Berhubung dengan pendapat sesetengah kalangan dari saudara-saudara kita tentang kelemahan dalil membaca Al Quran di kuburan saya mendapati bahawa segala hujjah mereka di dalam membid’ahkan amalan tersebut adalah tersangat lemah.Begitu juga dengan hujjah-hujjah para ulama yang dinyatakan di mana ianya berkisar kepada tiga hujjah utama iaitu:
1) Ayat 39 surah Al Najm
2) Bahawa amalan tersebut tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.
3) Hadis-hadis di dalam perkara tersebut adalah merupakan hadis-hadis yang lemah.
Berkenaan hujjah yang pertama,di mana mereka menggunakan ayat 39 surah Annajm sebagai dalil yang bermaksud “dan tidaklah seseorang itu memperolehi balasan melainkan dengan sebab usahanya sendiri.”,yang mana menurut mereka berdasarkan kepada ayat tersebut pahala bacaan Al Quran tidak akan sampai kepada si mati kerana bacaan itu adalah bacaan orang lain dan bukan daripada usaha si mati tersebut.Hujjah tersebut menurut saya adalah daif kerana empat sebab:
1)Di dalam ayat tersebut tidak mengandungi hukum samada suruh atau tegah hanya bersifat khabar semata-mata.Oleh itu ianya tidak cukup kuat untuk dijadikan landasan hukum di dalam masalah ini.
2)Ayat tersebut di dahului oleh ayat sebelumnya iaitu ayat 38 yang bermaksud, “seseorang yang berdosa itu tidak akan menanggung dosa orang lain”, kemudian barulah diikuti oleh ayat 39 yang bermaksud “dan tidaklah seseorang itu memperolehi balasan melainkan dengan sebab usahanya sendiri.”Jadi ada ihtimal bahawa yang dimaksudkan dengan balasan itu khusus balasan dosa sahaja berdasarkan kepada keadilan Allah Taala. Ini bermakna ayat 39 itu merupakan tafsiran ayat 38 yang tersebut.Oleh itu ianya tidak menafikan bahawa sampainya kebajikan dari orang lain ke atas orang yang telah meninggal dunia berdasarkan kepada kemurahan Allah Taala ke atas hamba-hambanya.
3)Ada ihtimal bahawa ayat tersebut menunjukkan taghlib(yang dimaksudkan adalah pada kebiasaannya) seperti apabila dikatakan “seseorang itu tidak akan memperolehi harta melainkan dari hasil titik peluhnya sendiri,” maka itu bermaksud pada kebiasaannya seseorang itu tidak akan memperoleh harta melainkan dengan usahanya sendiri dan itu tidak menafikan bahawa dia juga boleh memperolehi harta dengan cara-cara lain seperti hibbah,sedekah ,pewarisan dan lain-lain.
4)Jika ayat 39 itu dipegang secara konsisten tanpa menoleh lagi kepada dalil-dalil yang lain nescaya akan terbatallah hadis-hadis yang menunjukkan adanya syafaat pada hari kiamat pada hal yang tersebut itu telah sabit dengan hadis-hadis yang sahih.
