi.
ii)Soluhi kadim (patut dan layak sejak azali)
Iaitu patut dan layak bagi Allah itu sejak azali lagi mendengar akan hamba – hamba yang akan dijadikan yang pada ketika itu belum dijadikan lagi.Pada ketika itu Allah belum lagi mendengar akan hamba – hambanya kerana mereka belum dijadikan tetapi hanya patut dan layak sahaja.
iii)Tanjizi hadis (terlaksana sewaktu dijadikan)
Iaitu Allah mendengar akan hamba – hambanya sebaik – baik sahaja dijadikan.

Thursday, August 19, 2010

MAZHAB-MAZHAB DALAM KEPERCAYAAN KEPADA TAKDIR

Mazhab – mazhab dalam kepercayaan terhadap takdir
Terdapat empat mazhab dalam kepercayaan terhadap takdir
1)Mazhab qadariah – Percaya bahawa Allah tidak mentakdirkan sesuatu pun terhadap nasib manusia.Semua yang berlaku ke atas manusia tidak ada campur tangan kuasa Allah dan Allah hanya mengetahui setelah segala perkara tersebut terjadi.Mazhab ini sesat kerana dengan kepercayaan itu mereka mengiktikadkan Allah itu jahil terhadap perkara yang belum berlaku di samping mengiktikadkan sedikitnya ta’aluk kudrat Allah seolah – olah Allah tidak berkuasa di atas perbuatan hamba – hambanya.Majoriti ulama menghukumkan mazhab ini kufur.Wal iyazubillah.
2)Mazhab Muktazilah - Percaya bahawa Allah telah mengetahui segala yang akan berlaku tetapi tidak campurtangan terhadap apa sahaja perbuatan manusia.Hanya manusialah yang melakukan perbuatannya sendiri dengan kudrat yang telah dijadikan Allah pada diri mereka.Oleh itu wajib bagi Allah membalas orang yang beriman itu dengan balasan kebaikan dan membalas orang yang kafir itu dengan balasan kejahatan.Mazhab ini juga sesat kerana percaya Allah Taala tidak campurtangan terhadap sebarang perbuatan manusia yang mana ini juga merupakan satu kekurangan di dalam ta’aluk kudrat dan iradat Allah.Seolah – olah terjadinya sesetengah perkara di alam ini bukan dengan kehendak dan kudrat Allah.Dan lagi mazhab ini percaya bahawa wajib bagi Allah memberi balasan baik ke atas hamba – hambanya yang beriman dan ini bererti menafikan kebebasan Allah di dalam memberi rahmat dan menyiksa hamba – hambanya yang mana ianya adalah hak mutlak Allah dan tidak boleh dinafikan atau dirampas oleh sesiapa pun.Majoriti ulama menghukumkan mazhab ini fasik (berdosa besar) lagi bid’ah (menyeleweng dari sunnah nabi).Tetapi ada juga ulama yang berpendapat mazhab ini kufur.Wallahu a’lam.
iii)Mazhab Jabariah – Mempercayai bahawa Allah telah mengetahui semua perkara yang akan berlaku dan Allahlah yang menjadikan segala sesuatu.Tidak ada bagi manusia itu usaha ikhtiar samasekali.Mazhab ini hukumnya fasik lagi bid’ah kerana meninggalkan adab terhadap takdir apabila meninggalkan usaha ikhtiar tetapi tidak ada ulama yang menghukumkannya kufur.Walaubagaimanapun kadang – kadang boleh juga menjadi kufur apabila dengan keyakinan itu membawa seseorang kepada menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah atau dia memaki Allah apabila berlakunya takdir buruk yang menimpa dirinya.
iv)Mazhab ahli sunnah wal jamaah – Mempercayai bahawa Allah telah mengetahui semua yang akan berlaku dan Allahlah yang menjadikan segala sesuatu pada hakikatnya.Adalah manusia itu mempunyai usaha dan ikhtiar pada zahir yang mana mereka diberi pahala atau mendapat siksa berdasarkan usaha ikhtiar yang zahir itu namun usaha dan ikhtiar manusia itu tidak memberi bekas.Hanya yang memberi bekas itu kudrat dan iradat Allah jua.Inilah mazhab yang benar yang diajarkan oleh nabi kepada para sahabat baginda.Semoga kita semua berada di atas landasan ini.Amin ya Rabbal alamin.

