Saturday, December 11, 2010

MAKNA KALIMAH SYAHADAH

Makna kalimah syahadah yang pertama
Kalimah syahadah yang pertama itu ialah
ﺃﺷﻬﺩ ﺃﻥ ﻻ ﺇﻟﻪ ﺇﻻﺍﷲ
Ertinya:Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.
Bagi kalimah syahadah yang pertama ada dua makna iaitu :
1)Makna hakiki iaitu makna sebenar.
2)Makna lazim.Dinamakan demikian kerana ianya melazimi makna yang hakiki.
Makna hakiki itu ialah maknanya yang sebenar yang masyhur yang dibawa dan diingatkan di dalam hati ketika melafazkan kalimah laa ilaha illa llah iaitu “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”.Makna lazim pula ialah makna yang melazimi (yang membawa kepada) makna hakiki yang mana tidak sampai seseorang itu kepada maksud makna hakiki itu jika tidak memahami makna lazim iaitu
ﻻ ﻳﺴﺗﻐﻧﻲ ﻋﻥ ﻛﻝ ﻣﺎﺳﻭﺍﻩ ﻭﻳﻓﺗﻗﺭ ﺇﻟﻳﻪ ﻜﻝ ﻣﺎ ﻋﺪﺍﻩ ﺇﻻ ﷲ
Ertinya :Tiada yang kaya daripada yang lain dan berhajat yang lain kepadanya melainkan Allah.
Maka dengan yang demikian makna lazim terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Kaya Tuhan dari sekelian yang lain disebut ‘Istighna’ ”
2)Berhajat sekelian yang lain kepadaNya disebut “iftiqar”
Dikatakan makna lazim itu melazimi makna yang hakiki kerana dengan adanya makna lazim itu barulah dapat diketahui kehendak yang sebenar dari makna yang hakiki itu.Seperti yang telah diketahui makna yang hakiki itu ialah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.Ini bererti melazimkan kaya Tuhan dari yang lain dan berhajat oleh yang lain kepadaNya kerana kalaulah Allah itu tidak bersifat kaya daripada yang lain maka tidaklah layak Ia disembah.Begitu juga kalaulah tidak berhajat oleh sekelian yang lain kepadanya maka tidaklah juga Ia layak disembah.Kaya Allah daripada sekelian yang lain itu mewajibkan sebelas sifat daripada sifat Allah yang dua puluh dan berhajat oleh yang lain kepada Allah itu mewajibkan sembilan sifat.

