Monday, November 22, 2010

BERIMAN DENGAN MALAIKAT


Pengertian malaikat
Malaikat ialah sejenis makhluk yang merupakan sebahagian daripada tentera Allah yang diciptakan daripada cahaya yang halus yang dapat berupa kepada berbagai rupa dan sentiasa taat dengan segala titah perintah Allah.

Hukum percaya kepada para malaikat.
Hukum mempercayai adanya malaikat itu adalah wajib dan menjadi kafir kepada sesiapa yang mengingkarinya kerana ianya termasuk di dalam salah satu daripada rukun iman yang enam.Firman Allah Taala
ءامن الرسول بما أنزل إليه من ربه والمؤمنون كل ءامن بالله وملائكته وكتبه ورسله
Ertinya : Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya,
Rasulullah saw bersabda
ﺧﻟﻗﺕ ﺍﻟﻣﻼﺋﻛﺔ ﻣﻥ ﻧﻭﺭﻭﺧﻟﻕ ﺍﻟﺟﺎﻥ ﻣﻥ ﻣﺎﺭﺝ ﻣﻥ ﻧﺎﺭ ﻭﺧﻟﻕ ﺃﺩﻡ ﻣﻣﺎ ﻭﺼﻑ ﻟﻛﻡ
Ertinya :Dicipta malaikat itu daripada cahaya dan dicipta jin itu daripada api dan dicipta Adam sepertimana yang telah diceritakan kepada kamu (daripada tanah).

Hikmah penciptaan malaikat
1)Bagi menzahirkan kekuasaan dan keagungan Allah.
2)Menghampirkan keimanan manusia kepada Allah.
3)Ujian keimanan untuk manusia.
4)Supaya manusia bertambah – tambah malu melakukan maksiat lebih – lebih lagi kepada yang lemah iman kerana mereka akan merasa bahawa perbuatan mereka bukan sahaja disaksikan oleh Allah malah disaksikan juga oleh para malaikat.

Sifat – sifat malaikat.
1)Diciptakan daripada cahaya
2)Berakal tetapi tidak mempunyai nafsu.
3)Tidak bersifat lelaki atau perempuan.
4)Mencintai kebajikan dan sentiasa taat kepada perintah Allah.
5)Boleh berupa kepada berbagai rupa.
6)Tidak makan , tidak minum , tidak tidur , tidak berkahwin dan tidak beranak.

Tugas malaikat.
Adalah tugas malaikat itu ialah menjalankan urusan perjalanan alam ini dengan perintah dan izin daripada Allah seperti menjaga bumi , menjaga matahari , menghantar angin , menurunkan hujan , membahagi – bahagikan rezeki kepada sekelian makhluk dan lain – lain lagi.

Bilangan malaikat.
Adalah bilangan malaikat itu tersangat banyak dan hanya diketahui oleh Allah jua.Tetapi yang wajib diketahui satu – persatu nama serta tugas mereka oleh tiap – tiap mukallaf hanya sepuluh seperti berikut :-
1)Jibril tugasnya menyampaikan wahyu.
2)Mikail tugasnya menurunkan rezeki dan hujan.
3)Israfil tugasnya meniup sangkakala.
4)Izrail tugasnya mengambil nyawa makhluk.
5)Munkar tugasnya menyoal manusia yang telah meninggal dunia.
6)Nakir tugasnya menyoal manusia yang telah meninggal dunia bersama – sama dengan malaikat Munkar.
7)Raqib tugasnya mencatat amalan kebajikan.
8)Atid tugasnya mencatat amalan kejahatan.
9)Malik tugasnya menjaga neraka.
10)Ridhwan tugasnya menjaga syurga.

3)Tabligh

Sifat rasul yang ketiga yang wajib kita ketahui ialah tabligh yang bererti rasul – rasul itu bersifat menyampaikan segala titah perintah Allah yang diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikannya.Adapun perkara – perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikannya maka tidaklah wajib atas mereka menyampaikan.Rasulullah saw bersabda
لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلا ولبكيتم كثيرا
Ertinya :Kalaulah kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.
Hadis di atas menunjukkan apa yang rasul tahu itu lebih banyak dari apa yang baginda sampaikan kerana tidak semua yang baginda tahu itu wajib atas baginda menyampaikannya kepada umat manusia.Di dalam hadis lain rasulullah saw bersabda
ﻧﺣﻦ ﻣﻌﺎﺷﺮ ﺍﻷﻧﺑﻳﺎﺀﺃﻣﺭﻧﺎ ﺃﻦ ﻧﺗﻛﻟﻡ ﺍﻟﻧﺎﺱ ﻗﺩﺭ ﻋﻗﻭﻟﻬﻡ
Ertinya: Kami para nabi diperintahkan supaya berkata – kata kepada manusia sesuai dengan keupayaan akal mereka.
Menunjukkan bahawa ada ilmu yang Allah perintah supaya didiamkan kerana sukar bagi manusia memahami perkara tersebut jika diterangkan.Dan Allah sekali – kali tidak mengenakan taklif atas manusia bagi perkara yang Dia sendiri perintahkan supaya didiamkan.

