Friday, February 26, 2010

Takwil

Terdapat ayat-ayat di dalam Al Quran dan hadis yang menyatakan sifat-sifat Allah yang boleh mendatangkan sangkaan seolah-olah Allah Taala itu bersamaan dengan yang baharu.Contohnya firman Allah yang berbunyi "yadullaahi fauqa aidiihim" yang ertinya tangan Allah di atas tangan-tangan mereka.Di dalam ayat ini Allah disifatkan mempunyai tangan.Hal ini dapat mendatangkan sangkaan kepada orang yang tidak mengerti seolah -olah Allah Taala mempunyai anggota tangan dan bersuku-suku dan oleh itu Ia sama dengan makhluk.Ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat yang lain disebut 'ayat-ayat mutasyabihat'.Ertinya ayat-ayat yang mengandungi erti yang samar.Sifat Allah 'yang bertangan'yang disebutkan di dalam ayat di atas dan lainnya itu adalah disebut 'sifat-sifat khabariah' yang bererti sifat pada khabar sahaja dan tidak boleh diiktikadkan menurut pengertian lahiriah.Kita mesti memhami dengan bersungguh-sungguh bahawa ayat-ayat Al Quran itu terbahagi kepada dua:


1)Ayat-ayat yang muhkamat.


2)Ayat-ayat yang mutasyabihat.


Ayat-ayat yang muhkamat ialah ayat-ayat yang jelas maksudnya dan ayat-ayat yang mutasyabihat pula ialah ayat-ayat yang mengandungi maksud yang samar.Ayat-ayat yang mutasyabihat itu mesti dikembalikan kepada maknanya yang sebenar supaya sesuai dan secocok dengan ayat-ayat yang muhkamat.Perbuatan mengembalikan makna ayat-ayat yang mutasyabihat supaya sesuai dan secocok dengan ayat-ayat yang muhkamat itulah yang dinamakan takwil.Para ulama ahli sunnah telah ijmak bahawa ayat-ayat yang mutasyabihat yang tersebut wajib ditakwilkan tetapi berselisih menjadi dua golongan tentang menentukan takwilnya sehingga membawa terdapatnya dua jenis takwil seperti berikut:


1)Takwil ijmal iaitu takwil umum tanpa menentukan apakah maksud sebenar ayat-ayat mutasyabihat yang tersebut di samping mengiktikadkan bahawa ayat tersebut tidak boleh dipakaikan kepada maknanya yang zahir(yang lahiriah) atau mutabadir(yang segera difaham).Sebaliknya makna ayat tersebut hendaklah diserahkan sahaja kepada Allah untuk menentukannya dengan mengiktikadkan mahasuci Allah itu daripada bersamaan dengan segala yang baharu.Oleh itu takwil ijmal juga dikenali dengan takwil tafwidh(diserahkan maknanya kepada Allah).Ini adalah pegangan kebanyakan ulama salaf iaitu ulama yang hidup dalam tempoh tiga ratus tahun hijrah.


2)Takwil tafsil.Iaitu mengembalikan maksud ayat-ayat mutasyabihat supaya secocok dengan nas-nas muhkamat dengan menentukan maknanya kepada makna yang layak dengan ketinggian zat Allah.Ini adalah pegangan kebanyakan ulama-ulama khalaf iaitu ulama-ulama yang hidup selepas tiga ratus tahun hijrah.


Dasar takwil


Sesuatu ayat atau hadis itu hanya boleh ditakwilkan sekiranya ia mempunyai sebab yang menasabah untuk ditakwilkan.Sebab-sebab ini dinamakan qarinah.Mentakwilkan ayat Al Quran dan hadis dengan sesuka hati tanpa qarinah sahih adalah termasuk di dalam ertikata 'takwil bebas' yang dilarang keras oleh Allah dan rasulNya.Rasulullah saw bersabda yang berbunyi "man fassaral qur aan bira' yihii fal yatabawwa' maq'adahuu minannaar"yang bererti barangsiapa yang mentafsirkan Al Quran dengan fikirannya maka silalah tempat tempatnya di dalam neraka.Takwil ayat Al Quran hanya boleh dilakukan jika ada dua qarinah yang berikut.


