Sunday, December 26, 2010

Murtad , syirik , kufur , munafik , zindik dan bid’ah

Murtad ertinya keluar daripada agama Islam dengan sebab beberapa perkara yang telah dihuraikan sebelum ini.Murtad ini merupakan sejahat – jahat kekufuran kerana menolak nikmat kebenaran setelah mengetahui dan merasainya.Semoga Allah menjauhkan kita dan ahli keluarga kita dari perkara tersebut.
Syirik ertinya mempercayai kepada ada tuhan atau kuasa yang lain di samping Allah serta berharap dan bertawakkal kepadanya seperti berharap dan bertawakkal kepada Allah..Syirik terbahagi dua :-
1)Syirik akbar atau syirik besar iaitu syirik yang mengeluarkan daripada agama.Contohnya mempercayai Allah mempunyai anak atau mempercayai ada kuasa lain yang menyamai kuasa Allah.Ianya salah satu faktor yang membawa kepada kufur.Adalah kufur itu terlebih umum daripada syirik kerana tiap – tiap syirik itu kufur tetapi bukanlah semua kekufuran disebabkan oleh syirik.
2)Syirik asghar atau syirik kecil iaitu syirik yang tidak sampai mengeluarkan seseorang daripada agama.Contohnya riak di dalam beramal , ujub (merasa bangga dengan kebolehan diri sendiri) sombong , takabbur dan lain – lain maksiat yang batin.
Kufur ertinya ingkar.Juga terbahagi dua iaitu :-
1)Kufur akbar atau kufur besar iaitu kufur yang mengeluarkan seseorang daripada agama.Perkara – perkara yang menyebabkan kufur akbar ialah perkara – perkara yang boleh menyebabkan murtad seperti huraian yang telah lalu.Pelakunya digelar kafir.Jika kufur akbar itu dilakukan oleh orang yang asalnya muslim disebut kafir murtad.
2)Kufur nikmat iaitu kufur yang tidak mengeluarkan seseorang daripada agama.Contoh – contohnya , meninggalkan suruhan Allah seperti meninggalkan solat atau melakukan tegahan Allah seperti berzina dan minum arak di dalam keadaan tidak menafikan segala perintah Allah dan tidak menganggap halal perkara – perkara yang haram tersebut.Disebut kufur nikmat kerana pelakunya seolah – olah telah mengkufuri nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya.Pelakunya disebut fasik.
Munafik ertinya menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran pada batin.Sifat – sifat munafik disebut nifak.Nifak juga terbahagi kepada dua :-
1)Nifak akbar iaitu nifak yang mengeluarkan dari agama dan mengekalkan di dalam neraka.Ini adalah nifak dari segi akidah iaitu seseorang yang tidak percaya sama sekali kepada agama Islam tetapi berlakon seolah – olah dia seorang Islam yang tulen.
2)Nifak asghar iaitu nifak yang tidak mengeluarkan dari agama dan tidak mengekalkan di dalam neraka tetapi pelakunya akan diberatkan siksaannya di akhirat kelak.Semoga Allah melindungi kita semua dari yang demikian.Amalan yang membawa kepada nifak asghar itu ialah berbohong apabila bercakap , memungkiri apabila berjanji , khianat dengan amanah dan berlebih – lebihan apabila bertengkar.
Zindik ertinya manusia yang mendakwa kononnya Islam pada zahir dan batin tetapi kepercayaannya bercanggah dengan Al Quran , hadis dan ijmak.Dengan ertikata lain , seseorang pelaku zindik itu menyangka bahawa ajaran yang dianutnya itu sebagai ajaran Islam padahal pada hakikatnya bukan ajaran Islam.Contohnya pengikut ajaran sesat seperti ajaran Taslim , ajaran Qadiayani , ajaran agama Bahai , ajaran Batiniah , Ayah Pin dan lain – lain yang seumpamanya.Kesemua golongan zindik dihukumkan sebagai kafir murtad dan wajib atas pemerintah Islam memerangi dan membunuh mereka untuk memadamkan fitnah dan memelihara agama.
Bid’ah ertinya mengada – adakan perkara baru di dalam agama dengan tidak ada dalil syarak.Dalil syarak ada empat iaitu Al Quran , hadis , ijmak dan kias.Jika sesuatu perkara itu tidak terdapat dalil di dalam Al Quran dan hadis tetapi ada di dalam kias maka perkara tersebut tidak boleh dinamakan bid’ah.Jika dinamakan juga sebagai bid’ah maka penamaan itu hanyalah dari sudut bahasa sahaja bukan sebagai bid’ah yang diistilahkan nabi yang memasukkan pelakunya ke neraka.Maka dengan sebab itu menurut para ulama bid’ah terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Bid’ah mazmumah ertinya bid’ah yang dikeji.Inilah bid’ah yang dimaksudkan oleh nabi yang dapat menjerumuskan seseorang ke neraka atau sekurang – kurangnya mendedahkan seseorang itu kepada siksaan berpanjangannya hisab dan cercaan pada hari kiamat.Terbahagi pula kepada dua iaitu :-
i)Bid’ah haram.Contohnya , memukul-mukul dan melukakan tubuh pada Hari Asyura.
ii)Bid’ah yang makruh.Contohnya menghiasi masjid.Bid’ah jenis ini sungguhpun tidak memasukkan seseorang ke neraka tetapi mendedahkannya kepada berpanjangannya hisab dan cercaan pada hari kiamat.
2)Bid’ah yang mahmudah ertinya bid’ah yang terpuji.Iaitu bid’ah yang direka untuk tujuan kebaikan dan mengandungi kemaslahatan yang sungguhpun tidak ada perintah secara khusus untuk melakukannya oleh Allah dan rasul tetapi tidak terkeluar malahan selari dengan kehendak dalil – dalil umum yang menjadi kaedah – kaedah hukum agama Islam.Terbahagi kepada dua iaitu :-
i)Bid’ah wajib.Contohnya membukukan Al Quran.Ini adalah berdasarkan kaedah “saddu zara’i’ (menutup pintu – pintu kerosakan) yang terkandung di dalam prinsip ‘addharar yuzaal’ yang bererti kemudaratan hendaklah dihilangkan.Tujuannya untuk memelihara Al Quran dari pupus yang merupakan kemudaratan di dalam agama sekiranya tidak dibukukan.
ii)Bid’ah sunnat.Contohnya mengucapkan salawat dengan menyebut ‘sayidina’ di dalam tasyahud walaupun tidak diperintahkan oleh nabi kerana dengan cara itu kita lebih beradab kepada nabi.Ini adalah berdasarkan kaedah ‘sulukul adab muqaddamun alal imtithalil awamir’ yang bererti mendahulukan adab adalah diutamakan daripada sekedar mematuhi perintah seperti yang mashur di dalam sunan Abi Dawud di dalam peristiwa Sayidina Abu Bakar yang lebih mengutamakan adab dengan tidak mengimami solat sewaktu kehadiran nabi walaupun beliau diperintah oleh nabi untuk mengimami solat tersebut lalu tindakannya diikrarkan oleh nabi yang mana nabi tidak membantah sikap tersebut.

No comments:

Post a Comment