Erti hari kiamat
Kiamat dari segi bahasa bererti kebangkitan.Erti hari kiamat dari segi istilah ilmu tauhid menurut ajaran Islam ialah hari di mana Allah akan mematikan sekelian makhluknya , kemudian dibangkitkan dan dihidupkan semula dan dihimpunkan di padang mahsyar untuk diperhitungkan segala amalan mereka sewaktu hidup di dunia lalu diberi balasan samada syurga atau neraka.Nama – nama lain bagi hari kiamat itu antaranya adalah sebagaimana berikut :-
1)Yaumul akhir yang bererti hari yang penghabisan kerana ia merupakan penghabisan segala hari – hari dunia.
2)Yaumul mahsyar yang bererti hari perhimpunan kerana pada hari itu semua makhluk akan dihimpunkan di padang mahsyar.
3)Yaumul din yang bererti hari pembalasan kerana pada hari itu akan dibalas semua amal perbuatan makhluk samada buruk atau baik.
4)Yaumul waqi’ah bererti hari yang pasti berlaku kerana hari kiamat itu pasti akan berlaku tanpa sebarang syak.
5)Yaumul nadamah bererti hari penyesalan kerana pada hari itu semua makhluk akan menyesali kesalahan – kesalahan yang mereka lakukan di dunia.
6)Yaumul hisab bererti hari perhitungan kerana pada hari itu semua amalan manusia akan diperhitungkan.
7)Yaumul zalzalah bererti hari gempa kerana pada hari tersebut alam keseluruhannya mengalami gempa yang sangat dahsyat.
Hukum beriman dengan hari kiamat
Hukum beriman dengan hari kiamat itu wajib dan menjadi kafir sesiapa yang mengingkarinya kerana telah sabit di dalam Al Quran dan hadis – hadis.Firman Allah Taala
ولكن البر من ءامن بالله واليوم الأخر
Ertinya : tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat
Rasulullah saw bersabda
ﺃﻥ ﺗﺅﻣﻥ ﺑﺎﷲﻭﻣﻼﺋﻛﺗﻪ ﻭﻛﺗﺑﻪ ﻭﺭﺳﻟﻪ ﻭﺍﻟﻳﻭﻡ ﺍﻷﺧﺭ
Ertinya :Bahawa kamu beriman dengan Allah dan para malaikatnya dan kitab-kitabnya dan sekelian rasul-rasulnya dan hari akhirat.
Pembahagian kiamat
Kiamat terbahagi kepada dua iaitu:-
1)Kiamat kecil iaitu kematian yang berlaku ke atas individu yang telah sampai ajalnya.Kiamat kecil juga dinamakan kiamat khusus.Sabda Rasulullah saw
ﺇﺫﺍ ﻣﺎﺕ ﺃﺣﺩﻛﻡ ﻓﻗﺩﻗﺎﻣﺕ ﻗﻳﺎﻣﺗﻪ
Ertinya :Apabila mati seseorang daripada kamu maka berlakulah kiamat atas dirinya.
2)Kiamat besar atau kiamat umum.Inilah yang disebutkan di dalam Al Quran sebagai yaumul ghasyiah yang bererti hari yang meliputi kerana berlakunya meliputi atas sekelian makhluk tanpa kecuali.