Lawan sifat tabligh itu ialah kitman ertinya menyembunyikan
Lawan sifat tabligh ialah menyembunyikan segala titah perintah Allah.Mustahil rasul – rasul itu bersifat kitman , wajib kita percaya rasul – rasul bersifat menyampaikan.

Dalil sifat tabligh
Dalil naklinya firman Allah
قالوا بلى قد جاءنا نذير فكذبنا وقلنا ما نزل الله من شيئ إن أنتم إلا في ضلال كبير
Ertinya : Mereka menjawab: "Ada! sebenarnya telah datang kepada Kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu Kami dustakan serta Kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (Wahai orang Yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada Dalam kesesatan Yang besar! "
Di dalam ayat di atas Allah mengkhabarkan bahawa ahli – ahli neraka akhirnya mengakui bahawa mereka telah didatangi para rasul yang telah menyampaikan peringatan dan perintah dari Allah.
Dalil aklinya jika rasul – rasul itu tidak menyampaikan perintah Allah bererti rasul – rasul itu telah tidak amanah maka yang demikian adalah mustahil kerana telah sabit bahawa mereka itu bersifat amanah seperti yang telah diketahui dari dalil sifat amanah yang lalu.

4)Fatanah.
Sifat rasul yang keempat ialah sifat fatanah.Fatanah ertinya bijaksana dari semua segi terutama di dalam hal menyampaikan titah perintah Allah dan di dalam hal menangani masalah yang ditimbulkan oleh para penentang.

Lawan fatanah itu baladah
Lawan sifat fatanah ialah baladah.Baladah ertinya bodoh dan tidak mampu menegakkan hujjah bagi mengatasi hujjah – hujjah orang – orang kafir yang menentang mereka.Mustahil bagi rasul – rasul itu bersifat bodoh wajib kita percaya bahawa rasul – rasul itu bersifat fatanah atau bijaksana.

Dalil sifat fatanah
Firman Allah Taala
أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن
Ertinya : Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik;


Wajah istidlal ayat di atas ialah kalaulah rasul itu tidak dilengkapi Allah Taala dengan sifat bijaksana tidak mungkin Allah memerintahkan mereka menyeru manusia dengan cara yang bijaksana dan tidak mungkin juga Allah memerintahkan mereka supaya berbahas dengan cara yang baik.
Dalil aklinya ialah jikalau mereka tidak bersifat dengan bijaksana sudah tentu mereka bersifat bodoh dan tidak mampu menegakkan hujjah bagi mengalahkan orang – orang yang menentang mereka.Jika ini berlaku pasti mereka tidak dapat memberi peringatan kepada orang – orang kafir dan dengan itu tujuan mereka diutus akan menjadi sia – sia dan batallah hikmah ilahi.Oleh itu mustahillah mereka bersifat bodoh wajib kita percaya rasul – rasul itu bersifat fatanah yakni bijaksana.

Sifat yang harus bagi rasul – rasul
Sifat yang harus bagi rasul itu hanya satu iaitu ‘al a’radh al basyariah’.Al a’radh al basyariah itu ertinya sifat – sifat kemanusiaan selagi tidak menjatuhkan ketinggian mertabat kerasulan mereka seperti makan , minum , tidur , berkahwin , mempunyai anak keturunan , sakit , mati dan lain – lain.Adapun sifat – sifat kemanusiaan yang menjatuhkan mertabat kerasulan seperti buta , pekak , bisu , gila , nyanyuk , berpenyakit sopak , kurap dan lain – lain penyakit yang menjijikkan maka yang demikian itu tidak harus bagi rasul kerana semua yang tersebut dapat menjatuhkan mertabat kerasulan dan tabiat manusia membencinya serta dapat pula menjejaskan tugas kerasulan.Jika dibantah adalah nabi Syuaib itu buta kedua mata di akhir umurnya dan adalah nabi Ayub itu berkudis kepalanya sehingga baginda tersisih dari kaumnya.Maka kita jawab adalah buta mata pada nabi Syuaib itu tidak menjejaskan kerasulannya kerana ketika itu tugas kerasulan baginda telah pun selesai.Dan lagi baginda yang sebenarnya bukan buta hanya mata baginda berselaput jua.Adalah kudis pada nabi Ayub itu pada hakikatnya bukan kudis dan bukan penyakit hanya dari asbab perbuatan syaitan dan yang demikian itu adalah dengan izin Allah Taala kerana menguji kesabaran baginda.

