Thursday, August 19, 2010

MAZHAB-MAZHAB DALAM KEPERCAYAAN KEPADA TAKDIR

Mazhab – mazhab dalam kepercayaan terhadap takdir
Terdapat empat mazhab dalam kepercayaan terhadap takdir
1)Mazhab qadariah – Percaya bahawa Allah tidak mentakdirkan sesuatu pun terhadap nasib manusia.Semua yang berlaku ke atas manusia tidak ada campur tangan kuasa Allah dan Allah hanya mengetahui setelah segala perkara tersebut terjadi.Mazhab ini sesat kerana dengan kepercayaan itu mereka mengiktikadkan Allah itu jahil terhadap perkara yang belum berlaku di samping mengiktikadkan sedikitnya ta’aluk kudrat Allah seolah – olah Allah tidak berkuasa di atas perbuatan hamba – hambanya.Majoriti ulama menghukumkan mazhab ini kufur.Wal iyazubillah.
2)Mazhab Muktazilah - Percaya bahawa Allah telah mengetahui segala yang akan berlaku tetapi tidak campurtangan terhadap apa sahaja perbuatan manusia.Hanya manusialah yang melakukan perbuatannya sendiri dengan kudrat yang telah dijadikan Allah pada diri mereka.Oleh itu wajib bagi Allah membalas orang yang beriman itu dengan balasan kebaikan dan membalas orang yang kafir itu dengan balasan kejahatan.Mazhab ini juga sesat kerana percaya Allah Taala tidak campurtangan terhadap sebarang perbuatan manusia yang mana ini juga merupakan satu kekurangan di dalam ta’aluk kudrat dan iradat Allah.Seolah – olah terjadinya sesetengah perkara di alam ini bukan dengan kehendak dan kudrat Allah.Dan lagi mazhab ini percaya bahawa wajib bagi Allah memberi balasan baik ke atas hamba – hambanya yang beriman dan ini bererti menafikan kebebasan Allah di dalam memberi rahmat dan menyiksa hamba – hambanya yang mana ianya adalah hak mutlak Allah dan tidak boleh dinafikan atau dirampas oleh sesiapa pun.Majoriti ulama menghukumkan mazhab ini fasik (berdosa besar) lagi bid’ah (menyeleweng dari sunnah nabi).Tetapi ada juga ulama yang berpendapat mazhab ini kufur.Wallahu a’lam.
iii)Mazhab Jabariah – Mempercayai bahawa Allah telah mengetahui semua perkara yang akan berlaku dan Allahlah yang menjadikan segala sesuatu.Tidak ada bagi manusia itu usaha ikhtiar samasekali.Mazhab ini hukumnya fasik lagi bid’ah kerana meninggalkan adab terhadap takdir apabila meninggalkan usaha ikhtiar tetapi tidak ada ulama yang menghukumkannya kufur.Walaubagaimanapun kadang – kadang boleh juga menjadi kufur apabila dengan keyakinan itu membawa seseorang kepada menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah atau dia memaki Allah apabila berlakunya takdir buruk yang menimpa dirinya.
iv)Mazhab ahli sunnah wal jamaah – Mempercayai bahawa Allah telah mengetahui semua yang akan berlaku dan Allahlah yang menjadikan segala sesuatu pada hakikatnya.Adalah manusia itu mempunyai usaha dan ikhtiar pada zahir yang mana mereka diberi pahala atau mendapat siksa berdasarkan usaha ikhtiar yang zahir itu namun usaha dan ikhtiar manusia itu tidak memberi bekas.Hanya yang memberi bekas itu kudrat dan iradat Allah jua.Inilah mazhab yang benar yang diajarkan oleh nabi kepada para sahabat baginda.Semoga kita semua berada di atas landasan ini.Amin ya Rabbal alamin.

Antara redha Allah dan kehendak Allah
Menurut pendapat yang sahih iaitu pegangan ahli sunnah , redha Allah itu berlainan dari kehendak Allah.Semua yang berlaku di alam ini adalah dengan kehendak Allah samada baik atau buruk.Hanya sanya yang baik itu diredhainya dan yang buruk itu tidak diredhainya.Kadang – kadang Allah berkehendak sesuatu yang tidak diredhainya.Contoh , iblis itu dijadikan dengan kehendak Allah tetapi tidak diredhainya.Demikian juga berlainan antara perintah dan larangan Allah dengan kehendak Allah seperti berikut :-
i)Kadang – kadang Allah memerintahkan sesuatu yang dikehendakki berlakunya.Contohnya , Allah memerintahkan supaya Sayidina Abu Bakar misalnya , supaya beriman dengan nabi dan keimanan Abu Bakar itu telah pun berlaku.Yang demikian adalah dengan kehendak Allah.
ii)Kadang – kadang Allah memerintahkan sesuatu yang tidak dikehendakki untuk berlaku.Contohnya , Allah memerintahkan supaya Firaun (sekedar satu contoh) beriman tetapi keimanan Firaun itu tidak dikehendakki Allah untuk berlaku.Maka tidaklah Firaun itu beriman.
iii)Kadang – kadang Allah melarang sesuatu yang dikehendakkinya untuk berlaku.Contohnya Allah melarang perbuatan maksiat ke atas semua manusia tetapi sesetengah manusia melanggar larangan itu kerana perlanggaran itu telah dikehendakki Allah.
iv)Kadang – kadang Allah melarang sesuatu yang tidak dikehendakkinya untuk berlaku.Contohnya manusia – manusia yang bertakwa tidak melanggar larangan Allah kerana tidak dikehendakki oleh Allah.

No comments:

Post a Comment