Tuesday, September 28, 2010

SIFAT-SIFAT RASUL

Wajib atas tiap – tiap mukallaf mengetahui sifat – sifat rasul dari hal sifat yang wajib bagi rasul , sifat yang mustahil dan sifat yang harus berserta dengan dalil – dalilnya sekali.Sifat – sifat yang wajib bagi rasul itu ada empat dan lawannya sifat yang mustahil empat dan satu sifat yang harus seperti berikut :-

1)Siddik ertinya benar.
Sifat yang pertama yang wajib bagi rasul itu ialah siddik yang bererti benar.Benar di sini bermaksud benar dari segi perkataan , perbuatan , niat dan juga sikap samada di dalam hal menyampaikan ajaran Allah atau dalam perkara – perkara lain sehingga nabi itu benar walaupun ketika bergurau.

Lawan sifat siddik itu kizbun ertinya dusta
Mustahil rasul – rasul bersifat dusta samada pada perkataan , perbuatan , niat dan juga sikap samada secara langsung mahupun tidak langsung.Wajib kita percaya bahawa rasul – rasul itu bersifat benar.

Dalil sifat siddik
Dalil naklinya firman Allah Taala
صدق الله ورسوله
Ertinya : benarlah (Apa Yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya".

Dalil aklinya ialah jika rasul itu tidak bersifat benar nescaya dia bersifat dengan lawannya iaitu dusta.Sekiranya rasul itu dusta nescaya dusta jugalah Allah Taala yang telah mengurniakan mukjizat kepada rasul – rasul.Sedangkan mukjizat yang dikurniakan Allah pada rasul - rasul itu adalah merupakan pengakuan dari Allah sendiri tentang benarnya rasul – rasul tersebut.Dan adalah dusta bagi Allah Taala itu mustahil kerana dusta itu sifat kekurangan.Apabila mustahil dusta bagi Allah , maka bererti mukjizat yang dikurniakan Allah kepada rasul itu benar- benar membuktikan bahawa rasul – rasul itu benar.

Mukjizat
Mukjizat dari segi bahasa bererti “yang dapat melemahkan”.Adapun erti mukjizat dari segi istilah ialah sesuatu yang menyalahi kebiasaan (luarbiasa) yang hanya dapat dilakukan oleh orang – orang yang menjadi rasul dan dapat melemahkan orang lain dari menyaingi atau memperbuat seumpamanya.Tidak dinamakan mukjizat jika sesuatu perkara yang luar biasa tersebut :-
1)Tidak menyalahi kebiasaan.Seperti kata seseorang “tanda aku ini rasul ialah aku dapat terbitkan matahari itu dari sebelah timur dan menjadikannya terbenam di sebelah barat.”Yang demikian bukan mukjizat kerana ianya perkara yang biasa berlaku.
2)Tidak dapat melemahkan orang lain.Seperti dakwaan Ghulam Ahmad Qadiani pengasas ajaran qadiani yang sesat yang mengaku menjadi nabi bahawa tanda kenabiannya ialah akan berlaku gerhana matahari pada sekian – sekian masa.Yang demikian bukan mukjizat kerana tidak melemahkan orang lain sebab berlakunya kejadian gerhana dapat diramalkan oleh sesiapa sahaja yang mengetahui ilmu falak.
3)Tidak disertai dengan pengakuan menjadi nabi.Seperti karamah yang berlaku kepada para aulia.
4)Dapat dipelajari.Misalnya seperti sihir dan permainan silap mata maka keduanya tidak dinamakan mukjizat kerana boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja.Bahkan kedua – duanya dapat dilawan dan dibatalkan oleh sihir yang lebih kuat atau oleh orang yang mengetahui rahsianya.
Adalah perkara yang luar biasa itu terbahagi kepada tujuh :-
1)Mukjizat iaitu perkara – perkara yang luar biasa yang berlaku kepada para rasul.Contohnya peristiwa terbelahnya bulan yang berlaku kepada nabi kita Muhammad saw.
2)Karamah iaitu perkara – perkara yang luar biasa yang berlaku kepada orang – orang biasa yang dikasihi Allah sebagai memuliakan mereka.Contohnya karamah yang terjadi ke atas Siti Maryam yang didatangkan rezeki berupa buah – buahan dari syurga.
3)Maunah iaitu perkara – perkara yang luar biasa yang berlaku ke atas manusia biasa yang beriman sebagai pertolongan Allah ke atas mereka sewaktu kesulitan.Contohnya peristiwa – peristiwa ganjil yang berlaku kepada jemaah haji di tanah suci yang mendapat pertolongan sewaktu di dalam kesulitan di sana yang sering kita dengar.
4)Irhas iaitu peristiwa luar biasa yang berlaku ke atas para nabi sebelum mereka dilantik menjadi nabi.Contohnya irhas yang berlaku ke atas nabi kita Muhammad saw dipayungi awan ke mana sahaja baginda pergi sewaktu baginda kanak – kanak.
5)Sihir iaitu peristiwa luar biasa yang berlaku bagi orang – orang fasik dan jahat.Contohnya ilmu hitam , ilmu santau dan sebagainya.
6)Ihanah iaitu peristiwa luar biasa yang berlaku kepada orang – orang yang fasik dan sesat dengan tujuan untuk menghinakan mereka.Contohnya seperti yang berlaku kepada Musailamatul Kazzab yang mengaku menjadi nabi pada masa nabi masih hidup.Adalah dia mendengar bahawa nabi mempunyai mukjizat dapat menyembuhkan mata sahabat baginda yang bernama Qatadah kerana cedera terkena panah di dalam satu peperangan.Maka Musailamatul Kazzab juga cuba untuk menyembuhkan mata sahabatnya yang buta sebelah , tiba – tiba jadi buta kedua – dua belah.Yang demikian adalah sebagai penghinaan kepadanya dari Allah.
7)Istidraj iaitu peristiwa luar biasa ke atas orang – orang yang melakukan kejahatan sebagai ujian kepadanya samada dia akan terus lalai dengan kejahatannya atau sebaliknya.Contohnya Firaun yang walaupun zalim namun berusia panjang sehingga lima ratus tahun dan sentiasa sihat tidak pernah didatangi penyakit walaupun penyakit yang paling ringan serta tidak pernah membuang air kecil atau air besar.

