Sunday, February 21, 2010

Sifat qidam

Adalah sifat qidam itu ertinya sedia.Adapun hakikatnya iaitu suatu ibarat daripada menafikan ada permulaan bagi wujud Allah.Adalah wujud makhluk sekeliannya mempunyai permulaan.Permulaan makhluk itu ialah tiada yakni mula-mula makhluk itu tiada kemudian barulah ada.Apabila dikatakan Allah itu tidak mempunyai permulaan bererti Dia tidak bermula dan tidak di dahului oleh tiada.Pendeknya Allah itu tidak pernah mengalami ketiadaan dan tidak sesekali dapat didatangi oleh ketiadaan sepertimana yang akan kita ketahui melalui sifat baqa kelak.Allah swt menyatakan diriNya itu bersifat qidam di dalam Al Quran dengan menggunakan lafaz "Al Awwal" seperti firmannya "hual awwalu wal aakhiru" yang ertinya Dialah yang awal(tiada permulaan)dan Dialah yang akhir(tiada kesudahan).Selain daripada lafaz qidam dan awal perkataan yang seerti dengan qidam juga ialah perkataan azali.Namun demikian setengah ulama menyebut bahawa terdapat sedikit perbezaan antara qidam dan azali sebagai perbezaan antara khusus dan umum.Ini ialah kerana perkataan qidam digunakan kepada perkara yang wujudi (ada) sahaja seperti dikatakan Zat Allah itu bersifat qidam.Tidak wajar digunakan untuk sesuatu yang adami (yang tiada wujud) seperti dikatakan adam makhluqat (ketiadaan makhluk) sebelum mereka itu diwujudkan adalah qidam.Yang demikian adalah tidak wajar.Adapun perkataan azali boleh digunakan untuk sesuatu yang wujudi atau 'adami seperti dikatakan Zat Allah itu azali dan 'adam makhluqat sebelum mereka diwujudkan itu azali.Adalah sifat qidam itu terbahagi kepada tiga iaitu:




1)Qidam hakiki iaitu tidak ada permulaan zat Allah dan sekelian sifatnya.




2)Qidam idhafi atau qidam nisbi iaitu sesuatu yang dikatakan qidam(terdahulu) hanya apabila dibandingkan dengan sesuatu yang terlebih kemudian daripadanya seperti terdahulu bapa jika dibandingkan dengan anak.




3)Qidam zamani iaitu sesuatu yang telah wujud bagi tempoh yang dianggap lama seperti jika dikatakan sesebuah rumah itu qadim misalnya maka bererti rumah tersebut telah wujud lama dan sekurang-kurang dhabit lamanya itu ialah selama setahun.




Adalah qidam hakiki itu tidak harus dikatakan bagi yang selain daripada Allah Taala.Ketahuilah sesungguhnya lafaz qidam dan awal itu harus dikatakan pada selain daripada Allah Taala dengan syarat bukan diniatkan sebagai qidam dan awal yang hakiki.Adapun dalil harus memakai kata qidam bagi yang selain Allah itu ialah firman Allah Taala di dalam surah Yusuf "qaaluu tallahi innaka lafii dhalalikal qadim" yang ertinya mereka (saudara-saudara nabi Yusuf berkata kepada nabi Ya'kub) demi Allah sesungguhnya ayah, kamu masih berada di dalam kekeliruanmu yang lama.Di sini perkataan qadim dipakai bagi perkataan dhalaal yakni kekeliruan atau kesesatan.Begitu juga dengan lafaz awwal seperti disebut di dalam hadis Rasulullah saw bersabda "ana sayyidul awwaliina wal aakhiriin" yang ertinya aku ialah penghulu bagi orang-orang yang dahulu dan yang kemudian.Di sini perkataan awwal digunakan kepada manusia dengan sighah jama'.



Lawan kepada sifat qidam ialah huduth ertinya baharu yakni ada permulaan bagi wujud Allah.Mustahil Allah itu bersifat huduth wajib kita mengiktikadkan Allah itu bersifat qidam.Dalil naqli sifat qidam bagi Allah itu ialah firmanNya "hual awwalu wal aakhiru"yang bererti Dialah (Allah) yang awal (tiada permulaan) dan akhir (tiada kesudahan).Adapun dalil aqlinya ialah jika Allah tidak bersifat dengan sifat qidam nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu baharu.Jika sekiranya Allah itu baharu nescaya berkehendak kepada yang menjadikan kerana sifat baharu itu mewajibkan asalnya tiada.Adalah maklum sesuatu yang tiada tidak boleh ada melainkan berhajat kepada yang menjadikan.Sekiranya Allah berhajat kepada tuhan lain untuk menjadikannya nescaya akan timbul satu persoalan iaitu siapakah yang menjadikan tuhan yang lain itu.Sekiranya dikatakan tuhan yang lain itu dijadikan oleh Allah maka yang demikian adalah mustahil kerana Allah sendiri berhajat kepada tuhan yang lain itu untuk menjadikan dirinya yang bererti ketika itu Allah belum wujud maka bagaimana pula Dia dapat menjadikan tuhan yang lain itu?Ini dinamakan dur yakni bererti berpusing-pusing asbab kejadian.Dur ini hukumnya mustahil.Jika dikatakan tuhan yang lain itu dijadikan oleh tuhan yang lain pula dan tuhan tersebut dijadikan tuhan yang lain lagi,maka ini akan membawa kepada tasalsul yakni bersambung-sambung asbab kejadian hingga tiada kesudahan.Tasalsul ini juga hukumnya mustahil kerana akhirnya membawa kepada ketiadaan yang mencipta alam padahal alam telah pun diciptakan.Apabila telah sabit mustahil dur dan tasalsul itu maka mustahil jugalah Allah itu bersifat huduth(baharu) bahkan wajiblah bagi Allah itu sifat qidam.

No comments:

Post a Comment