Alam barzakh
Sepertimana yang telah dinyatakan apabila mati seseorang itu maka berlakulah kiamat atas dirinya yang mana dengan kematian tersebut berpindahlah ruhnya dari alam dunia kepada alam kubur dan akan tinggal di sana sementara menantikan berlakunya kiamat besar yang meliputi.Alam kubur ini juga disebut alam barzakh.Barzakh itu ertinya ‘sempadan’ kerana ia merupakan sempadan di antara alam dunia dengan alam akhirat.Semasa berada di dalam alam kubur atau alam barzakh tersebut ruh akan menghadapi :-
1)Fitnah kubur yakni soalan – soalan yang akan dikemukakan oleh malaikat Munkar dan Nakir di alam kubur.Sebab kedua – dua malaikat tersebut dinamakan Munkar dan Nakir kerana keduanya akan datang dengan rupa yang sangat tidak dikenal dan sangat menakutkan.Soalan – soalan yang akan ditanya itu adalah soalan tentang akidah si mati seperti siapa Tuhanmu , siapa nabimu , apa ikutanmu , siapa saudara - saudaramu dan seterusnya.Bagi orang yang beriman akan diulang – ulang soalan tersebut selama tujuh hari kerana memuliakan dan membanggakan mereka atas malaikat.Bagi orang kafir akan diulang – ulang pertanyaan tersebut selama empat puluh hari untuk menghinakan mereka.Dalil adanya fitnah kubur adalah hadis nabi setelah baginda selesai dari mengkebumikan jenazah salah seorang sahabat baginda , baginda bersabda
ﻓﺳﺋﻟﻭﺍ ﻷﺧﻳﻛﻡﺍﻟﺗﺛﺑﻳﺖ ﻓﺈﻧﻪ ﺍﻵﻥ ﻟﻳﺴﺋﻝ
Ertinya :Pohonkan bagi saudara kamu ini ketetapan kerana dia sekarang akan ditanya.
2)Nikmat kubur dan azab kubur yakni setelah selesai urusan pertanyaan malaikat munkar dan nakir yang tersebut keduanya akan pergi dan tidak akan kembali lagi namun akan menanti pula nikmat kubur bagi orang – orang yang beriman dan azab kubur bagi orang – orang yang kafir dan derhaka.Nikmat dan azab ini akan berkekalan sehinggalah berlaku kiamat.Sabda Rasulullah saw
ﺇﻧﻣﺎ ﺍﻟﻗﺑﺭ ﺭﻭﺿﺔ ﻣﻥﺭﻳﺎﺽ ﺍﻟﺟﻧﺔ ﺃﻭ ﺣﻓﺭﺓ ﻣﻥ ﺣﻓﺭ ﺍﻟﻧﺎﺭ
Ertinya :Hanyasanya kubur itu adalah satu taman daripada taman syurga atau satu lubang dari lubang neraka.Sabda Rasulullah saw
ﺗﻧﺯﻫﻭﺍ ﻋﻥ ﺍﻟﺑﻭﻝﻓﺈﻥ ﻋﺎﻣﺔ ﻋﺫﺍﺏ ﺍﻟﻗﺑﺭ ﻣﻧﻪ
Ertinya :Bersihkanlah kencing kerana kebanyakan azab kubur adalah disebabkan oleh kencing.
3)Himpitan bumi yang mana semua jenazah yang telah dikebumikan tidak akan terlepas daripada himpitan bumi kecuali jenazah anbia’ , orang – orang yang mati syahid dan Fatimah binti Asad.Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa jikalau dapat terlepas seseorang daripada himpitan bumi nescaya akan terlepaslah Saad bin Muaz yang pada hari kematiannya bergoncang arasy Allah Taala.Hanyasanya jenazah orang – orang yang beriman akan dihimpit bumi seperti ibu memeluk anaknya.
Ya Allah lindungilah kami dan sekelian orang – orang yang beriman daripada sekelian yang tersebut dan Engkau tetapkanlah iman kami , kedua ibubapa kami , anak isteri dan zuriat kami , kaum kerabat kami , guru – guru kami , murid – murid kami dan sekelian saudara – saudara kami yang beriman.Sesungguhnya kami tiada daya dan upaya untuk menyelamatkan diri kami melainkan semata – mata dengan kurniamu jua ya Allah.
Amalan yang dapat melepaskan diri daripada huru hara di dalam kubur
1)Mengukuhkan iman terhadap Allah dan rasulnya dengan cara mentaati suruhan Allah dan rasul dan menjauhi larangan Allah dan rasul.
2)Memperbanyakkan zikrullah.Rasulullah saw bersabda
ﻣﺎ ﻋﻣﻝ ﺃﻧﺟﻰ ﻣﻥﻋﺫﺍﺏ ﺍﻟﻗﺑﺭ ﺇﻻ ﺫﻛﺭ ﺍﷲ
Ertinya :Tiada amalan yang terlebih melepaskan daripada azab kubur daripada zikrullah.
