1)Zat Allah itu bukan jirim.Jirim ertinya sesuatu yang memenuhi ruang.
2)Zat Allah itu bukan aradh.Aradh ertinya sifat bagi jirim seperti berwarna berbentuk dan sebagainya.
3)Zat Allah tiada baginya pihak seperti kiri,kanan ,hadapan,belakang,atas, bawah tengah dan lain-lain.
4)Zat Allah itu tiada pada pihak jirim.Seperti di kiri sesuatu,di kanan sesuatu,di belakang sesuatu,di hadapan sesuatu di atas sesuatu dan di bawah sesuatu.
5)Zat Allah itu tiada baginya tempat.Tidak boleh dikatakan Allah itu di sana atau di sini,di luar sesuatu atau di dalam sesuatu,jauh atau dekat.
6)Zat Allah itu tidak di dalam masa.Masa itu tiga perkara iaitu masa yang telah lalu,masa sekarang dan masa yang akan datang.Zat Allah itu tidak ia dahulu ,tidak Ia sekarang dan tidak Ia akan datang.
7)Zat Allah itu tidak bersifat dengan sifat -sifat yang baharu seperti qudrat yang baharu,iradat yang baharu,ilmu yang baharu dan seterusnya.
8)Zat Allah itu tidak bersifat besar.
9)Zat Allah itu tidak bersifat kecil.
10)Zat Allah itu tidak mengambil faedah daripada sebarang perbuatan dan hukumnya.Tetapi perbuatan dan hukumnya tidak sunyi daripada mengandungi hikmah yang maha tinggi yang kembali kepada makhluk.
Adalah bersalahan Allah itu dengan segala yang baharu itu dari segi sifat adalah seperti berikut:
1)Sifat Allah itu qadim sedangkan sifat baharu itu tidak qadim.
2)Sifat Allah itu luas ta'luknya sedangkan sifat baharu itu sedikit ta'luknya.
Adapun bersalahan Allah dengan yang baharu itu dari segi perbuatan pula seperti berikut:
1)Perbuatan Allah itu memberi bekas pada mengadakan sesuatu atau mentiadakan sesuatu sedangkan perbuatan yang baharu itu tidak memberi bekas hanya sekedar kasab dan usaha semata-mata.
2)Perbuatan Allah itu tidak ada yang sia-sia sedangkan perbuatan makhluk itu sia-sia.
3)Allah tidak mengambil faedah dari sebarang perbuatan dan hukumnya sedangkan makluk itu mengambil faedah.Namun demikian perbuatan Allah itu mengandungi hikmah yang maha tinggi kerana jika tidak mengandungi hikmah,nescaya perbuatannya sia-sia dan adalah sia-sia bagi Allah itu hukumnya mustahil.
Jika seseorang bertanya jika demikian bagaimanakah keadaan zat Allah itu?Bagaimanakah dapat diketahui keadaannya yang tidak berjirim,tidak beraradh,tidak berpihak,tidak bertempat dan lain-lain?
Maka kita katakan bahawa kesepuluh perkara di atas menunjukkan bahawa Zat Allah itu adalah di luar dari jangkauan manusia dan sesungguhnya zat Allah itu memang tidak dapat difikirkan.Sayidina Abu Bakar Assiddik berkata "al 'ajzu 'anil idraak , idraak" yang bererti apabila lemah kefahaman itulah tanda kefahaman.Yakni apabila telah kita ketahui bahawa zat Allah itu merupakan suatu perkara yang tidak mampu untuk diketahui itulah tandanya kita telah mengetahui.Kita diperintah untuk mengenal Allah sehinggalah kita mengetahui bahawa zatNya memang tidak boleh dikenal.'Ain ilmu kita tentang Allah itulah jahil kita tentang Allah dan jahil kita tentang Allah itulah 'ain ilmu kita tentangnya.Ini kerana zat Allah itu terlalu hebat sedangkan kemampuan akal adalah sangat terbatas.Rasulullah saw bersabda "tafakkaruu fii khalqillah walaa tafakkaruu fillah fa innahuu lan tuhiitho bihil fikrah" yang bererti berfikirlah tentang ciptaan Allah dan jangan kamu fikir tentang zat Allah kerana sesungguhnya zat Allah itu tidak sekali-kali dapat diliputi oleh fikiran.
Lawan kepada sifat mukhaalafatuhuu ta'aala lil hawadith itu ialah mumaathalatuhu lil hawadith yakni bersamaan Allah itu dengan segala yang baharu.Mustahil Allah itu bersamaan dengan yang baharu wajib kita iktikadkan Allah itu tidak bersamaan dengan segala yang baharu.