Sebelas sifat termasuk di dalam istighna’(kaya Allah dari sekelian yang lain)
1)Wujud ertinya ada lawannya tiada.Sekiranya Allah tidak bersifat wujud nescaya Dia berkehendak kepada yang menjadikanNya.Berkehendak itu menafikan kaya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Maka wajiblah Dia bersifat wujud.
2)Kidam ertinya sedia.Sekiranya Allah tidak bersifat kidam nescaya Dia bersifat baharu.Jika Ia baharu nescaya berkehendak kepada yang menjadikan.Berkehendak itu menafikan kaya.Maka tidaklah Ia berhak disembah.Pada hal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kidam.
3)Baqa’ ertinya kekal.Sekiranya Ia tidak bersifat kekal nescaya Ia bersifat dengan lawannya iaitu binasa.Maka bererti wujudNya ketika itu adalah wujud yang harus dan berkehendak kepada yang menjadikan.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat baqa’.
4)Mukhalafatuhu lil hawadis ertinya tidak serupa dengan segala yang baharu.Sekiranya ia serupa dengan segala yang baharu nescaya Dia baharu dan berkehendak juga kepada yang menjadikan.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Ia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah oleh itu wajiblah Dia bersifat mukhalafah lil hawadis.
5)Qiamuhu binafsihi ertinya tidak berhajat kepada yang lain.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan qiamuhu binafsihi nescaya Dia berkehendak kepada yang lain pada menjadikan dirinya atau menyempurnakan kekurangannya.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat qiamuhu binafsihi.
6)Sama’ ertinya mendengar.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan sama’ nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu pekak atau tuli.Pekak atau tuli itu sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada suatu yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah ia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat sama’.
7)Basar ertinya melihat.Sekiranya Dia tidak bersifat melihat nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu buta.Buta itu sifat kekurangan dan berkehendak kepada suatu yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat basar.
8)Kalam ertinya berkata – kata.Sekiranya Dia tidak bersifat kalam nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu bisu.Bisu itu sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Ia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kalam.
9)Kaunuhu sami’an ertinya keadaannya yang mendengar.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan kaunuhu sami’an nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu keadaannya yang pekak.Keadaannya yang pekak itu merupakan sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia layak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kaunuhu sami’an.
10)Kaunuhu basiran ertinya keadaannya yang melihat.Sekiranya Dia tidak bersifat dengan keadaan yang melihat nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu keadaannya yang buta.Keadaan yang buta itu adalah sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Ia berhak disembah.Padahal Allah itu layak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kaunuhu basiran.
11)Kaunuhu mutakalliman ertinya keadaannya yang berkata – kata.Sekiranya Ia tidak bersifat dengan kaunuhu mutakalliman nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu keadaannya yang bisu.Keadaannya yang bisu itu adalah sifat kekurangan dan berkehendak pula kepada yang menyempurnakan kekurangan tersebut.Berkehendak itu menafikan kaya maka tidaklah Dia layak disembah.Padahal llah itu layak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kaunuhu mutakalliman.
Tiga sifat lagi termasuk di dalam istighna’
1)Tidak mengambil faedah Allah Taala itu daripada segala perbuatan dan hukumnya.Lawannya mengambil faedah.Jika Allah Taala mengambil faedah daripada sebarang perbuatan dan hukumnya nescaya jadilah Dia berkehendak kepada faedah.Berkehendak itu menafikan kaya , maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia tidak mengambil faedah dari perbuatan dan hukumnya.
2)Tidak wajib Allah itu menjadikan mumkin (makhluk)dan tidak wajib juga bagiNya meninggalkan daripada menjadikan mumkin.Lawannya wajib bagi Allah menjadikan mumkin atau wajib baginya untuk tidak menjadikannya.Jika wajib bagi Allah menjadikan mumkin atau tidak menjadikannya bererti Dia berkehendak atau terdesak kepada melakukan sesuatu atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu.Berkehendak itu menafikan kaya.Maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu tidak wajib baginya menjadikan mumkin atau tidak menjadikannya.
3)Tidak memberi bekas oleh sesuatu dengan tabi’at.Lawannya memberi bekas dengan tabi’at.Contohnya tabi’at api itu tidak memberi bekas bagi menghanguskan.Hanya yang menghanguskan itu Allah jua.Sekiranya memberi bekas sesuatu itu dengan tabi’at nescaya tatkala itu Allah Taala berkehendak kepada perantaraan sesetengah makhluknya pada menjadikan sesuatu seperti berkehendak kepada api pada menghanguskan , berkehendak kepada air pada menghilangkan dahaga makhluknya , berkehendak kepada makanan pada menghilangkan lapar dari makhluknya , berkehendak kepada ubat bagi menghilangkan sakit pada hambanya.Berkehendak akan sekelian yang tersebut itu menafikan kaya.Maka jika demikian tidaklah Dia berhak disembah.Padhal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah tidak memberi bekas sesuatu itu dengan tabiat.

Sembilan sifat termasuk di dalam iftiqar (berhajat oleh yang lain kepada Allah)
1)Wahdaniah ertinya esa.Lawannya berbilang – bilang dua atau lebih.Sekiranya Allah itu berbilang – bilang nescaya tidak dapat menjadikan alam kerana lazim lemahnya ketika itu.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepada Allah.Maka tidaklah berhak Dia disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat wahdaniah.
2)Kudrat ertinya kuasa.Jika Dia tidak bersifat kuasa nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu lemah.Jika Dia lemah maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Dia berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat kudrat.
3)Iradat ertinya berkehendak.Jika Dia tidak bersifat dengan kehendak nescaya ternafilah daripadanya sifat kudrat (kuasa) kerana tiap – tiap yang tidak mempunyai kehendak nescaya tidak mempunyai kuasa.Maka lemahlah Dia ketika itu.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Maka tidaklah Dia berhak disembah.Padahal Allah itu berhak disembah.Oleh itu wajiblah Dia bersifat iradat.
4)Ilmu ertinya mengetahui.Jika Dia tidak mengetahui nescaya ternafilah daripadanya sifat kehendak kerana tiap – tiap yang tidak mengetahui nescaya tiada padanya kehendak.Jika ternafi kehendak nescaya ternafilah sifat kuasa maka bererti Dia lemah ketika itu.Maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.
5)Hayat ertinya hidup.Jika Dia tidak bersifat hayat bererti Dia mati.Jika Dia mati maka ternafilah sekelian sifat ilmu , berkehendak , berkuasa dan lain – lain sifat idrak.Bererti Dia lemah.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya dan tidaklah Dia berhak disembah.
6)Kaunuhu kadiran ertinya keadaannya yang berkuasa.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaan yang berkuasa bererti Dia bersifat dengan keadaan yang lemah.Oleh itu tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Maka tidaklah Dia berhak disembah.
7)Kaunuhu muridan ertinya keadaannya yang berkehendak.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaan yang berkehendak nescaya ternafilah keadaannya berkuasa.Bererti Dia lemah dan tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya dan tidaklah Dia berhak disembah.
8)Kaunuhu aliman ertinya keadaannya yang mengetahui.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaannya yang mengetahui nescaya ternafilah keadaannya yang berkuasa maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.
9)Kaunuhu hayyan ertinya keadaannya yang hidup.Jika Dia tidak bersifat dengan keadaan yang hidup maka ternafilah juga keadaannya yang berkuasa maka tidaklah berhajat oleh yang lain kepadanya.Oleh itu tidaklah Dia berhak disembah.