Berkenaan hujjah yang kedua pula,kita dapat mengatakan berapa banyaknya perkara yang diharuskan yang kita buat pada hari ini yang tidak dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat.Persoalannya sekarang perlukah Rasulullah membuat semua perkara yang harus untuk menunjukkan perkara tersebut adalah harus?Persoalannya lagi adakah apabila baginda tidak melakukan sesuatu perkara itu maka yang demikian bererti larangan?Kalaulah jawapannya ya,sudah tentu tidak akan ada perselisihan di kalangan para ulama di dalam perkara ini padahal para ulama yang membolehkan menghadiahkan pahala bacaan Al Quran ke atas orang yang telah meninggal dunia merupakan pandangan jumhur. Di antara ulama yang membolehkan membaca Al Quran ke atas kubur dan sekali gus sampai pahalanya kepada mayat itu misalnya Imam Al Ghazali di mana beliau mengatakan di dalam Ihya, “Dan tidak mengapa membaca Al Quran ke atas kubur.” Seterusnya beliau meriwayatkan daripada Ali bin Musa Al Haddad ia berkata, “Daku pernah menghantar satu jenazah bersama Imam Ahmad dan bersama-sama kami ada Muhammad bin Qudamah Al Jauhari.Apabila mayat telah dikebumikan datanglah seorang buta lalu membaca Al Quran di sisi kubur tersebut maka Imam Ahmad berkata kepada orang tersebut,saudara!Sesungguhnya membaca Al Quran di sisi kubur itu adalah bid’ah.Apabila kami keluar dari kawasan perkuburan,Muhammad bin Qudamah Al Jauhari berkata kepada Imam Ahmad,wahai Abu Abdillah!apakah pendapat kamu tentang Mubasyir bin Ismail Al Halabi?Dia berkata thiqah(kepercayaan).Kata Muhammad bin Qudamah lagi,adakah anda menulis sesuatu daripadanya?Imam Ahmad menjawab,Ya!Abu Qudamah pun berkata,telah menceritakan daku oleh Mubasyir bin Ismail daripada Abdul Rahman bin Al Ala’ bin Al Jalaj daripada bapanya sesungguhnya ia berwasiat jika sekiranya ia telah dikebumikan hendaklah dibacakan di pihak kepalanya permulaan surah Al Baqarah dan penutupnya lantas ia berkata aku mendengar Ibnu Umar telah berwasiat seumpama itu.Setelah mendengar keterangan Muhammad bin Qudamah yang tersebut lantas Imam Ahmad berkata kembalilah kepada lelaki tadi dan katakan kepadanya bacalah(Al Quran itu untuk orang yang telah mati)”(Ihya Ulumuddin,Dar Al Kutub Al Ilmiah, Juzuk 4, Sub Kitab Zikrul Maut Wa Ma Ba’dahu, halaman 428).
Kata Al Syeikh Daud bin Abdullah Al Fatani pula di dalam Baghiat Al Tullab juzuk 2 halaman 33, “Kata Syeikh Jamal bermula tahkiknya(yang sebenarnya) perkataan ini bahawasanya qiraat(bacaan Al Quran) memberi menafaat akan mayat dengan syarat salah satu daripada tiga perkara adakalanya(samada) hadir ia pada mayat atau pada kuburnya atau dikasadkan (diniatkan) ia yang membaca baginya jika ada ia kemudiannya (sekalipun) atau didoakan baginya dan jikalau jauh yang membaca itu daripada mayat itu sekalipun.Di dalam Nahjul Raghibin pula Al Syeikh Daud telah pergi lebih jauh lagi di mana beliau mengatakan bahawa sah mengupah orang lain untuk membacakan Al quran ke atas orang yang telah meninggal dunia di mana beliau menyebutkan “….dan (sah mengupah orang lain) membaca Al Quran pada kubur serta membaca doa bagi mayat kemudian daripada membaca Quran dengan dijadikan pahalanya (bagi) si mayit kerana (dengan yang demikian itu) adalah tempat turun rahmat dan doa kemudian daripadanya itu (menjadikan bacaan itu) terlebih harap diperkenankan….”Seterusnya beliau telah merujukkan bahawa segala masalah tersebut telah disebutkan oleh Syeikh Ibnu Hajar (Al Hathami) di dalam kitab Tuhfah.(Sila rujuk Hamasy Baghiat Al tullab juzuk 2 ms 9).Berdasarkan kepada keterangan yang tersebut beliau Syeikh Daud bukan sahaja berpegang bahawa membaca Al Quran ke atas kubur itu dibolehkan serta sampai pahalanya kepada mayat malahan sah pula memberi dan menerima upah bagi amalan tersebut dan beliau juga telah merujukkan masalah ini kepada Syeikh Ibnu Hajar salah seorang ulama yang masyhur di dalam mazhab Syafii.
Kita mesti faham bahawa Imam Syafii di dalam qaul qadimnya membolehkan tetapi menarik balik fatwa tersebut di dalam qaul jadid.Namun ulama-ulama Syafiiah terutama ulama-ulama mutaakhirin membolehkan kerana dalil-dalil yang membolehkan itu adalah terlebih kuat dan lebih aula untuk diikuti.Di samping itu juga kerana kaedah yang menyebutkan “al ijtihad la yantaqidhu bil ijtihad” yang bermaksud suatu ijtihad itu tidak dapat dibatalkan oleh ijtihad yang lain.Oleh itu ijtihad Imam Syafii yang dahulu itu tetap terpakai apatah lagi dalil-dalilnya terlebih kuat dari ijtihad yang kemudian.Imam Ahmad juga turut mempunyai dua qaul di dalam masalah ini di mana beliau pada mula-mulanya melarang namun akhirnya menarik balik fatwanya yang pertama setelah sampai kepadanya hadis wasiat Ibnu Umar seperti yang telah disebutkan di dalam Ihya.Perkara yang sama juga disebut oleh Imam Qurtubi di dalam Tazkirahnya. Dengan sebab itu benar seperti yang telah dikatakan oleh Ibnu Taimiyah yang dikemukakan oleh Al Hamid Al Husaini bahawa sampainya pahala amal yang dihadiahkan ke atas orang-orang yang telah meninggal dunia itu sudah merupakan ijmak seluruh umat Islam.
