Tuesday, August 31, 2010

TAALUK SIFAT SAMA'

1)Cara ta’aluknya
Cara ta’aluk sifat sama’ itu ialah secara inkisyaf ertinya terang dan nyata pendengaran Allah yang mana pendengaran Allah itu tidak dapat dihalang oleh dekat atau jauh dan tidak dapat dihalang oleh umpama sekatan dan sebagainya.Dan lagi sama’ (pendengaran) Allah itu pula tidak dapat disibukkan oleh banyaknya percakapan bahkan Allah dapat mendengar dengan jelas semua percakapan hamba – hambanya walau di mana pun mereka berada dan walaupun mereka bercakap pada masa yang sama di tempat yang berlain – lainan.Tidak harus dikatakan bahawa Allah mendengar sesuatu yang dekat lebih jelas daripada sesuatu yang jauh.Bahkan wajib kita iktikadkan sama sahaja bagi Allah terang dan nyata pendengarannya samada jauh atau dekat dan samada kuat atau perlahan dan samada bersuara atau tidak bersuara.
2)Tempat ta’aluknya.
Tempat ta’aluknya adalah pada sekelian yang maujudat (yang ada) samada yang maujudat itu yang wajib adanya iaitu zat Allah Taala atau yang harus adanya iaitu sekelian makhluk.Begitu juga samada yang bersuara mahupun yang tidak bersuara.Yang bersuara itu contohnya sekelian bunyi dan sekelian percakapan makhluk.Yang tidak bersuara pula contohnya percakapan (kalam) Allah sendiri atau percakapan seseorang di dalam hati.Semuanya dita’aluk oleh pendengaran Allah Taala secara inkisyaf (terang dan nyata) pada pendengaran Allah Taala.
3)Bahagian ta’aluk sama’
Terbahagi tiga iaitu :-
i)Tanjizi kadim (terlaksana sejak azali)
Iaitu Allah Taala mendengar kalamnya sendiri sejak dari azali lagi.
ii)Soluhi kadim (patut dan layak sejak azali)
Iaitu patut dan layak bagi Allah itu sejak azali lagi mendengar akan hamba – hamba yang akan dijadikan yang pada ketika itu belum dijadikan lagi.Pada ketika itu Allah belum lagi mendengar akan hamba – hambanya kerana mereka belum dijadikan tetapi hanya patut dan layak sahaja.
iii)Tanjizi hadis (terlaksana sewaktu dijadikan)
Iaitu Allah mendengar akan hamba – hambanya sebaik – baik sahaja dijadikan.

No comments:

Post a Comment