Pembahagian mukjizat.
Adalah mukjizat itu terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Mukjizat hissi
2)Mukjizat maknawi.
Mukjizat hissi ialah mukjizat yang dapat disaksikan melalui pancaindera yang zahir seperti terbelahnya bulan , keluar air dari celah – celah jari dan sebagainya.Mukjizat maknawi pula ialah mukjizat yang tidak dapat disaksikan melalui pancaindera yang zahir tetapi dapat dinilai menerusi zauk (perasaan hati yang halus) , akal yang celik dan minda yang waras.Mukjizat maknawi hanya satu iaitu Al Quran yang diturunkan kepada nabi kita Muhammad saw.
Contoh – contoh mukjizat rasul – rasul.
1)Tidak terbakar dimasukkan ke dalam api seperti yang berlaku ke atas nabi Ibrahim as.
2)Pisau tidak dapat memutuskan seperti yang berlaku ke atas Nabi Ismail as di dalam kisah korban.
3)Tongkat menjadi ular seperti yang berlaku kepada nabi Musa as.
4)Laut terbelah seperti yang berlaku kepada nabi Musa as.
5)Tangan mengeluarkan cahaya seperti yang berlaku juga kepada nabi Musa as.
6)Dapat memahami bahasa haiwan seperti yang berlaku kepada nabi Sulaiman as.
7)Dapat memerintah angin seperti yang berlaku kepada nabi Sulaiman as.
8)Dapat melembutkan besi seperti yang berlaku kepada nabi Daud.
9)Dapat menyembuhkan penyakit kusta , sopak , buta sejak lahir dan menghidupkan orang mati seperti yang berlaku kepada nabi Isa as.
10)Dapat memberitahu makanan yang disimpan di rumah seseorang seperti yang berlaku kepada nabi Isa as.

Contoh – contoh mukjizat nabi kita Muhammad saw
1)Pokok dapat berkata – kata dan mengucapkan salam.
2)Batu dapat berkata – kata.
3)Memahami perkataan unta dan kijang.
4)Batu – batu kecil bertasbih di tapak tangan.
5)Membelah bulan.
6)Keluar air dari celah – celah jari.
7)Makanan yang sedikit mencukupi untuk bilangan yang banyak.
8)Pergi ke Masjidil Aqsa di Palestin dari Masjidil Haram di Mekah dan seterusnya naik ke langit yang ketujuh dalam tempoh tidak sampai satu malam seperti yang berlaku di dalam peristiwa israk dan mi’raj.
9)Melihat peristiwa yang terjadi dari jarak yang jauh seperti yang berlaku di dalam peristiwa peperangan mu’tah.Nabi mengkhabarkan peperangan yang sedang berlaku itu kepada sahabat – sahabat baginda di Madinah secara ditil.
10)Mengalahkan Abu Rukanah seorang ahli gusti yang tidak pernah kalah sebanyak tiga kali dalam satu perlawanan gusti.

Mukjizat nabi Muhammad saw yang teragung.
Adalah mukjizat nabi saw yang teragung yang melebihi mukjizat – mukjizat baginda yang lain dan melebihi juga mukjizat nabi – nabi yang lain adalah Al Quran Al Karim.Keagungan Al Quran itu antara lain adalah seperti berikut :
1)Satu satunya mukjizat yang kekal sehingga hari kiamat.
2)Tidak jemu – jemu dibaca dan didengar.
3)Mengandungi berbagai – bagai ilmu duniawi dan ukhrawi.
4)Mengandungi perkhabaran yang telah berlaku dan akan berlaku dan telah terbukti benar.
5)Manusia dan jin tidak mampu mengarang kitab seumpamanya.Bahkan tidak dapat terfikir pun akan dapat mengarang kitab seumpamanya.
6)Mempunyai ayat dan langgam bahasa yang menarik dan mempesonakan.
7)Mengandungi keberkatan menyembuhkan penyakit dan mengalahkan musuh.
8)Satu satunya kitab yang mudah dihafaz dan telah pun dihafaz oleh jutaan orang.
9)Satu – satunya kitab yang terpelihara dan terbukti ketulenannya.
10)Ajaran yang terkandung di dalamnya sesuai untuk semua manusia untuk semua zaman.
11)Dengan membacanya dapat mengasah minda , menajamkan akal , membuang balgham (lendir) dari dalam badan serta menambah kesihatan dan kecantikan.
12)Umat yang mengamalkan ajaran Al Quran tidak akan dikuasai musuh.
13)Isinya lengkap dan syumul.
14)Dan lain – lain.

4 comments:

  1. Diizinkan copy mana-mana yang bermanafaat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. t.ksih tuan dengan ilmu sifat 20 yang manfaat ini

      Delete
    2. t.ksih tuan dengan ilmu sifat 20 yang manfaat ini

      Delete