Para ulama yang membolehkan membaca Al Quran di kuburan juga telah berhujjah dengan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ibnu Abbas di mana Rasulullah saw pernah melalui dua perkuburan yang kedua penghuninya diazab oleh Allah kerana yang seorang tidak membersihkan kencing dan seorang lagi melakukan namimah.Lalu Rasulullah saw memacakkan pelepah tamar yang telah dibelah dua sambil bersabda “semoga Allah meringankan siksa daripada kedua-duanya selama pelepah tamar tersebut masih basah(hijau).Imam Nawawi mengemukakan beberapa pendapat para ulama tentang illah keringanan siksa ke atas ahli-ahli kubur berkenaan.Salah satu daripada sebabnya yang menjadi pegangan kebanyakan ulama-ulama tafsir ialah kerana rahmat yang turun hasil daripada tasbih pelepah tamar tersebut selama pelepah tamar tersebut masih basah.Ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam Al Quran bahawa tidak ada sesuatu pun melainkan kesemuanya bertasbih kepada Allah dan memujinya.Jika sekiranya diharapkan keringanan siksa hanya semata-mata tasbih daripada pelepah tamar yang tersebut maka diharapkan keringanan siksa itu dengan pembacaan Al Quran adalah terlebih aula.(Rujuk Sahih Muslim Syarah Nawawi,Dar Al Ihya Al Turath Al Arabi jilid 2 juzuk 3 halaman 200 hingga 202).Walaupun Imam Nawawi mengemukakan beberapa pandangan ulama dalam mensyarahkan hadis tersebut namun sesiapa sahaja yang membuat penelitian dengan cermat dan saksama pasti mendapati bahawa pendapat kebanyakan ulama-ulama tafsir tersebut itulah lebih aula untuk dipegang kerana pendapat mereka adalah hampir kepada zahir siaqul hadis dan disokong dengan hujjah Al Quran bahawa tiap-tiap sesuatu adalah bertasbih dan memuji Allah.Ada satu persoalan yang timbul di dalam menanggapi hadis tersebut iaitu apa perlunya Rasulullah saw memacakkan pelepah tamar ke atas kedua-dua kubur berkenaan?Adakah kerana saja- saja atau semata-mata sebagai indikator tempoh pelepasan azab semata?Kedua-dua jawapan tersebut tentulah tidak mungkin kerana dengan yang demikian membawa kepada adanya unsur sia-sia di dalam perbuatan dan sabdaan Rasulullah dan ini amat bertentangan dengan hikmah Ilahi di mana baginda diutus sebagai sumber hukum dan semua kata-kata dan perbuatan baginda merupakan tempat istimbat.Walaupun terdapat ulama yang mentakwilkan hadis ini dengan mengatakan ada ihtimal bahawa kemungkinan Rasulullah saw berdoa dan doanya diperkenankan oleh Allah dengan berdalilkan hadis lain di akhir kitab sahih Muslim namun ianya masih lagi relevan dengan pendapat para ulama tafsir kerana jelas Rasulullah tidak berdoa semata –mata ,malahan doa baginda itu baginda kaitkan dengan pelepah tamar yang baginda pacakkan selama pelepah tersebut belum kering.Hal ini menunjukkan bahawa tasbih daripada pelepah tamar tersebut turut memainkan peranan di samping doa, dan turunnya rahmat dengan sebab tasbih pelepah tamar tersebut dapat dikiaskan dengan turunnya rahmat dengan sebab pembacaan Al Quran malahan bacaan Al Quran adalah terlebih aula untuk memperolehi rahmat kerana telah ternyata kelebihan kalam Allah di atas kalam sekelian makhluk dan di samping itu ianya terbit dari perbuatan mukallaf.Persoalan tentang andainya mensedekahkan pahala Al Quran itu baik dan aula maka mengapa ianya tidak diamalkan oleh