Monday, November 22, 2010

3)Tabligh

Sifat rasul yang ketiga yang wajib kita ketahui ialah tabligh yang bererti rasul – rasul itu bersifat menyampaikan segala titah perintah Allah yang diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikannya.Adapun perkara – perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikannya maka tidaklah wajib atas mereka menyampaikan.Rasulullah saw bersabda
لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلا ولبكيتم كثيرا
Ertinya :Kalaulah kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.
Hadis di atas menunjukkan apa yang rasul tahu itu lebih banyak dari apa yang baginda sampaikan kerana tidak semua yang baginda tahu itu wajib atas baginda menyampaikannya kepada umat manusia.Di dalam hadis lain rasulullah saw bersabda
ﻧﺣﻦ ﻣﻌﺎﺷﺮ ﺍﻷﻧﺑﻳﺎﺀﺃﻣﺭﻧﺎ ﺃﻦ ﻧﺗﻛﻟﻡ ﺍﻟﻧﺎﺱ ﻗﺩﺭ ﻋﻗﻭﻟﻬﻡ
Ertinya: Kami para nabi diperintahkan supaya berkata – kata kepada manusia sesuai dengan keupayaan akal mereka.
Menunjukkan bahawa ada ilmu yang Allah perintah supaya didiamkan kerana sukar bagi manusia memahami perkara tersebut jika diterangkan.Dan Allah sekali – kali tidak mengenakan taklif atas manusia bagi perkara yang Dia sendiri perintahkan supaya didiamkan.

Lawan sifat tabligh itu ialah kitman ertinya menyembunyikan
Lawan sifat tabligh ialah menyembunyikan segala titah perintah Allah.Mustahil rasul – rasul itu bersifat kitman , wajib kita percaya rasul – rasul bersifat menyampaikan.

Dalil sifat tabligh
Dalil naklinya firman Allah
قالوا بلى قد جاءنا نذير فكذبنا وقلنا ما نزل الله من شيئ إن أنتم إلا في ضلال كبير
Ertinya : Mereka menjawab: "Ada! sebenarnya telah datang kepada Kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu Kami dustakan serta Kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (Wahai orang Yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada Dalam kesesatan Yang besar! "
Di dalam ayat di atas Allah mengkhabarkan bahawa ahli – ahli neraka akhirnya mengakui bahawa mereka telah didatangi para rasul yang telah menyampaikan peringatan dan perintah dari Allah.
Dalil aklinya jika rasul – rasul itu tidak menyampaikan perintah Allah bererti rasul – rasul itu telah tidak amanah maka yang demikian adalah mustahil kerana telah sabit bahawa mereka itu bersifat amanah seperti yang telah diketahui dari dalil sifat amanah yang lalu.

4)Fatanah.
Sifat rasul yang keempat ialah sifat fatanah.Fatanah ertinya bijaksana dari semua segi terutama di dalam hal menyampaikan titah perintah Allah dan di dalam hal menangani masalah yang ditimbulkan oleh para penentang.

Lawan fatanah itu baladah
Lawan sifat fatanah ialah baladah.Baladah ertinya bodoh dan tidak mampu menegakkan hujjah bagi mengatasi hujjah – hujjah orang – orang kafir yang menentang mereka.Mustahil bagi rasul – rasul itu bersifat bodoh wajib kita percaya bahawa rasul – rasul itu bersifat fatanah atau bijaksana.

Dalil sifat fatanah
Firman Allah Taala
أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن
Ertinya : Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik;


Wajah istidlal ayat di atas ialah kalaulah rasul itu tidak dilengkapi Allah Taala dengan sifat bijaksana tidak mungkin Allah memerintahkan mereka menyeru manusia dengan cara yang bijaksana dan tidak mungkin juga Allah memerintahkan mereka supaya berbahas dengan cara yang baik.
Dalil aklinya ialah jikalau mereka tidak bersifat dengan bijaksana sudah tentu mereka bersifat bodoh dan tidak mampu menegakkan hujjah bagi mengalahkan orang – orang yang menentang mereka.Jika ini berlaku pasti mereka tidak dapat memberi peringatan kepada orang – orang kafir dan dengan itu tujuan mereka diutus akan menjadi sia – sia dan batallah hikmah ilahi.Oleh itu mustahillah mereka bersifat bodoh wajib kita percaya rasul – rasul itu bersifat fatanah yakni bijaksana.

Sifat yang harus bagi rasul – rasul
Sifat yang harus bagi rasul itu hanya satu iaitu ‘al a’radh al basyariah’.Al a’radh al basyariah itu ertinya sifat – sifat kemanusiaan selagi tidak menjatuhkan ketinggian mertabat kerasulan mereka seperti makan , minum , tidur , berkahwin , mempunyai anak keturunan , sakit , mati dan lain – lain.Adapun sifat – sifat kemanusiaan yang menjatuhkan mertabat kerasulan seperti buta , pekak , bisu , gila , nyanyuk , berpenyakit sopak , kurap dan lain – lain penyakit yang menjijikkan maka yang demikian itu tidak harus bagi rasul kerana semua yang tersebut dapat menjatuhkan mertabat kerasulan dan tabiat manusia membencinya serta dapat pula menjejaskan tugas kerasulan.Jika dibantah adalah nabi Syuaib itu buta kedua mata di akhir umurnya dan adalah nabi Ayub itu berkudis kepalanya sehingga baginda tersisih dari kaumnya.Maka kita jawab adalah buta mata pada nabi Syuaib itu tidak menjejaskan kerasulannya kerana ketika itu tugas kerasulan baginda telah pun selesai.Dan lagi baginda yang sebenarnya bukan buta hanya mata baginda berselaput jua.Adalah kudis pada nabi Ayub itu pada hakikatnya bukan kudis dan bukan penyakit hanya dari asbab perbuatan syaitan dan yang demikian itu adalah dengan izin Allah Taala kerana menguji kesabaran baginda.

Dalil rasul bersifat al a’radh al basyariah
Dalil naklinya firman Allah Taala
قل إنما أنا بشر مثلكم يوحى إلي أنما إلهكم إله واحد
Ertinya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu
Dalil aklinya kembali kepada dalil sifat harus bagi Allah Taala iaitu harus bagi Allah Taala menjadikan mumkin atau tidak menjadikannya dan termasuk di dalam perkara mumkin itu ialah memilih untuk menjadikan rasul – rasul itu dari kalangan manusia biasa yang bersifat dengan sifat – sifat kemanusiaan (al a’radh al basyariah).Kemudian telah sampai juga perkhabaran kepada kita dengan perkhabaran yang mutawattir oleh orang – orang yang hidup sezaman dengan rasul yang menunjukkan rasul itu bersifat dengan sifat – sifat kemanusiaan seperti makan , minum , beristeri , mempunyai anak , sakit , mati dan lain – lain sifat kemanusiaan yang menunjukkan rasul itu hanyalah manusia biasa dan bukannya tuhan seperti kepercayaan Nasrani terhadap nabi Isa as dan bukan malaikat seperti anggapan orang – orang Arab musyrikin di zaman jahiliah.

Hikmah rasul itu dipilih dari kalangan manusia biasa.
1)Supaya mudah berkomunikasi dengan manusia semasa menyampaikan risalah Allah.
2)Sesuai dengan kemuliaan manusia yang merupakan khalifah Allah di atas bumi.
3)Mudah dijadikan contoh dan ikutan untuk manusia.

No comments:

Post a Comment