Wednesday, February 24, 2010

sifat baqa'

Sifat Allah yang ketiga di dalam senarai sifat dua puluh itu ialah sifat baqa'.Baqa' pada bahasa ertinya kekal dan pada istilah ulama mutakallimin baqa' itu hakikatnya ibarat daripada menafikan ada kesudahan bagi wujud Allah.Bila dikatakan Allah itu bersifat baqa' maka ini bererti Allah itu tidak sekali-kali akan binasa selama-lamanya bahkan Allah juga sejahtera daripada sebarang perubahan pada zatNya yang maha suci.Adalah kekal itu terbahagi kepada dua iaitu:
1)Kekal hakiki yakni kekal yang sebenar-benar kekal.Kekal hakiki ini hanya khusus bagi Allah jua.
2)kekal aradhi ertinya kekal yang mendatang yakni apa sahaja perkara yang dijanjikan oleh Allah di dalam Al Quran dan hadis bahawa perkara tersebut akan dikekalkan maka jadilah perkara tersebut kekal denga janji Allah.Tetapi kekalnya adalah dengan janji Allah dan bukan kekal dengan sendiri dan tetap tidak menafikan bahawa ia itu asalnya adalah mumkin yakni harus boleh ada dan boleh tiada.
Perkara-perkara yang termasuk di dalam kekal aradhi ini sepuluh perkara seperti di bawah:
1)Arasy
2)Kursi
3)Ruh
4)Jasad para nabi
5)Jasad orang yang mati syahid
6)Ajbun zanab(tulang kecil pada tongkeng anak Adam)
7)Luh mahfuz
8)Qalam
9)Syurga dengan sekelian isinya
10)Neraka dan sekelian isinya.
Inilah sepuluh makhluk yang kekal tetapi kekalnya itu kekal aradhi jua iaitu bergantung kepada ta'luk kudrat dan iradat Allah pada mengekalkannya dan dengan itu tetaplah tidak menafikan bahawa kesemuanya itu mumkin pada zatnya.
Adalah lawan kepada sifat baqa' ini iaitu fana' yang bererti binasa.Mustahil Allah itu binasa wajib kita percaya bahawa Allah itu kekal.Termasuk dalam ertikata fana' yang wajib kita nafikan daripada Allah Taala itu bahawa zat Allah itu berubah-ubah.Sesungguhnya zat Allah itu tidak menerima perubahan samasekali.Adapun dalil nakli bahawa Allah itu bersifat baqa' ialah firman Allah yang berbunyi "wayabqaa wajhurabbika zuljalaali wal ikraam" yang ertinya dan kekallah zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.Adalah dalil naqli bahawa zat Allah itu tidak berubah-ubah pula ialah hadis nabi yang berbunyi "Allahul aana kamaa alaihi kaan" yang bererti Allah sekarang adalah seperti Allah yang dahulu jua.Hadis ini boleh dirujuk di dalam kitab 'Aqiidatunnaajiin" dan juga kita "Syarah usuluttahqiq" bagi sesiapa yang berminat.Adalah dalil 'aqli Allah itu bersifat baqa' iaitu jikalaulah Dia tidak bersifat dengan sifat baqa' nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu binasa.Jikalau Allah itu dapat menerima binasa nescaya wujudnya pada ketika itu wujud yang harus.Dengan ini bererti wujudnya berpermulaan padahal telah kita ketahui dahulu bahawa berpermulaan bagi zat Allah itu mustahil seperti yang telah dibahaskan pada sifat qidam dahulu.Sesungguhnya telah ijma' oleh para 'uqalaa (ahli-ahli akal)bahawa zat yang telah sabit baginya sifat qidam nescaya mustahil baginya menerima fana yakni binasa.Jika dibantah hujjah ini dengan dikatakan adalah 'adam makhluqat (ketiadaan makhluk) yang azali sebelum diwujudkan itu tiada berpermulaan tetapi ada baginya kesudahan dengan terciptanya makhluk?Maka kita batalkan hujjah tersebut dengan bahawa masalah ini hanya difardhukan kepada sesuatu yang wujudi jua.Yakni yang ada.Adapun 'adam makhluqat' yang azali itu bersifat 'adami(tiada) maka terkeluar daripada kaedah yang tersebut.Adapun dalil 'aqli bahawa zat Allah itu tidak berubah-ubah ialah jika zat Allah itu berubah-ubah maka tidak dapat tiada dua perkara.Samada berubah itu kepada yang lebih sempurna ataupun kepada yang kurang sempurna.Jika Allah itu berubah kepada yang lebih sempurna maka ini melazimkan wujudnya yang dahulu itu kurang sempurna.Yang demikian adalah batal.Jika Dia berubah kepada yang kurang sempurna jadi berkuranglah kesempurnaan Allah itu maka yang demikian juga batal kerana lazim daripada yang demikan itu menunjukkan wujudnya ketika itu hanya wujud yang harus yang berhajat kepada yang menjadikan padahal telah terbukti bahawa Allah itu bersifat qidam.Maka diketahui dengan yang tersebut batallah fahaman Nasrani yang mengiktiqadkan zat Allah itu dapat berpindah-pindah dan berubah-ubah daripda Allah menjadi nabi Isa dan daripada nabi Isa menjadi Allah.
Kesimpulannya wajib kita mengiktiqadkan bahawa zat Allah itu bersifat kekal tidak sekali-kali binasa atau berubah-ubah.Wallahu a'lam.

3 comments:

  1. saya cadangkan saudara baca blog soal jawab agama disini

    http://soaljawab.wordpress.com/2007/04/21/bolehkah-allah-dikenali-tanpa-sifat-20/

    ReplyDelete
  2. copy and paste link tu...nak taip satu2 leceh ooo

    ReplyDelete
  3. saya sudah baca tapi sepintas lalu aje.Alhamdulillah sempat juga mengirim komen ringkas.Seblum ni pun dan masuk ke situ pasal nur muhammad dan telah mengkomen secara ringkas.Saya belum membuat kajian secara serius ttg nur muhammad.Tapi saya berpegang kepada alim ulama yg mengisbatkannya.

    ReplyDelete