Rasulullah sepatutnya tidak timbul kerana kadang-kadang Rasulullah mengamalkan perkara yang kurang aula disebabkan perkara tersebut mudah di amalkan dan dapat diikut oleh semua orang walau oleh orang yang mempunyai kekurangan dari segi kerajinan dan juga masa.Ini adalah kasih sayang baginda supaya jangan ada umatnya yang terlepas dari mendapat rahmat dengan alasan tidak mempunyai tenaga dan masa padahal untuk memperolehinya ada jalannya yang sangat mudah.Namun demikian dengan cara tersebut Rasulullah telah menunjukkan asas di dalam perkara ini bagi para ulama untuk mengistimbat bahawa membaca Al Quran di perkuburan juga adalah dibolehkan dan pahalanya sampai kepada mayat.Mereka yang berpegang dengan pendapat tidak boleh membaca Al Quran di perkuburan juga berhujjah bahawa tidak diriwayatkan dari para sahabat mereka pernah melakukan amalan tersebut.Hujjah tersebut adalah tertolak dengan sendirinya kerana persoalan membaca Al Quran di perkuburan adalah masalah ijtihadi dan oleh itu tidak menjadi masalah samada sahabat ada melakukannya atau tidak.Ada pun para sahabat, mereka mungkin mempunyai sebab yang tersendiri.Dengan jumlah umat Islam pada zaman itu yang relatif kecil dan diapit pula oleh dua gergasi dunia iaitu Rom dan Farsi serta mengharungi peperangan demi peperangan yang mengerikan ditambah pula oleh ramainya umat manusia yang belum mendapat hidayah di kebanyakan tempat di merata dunia tentulah tidak relevan bagi mereka untuk sibuk menghabiskan masa membaca Al Quran di perkuburan pada hal ramai lagi orang yang hidup yang lebih memerlukan kepada Al Quran itu sendiri.Lagi pun,dapat juga dikatakan bahawa mereka tidak menjadikan amalan membaca Al Quran di kuburan adalah kerana belum ada orang yang berijtihad tentang masalah ini ketika itu di mana mereka membataskan sabdaan nabi kepada zahirnya sahaja tanpa menambah-nambah, yang mana keadaan tersebut memang sesuai untuk zaman mereka ketika itu dan adalah maklum bahawa amalan sahabat yang bukan ijmak tidak semestinya tidak boleh disalahi,melainkan jika mereka memang membawakan nas yang jelas bahawa nabi memang melarang untuk membaca Al Quran di kubur.Dan di dalam hal ini memang tidak ada nasnya yang melarang dari yang demikian itu,malahan ada dalil yang menunjukkan bahawa membaca Al Quran di kubur turut diamalkan oleh sesetengah sahabat seperti hadis wasiat Ibnu Umar yang telah dinyatakan sebelum ini.Golongan yang melarang pembacaan Al Quran di perkuburan juga berhujjah bahawa pembacaan Al Quran adalah ibadat yang tidak boleh dikiaskan dan hanya terbatas kepada dalil semata. Menurut saya ini adalah pendapat yang daif kerana umum mengetahui bahawa ibadat terbahagi kepada dua iaitu ibadat khusus dan ibadat umum.Ibadat khusus pula terbahagi tiga iaitu yang muaqqat(ditentukan waktunya oleh nas),muqayyad(diqaidkan dengan syarat serta rukun oleh nas) dan yang mutlak iaitu yang tidak ditentukan waktunya dan tidak diqaidkan dengan sebarang syarat dan rukun malahan diberi kebebasan bagi seseorang untuk melakukannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja.Membaca Al Quran ,berzikir, berselawat,bersedekah sunnat dan seumpamanya merupakan ibadat mutlak yang bermakna boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja selagi tidak ada dalil yang melarang.