Antara redha Allah dan kehendak Allah
Menurut pendapat yang sahih iaitu pegangan ahli sunnah , redha Allah itu berlainan dari kehendak Allah.Semua yang berlaku di alam ini adalah dengan kehendak Allah samada baik atau buruk.Hanya sanya yang baik itu diredhainya dan yang buruk itu tidak diredhainya.Kadang – kadang Allah berkehendak sesuatu yang tidak diredhainya.Contoh , iblis itu dijadikan dengan kehendak Allah tetapi tidak diredhainya.Demikian juga berlainan antara perintah dan larangan Allah dengan kehendak Allah seperti berikut :-
i)Kadang – kadang Allah memerintahkan sesuatu yang dikehendakki berlakunya.Contohnya , Allah memerintahkan supaya Sayidina Abu Bakar misalnya , supaya beriman dengan nabi dan keimanan Abu Bakar itu telah pun berlaku.Yang demikian adalah dengan kehendak Allah.
ii)Kadang – kadang Allah memerintahkan sesuatu yang tidak dikehendakki untuk berlaku.Contohnya , Allah memerintahkan supaya Firaun (sekedar satu contoh) beriman tetapi keimanan Firaun itu tidak dikehendakki Allah untuk berlaku.Maka tidaklah Firaun itu beriman.
iii)Kadang – kadang Allah melarang sesuatu yang dikehendakkinya untuk berlaku.Contohnya Allah melarang perbuatan maksiat ke atas semua manusia tetapi sesetengah manusia melanggar larangan itu kerana perlanggaran itu telah dikehendakki Allah.
iv)Kadang – kadang Allah melarang sesuatu yang tidak dikehendakkinya untuk berlaku.Contohnya manusia – manusia yang bertakwa tidak melanggar larangan Allah kerana tidak dikehendakki oleh Allah.

