Friday, February 19, 2010

Wujud Allah Taala

Sifat wujud merupakan sifat yang pertama di dalam senarai sifat-sifat Allah yang dua puluh yang wajib diketahui secara tafsil(terperinci).Adalah kesemua sifat-sifat Allah itu sama-sama qadiim lagi azali yakni sama-sama tidak ada permulaan dan tidak berdahulu kemudian antara satu sama lain.Hanyasanya ditertibkan wujud itu sebagai sifat yang pertama hanyalah sebagai tertib pada ilmu yakni tertib sewaktu mempelajari sifat-sifat Allah sahaja dan juga tertib secara 'aqli kerana seolah-olah tidak sah menghukumkan sifat-sifat lain pada 'aqal sebelum sabit sifat wujud.Adalah wujud itu dari segi bahasa bererti ada atau kedapatan.Adapun hakikat wujud itu pada istilah ilmu kalam menurut pendapat Imam Abu Hasan Al Asy'ari ialah hal yang sabit bagi zat yang mana hal tersebut tidak dikeranakan oleh sesuatu kerana.Menurut pendapat Imam Fakhruddin Arrazi pula wujud itu ialah sifat yang terbangsa kepada diri zat kerana tidak dikatakan wujud itu melainkan bagi zat.Di sini terdapat khilaf antara Imam Abu Hasan dengan Imam Fakhruddin berhubung dengan sifat wujud yang mana Imam Abu Hasan Al Asy'ari berpendapat bahawa wujud itu adalah suatu hal atau keadaan sedangkan bagi Imam Fakhruddin wujud itu bukan suatu hal atau keadaan tetapi wujud itulah ain zat kerana tidak dikatakan wujud itu melainkan bagi zat.Khilaf tentang takrif sifat wujud yang tersebut membawa kesan kepada kedudukan sifat wujud itu di dalam sifat dua puluh samada adakah sifat wujud itu sebagai suatu sifat yang asing sendiri di kalangan sifat- sifat Allah atau bukan suatu sifat yang tersendiri sebaliknya hanya merupakan makna kepada zat.Bagi golongan yang berfahaman wujud itu adalah suatu hal atau keadaan bererti wujud itu bagi mereka merupakan suatu sifat yang tersendiri di kalangan sifat-sifat Allah.Adapun bagi golongan yang berfahaman wujud itu bukan suatu hal bererti bagi mereka wujud itu bukan suatu sifat yang tersendiri di kalangan sifat-sifat Allah tetapi wujud itu tidak lain adalah makna kepada zat itu sendiri.Perlu juga diingatkan sesungguhnya para ulama tidak sekali-kali khilaf tentang wujud Allah kerana wujud Allah itu merupakan perkara yang ijmak di kalangan para ulama dan ahli kalam dari semua mazhab bahkan ijmak oleh semua agama.Khilaf yang berlaku hanyalah disekitar tentang hakikat sifat wujud jua.Dan lagi membahaskan hakikat sifat wujud adakah ianya hal atau bukan hal bukanlah suatu perkara yang diwajibkan dan kita tidak dituntut untuk mengetahui perkara tersebut dengan berdalam-dalam.Hanya yang dituntut ialah memadailah kita percaya bahawa Allah itu wujud.Kemudian wujud itu pula dibahagi kepada dua iaitu:

1)Wujud hakiki atau wujud mutlak iaitu wujud Allah Taala itu sendiri.Keadaan wujudNya sangat wajib dan pasti.Keadaan wujudNya tidak dimulai dari tiada dan tidak berakhir dengan tiada malahan tidak menerima perubahan dan tidak bergantung kepada sesiapa pun bagi memulakan dan mengekalkan wujudnya.

2)Wujud idhafi atau wujud majazi iaitu wujud sekelian makhluk yang selain daripada Allah Taala.Keadaan wujudnya itu daif yang mana wujudnya bermula dari tiada dan mempunyai kesudahan serta keadaannya menerima perubahan dari semasa ke semasa serta sentiasa berhajat dan bergantung kepada Allah Taala bagi memulakan dan mengekalkan wujudnya.

Lawan kepada sifat wujud ialah 'adam yang bererti tiada.Mustahil hukumnya Allah itu tiada wajib kita mengiktikadkan Allah itu wujud yakni ada.Adalah berlawanan wujud dengan 'adam itu adalah berlawanan khusus dengan umum kerana lawan wujud itu ialah tiada wujud yang melengkapi 3 perkara:

1)'adam yakni tiada semata-mata.