Selain itu golongan yang mengharamkan pembacaan Al Quran di perkuburan juga berdalilkan hadis yang bermaksud “jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan kerana syaitan lari dari rumah-rumah yang dibacakan surah al baqarah”.Menurut saya ini adalah pendapat yang bukan sahaja silap malahan istidlal yang digunakannya juga merupakan istidlal yang tidak ada kena-mengena.Apa kena-mengenanya larangan menjadikan rumah sebagai kuburan dengan hukum membaca Al Quran di kuburan?Hadis tersebut membawa maksud bahawa kuburan bukanlah tempat yang biasa untuk membaca Al Quran dan bukannya bermaksud sebagai tempat yang di larang untuk membaca Al Quran.Keduanya hadis tersebut mengandungi makna majazi ,iaitu apabila nabi mengatakan jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti di dalam kuburan, ianya bermaksud nabi mengumpamakan rumah-rumah yang tidak dibacakan Al Quran itu sebagai kuburan di mana wajah tasybihnya ialah, sebagaimana di dalam kuburan itu hanya ada mayat maka begitulah dengan rumah yang tidak dibacakan Al Quran, oleh itu janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti itu yang mana rumah-rumah kamu itu seolah-olah kuburan dan kamu pula seolah-olah mayatnya yang sepi dari zikrullah. Ini adalah termasuk di dalam bab mathal dan isybah.Bukankah ada hadis yang lain yang menyebut bahawa orang yang berzikir itu adalah hidup di sisi Allah dan orang yang tidak berzikir itu adalah orang yang mati di sisi Allah?Bererti orang yang tidak membaca Al Quran dan berzikir itu seolah-olah mayat dan rumah-rumah mereka seolah-olah kuburannya.Dan tidaklah bererti dengan hadis ini Rasulullah mengharamkan membaca Al Quran di kuburan.Perhatikan firman Allah di dalam surah Al Isra’ ayat 29 yang bermaksud, “jangan jadikan tangan kamu terbelenggu pada tengkuk kamu dan janganlah pula kamu menghamparkannya sehampar-hamparnya..”Adakah firman ini bermaksud mengharamkan kita membelenggukan tangan pada tengkuk dan mengharamkan kita menghamparkan tangan?Tentulah tidak kerana ianya merupakan tasybih iaitu kinayah kepada sifat kedekut dan boros.Oleh itu tidak ada kena mengena hadis tersebut dengan hukum membaca Al Quran di kuburan.Golongan yang mengharamkan pembacaan Al Quran ke atas orang yang telah meninggal dunia juga mendakwa hadis-hadis yang digunakan oleh para ulama di dalam membolehkan membaca Al Quran di kuburan itu merupakan hadis yang lemah.Ternyata pendapat tersebut dapat dipertikaikan.Sebagai contoh hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya yang bermaksud, “bacalah yaasiin bagi orang yang telah wafat di antara kalian” telah disahihkan oleh Ibnu Hibban.Maka pentashihan oleh Ibnu Hibban yang tersebut adalah memadai untuk dijadikan pegangan.Jika ada ulama yang cenderung menghukum hadis tersebut daif,maka itu adalah perkara biasa dan tidak mendatangkan masalah sebab khilafiah tentang hadis tersebut bukanlah suatu kemestian bahawa apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad itu tidak boleh diamalkan.Lagi pun hadis tersebut telah dikuatkan oleh hadis-hadis yang lain dan telah juga diriwayatkan melalui jalan yang lain yang walaupun daif namun apabila dihimpunkan antara satu sama lain dapat menjadi kuat apalah lagi jika telah sampai kepada had yang mutawattir.Di dalam hal ini jumhur muhaddisin dan fuqaha mengatakan bahawa hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang ramai sehingga ke peringkat mustahil mereka berpakat untuk mengadakan dusta maka ianya menjadi hadis mutawattir dan hadis mutawattir adalah sah dijadikan sandaran hukum tanpa diperkirakan sanadnya samada daif atau tidak. Begitu juga hadis daif yang telah dikuatkan oleh hadis sahih walaupun hadis yang sahih itu cuma satu maka ia menjadi hadis hasan dan hadis hasan juga sah untuk dijadikan sandaran hukum.Sila rujuk di dalam kitab-kitab mustalah hadis di dalam perkara ini.Jika pentashihan Ibnu Hibban berkenaan diambil kira, dan