3)Mengamalkan sunnah nabi.
4)Membaca surah Al Muluk pada tiap – tiap malam.
5)Bersungguh – sungguh memelihara solat.
6)Bersungguh – sungguh memelihara hukum taharah (kebersihan) terutamanya kencing.
7)Menjaga perpaduan kaum muslimin dan menjauhi amalan hasut menghasut.
Semoga Allah memberi taufik dan hidayah untuk kita melakukan amalan – amalan tersebut.
Tanda – tanda hari kiamat.
Allah dan rasulnya tidak menentukan tarikh berlakunya kiamat sebagai ujian ketaatan ke atas manusia.Namun Allah dengan sifat kasih sayangnya kepada manusia telah memberitahukan tanda – tanda kedatangan kiamat tersebut.Tanda – tanda kiamat itu terbahagi dua iaitu tanda – tanda kecil dan tanda – tanda besar.Tanda – tanda kecil adalah seperti berikut :-
1)Diutusnya nabi Muhammad saw sebagai rasulullah.
2)Para pemimpin akan terdiri daripada keturunan yang rendah dan hina.
3)Hamba melahirkan tuannya.
4)Orang-orang miskin yang berkaki ayam akan membina gedung-gedung yang menjulang tinggi.
5)Ada dua golongan yang besar yang akan berbunuh-bunuhan padahal seruan mereka sama.
6)Akan muncul dajajil(dajal-dajal kecil) yakni para penipu yang menyesatkan.
7)Ilmu pengetahuan akan dilenyapkan.
8)Banyak berlaku gempa bumi.
9)Banyak timbul fitnah.
10)Banyak haraj (pembunuhan)
11)Harta kekayaan akan melimpah ruah.
Adapun tanda – tanda besar pula adalah seperti berikut:-
1)Munculnya Imam Mahdi
2)Munculnya Dajjal
3)Turun Nabi Isa as.
4)Terbitnya matahari dari sebelah barat.
5)Keluarnya dabbatul ardh (sejenis binatang)
Proses berlakunya kiamat.
1)Tiupan sangkakala yang pertama menandakan proses penghancuran alam dan kematian seluruh makhluk.
2)Tiupan sangkakala yang kedua yang menandakan proses kebangkitan sekelian makluk yang telah dimatikan yang mana mereka akan dihidupkan semula untuk dikumpulkan di padang mahsyar.Selang antara dua tiupan tersebut adalah empat puluh tahun.Sangkakala itu adalah trompet besar yang berbentuk seperti tanduk diperbuat daripada kaca ditiup oleh malaikat Israfil.Besarnya sangkakala tersebut digambarkan di dalam hadis – hadis andaikata langit dan bumi ini dimasukkan ke dalam lubangnya nescaya muat.
3)Makhluk yang telah dibangkitkan itu akan digiring dan dikumpulkan di padang mahsyar di dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang.Keadaan mereka dari hal susah dan senang adalah bergantung kepada amalan masing – masing.Padang mahsyar adalah bumi yang rata yang berwarna putih seperti roti.Di sana manusia akan menunggu untuk diadili.Lamanya manusia di sana mengikut riwayat Abu Ya’la dan Ibnu Hibban ialah selama dua puluh lima ribu tahun.Di sana manusia akan pergi dari satu nabi kepada satu nabi untuk memohon syafaat agar dipercepatkan hisab.Akhirnya hisab dijalankan dengan syafaat nabi Muhammad dan inilah yang dipanggil “syafaat kubra” ertinya syafaat yang besar yang merangkumi seluruh makhluk samada muslim atau kafir dan samada manusia atau jin iaitu syafaat untuk dipercepatkan hisab.