1)Apabila ada petunjuk daripada nas-nas yang muhkamat yang menunjukkan makna zahirnya tidak dikehendakki.


2)Apabila ada petunjuk daripada qawathi'ul aqliah (kepastian akal) yang menunjukkan makna zahirnya tidak dikehendakki.


Perlu dimaklumi bahawa nas-nas yang muhkamat tidak ada satu pun yang mengandungi makna yang mustahil samada yang berhubung dengan zat dan sifat-sifat Allah atau lainnya.Nas-nas muhkamat yang selalu dijadikan qarinah oleh para ulama di dalam masalah ayat-ayat mutasyabihat ini ialah firman Allah di dalam surah Al Ikhlas yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad) Allah itu esa.Allah jua tempat dipohonkan segala hajat.Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan.Dan tidak ada sesuatu pun yang menyamainya"Kesimpulan dari surah Al Ikhlas itu menunjukkan wujud Allah itu mutlak yang bersifat dengan sifat-sifat tanzih (suci dari simaatul huduth yakni tanda-tanda baharu) tanpa terikat kepada batasan masa dan tempat sebagi Tuhan yang bersifat wajibul wujud yang mana wujudnya itu meliputi tanpa ada ruang bagi penyamaan apa pun dengan makhluk.Begitu juga dengan ayat "hual awwalu wal aakhiru wazzhaahiru wal baathinu"yang bererti Dialah (Allah) yang awal yakni tidak berpermulaan dan yang akhir yakni tidak berkesudahan dan Dialah yang zahir dan Dialah yang batin.Ayat ini ditinjau dari segi maknanya sekaligus menolak semua sepuluh perkara yang dapat menodai kesucian Allah sepertimana yang dibincangkan semasa membahaskan sifat mukhlafah Allah dengan makhluk.Ini ditambah pula dengan ayat "laisa kamithlihii syai un"yang bererti tidak serupa Allah itu dengan sesuatu pun.Di dalam hadis rasulullah saw bersabda "wallazii nafsu Muhammadim biyadihii lau annakum dallaitum rajulan bihablin ilal ardhissuflaa lahabitha 'alallaah"yang bererti demi Tuhan yang diri Muhammad di dalam genggamannya sekiranya kalian menurunkan seseorang dengan menggunakan tali sehingga sampai bumi yang ketujuh sekalipun nescaya sampai jua kepada Allah.Berkata Imam Al Baihaqi di dalam kitabnya yang bernama 'Al Asmaa' muka surat 506 bahawa riwayat ini telah masyhur di kalangan manusia.Kemudian beliau melanjutkan bahawa pada akhir hadis itu terdapat isyarat menafikan tempat bagi Allah dan sesungguhnya seseorang hamba itu walau di mana sahaja dia berada maka sama sahaja di sisi Allah jauh atau dekat.


Ayat-ayat Al Quran adalah datangnya dari Allah ,maka dengan sebab itu tidak mungkin terdapat sebarang kesilapan padanya.Dengan sebab itu mana-mana ayat yang pada zahirnya mengandungi kedua-dua perkara diatas iaitu isyarat dari nas-nas yang muhkamat dan isyarat dari qawathi'ul aqliah yang menunjukkan bahawa makna zahirnya tidak dikehendakki wajiblah ayat tersebut ditakwilkan samada dengan takwil ijmal atau dengan takwil tafsil.Asas takwil itu adalah diambil daripada Al Quran sendiri yang berbunyi "Huallazii anzala 'alaikal kitaaba minhu aayaatum muhkamaatun hunna ummul kitaabi wa ukharu mutasyaabihaat-Fa ammallaziina fii quluubihim zaighun fayattabi'uunamaa tasyaabaha minhub tighaa al fitnati wabtighaa a ta'wiilihii wamaa ya'lamu ta'wiilahuu illallaahu warraasikhuuna fil 'ilmi yaquuluuna aamannaa bihii kullum min 'indirabbinaa wamaa yazzakkaru illaa ulul albaab" yang ertinya Dialah Tuhan yang telah menurunkan ke atas engkau (wahai Muhammad) sebuah kitab (Al Quran) yang sesetengah ayatnya merupakan ayat yang muhkamat(jelas) dan sebahagiannya merupakan ayat mutasyabihat(tidak jelas maknanya)-Adapun orang-orang yqng di dalam hatinya terdapat kesesatan maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat itu untuk mencari-cari fitnah dan mencari-cari takwilnya padahal tiadalah yang mengetahui takwilnya itu melainkan Allah.Dan orang-orang yang rasikh(mendalam)ilmunya berkata kami beriman bahawa semuanya itu adalah dari Tuhan kami dan tiadalah yang beringat-ingat itu melainkan orang-orang yang mempunyai akal fikiran.