2)Hal yakni keadaan yang menempati antara ada dan tiada.Contohnya seperti bayang-bayang.

3)Amrun i'tibari yakni perkara yang hanya merupakan ibarat.Keadaannya lebih rendah dari hal tetapi lebih tinggi dari 'adam kerana 'adam itu nafi sedangkan ia tidak turun kepada darjat nafi.Contohnya ruang dan waktu.

Hendaklah kita yakin bahawa wujud Allah itu adalah wujud yang sungguh-sungguh,bukan 'adam bukan hal dan bukan amrun i'tibari.

Adapun dalil nakli kewujudan Allah itu ialah firman Allah yang berbunyi :
أَفِي اللَّـهِ شَكٌّ فَاطِرِ‌ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ
Ertinya:Aadakah pada wujud Allah itu syak?(Ibrahim 14:10).

Di sini Allah mengisytiharkan kewujudanNya dengan berfirman dalam bentuk istifham taqriri iaitu dengan mengemukakan pertanyaan yang membawa maksud penegasan yang mana takdir dari firmannya itu membawa maksud sesungguhnya tiada syak sekali-kali pada wujud Allah itu.Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ وَسَخَّرَ‌ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ‌ لَيَقُولُنَّ اللَّـهُ
Ertinya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Al Ankabut 29:61)
Ayat ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa dalil wujud Allah itu bukan sahaja terbatas kepada dalil nakli (yang diambil daripada wahyu)sahaja malahan juga dapat diketahui melalui dalil aqli yakni dalil akal sehingga orang-orang kafir yang tidak beriman dengan Al Quran pun mengetahui dan dapat merasai dengan sepenuh keyakinan akan kewujudan Allah itu.Adalah dalil aqli bahawa Allah itu wujud ialah baharu alam ini.Tiap-tiap yang bahru itu asalnya tiada dan tiap-tiap yang tiada itu tidak boleh ada dengan sendiri melainkan ada yang menjadikannya.Oleh itu alam ini tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang mengadakannya dan yang mengadakannya itulah Allah yang wajibul wujud.Terkadang ahli-ahli falsafah yang berfahaman ateis cuba membatalkan dalil wujud Allah ini dengan mengatakan adalah alam ini qadim dan tidak ada permulaan maka tidak berhajat kepada yang menjadikan.Maka kita batalkan hujjah itu dengan dua perkara:

1)Alam ini keadaannya berubah-ubah dan tiap yang berubah-ubah itu maka wujudnya adalah wujud yang harus yakni boleh ada dan boleh tiada.Adalah tiap-tiap yang boleh ada dan boleh tiada itu mewajibkan bahawa asalnya itu tiada.Adalah tiap-tiap yang asalnya tiada itu tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan pasti ada yang menjadikannya.Kita dapat menyemak fakta ini dengan mengemukakan satu pertanyaan alam kita sekarang ini samakah keadaannya pada tempoh 1000 tahun yang lampau.Jawapannya pasti tidak dan ini adalah dharuri yakni mudah mendapatkannya oleh tiap-tiap yang berakal.Oleh itu kita boleh membuat kesimpulan bahawa alam kita pada tempoh 1000 tahun ke belakang adalah harus boleh ada dan boleh tiada kerana terbukti pada masa sekarang alam kita 1000 tahun yang lampau telah tiada kerana yang ada sekarang ialah alam sekarang.Sekiranya sebahagian daripada alam ini iaitu alam dalam tempoh 1000 tahun yang lampau itu keadaannya harus boleh ada dan boleh tiada maka mewajibkan keseluruhan alam ini juga harus boleh ada dan boleh tiada kerana ijmak oleh sekelian orang -orang yang berakal tiap-tiap yang juz-inya(sebahagian) bersifat harus boleh ada dan boleh tiada mewajibkan bahawa kullinya(keseluruhannya) juga harus boleh ada dan boleh tiada.Oleh itu tetaplah alam ini keseluruhannya bersifat harus boleh ada dan boleh tiada dan tiap-tiap yang boleh ada dan boleh tiada itu mewajibkan asalnya itu tiada dan tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan berkehendak kepada yang menjadikan.Jika dibantah hujjah ini dengan dikatakan bahawa yang berubah-ubah itu sifat alam jua kerana bolehjadi alam ini qadim ia dengan zatnya dan hanya sifatnya sahaja yang berubah-ubah.Maka kita batalkan anggapan itu dengan bahawa adalah zat dan sifat itu berlazim-laziman keduanya dan tidak bercerai tanggal dengan nyata dipandang.Dapatkah kita memperolehi suatu zat yang tidak mempunyai sifat samasekali.Tentu tidak.Jadi jika sifatnya baharu maka adalah zatnya juga baharu.Dan lagi sifat itu pada hakikatnya adalah keadaan suatu zat.Bagaimana mungkin sesuatu zat itu qadim tetapi 'keadaannya' baharu?