ADAB TERHADAP TAKDIR

Adab terhadap takdir
Seseorang itu dituntut agar beradab terhadap takdir sepertimana berikut :-
1)Bagi perkara yang belum terjadi hendaklah seseorang itu melakukan dua perkara :-
i)Beriman secara ijmal (umum) bahawa tiap – tiap perkara yang akan berlaku adalah dengan takdir Allah tetapi jangan ditafsilkan (diperincikan atau ditentukan) seperti dikatakan “agaknya aku ini memang telah ditakdirkan untuk menjadi ahli neraka” atau “agaknya aku ini memang telah ditakdirkan hidup miskin” atau dikatanya “kalau aku telah ditakdirkan sebagai ahli neraka tidak guna aku beramal” atau sebagainya kerana tiga sebab.Yang pertama seseorang itu tidak mengetahui apa yang ditakdirkan Allah pada masa hadapan kerana perkara ini merupakan perkara ghaib.Sekiranya dia mengagak – agak dan membuat andaian bermakna dia telah tidak beradab terhadap perkara ghaib dan yang demikian itu adalah dilarang.Yang kedua perbuatan tersebut akan membawa kepada berputus asa dari rahmat Allah sedangkan berputus asa dari rahmat Allah itu suatu kekufuran dan alamat suul khatimah wal iyazubillah.Yang ketiga seseorang itu tidak dibebankan untuk beriman dengan perkara yang belum diketahuinya kerana taklif (bebanan) supaya beriman hanyalah atas perkara yang telah diketahui sahaja dan perintah supaya beriman secara tafsili terhadap perkara yang tidak diketahui itu tidak sah.Hanya yang dibebankan atasnya ialah beriman terhadap takdir yang belum berlaku itu secara ijmal jua.Oleh itu haram atas seseorang mentafsilkan takdir Allah yang belum berlaku di alam nyata kerana melanggar adab dalam kepercayaan terhadap takdir sebaliknya hendaklah dia menahan diri daripada berbuat demikian.Sabda rasulullah saw
ﺇﺫﺍ ﺫﻛﺭ ﺍﻟﻗﺩﺭﻓﺄﻣﺳﻛﻭﺍ
Ertinya :Apabila disebutkan tentang takdir maka hendaklah tahankan diri kamu (dari mentafsilkan dan dari berdalam – dalam memikirkan perkara tersebut).
ii)Hendaklah ia bertawakkal kepada Allah dan bagi tawakkal itu ada tiga peringkat.
Peringkat pertama hendaklah ia bertawakkal kepada Allah seperti seorang yang tertuduh di mahkamah bertawakkal kepada peguam yang membelanya yang mana si tertuduh akan mengikuti apa sahaja yang diarahkan oleh peguam yang hendak melepaskan dirinya daripada tuduhan itu tanpa sebarang bantahan.Demikianlah Allah itu adalah ‘pembelanya’ maka hendaklah dia mengikuti segala syarat – syarat dan arahan yang telah ditetapkan oleh Allah menurut sunnatullah yang berlaku di alam ini bagi mencapai kejayaan di dunia atau akhirat daripada usaha ikhtiar dan sebagainya.Misalnya , syarat untuk masuk syurga yang telah ditetapkan oleh Allah ialah hendaklah seseorang itu melakukan amal saleh dan meninggalkan semua jenis maksiat.Maka hendaklah seseorang itu melaksanakan syarat – syarat tersebut jika dia benar – benar bertawakkal kepada Allah yang menjadi pembelanya.
Peringkat kedua hendaklah ia bertawakkal kepada Allah seperti anak kecil yang bertawakkal kepada ibunya yang tidak pandai mengurus dirinya sendiri sebaliknya hanya meminta segala – galanya daripada ibunya.Ini adalah tawakkal pada peringkat doa yang mana seseorang itu hendaklah mengiringi usaha ikhtiarnya dengan berdoa kepada Allah dalam keadaan menafikan dirinya mempunyai kemampuan bahkan hanya mengharapkan kurniaan Allah semata – mata seperti mana anak kecil tadi yang meminta kepada ibunya.
Peringkat ketiga hendaklah dia bertawakkal kepada Allah seperti mayat yang bertawakkal kepada orang yang memandikannya.Ini adalah tawakkal pada peringkat menerima keputusan qadha dan kadar Allah samada berjaya atau tidak yang mana keputusan itu hendaklah diterima dengan hati yang redha dan bersangka baik dengan Allah.Allah berfirman di dalam hadis qudsi
ﺃﻧﺎ ﻋﻧﺩ ﻅﻥ ﻋﺑﺩﻱ ﺑﻲﻭﺃﻧﺎ ﻣﻌﻪ ﺣﻳﻥ ﺫﻛﺭﻧﻲ
Ertinya :Aku adalah menurut sangkaan hamba – hambaKu terhadap diriKu dan aku bersamanya ketika dia mengingati Aku.
Yakni jika baik sangkaan kita kepada Allah maka baiklah yang akan diperbuat Allah atas diri kita.Jika buruk sangkaan kita kepada Allah maka buruklah yang akan kita dapat.
Bagi orang yang muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tawakkal mereka adalah semata – mata tawakkal peringkat yang ketiga.Inilah isyarat daripada hadis di dalam mensifatkan keimanan Sayidina Abu Bakar Assiddiq seperti sabda rasulullah saw
ﻣﻥ ﻳﺳﺭﻩ ﺃﻥ ﻳﻧﻅﺭ ﺇﻟﻰﺍﻟﻣﻳﺕ ﻳﻣﺷﻲ ﻋﻟﻰ ﻭﺟﻪ ﺍﻷﺭﺽ ﻓﻟﻳﻧﻅﺭ ﺇﻟﻰ ﺃﺑﻲ ﺑﻛﺭ
Ertinya :Barangsiapa yang suka melihat kepada mayat yang berjalan di atas muka bumi ini maka lihatlah kepada Abu Bakar.
2)Adab dalam mempercayai takdir yang telah berlaku tidak dapat tidak empat perkara :-
i)Jika ditakdirkan dapat melakukan ketaatan hendaklah dia bersyukur
ii)Jika ditakdirkan melakukan maksiat hendaklah dia bertaubat.Mudah – mudahan jika ia mati ketika itu maka matinya di dalam keadaan taubat.
iii)Jika ditakdirkan mendapat nikmat hendaklah dia bersyukur.
iv)Jika ditakdirkan mendapat musibah hendaklah dia bersabar.