Dalil rasul bersifat al a’radh al basyariah
Dalil naklinya firman Allah Taala
قل إنما أنا بشر مثلكم يوحى إلي أنما إلهكم إله واحد
Ertinya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu
Dalil aklinya kembali kepada dalil sifat harus bagi Allah Taala iaitu harus bagi Allah Taala menjadikan mumkin atau tidak menjadikannya dan termasuk di dalam perkara mumkin itu ialah memilih untuk menjadikan rasul – rasul itu dari kalangan manusia biasa yang bersifat dengan sifat – sifat kemanusiaan (al a’radh al basyariah).Kemudian telah sampai juga perkhabaran kepada kita dengan perkhabaran yang mutawattir oleh orang – orang yang hidup sezaman dengan rasul yang menunjukkan rasul itu bersifat dengan sifat – sifat kemanusiaan seperti makan , minum , beristeri , mempunyai anak , sakit , mati dan lain – lain sifat kemanusiaan yang menunjukkan rasul itu hanyalah manusia biasa dan bukannya tuhan seperti kepercayaan Nasrani terhadap nabi Isa as dan bukan malaikat seperti anggapan orang – orang Arab musyrikin di zaman jahiliah.

Hikmah rasul itu dipilih dari kalangan manusia biasa.
1)Supaya mudah berkomunikasi dengan manusia semasa menyampaikan risalah Allah.
2)Sesuai dengan kemuliaan manusia yang merupakan khalifah Allah di atas bumi.
3)Mudah dijadikan contoh dan ikutan untuk manusia.

2)Amanah

Sifat rasul yang kedua yang wajib diketahui itu ialah amanah.Amanah ertinya kepercayaan dengan ertikata rasul – rasul sentiasa melaksanakan perintah Allah samada yang wajib atau yang sunat dan menjauhi larangan Allah samada yang haram atau makruh.Bahkan rasul – rasul juga tidak melakukan perkara yang tidak utama yang di dalam istilahnya disebut ‘khilaful aula’.

Lawan sifat amanah itu khianat
Lawan kepada sifat amanah itu ialah khianat iaitu tidak melaksanakan perintah Allah dengan meninggalkan yang wajib dan yang sunat atau melanggar larangan Allah dengan melakukan perkara yang haram atau makruh atau khilaful aula (perkara yang tidak utama).Contoh meninggalkan yang wajib itu seperti meninggalkan solat dan lain - lain.Contoh meninggalkan yang sunat ialah seperti meninggalkan membaca bismillah ketika makan dan lain - lain.Contoh melakukan yang haram ialah seperti mencuri dan lain - lain.Contoh melakukan yang makruh seperti makan bawang mentah dan lain – lain.Contoh melakukan khilaful aula seperti mengerjakan witir hanya satu rakaat dan lain – lain.Semuanya itu mustahil bagi rasul.

Dalil rasul bersifat amanah.
Dalil naklinya firman Allah
أن أدوا إلي عباد الله إني لكم رسول أمين
Ertinya : (yang memberitahu kepada mereka Dengan katanya): berikanlah kepadaKu Wahai hamba-hamba Allah (apa-apa Yang menandakan kamu menerima kerasulanku); Sesungguhnya Aku ini seorang Rasul Yang amanah, Yang diutuskan kepada kamu.
Adalah ayat di atas merupakan firman Allah yang menceritakan kata-kata Nabi Musa kepada kaumnya.
Dalil aklinya ialah sekiranya rasul itu tidak bersifat amanah nescaya mereka bersifat dengan lawannya iaitu khianat yang bermakna meninggalkan yang disuruh oleh Allah atau melakukan yang dilarang.Yang demikian adalah mustahil kerana rasul diutus untuk ditaati.Ketika itu akan jadi terbalik segala perintah Allah yang mana ketaatan akan jadi maksiat dan maksiat akan menjadi ketaatan.Firman Allah
وما أرسلنا من رسول إلا ليطاع بإذن الله
Ertinya : Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati Dengan izin Allah.
Dan lagi firmannya
قل إن الله لا يأمر بالفحشاء
Ertinya :Katakanlah Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan Yang keji.


Oleh itu mustahillah rasul itu khianat wajiblah kita percaya rasul itu bersifat amanah yakni sentiasa melakukan yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan yang dilarang olehNya.

Ma’sumWajib kita mengiktikadkan bahawa rasul – rasul itu bersifat ma’sum yakni terpelihara daripada maksiat samada maksiat itu yang berupa dosa besar seperti minum arak dan sebagainya , atau dosa kecil seperti memandang aurat perempuan ajnabi dengan bernafsu dan sebagainya , atau maksiat yang makruh seperti memakan sesuatu yang busuk dan sebagainya atau maksiat yang batin seperti hasad dengki dan sebagainya.Rasul – rasul juga terpelihara daripada salah dan lupa ketika menyampaikan titah perintah Allah kepada kaumnya.