2)Tiap-tiap sesuatu daripada alam ini mempunyai pihak iaitu kiri kanan depan belakang atas dan bawah.Tiap-tiap sesuatu daripada alam ini juga mempunyai tempat samada di dalam sesuatu atau di luar sesuatu dan samada dekat ataupun jauh.Tidak syak lagi apa sahaja yang bersifat demikian maka wujudnya adalah terbatas.Tiap-tiap sesuatu yang mempunyai wujud yang terbatas mewajibkan dirinya itu ada hanya pada satu-satu tempat dan tidak boleh berada pada tempat-tempat yang lain.Yang demikian itu adalah hakikat harus/mumkin iaitu ia menerima ada dan tiada pada masa yang sama.Jika wujudnya itu wajib tentu tidak demikian.Tentu wujudnya itu meliputi.Apabila sabitlah alam ini bersifat harus maka sabitlah bahawa asalnya itu bermula daripada ketiadaan dan tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan tetaplah ia berhajat kepada yang menjadikan iaitu Allah.

Sesungguhnya fakta yang mengatakan setiap yang harus iaitu yang boleh ada dan boleh tiada itu mewajibkan asalnya tiada merupakan fakta yang dharuri yakni mudah mendapatkannya oleh tiap-tiap yang berakal dan tidak boleh menafikannya melainkan orang itu tidak berakal.Begitu juga tiap -tiap yang tiada itu tidak boleh menjadi ada melainkan berkehendak kepada yang menjadikan merupakan fakta yang dharuri.Kesimpulannya alam ini sekeliannya bersifat harus dan tidak boleh wujud sendiri melainkan berkehendak kepada yang mewujudkannya iaitu Allah.

7 comments:

  1. Tahniah! Ana rasa anta kena kupas sifat 20 ni sampai sifat yg ke 20 satu persatu. Sekarang ni ilmu tauhid iktikad ahli sunnah wal jamaah faham imam abu hasan al-as'ari dan imam abu mansur al- maturidi tidak lagi kedengaran. sedangkan ilmu ini adalah ibu segala ilmu. Semoga Allah memberi anta rezeki dan kesihatan yg baik dan barakah

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum saya mahu numpang tanya
    Saya kurang faham tentang
    Adam ,hal,itibaritu ialah keadaan2 dari maksud tiada kan

    ReplyDelete
  3. terima kasih banyak2 tuan ..

    mohon share utk dakwah islam boleh tak ?

    ReplyDelete
  4. Salam.
    Buat saudaraku se Din Islam..
    Jika ada Niat Taklim atau Ngaji Sifat Allah (Mutaqod Seket) . Silahkan Antum kunjungi Majlis Taklim KH. Asmawi di Desa Danawari Kec. balapulang Kab. Tegal. Masih ASLI loh... Asy'ariyyah Maturidiyyah... Ahlu Sunnah Wal'Jama'ah. Monggo Dijambangi jika Antum Berkenan. Memang sudah jarang yang Asli Tauhidnya. Maka nya Hati Hati dijaman yang sulit dan semrawut ini. Hanya ini pasan hamba kepada antum saudara satu aqidah Ahlu Sunnah Wal'Jama'ah. Semoga berkenan. Salam

    ReplyDelete
  5. Salam.
    Buat saudaraku se Din Islam..
    Jika ada Niat Taklim atau Ngaji Sifat Allah (Mutaqod Seket) . Silahkan Antum kunjungi Majlis Taklim KH. Asmawi di Desa Danawari Kec. balapulang Kab. Tegal. Masih ASLI loh... Asy'ariyyah Maturidiyyah... Ahlu Sunnah Wal'Jama'ah. Monggo Dijambangi jika Antum Berkenan. Memang sudah jarang yang Asli Tauhidnya. Maka nya Hati Hati dijaman yang sulit dan semrawut ini. Hanya ini pasan hamba kepada antum saudara satu aqidah Ahlu Sunnah Wal'Jama'ah. Semoga berkenan. Salam

    ReplyDelete