sememangnya pun ianya layak untuk diambil kira jika ditinjau dari keahlian Ibnu Hibban itu sendiri, maka hadis yang membolehkan membacakan Al Quran ke atas orang yang telah meninggal dunia kalau pun tidak menjadi mutawattir sekurang-kurangnya menjadi hadis hasan dan di dalam kedua-dua keadaan itu, ianya sah untuk dijadikan sandaran bagi hukum.Mereka yang mengaharam juga berhujjah dengan mengatakan bahawa perkataan mauta yang tersebut di dalam hadis tersebut bererti orang yang akan mati dan bukannya orang yang telah mati.Ternyata pendapat ini menurut saya adalah tidak benar kerana perkataan mauta adalah lafaz musytarak yang boleh membawa kepada dua maksud samada orang yang telah mati atau orang yang akan mati kedua-duanya muhtamil.Malahan penggunaannya dengan merujuk kepada zaman madhi adalah diutamakan kerana yang demikian adalah maknanya yang asal sementara penggunaannya dengan makna mudhari’ atau zaman mustaqbal pula hanya majazi kerana perkataan tersebut adalah jamak bagi isim maf’ul tetapi menggunakan sighah isim fa’il maata dengan makna maf’ul dan ditasrifkan atas wazan fa’la untuk menunjukkan kepada ihlak dan tawajju’ dan ianya sama wazan dengan perkataan qatla mufradnya qatiil di mana ungkapan qatla badrin misalannya seperti yang digunakan di dalam banyak hadis-hadis sahih membawa maksud orang yang telah terbunuh di dalam peperangan Badar dan bukannya bererti orang yang akan terbunuh di dalam peperangan badar.Sila rujuk juga surah Al Baqarah ayat 260 di mana Allah berfirman menghikayatkan permintaan Nabi Ibrahim as yang bunyinya, “Rabbi arini kaifa tuhyil mauta…”yang ertinya :Wahai Tuhanku perlihatkan kepada ku bagaimana engkau menghidupkan orang yang telah mati.Di sini mauta bererti orang yang telah mati dan bukannya orang yang akan mati!Oleh itu penghujjahan dari sudut Bahasa Arab yang dikemukakan tidak dapat digunakan di dalam hal melarang manusia membaca Al Quran ke atas orang yang telah mati.Begitu juga hadis “laqqinu mautakum la ilaha illa llah” yang mereka gunakan sebagai sokongan tidak dapat membantu mereka di dalam hal ini kerana kalimah mauta di dalam hadis tersebut tetap berstatus musytarak yang muhtamal kepada semua makna kerana tidak ada bukti bahawa Rasulullah saw maksudkan perkataan mauta di dalam hadisnya itu sebagai orang yang akan mati, dan dengan sebab itu kita digalakkan berihtiath dengan cara membacakan yaasiin dan mengajarkan kalimah la ilaha illa llah bagi kedua-dua keadaan iaitu ketika hampir mati dan sesudahnya.Adapun mengajar la ilaha illa llah sesudah mati itu ialah dengan cara membaca talkin seperti yang disunnatkan oleh ulama-ulama Syafiiah dan cara ini lebih disukai syarak berdasarkan kepada kaedah “al khuruj minal khilaf mustahabbah” yang bermaksud keluar dari khilaf itu adalah digalakkan,malahan mereka yang mengharamkan membacakan Al Quran ke atas orang yang telah meninggal dunia sebaliknya menggunakan penghujjahan dari sudut lughah yang tersebut untuk mengharamkan dari membaca Al Quran.Alangkah songsangnya cara berfikir seperti ini dan ianya adalah jauh dari semangat pengistimbatan hukum oleh para ulama!
Sebagai kesimpulan dari tulisan saya ini dapatlah dikatakan bahawa, hujjah-hujjah tentang kelemahan dalil membaca Al Quran di perkuburan adalah tertolak kerana mereka tidak membawa satu dalil pun yang jelas dan terang tentang tidak sampainya pahala bacaan Al Quran kepada ruh orang yang telah meninggal dunia dan tentang haramnya membaca Al Quran di kuburan.Dalil Imam Syafii yang dikemukakannya iaitu ayat 39 surah Al Najm adalah dalil yang bersifat umum yang kemudiannya telah dibahaskan oleh para ulama seperti Ibnu Taimiah dan lain-lain di mana jumhur mereka akhirnya menolak pandangan Imam Syafii tersebut.Sebaliknya mereka telah berpegang kepada fatwa yang lebih hampir nas-nas Al Quran dan hadis di dalam perkara ini. Semoga kita diberikan hidayah oleh Allah.
No comments:
Post a Comment