TA'ALUK SIFAT ILMU

Ta’aluk sifat ilmu.
1)Cara ta’aluknya ialah ta’aluk inkisyaf iaitu terang dan nyata hakikat sesuatu pada ilmu Allah Taala.
2)Tempat ta’aluknya.
i)Pada yang wajib iaitu zat dan sifat diriNya iaitu diri Allah Taala itu sendiri.Ertinya Allah mengetahui diriNya itulah Tuhan yang wajibul wujud.
ii)Pada yang mustahil iaitu Allah mengetahui sekelian yang mustahil itu adalah mustahil dan tidak wujud sekali – kali.Contohnya Allah tahu bahawa tuhan selain dariNya itu mustahil wujudnya.
iii)Pada yang harus iaitu Allah mengetahui sekelian yang harus iaitu makhluknya.
3)Bahagian ta’aluk ilmu hanya satu iaitu tanjizi kadim iaitu telah terdahulu ilmu Allah itu sejak azali dan tidak akan bertukar apa yang telah diketahuinya kerana jika bertukar maka bererti jahil maka yang demikian adalah mustahil dikatakan bagi Allah.

Takdir.
Takdir ertinya ketetapan Allah terhadap perkara – perkara yang berlaku ke atas sekelian makhluk.Takdir itu terbahagi kepada tiga sepertimana berikut :-
1)Takdir pada ilmu.Ertinya Allah telah pun mengetahui akan segala makhluk yang akan dijadikannya daripada awal jadinya hinggalah akhirnya termasuklah siapa – siapa yang akan dimasukkannya ke syurga dan siapa – siapa yang akan dimasukkannya ke neraka.Takdir pada ilmu adalah muktamad dan tidak akan bertukar dan berubah samasekali.
2)Takdir pada luh mahfuz.Ini adalah takdir yang dicatitkan di luh mahfuz dan terbahagi kepada dua.
i)Mubram yakni ditetapkan tanpa syarat.Terbahagi lagi kepada dua iaitu umum dan khusus.Yang umum itu contohnya Allah telah menetapkan bahawa semua makhluk akan mati , semua makhluk akan mendapat rezeki dan sebagainya.Seperti firman Allah
ﻛﻝ ﻨﻔﺲ ﺬﺍﺌﻘﺔ ﺍﻟﻤﻭﺖ
Ertinya : Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati

Firmannya lagi
ﻭﻤﺎ ﻤﻦ ﺪﺍﺑﺔ ﻋﻟﻰ ﻮﺠﻪ ﺍﻷﺮﺽ ﺇﻻ ﻋﻟﻰ ﺍﷲ ﺭﺯﻘﻬﺎ
Ertinya : Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya
Adapun yang khusus itu contohnya menetapkan umur seseorang itu kepada berapa tahun yang tertentu atau menetapkan rezeki seseorang itu kepada sedikit atau banyak dengan kadar yang tertentu.Ini digantungkan dengan usaha dan ikhtiar.
ii)Mu’allaq yakni ditetapkan dengan bersyarat seperti masuk syurga atau masuk neraka itu maka ditetapkan dengan syarat amal.Seperti firman Allah