Berdasarkan kepada ayat di atas para ulama salaf dan khalaf telah ijmak bahawa ayat-ayat yang mutasyabihat itu wajib ditakwilkan.Hanyasanya mereka berselisih tentang menentukan apakah dan siapakah yang boleh mentakwilnya.Ulama yang berpegang dengan bacaan waqaf mereka membacanya sebagai


"...padahal tiadalah yang mengetahui takwilnya melainkan Allah."Oleh itu mereka mengambil dalil bahawa hanya Allah sahaja yang mengerti takwil ayat-ayat yang mutasyabihat.Inilah pegangan kebanyakan (bukan semua) ulama salaf.Sebaliknya ulama yang berpegang dengan bacaan wasal pula membacanya sebagai


"...padahal tiadalah yang mengerti takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang mendalam ilmunya..." Maka mereka mengambil dalil pula bahawa orang yang mendalam ilmunya juga turut mengetahui takwilnya.Dengan ini mereka mengharuskan dalam menentukan takwil ayat-ayat mutasyabihat yang tersebut.Mereka juga mengambil hujjah bahawa khitab (percakapan) Allah kepada manusia dengan sesuatu yang tidak difahami itu adalah bertentangan dengan hikmah ilahi yang menurunkan Al quran itu sebagai panduan manusia,maka bagaimana mungkin sebahagian daripada ayat-ayatnya tidak dapat difahami oleh manusia?Jika dipersoalkan mengapakah di dalam Al Quran itu terdapat ayat-ayat mutasyabihat?Mengapa tidak semuanya muhkamat?Jawapannya ialah kerana Allah berkehendak supaya para ulama memberikan penjelasan terhadap ayat-ayat yang mutasyabihat itu dan dengan yang tersebut supaya nyatalah kelebihan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.Perlu diingatkan ayat-ayat yang mutasyabihat bukan tertentu pada ayat-ayat yang berhubung dengan sifat-sifat Allah sahaja,malahan terdapat juga di dalam ayat-ayat yang selain daripada itu yang mana secara zahirnya menunjukkan kepada makna mustahil.Contohnya firman Allah di dalam surah Al Kahfi yang berbunyi "hattaa izaa balagha maghribasy syamsi wajadahaa taghrubu fii 'ainin hami atin..."yang ertinya sehingga apabila dia (Iskandar Zulkarnain)sampai di tempat terbenamnya matahari maka dia mendapati matahari itu terbenam di dalam sungai yang berlumpur hitam.Ayat tersebut jika dilihat dengan semata-mata zahirnya sahaja tentu sulit untuk difahami kerana mengandungi perkara yang mustahil.Kita tahu, bahawa matahari adalah tersangat besar beribu-ribu kali ganda besarnya daripada mana-mana sungai yang ada di dalam dunia kita ini.Bahkan matahari itu adalah lebih besar daripada bumi kita sendiri.Maka bagaimana mungkin matahari itu dapat masuk ke dalam sungai yang berlumpur hitam yang ada di atas bumi ini.Mustahil suatu benda yang besar bermasuk-masukan ke dalam benda yang kecil.Maka ayat tersebut termasuk ayat mutasyabihat kerana mengandungi perkara yang mustahil pada zahirnya.Maka para ulama telah mentakwilkan masuknya matahari ke dalam sungai yang berlumpur hitam itu dengan takwil "fii nazarihii" yakni "pada pandangan matanya" matahari itu masuk ke dalam sungai yang berlumpur hitam.Maka dengan itu hilanglah syubhat dan dapatlah ayat Al Quran itu difahami sesuai dan secocok dengan hakikat yang sebenarnya.Jikalaulah kita boleh mentakwilkan ayat yang mengandungi makna mustahil berhubung dengan sesuatu yang selain Allah,maka mengapa pula kita tidak boleh mentakwilkan ayat-ayat yang mengandungi makna yang mustahil bagi Allah?Bukankah ayat tersebut sama-sama ayat Al Quran?Demikianlah hujah-hujah ulama khalaf.Tujuan takwil itu samada takwil salaf atau takwil khalaf ialah untuk mensucikan zat Allah dari sebarang makna yang mustahil bagi zatNya yang maha tinggi sehingga sesuai dan secocok sebagaimana yang telah dinyatakan ketinggian sifatNya di dalam nas-nas yang muhkamat.Hasil daripada kedua-dua takwil ulama salaf dan khalaf yakni takwil tafwidh dan tafsil itulah pegangan ahli sunnah dan mana-mana satu daripada keduanya itu boleh dijadikan pegangan insyaallah.Pepatah ulama menyebutkan "Thariqatus salaf aslam wa thariqatul khalaf a'lam"yang bererti kaedah salaf itu lebih selamat dan kaedah khalaf pula lebih mengetahui.Daripada pepatah tersebut seakan-akan para ulama merajihkan kaedah khalaf atas kaedah salaf kerana selamat itu umum dan mengetahui itu khusus.Yang selamat tidak semestinya mengetahui tetapi yang mengetahui sudah tentu selamat.Wallahu a'lam.