4)Hisab ialah proses menghitung amalan – amalan makhluk samada baik atau buruk.Cara penghisaban dilakukan bergantung kepada amalan seseorang itu.Sesetengah manusia dihisab dengan hisab yang sangat berat.Sesetengah manusia dihisab dengan hisab yang ringan.Bagi orang yang menutup aib orang lain semasa di dunia maka hisab ke atas mereka akan dijalankan dengan tersembunyi di sebalik tabir dan Allah akan menutup aib mereka pula dengan memberi keampunan supaya kesalahan mereka tidak diketahui oleh orang lain.Bagi yang dihisab secara terang – terangan akan dihisab di hadapan orang – orang yang mereka kenali semasa di dunia supaya mereka mendapat malu yang amat sangat bagi setiap kesalahan yang mereka lakukan.Semoga Allah menutup aurat (keaiban) kita dan mengamankan ketakutan kita pada hari tersebut.Sebelum penghisaban dijalankan ke atas manusia , akan diserahkan kepada mereka buku catatan amalan yang mereka telah lakukan di dunia.Orang – orang yang berbahagia akan mendapat catatan amalannya dari sebelah kanan dan orang – orang yang celaka akan mendapat catatan amalan mereka dari sebelah kiri atau dari arah belakang.Kemudian catatan amalan itu akan ditimbang di atas neraca yang dipanggil “mizan” yakni neraca yang sangat adil dan teliti yang dapat menimbang amalan seseorang walau sekecil zarrah sekalipun.Adalah besar kedua – dua daunnya jika diletakkan dunia dengan sekelian isi – isinya nescaya muat ia.
5)Kemudian manusia akan diperintah untuk melintas titian sirat iaitu jambatan yang merentangi atas neraka jahannam.Kadar lebarnya adalah bergantung kepada amalan dan iman manusia iaitu luas dan lebar bagi orang – orang mukmin yang bertakwa dan sempit dan halus bagi orang – orang yang fasik dan munafik sehingga sampai ia akan halusnya itu seolah – olah rambut atau lebih halus lagi daripada itu.Rasulullah saw bersabda
ﻫﻭ ﺃﺩﻕ ﻣﻥ ﺍﻟﺷﻌﺭﺓﻭﺃﺣﺩ ﻣﻥ ﺍﻟﺳﻳﻑ
Ertinya :Sirat itu adalah terlebih halus daripada rambut dan terlebih tajam daripada pedang.
Jauhnya perjalanan sirat itu adalah seribu lima ratus tahun peralanan.Keadaan manusia semasa melintas sirat itu berbeza – beza dari segi bersegera atau lambat dengan kadar bersegera atau lambatnya mereka menunaikan perintah – perintah Allah Taala semasa di dunia.Sesetengahnya seperti kilat yang menyambar.Sesetengahnya seperti angin yang bertiup.Sesetengahnya seperti burung yang terbang.Sesetengahnya seperti kuda yang berlari.Sesetengahnya seperti berlarinya seorang lelaki yang kuat.Ada yang berjalan.Ada yang merangkak dan ada yang mengisut.Ada yang sampai di dalam sekelip mata.Ada yang sehari.Ada yang sebulan.Ada yang setahun.Ada yang beribu ribu tahun.Orang – orang yang munafik akan jatuh ke dalam neraka sementara orang – orang yang beriman akan sampai di syurga dengan selamat.
Syurga dan neraka
Syurga adalah satu tempat yang disediakan oleh Allah ke atas hamba – hambanya yang taat di dalamnya penuh dengan segala kenikmatan.Kenikmatan yang terdapat di syurga itu antara lain ialah :-
1)Bidadari – bidadari yang cantik jelita.
2)Minuman yang lazat citarasanya seperti arak , madu dan susu.
3)Makanan dan buah – buahan yang lazat.
4)Pelayan – pelayan dari anak – anak muda yang cantik dan sebaya.
5)Gedung – gedung dan rumah – rumah yang cantik.
6)Hidup selama – lamanya dan tidak mati.Muda selama – lamanya dan tidak tua.
Nama – nama syurga adalah sepertimana berikut :-
1)Jannatul firdaus.
2)Jannatul adnin
3)Jannatul ma’wa
4)Jannatul naim
5)Jannatul khuldi
6)Darul Qarar
7)Darul salam.