Ertinya : (Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa Yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.
Yakni takdir masuk syurga itu adalah dengan syarat amal saleh.Begitu juga takdir masuk neraka digantungkan dengan syarat amal kejahatan.
3)Takdir pada rahim ibu.Yakni takdir yang dicatatkan ke atas tiap – tiap janin semasa di dalam rahim ibunya samada janin itu akan terus hidup atau mati , lelaki atau perempuan dan samada akan jadi orang yang berbahagia atau orang yang celaka.

Adakah takdir dapat berubah
Adalah takdir pada ilmu Allah yang meliputi semua perkara samada perkara duniawi atau ukhrawi itu tidak akan berubah – ubah sekali – kali kerana ilmu Allah adalah pasti dan wajib berlaku seperti mana yang telah diketahui olehNya.Ini ialah kerana takdir pada ilmu itu merupakan takdir yang muktamad dan jika dapat berubah bererti ilmu Allah itu tidak pasti dan sesuatu ilmu yang tidak pasti itu bererti jahil dan jahil bagi Allah itu hukumnya mustahil.Ini bermakna jika seseorang itu telah diketahui oleh Allah akan masuk ke syurga misalnya pastilah dia akan masuk ke syurga dan masuknya ke syurga itu adalah dengan syarat beramal saleh sesuai dengan takdir yang dicatit pada luh mahfuz.Begitu juga jika telah diketahui oleh Allah seseorang itu akan masuk ke neraka maka pastilah dia akan masuk ke neraka dan masuknya ke neraka itu juga sesuai dengan syarat seperti yang dicatit pada luh mahfuz. Inilah takdir yang sangat ditakuti oleh kebanyakan ulama kerana tidak diketahui kesudahan hidup mereka yang muktamad pada ilmu Allah samada syurga atau neraka.Namun takdir yang di dalam ilmu Allah ini tidak seorang pun yang mengetahuinya melainkan Allah.Kita mohon kepada Allah agar dimasukkannya kita ke dalam syurga dan dijauhkan daripada azabnya yang berkekalan.Amin ya Rabbal alamin.Adapun takdir pada luh mahfuz pada bahagian umum itu juga tidak akan berubah.Adapun pada bahagian yang khusus itu dapat berubah sesuai dengan doa yang kita panjatkan dan ikhtiar yang kita lakukan.Inilah isyarat dari hadis nabi
ﻻ ﻳﺭﺩ ﺍﻟﻗﺿﺎﺀ ﺇﻻ ﺑﺎﻟﺩﻋﺎﺀ
Ertinya :Tidak tertolak qadak (takdir) itu melainkan dengan doa.
Firman Allah
ﺇﻦ ﺍﷲ ﻻ ﻴﻐﻴﺭ ﻤﺎ ﺑﻘﻭﻡ ﺤﺘﻰ ﻴﻐﻴﺭﻭﺍ ﻤﺎ ﺑﺄﻨﻔﺴﻬﻢ
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.
Walaubagaimanapun perubahan tersebut hakikatnya telah diketahui di dalam ilmu Allah Taala yang muktamad.
Di dalam sebuah hadis para sahabat telah bertanya kepada Rasulullah saw
ﻓﻓﻳﻡﻋﻣﻝ
Ertinya :Untuk apa kita beramal?
Yakni kalaulah takdir syurga atau neraka itu telah ditetapkan oleh Allah yakni pada ilmunya yang azali lantas tidak akan berubah lagi maka apalah gunanya kita beramal?Maka rasulullah saw menjawab
ﻛﻝ ﻣﻳﺳﺭ ﻟﻣﺎ ﺧﻟﻕ ﻟﻪ
Ertinya :Tiap – tiap seseorang itu dimudahkan bagi apa dia dijadikan.
Yakni jika seseorang itu telah ditakdirkan menjadi ahli syurga maka dia akan dimudahkan melakukan amalan baik.Dan jika seseorang itu telah ditakdirkan menjadi ahli neraka maka dia akan dimudahkan melakukan amal jahat.Adapun perintah supaya melakukan amal baik dan menjauhkan dari melakukan amal jahat itu pada hakikatnya hanyalah sebagai menzahirkan ujian dan cubaan jua yakni supaya orang yang masuk syurga itu masuknya dengan bersebab begitu juga orang yang telah ditakdirkan masuk ke neraka itu maka masuknya pun dengan bersebab.Dengan itu hendaklah kita sentiasa memikirkan dan insaf dengan kebesaran Allah itu yang mempunyai kuasa mutlak di dalam menentukan untung nasib kita di dunia dan di akhirat dan hendaklah kita sentiasa merendah diri terhadap Allah kerana kita tidak mempunyai daya dan upaya untuk menyelamatkan diri kita melainkan semata – mata dengan kurnia Allah Taala jua.Dan kita tidak mengetahui apa yang ditakdirkannya bagi kita di dalam ilmuNya yan azali.Jika Dia memberi rahmat kepada kita maka itu adalah semata – mata kurnianya jua dan jika Dia menyiksa kita maka itu adalah semata - mata dengan keadilanNya kerana kita ini hanyalah ciptaan dan hambanya maka adalah adil jika Allah memperbuat ke atas ciptaanNya menurut kehendaknya samada hendak menyiksa atau memberi rahmat.

