Monday, November 22, 2010

BERIMAN DENGAN MALAIKAT


Pengertian malaikat
Malaikat ialah sejenis makhluk yang merupakan sebahagian daripada tentera Allah yang diciptakan daripada cahaya yang halus yang dapat berupa kepada berbagai rupa dan sentiasa taat dengan segala titah perintah Allah.

Hukum percaya kepada para malaikat.
Hukum mempercayai adanya malaikat itu adalah wajib dan menjadi kafir kepada sesiapa yang mengingkarinya kerana ianya termasuk di dalam salah satu daripada rukun iman yang enam.Firman Allah Taala
ءامن الرسول بما أنزل إليه من ربه والمؤمنون كل ءامن بالله وملائكته وكتبه ورسله
Ertinya : Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya,
Rasulullah saw bersabda
ﺧﻟﻗﺕ ﺍﻟﻣﻼﺋﻛﺔ ﻣﻥ ﻧﻭﺭﻭﺧﻟﻕ ﺍﻟﺟﺎﻥ ﻣﻥ ﻣﺎﺭﺝ ﻣﻥ ﻧﺎﺭ ﻭﺧﻟﻕ ﺃﺩﻡ ﻣﻣﺎ ﻭﺼﻑ ﻟﻛﻡ
Ertinya :Dicipta malaikat itu daripada cahaya dan dicipta jin itu daripada api dan dicipta Adam sepertimana yang telah diceritakan kepada kamu (daripada tanah).

Hikmah penciptaan malaikat
1)Bagi menzahirkan kekuasaan dan keagungan Allah.
2)Menghampirkan keimanan manusia kepada Allah.
3)Ujian keimanan untuk manusia.
4)Supaya manusia bertambah – tambah malu melakukan maksiat lebih – lebih lagi kepada yang lemah iman kerana mereka akan merasa bahawa perbuatan mereka bukan sahaja disaksikan oleh Allah malah disaksikan juga oleh para malaikat.

Sifat – sifat malaikat.
1)Diciptakan daripada cahaya
2)Berakal tetapi tidak mempunyai nafsu.
3)Tidak bersifat lelaki atau perempuan.
4)Mencintai kebajikan dan sentiasa taat kepada perintah Allah.
5)Boleh berupa kepada berbagai rupa.
6)Tidak makan , tidak minum , tidak tidur , tidak berkahwin dan tidak beranak.

Tugas malaikat.
Adalah tugas malaikat itu ialah menjalankan urusan perjalanan alam ini dengan perintah dan izin daripada Allah seperti menjaga bumi , menjaga matahari , menghantar angin , menurunkan hujan , membahagi – bahagikan rezeki kepada sekelian makhluk dan lain – lain lagi.

Bilangan malaikat.
Adalah bilangan malaikat itu tersangat banyak dan hanya diketahui oleh Allah jua.Tetapi yang wajib diketahui satu – persatu nama serta tugas mereka oleh tiap – tiap mukallaf hanya sepuluh seperti berikut :-
1)Jibril tugasnya menyampaikan wahyu.
2)Mikail tugasnya menurunkan rezeki dan hujan.
3)Israfil tugasnya meniup sangkakala.
4)Izrail tugasnya mengambil nyawa makhluk.
5)Munkar tugasnya menyoal manusia yang telah meninggal dunia.
6)Nakir tugasnya menyoal manusia yang telah meninggal dunia bersama – sama dengan malaikat Munkar.
7)Raqib tugasnya mencatat amalan kebajikan.
8)Atid tugasnya mencatat amalan kejahatan.
9)Malik tugasnya menjaga neraka.
10)Ridhwan tugasnya menjaga syurga.

No comments:

Post a Comment