Adalah dalil naqli bahawa Allah itu tidak serupa dengan segala yang baharu ialah firman Allah yang berbunyi "laisa kamithlihii syai un"yang bererti tidak serupa Allah itu dengan segala yang baharu.Dan firmannya lagi di dalam surah Al Ikhlas "walam yakullahuu kufuan ahad"yang bererti tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya".Adalah dalil 'aqlinya iaitu kalaulah Allah itu serupa dengan yang baharu nescaya Allah itu baharu.Sekiranya Dia itu baharu nescaya menafikan sifat qidam padahal telah sabitlah Allah itu sedia ada sebagaimana yang telah kita ketahui pada pembahasan sifat qidam yang dahulu itu.Oleh itu wajiblah bagi Allah itu tidak serupa dengan segala yang baharu.Jika dibantah dalil ini dengan dikatakan tidak semestinya keserupaan Allah dengan yang baharu itu melazimkan dirinya itu baharu.Maka kita jawab adalah yang dimaksudkan dengan serupa itu ialah pada sepuluh perkara yang telah disebutkan dahulu seperti berjirim,beraradh,berpihak,bertempat,bermasa dan seterusnya hingga akhir sepuluh perkara kerana tidak syak lagi sesiapayang bersifat dengan sifat-sifat tersebut maka mewajibkan dirinya itu baharu.Contohnya ,mengapa kita bertempat?Jawabnya kerana Allahlah yang menjadikan kita dan meletakkan kita pada satu-satu tempat.Adapun Allah sendiri tidak dijadikan oleh sesiapa oleh itu tidaklah Dia bertempat.Bahkan tempat itu sendiri dijadikan oleh Allah dan Allah telah ada sebelum adanya tempat.Oleh itu tidaklah layak bagi zatNya yang maha tinggi daripada mengambil tempat.Kiaskanlah dengan sifat-sifat baharu yang lain.
Masalah was-was.
Sekiranya seseorang itu dihantui oleh was-was sehingga ia terbayang zat Allah itu begitu dan begini hendaklah dia jangan menghiraukan kerana was-was itu datangnya daripada syaitan dan hendaklah dia jangan menghiraukan dan dia tidak berdosa dengan kedatangan was-was tersebut kerana kedatangan was-was itulah adalah di luar kemahuan dirinya.Sebaliknya hendaklah dia membaca doa perlindungan daripada syaitan dengan menyebut a'uuzubillaahiminassyaitaanirrajiim.Di dalam sepotong hadis hendaklah dia membaca aamantubillaahi warasuulih yang bererti aku beriman dengan Allah dan rasulnya.Menurut Abu Sulaiman Addarani sekiranya seseorang itu di datangi oleh was-was seumpama itu hendaklah dia bergembira kerana tujuan syaitan mendatangkan was-was itu ke dalam diri orang-orang yang beriman ialah supaya orang yang beriman itu susah hati.Sebaliknya jika seseorang itu bergembira dengan kedatangan was-was yang tersebut nescaya pergi syaitan itu dengan berputus asa.
Masalah melihat Allah
Menurut iktikad ahli sunnah wal jamaah melihat Allah itu harus samada di dunia dan di akhirat.Sebahagian ulama mempercayai bahawa peristiwa melihat Allah telah berlaku ke atas nabi kita Muhammad saw pada malam mi'raj sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Abbas dan inilah pendapat yang dirajihkan oleh Imam Annawawi di dalam kitab Syarah Muslimnya.Adapun tentang melihat Allah diakhirat sesungguhnya telah sabit dengan janji Allah.Ahli sunnah telah berhujjah dengan dalil 'aqli dan dalil naqli di dalam masalah ini.Adapun dalil 'aqlinya ialah, adalah Allah itu maujud dan tiap-tiap yang maujud nescaya dapat dilihat.Adalah dalil naqlinya firman Allah Taala yang berbunyi "wujuuhun yauma izin naadhirah ilaa rabbihaa naazhirah"yang bererti wajah-wajah(orang-orang yang beriman)pada hari ini berseri-seri.Dan kepada Tuhan mereka melihat.Mereka juga berhujjah dengan hadis nabi saw ketika baginda menceritakan tipu daya Dajjal yang mengaku dirinya sebagai tuhan yang mana baginda bersabda yang bunyinya "alaa lan tarau rabbakum hattaa tamuutuu"yang ertinya ingatlah kamu tidak sekali-kali akan melihat Tuhan kamu sehinggalah kamu mati.Ini bererti seorang mukmin akan melihat Tuhannya setelah dia meninggal dunia.
Daripada ayat-ayat Al Quran dan hadis nabi itu serta hujjah 'aqliah tetaplah Allah itu akan di lihat pada hari qiamat.Namun kaifiat(cara)melihat itu tidak seorang pun yang mengetahuinya dan kita serahkan sahaja perkara tersebut kepada Allah 'azzawajalla.Di dalam tulisan yang akan datang saya akan membicarakan pula tentang masalah takwil kerana masalah tersebut sangat erat kaitannya dengan bahasan sifat mukhaalafatuhuu ta'aala lilhawaadith ini.Sekian wallahu a'lam.
moga diberi kekuatan dan petunjuk kearah usaha kebaikan.. amin..
ReplyDeleteTahniah!!
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteperbahasan sifat 20 semakin dilupakan sekrg..smoga penulisan ini dapat menyedarkan kembali peri pntingnya sifat 20 dalam perbahasan ilmu tauhid..barakAllah alaik
ReplyDelete