8)Darul muqamah
Firman Allah di dalam hadis qudsi
ﺃﻋﺩﺩﺕ ﻟﻌﺑﺎﺩﻱﺍﻟﻣﺘﻗﻳﻦ ﻣﺎ ﻻ ﻋﻳﻦ ﺭﺃﺕ ﻭﻻ ﺃﺫﻦ ﺳﻣﻌﺕ ﻭﻻﺧﻁﺭ ﻓﻲ ﻗﻟﺏ ﺑﺷﺭ
Ertinya :Telah Aku (Allah) sediakan untuk hamba-hambaku yang bertakwa suatu (balasan syurga) yang tak pernah dilihat oleh mata,dan tidak pernah didengar oleh telinga,dan (bahkan) tidak pernah terlintas pun di dalam hati (mana-mana)manusia.
Neraka adalah satu tempat yang disediakan oleh Allah untuk menghukum orang – orang yang derhaka kepada Allah yang terdiri daripada orang – orang munafik , orang – orang kafir dan orang – orang yang melakukan dosa – dosa besar yang mati tanpa bertaubat dan dosa mereka itu tidak diampunkan Allah.Di antara siksaan – siksaan yang telah disediakan oleh Allah itu ialah :-
1)Api yang menyala – nyala.
2)Rantai dan belenggu.
3)Binatang – binatang yang berbisa seperti ular dan kala.
4)Yang menjaga dan mengawal neraka itu terdiri daripada malaikat yang kasar dan keras.
5)Zaqqum iaitu buah yang sangat pahit dan dhari’ iaitu buah yang beracun dan berduri.
6)Minumannya adalah air yang tersangat panas yang dapat memutuskan tali perut dan wapnya dapat menghancurkan daging muka.Nauuzubillah min zalik.
Berikut adalah nama – nama neraka :-
1)Neraka jahannam
2)Neraka jahim
3)Neraka sa’ir
4)neraka lazha
5)Neraka huthamah
6)Neraka saqar
7)Neraka hawiah
Pahala dan dosa
Pahala ertinya jaminan balasan baik yang diberikan ke atas orang – orang yang melakukan kebajikan.Dosa ialah jaminan balasan buruk yang diberikan ke atas orang – orang yang membuat maksiat.Pahala dan dosa inilah yang ditimbang di atas neraca mizan pada hari kiamat nanti.FirmanAllah Taala
من جاء بالحسنة فله عشر أمثالها ومن جاء بالسيئة فلا يجزى الا مثلها وهم لا يظلمون
Ertinya : Sesiapa Yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) Yang sama dengannya; dan sesiapa Yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) Yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).
Syafaat
Syafaat ertinya pertolongan yang akan diberikan di akhirat ke atas manusia – manusia yang berdosa yang dikehendakki Allah.Jenis – jenis syafaat itu adalah seperti berikut :-
1)Syafaat mempercepatkan hisab.Syafaat ini dikhususkan bagi nabi Muhammad saw sahaja.Ianya juga dikenali dengan syafaat uzhma atau syafaat kubra yang bererti syafaat yang besar kerana ia meliputi semua makhluk tanpa kecuali samada manusia atau jin , muslim atau kafir.
2)Syafaat supaya diringankan siksaan.
3)Syafaat memasukkan orang – orang yang beriman ke dalam syurga tanpa hisab.
4)Syafaat untuk orang yang berdosa yang mewajibkan masuk ke neraka tetapi tidak dimasukkan ke neraka.
5)Syafaat untuk orang yang masuk ke neraka tetapi disingkatkan tempoh siksaan.
6)Syafaat untuk mengeluarkan semua orang yang melakukan dosa – dosa besar yang mati atas tauhid lalu dimasukkan ke dalam syurga.
Perhatian :Syafaat dari jenis yang ketiga hingga keenam itu hanya khusus untuk orang – orang yang mati di dalam akidah tauhid sahaja dan tidak akan dapat diperolehi oleh orang – orang yang mati di dalam keadaan mensyirikkan Allah.Firman Allah Taala
إن الله لا يغفر أن يشرك ويغفر دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افترى إثما عظيما
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar.
