Sifat Allah yang keduabelas yang wajib diketahui ialah basar.Basar ertinya melihat iaitu satu sifat yang wajib bagi Allah dengannya terang dan nyata atas tiap – tiap sesuatu.Terang dan nyata sifat basar Allah itu lain daripada terang dan nyata sifat sama’ dan ilmu.Sama sahaja terang dan nyata bagi sifat basar Allah samada sesuatu itu jauh atau dekat , samada besar atau kecil dan lagi Allah melihat tidak dengan syarat ada cahaya seperti penglihatan makhluk.Penglihatan Allah juga tidak terhalang oleh jauh atau apa sahaja penghalang.Allah juga melihat tidak dengan anggota mata atau apa jua alat penglihatan.Pendekata penglihatan Allah itu tidak sama dengan penglihatan makhluk kerana penglihatan Allah itu adalah penglihatan yang hakiki dan bersifat maha sempurna.
Lawan sifat basar itu umyun ertinya buta.
Mustahil Allah itu bersifat buta atau yang semakna dengannya seperti melihat Allah itu yang hampir sahaja tidak yang jauh.Atau penglihatan Allah itu dapat dihalang oleh sesuatu penghalang.Atau penglihatan Allah itu dengan syarat ada cahaya atau dengan anggota mata dan lain – lain alat penglihatan.Yang demikian itu semuanya mustahil bagi Allah.
Dalil sifat basar.
Dalil naklinya firman Allah
ﺇﻦ ﺍﷲ ﺑﺼﻴﺮ ﺑﺎ ﺍﻟﻌﺑﺎﺪ
Ertinya : Sesungguhnya Allah Maha melihat akan keadaan hamba-hambaNya".
Dalil aklinya ialah jika Allah itu tidak bersifat dengan melihat nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu buta dan adalah buta itu sifat kekurangan.Mustahil Allah itu bersifat dengan kekurangan wajib kita percaya Allah bersifat dengan sifat kesempurnaan iaitu melihat.
No comments:
Post a Comment