Friday, August 13, 2010

TA'LUK SIFAT IRADAT

1)Cara ta’aluknya.
Jenis ta’aluk iradat itu ‘takhsis’ ertinya menentukan segala mumkin dan hal yang berkaitan dengannya.
2)Tempat ta’aluknya.
Tempat ta’aluknya adalah atas sekelian mumkin dan semua yang berkaitan dengannya sebagaimana berikut :-
i)Ditentukan mumkin itu ada sebagai ganti daripada tiada.
ii)Ditentukan mumkin itu bersifat dengan sifat – sifat tertentu sebagai ganti daripada lain – lain sifat.
iii)Ditentukan mumkin itu berada pada satu – satu tempat sebagai ganti daripada lain – lain tempat.
iv)Ditentukan mumkin itu berada pada pihak tertentu sebagai ganti daripada lain – lain pihak.
v)Ditentukan mumkin itu pada sesuatu masa yang tertentu sebagai ganti daripada lain – lain masa.
vi)Ditentukan mumkin itu dengan satu kadar yg tertentu sebagai ganti daripada lain-lain kadar.
Sekelian yang tersebut dinamakan al mumkinat al mutaqabalah ertinya mumkinat yang berlawanan yang enam perkara.Mustahil hukumnya dua perkara yang berlawanan hadir secara serentak di dalam masa yang sama.Misalnya seseorang itu jika dia ada maka ternafilah lawannya iaitu tiada.Begitu juga sebaliknya jika dia tiada maka ternafilah baginya ada.Mustahil hukumnya seseorang itu ada dan tiada secara bersamaan.Begitulah kiaskan dengan yang lain-lain hingga akhir enam perkara yang di atas.Adalah maklum bahawa kudrat dan iradat tidak bertakluk kepada yang mustahil.
3)Bahagian ta’aluknya hanya satu iaitu tanjizi kadim yakni telah terdahulu kehendak Allah itu pada menjadikan mumkinat dengan segala yang berkaitan dengannya iaitu salah satu daripada al mumkinat al mutaqabalah yang enam perkara dahulu sejak dari azali lagi.