Jika dikatakan bahawa lafaz-lafaz yang zahirnya menunjukkan persamaan Allah dengan makhluk itu tidak perlu ditakwilkan kerana lafaz-lafaz tersebut hanya sama pada nama sahaja tetapi tidak sama pada hakikat seperti kudrat Allah dan kudrat makhluk hanya sama pada nama kudrat tetapi hakikat kudrat Allah tidak sama dengan hakikat kudrat makhluk.Maka kita katakan bahawa orang yang mengatakan demikian itu telah mengabaikan atau tidak mengetahui apa yang dikatakan hakiki dan apa yang dikatakan majazi (kiasan) sehingga salah meletakkan kedua-dua istilah itu dengan betul.Adalah sifat-sifat kudrat (berkuasa),iradat (kehendak),ilmu (mengetahui),hayat (hidup),sama' (mendengar),basar (melihat) dan kalam (berkata-kata) itu semua adalah hakiki bagi Allah dan majazi bagi makhluk.Bila dikatakan sifat-sifat tersebut disandarkan kepada makhluk secara majazi maka bererti makhluk tidak bersifat dengan sifat-sifat tersebut pada hakikatnya melainkan pada lafaznya sahaja.Maka jika dikatakan makhluk itu berkuasa maka itu hanyalah majazi sahaja yakni pada lafaz dan bukan hakiki kerana yang berkuasa pada hakikat itu hanyalah Allah.Begitulah dengan lain-lain sifat yang disebutkan di atas.Oleh itu adalah sah jika dikatakan kuasa Allah dan kuasa makhluk sama pada nama iaitu pada lafaz kuasa tetapi tidak sama pada hakikat kerana pada hakikatnya makhluk tidak mempunyai kuasa samasekali.Begitu jugalah dengan lain-lain sifat ma'ani.Adapun sifat-sifat mempunyai anggota badan dan bersuku-suku,bertempat atau berjihat (pihak),dan seumpamanya,maka ianya adalah hakiki bagi makhluk dan majazi bagi Allah.Oleh itu ianya bermaksud Allah Taala tidak mempunyai sifat beranggota badan dan bersuku-suku seperti bermuka,bertangan,bermata,rusuk,kaki dan lain-lain,begitu juga bertempat dan berpihak melainkan pada LAFAZ dan KHABAR semata-mata.Fahamkanlah.Sekian dahulu tulisan saya berkenaan takwil.Akan menyusul contoh-contoh takwil nas yang mutasyabihat menurut salaf dan khalaf di dalam tulisan yang akan datang.








No comments:

Post a Comment