Dua lagi termasuk dalam iftiqar
1)Baharu alam ini.Lawannya kadim alam ini.Jika alam ini kadim nescaya tidaklah berhajat kepada Allah yang menjadikan.Oleh itu tidaklah berhak Allah itu disembah.
2)Tidak memberi bekas sesuatu itu dengan kuat yang dijadikan Allah padanya.Lawannya memberi bekas.Sekiranya memberi bekas sesuatu itu dengan kuat yang dijadikan Allah padanya nescaya tidak berhajat lagi kepada Allah.Dengan demikian tidaklah berhak Allah itu disembah.
Demikianlah huraian tentang makna istighna’ (kaya Allah dari yang lain) dan makna iftiqar (berkehendak oleh tiap – tiap yang lain kepadanya) yang kesemuanya itu masuk di dalam erti tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.Adalah sifat – sifat yang masuk di bawah istighna’ itu sebelas lawannya sebelas menjadi dua puluh dua.Kemudian ditambah tiga lagi lawannya tiga jumlahnya enam.Kemudian dicampurkan dua puluh dua dengan enam jumlahnya dua puluh lapan.Adapun sifat yang masuk di bawah iftiqar ada sembilan lawannya sembilan jumlahnya lapan belas.Kemudian ditambah dua lawannya dua jadi jumlahnya empat dan dicampurkan empat dengan lapan belas maka jadilah jumlahnya dua puluh dua.Kemudian dicampurkan dua puluh lapan sifat istighna’ dengan dua puluh dua sifat iftiqar maka jumlahnya semua sekali ialah lima puluh aqaid (simpulan – simpulan iman) yang masuk di dalam erti syahadah yang pertama iaitu tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Sembilan aqaid yang masuk di dalam makna syahadah yang kedua
Bagi kalimah syahadah yang kedua juga mempunyai dua makna iaitu makna hakiki dan makna lazim.Makna hakikinya ialah “Aku naik saksi sesungguhnya nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”.Apabila kita mengakui bahawa nabi Muhammad itu utusan dan pesuruh Allah maka melazimi pula kita percaya kepada sifat – sifat yang wajib bagi rasul sepertimana berikut :
1)Siddik ertinya benar lawannya kazib bererti dusta.Mustahil rasul itu dusta wajib kita percaya rasul itu bersifat benar.Sekiranya rasul itu dusta maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
2)Amanah ertinya kepercayaan lawannya khianat.Mustahil rasul itu khianat wajib kita percaya rasul itu amanah.Sekiranya rasul itu khianat maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
3)Tabligh ertinya menyampaikan lawannya kitman ertinya menyembunyikan.Mustahil rasul itu menyembunyikan wajib kita percaya rasul itu menyampaikan.Sekiranya rasul itu menyembunyikan maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
4)Fatanah ertinya bijaksana lawannya baladah ertinya bodoh.Mustahil rasul itu bodoh wajib kita percaya rasul itu bersifat bijaksana.Sekiranya rasul itu bodoh maka tidaklah dia menjadi pesuruh Allah.
Demikianlah aqaid yang masuk di dalam syahadah risalah iaitu empat sifat yang wajib bagi rasul lawannya empat sifat yang wajib menjadi jumlahnya lapan aqaid.Kemudian masuk pula di dalam syahadah risalah empat aqaid lagi iaitu :-
1)Percaya kepada malaikat
2)Percaya kepada para nabi dan rasul
3)Percaya kepada kitab
4)Percaya kepada hari kiamat
Semua perkara di atas termasuk di dalam makna syahadah yang kedua iaitu penyaksian ke atas kerasulan nabi Muhammad saw kerana nabi Muhammad saw yang telah mengajar dan mengkhabarkannya.Jumlahnya empat , lawannya empat menjadi lapan.Kemudian dicampurkan dengan lapan yang dahulu jadilah jumlahnya enam belas aqaid masuk di dalam pengakuan kita bahawa sesungguhnya nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Demikianlah makna – makna yang terkandung di dalam dua kalimah syahadah iaitu lima puluh aqaid masuk di dalam pengakuan kita bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan enam belas aqaid masuk di dalam pengakuan kita bahawa sesungguhnya nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

No comments:

Post a Comment