Selain nabi Muhammad , sekelian nabi – nabi yang lain , para ulama dan orang – orang yang mati syahid turut mendapat keistimewaan memberikan syafaat.Rasulullah saw bersabda
ﻳﺷﻓﻊ ﻳﻭﻡ ﺍﻟﻗﻳﺎﻣﺔﺍﻷﻧﺑﻳﺎﺀ ﺛﻡ ﺍﻟﻌﻟﻣﺎﺀ ﺛﻡ ﺍﻟﺷﻬﺩﺍﺀ
Ertinya :Akan memberikan syafaat pada hari kiamat nanti oleh para nabi , ulama dan juga orang – orang yang mati syahid.
Selain itu terdapat juga syafaat dari anak – anak yang mati sewaktu kecil bagi ibu bapa mereka yang beriman.Terdapat juga syafaat bagi penghafaz – penghafaz Al Quran bagi sepuluh ahli keluarga mereka yang mewajibkan neraka tetapi tidak dimasukkan ke neraka.Semoga Allah menetapkan iman kita semua dan melayakkan kita untuk memperolehi syafaat pada hari yang dahsyat tersebut.Amin ya Rabbal alamin.
Di antara usaha – usaha untuk memperolehi syafat itu ialah :-
1)Memelihara akidah selama hayat dikandung badan.
2)Memelihara solat fardu lima waktu.
3)Membanyakkan sedekah
4)Membanyakkan salawat ke atas nabi Muhammad saw.
5)Bersabar dan reda dengan musibah hidup.
6)Membanyakkan doa dan merendah diri kepada Allah swt.
7)Suka menolong orang – orang yang beriman.
8)Membanyakkan membaca kalam Allah ayat – ayat suci Al Quran al karim.
9)Sentiasa bertaubat dan memperbaiki amalan.
Perkara – perkara sam’iyat
Perkara – perkara sam’iyat ertinya perkara – perkara yang di dengar daripada perkhabaran Al Quran dan hadis.Wajib atas tiap – tiap manusia beriman dengan adanya perkara – perkara tersebut seperti yang dinyatakan oleh Al Quran dan hadis.Mengingkari perkara – perkara sam’iyat yang sabit daripada Al Quran itu adalah kufur yang mengekalkan di dalam neraka.Wal iyazubillah.Begitu juga mengingkari perkara – perkara sam’iyat yang sabit daripada hadis yang mutawattir (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang ramai sehingga mencapai darjat yakin) juga boleh menyebabkan kufur.Adapun mengingkari perkara – perkara sami’yat yang sabit dengan khabar ahad (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang kurang dari mutawattir) tidak menjatuhkan seseorang kepada kufur sebaliknya menjadikan seseorang itu fasik (berdosa besar).Kesimpulannya kita wajiblah mempercayai perkara – perkara sam’iyat samada perkhabarannya itu mutawattir atau tidak supaya kita terselamat dari sebarang gelaran samada kufur atau fasik.Perkara – perkara sam’iyat itu adalah sebagaimana berikut :-
1)Para malaikat dan sekelian yang berkaitan dengan mereka seperti yang diceritakan di dalam Al Quran dan hadis.
2)Para nabi dan sekelian yang berkaitan dengan kisah mereka seperti yang diceritakan oleh Al Quran dan hadis.
3)Kitab – kitab yang diturunkan Allah sebelum Al Quran dan sekelian yang berkaitan dengannya seperti yang diceritakan di da lam Al Quran dan hadis.
4)Hari akhirat dan sekelian yang berkaitan dengannya seperti yang diceritakan di dalam Al Quran dan hadis.
5)Makhluk jin , syaitan dan Iblis dan sekelian yang berkaitan dengannya seperti yang diceritakan di dalam Al Quran dan hadis.
6)Kadhak dan kadar.
7)Arasy.
8)Kursi.
9)Luh Mahfuz.
10)Qalam.
12)Ruh.
Pendekata apa sahaja yang diceritakan oleh Al Quran dan hadis maka yang demikian itu adalah perkara – paerkara sami’yat yang wajib diimani oleh tiap – tiap mukallaf.
mas, boleh tanya, itu di ihya' juz berapa za, kalo boleh tahu halaman berapa... terimakasih
ReplyDelete