Adab terhadap takdir
Seseorang itu dituntut agar beradab terhadap takdir sepertimana berikut :-
1)Bagi perkara yang belum terjadi hendaklah seseorang itu melakukan dua perkara :-
i)Beriman secara ijmal (umum) bahawa tiap – tiap perkara yang akan berlaku adalah dengan takdir Allah tetapi jangan ditafsilkan (diperincikan atau ditentukan) seperti dikatakan “agaknya aku ini memang telah ditakdirkan untuk menjadi ahli neraka” atau “agaknya aku ini memang telah ditakdirkan hidup miskin” atau dikatanya “kalau aku telah ditakdirkan sebagai ahli neraka tidak guna aku beramal” atau sebagainya kerana tiga sebab.Yang pertama seseorang itu tidak mengetahui apa yang ditakdirkan Allah pada masa hadapan kerana perkara ini merupakan perkara ghaib.Sekiranya dia mengagak – agak dan membuat andaian bermakna dia telah tidak beradab terhadap perkara ghaib dan yang demikian itu adalah dilarang.Yang kedua perbuatan tersebut akan membawa kepada berputus asa dari rahmat Allah sedangkan berputus asa dari rahmat Allah itu suatu kekufuran dan alamat suul khatimah wal iyazubillah.Yang ketiga seseorang itu tidak dibebankan untuk beriman dengan perkara yang belum diketahuinya kerana taklif (bebanan) supaya beriman hanyalah atas perkara yang telah diketahui sahaja dan perintah supaya beriman secara tafsili terhadap perkara yang tidak diketahui itu tidak sah.Hanya yang dibebankan atasnya ialah beriman terhadap takdir yang belum berlaku itu secara ijmal jua.Oleh itu haram atas seseorang mentafsilkan takdir Allah yang belum berlaku di alam nyata kerana melanggar adab dalam kepercayaan terhadap takdir sebaliknya hendaklah dia menahan diri daripada berbuat demikian.Sabda rasulullah saw
ﺇﺫﺍ ﺫﻛﺭ ﺍﻟﻗﺩﺭﻓﺄﻣﺳﻛﻭﺍ
Ertinya :Apabila disebutkan tentang takdir maka hendaklah tahankan diri kamu (dari mentafsilkan dan dari berdalam – dalam memikirkan perkara tersebut).
ii)Hendaklah ia bertawakkal kepada Allah dan bagi tawakkal itu ada tiga peringkat.
Peringkat pertama hendaklah ia bertawakkal kepada Allah seperti seorang yang tertuduh di mahkamah bertawakkal kepada peguam yang membelanya yang mana si tertuduh akan mengikuti apa sahaja yang diarahkan oleh peguam yang hendak melepaskan dirinya daripada tuduhan itu tanpa sebarang bantahan.Demikianlah Allah itu adalah ‘pembelanya’ maka hendaklah dia mengikuti segala syarat – syarat dan arahan yang telah ditetapkan oleh Allah menurut sunnatullah yang berlaku di alam ini bagi mencapai kejayaan di dunia atau akhirat daripada usaha ikhtiar dan sebagainya.Misalnya , syarat untuk masuk syurga yang telah ditetapkan oleh Allah ialah hendaklah seseorang itu melakukan amal saleh dan meninggalkan semua jenis maksiat.Maka hendaklah seseorang itu melaksanakan syarat – syarat tersebut jika dia benar – benar bertawakkal kepada Allah yang menjadi pembelanya.
Peringkat kedua hendaklah ia bertawakkal kepada Allah seperti anak kecil yang bertawakkal kepada ibunya yang tidak pandai mengurus dirinya sendiri sebaliknya hanya meminta segala – galanya daripada ibunya.Ini adalah tawakkal pada peringkat doa yang mana seseorang itu hendaklah mengiringi usaha ikhtiarnya dengan berdoa kepada Allah dalam keadaan menafikan dirinya mempunyai kemampuan bahkan hanya mengharapkan kurniaan Allah semata – mata seperti mana anak kecil tadi yang meminta kepada ibunya.
Peringkat ketiga hendaklah dia bertawakkal kepada Allah seperti mayat yang bertawakkal kepada orang yang memandikannya.Ini adalah tawakkal pada peringkat menerima keputusan qadha dan kadar Allah samada berjaya atau tidak yang mana keputusan itu hendaklah diterima dengan hati yang redha dan bersangka baik dengan Allah.Allah berfirman di dalam hadis qudsi
ﺃﻧﺎ ﻋﻧﺩ ﻅﻥ ﻋﺑﺩﻱ ﺑﻲﻭﺃﻧﺎ ﻣﻌﻪ ﺣﻳﻥ ﺫﻛﺭﻧﻲ
Ertinya :Aku adalah menurut sangkaan hamba – hambaKu terhadap diriKu dan aku bersamanya ketika dia mengingati Aku.
Yakni jika baik sangkaan kita kepada Allah maka baiklah yang akan diperbuat Allah atas diri kita.Jika buruk sangkaan kita kepada Allah maka buruklah yang akan kita dapat.
Bagi orang yang muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tawakkal mereka adalah semata – mata tawakkal peringkat yang ketiga.Inilah isyarat daripada hadis di dalam mensifatkan keimanan Sayidina Abu Bakar Assiddiq seperti sabda rasulullah saw
ﻣﻥ ﻳﺳﺭﻩ ﺃﻥ ﻳﻧﻅﺭ ﺇﻟﻰﺍﻟﻣﻳﺕ ﻳﻣﺷﻲ ﻋﻟﻰ ﻭﺟﻪ ﺍﻷﺭﺽ ﻓﻟﻳﻧﻅﺭ ﺇﻟﻰ ﺃﺑﻲ ﺑﻛﺭ
Ertinya :Barangsiapa yang suka melihat kepada mayat yang berjalan di atas muka bumi ini maka lihatlah kepada Abu Bakar.
2)Adab dalam mempercayai takdir yang telah berlaku tidak dapat tidak empat perkara :-
i)Jika ditakdirkan dapat melakukan ketaatan hendaklah dia bersyukur
ii)Jika ditakdirkan melakukan maksiat hendaklah dia bertaubat.Mudah – mudahan jika ia mati ketika itu maka matinya di dalam keadaan taubat.
iii)Jika ditakdirkan mendapat nikmat hendaklah dia bersyukur.
iv)Jika ditakdirkan mendapat musibah hendaklah dia bersabar.
No comments:
Post a Comment