Thursday, April 22, 2010

Wahdaniah

Sifat Allah yang keenam yang wajib diketahui secara tafsil (satu – persatu) oleh setiap mukallaf itu ialah wahdaniah.Erti wahdaniah itu ialah esa atau satu dalam erti kata menafikan Tuhan itu berbilang – bilang dua , tiga atau lebih.Allah itu esa dari semua segi iaitu esa dari segi zat , esa dari segi sifat dan esa dari segi af’al (perbuatan).
Esa Allah dari segi sifat terbahagi kepada dua :-
i)Menafikan kam muttasil bagi zat Allah.
Ertinya menafikan bilangan yang berhubung pada zat.Iaitu menafikan zat Allah itu bersusun dua atau lebih , berjuzuk – juzuk (berbahagi – bahagi) dua atau lebih.Misalnya seperti kepercayaan orang Keristian yang mempercayai bahawa dalam satu Tuhan itu ada tiga oknum iaitu tuhan bapa , tuhan anak dan ruhul kudus.Ini disebut triniti (tiga dalam satu).Yang demikian adalah mustahil bagi Allah.Demikian juga kepercayaan bahawa Tuhan itu beranggota dan bersuku – suku wajah , tangan , kaki dan sebagainya sepertimana kepercayaan orang – orang yang menganut akidah keberhalaan yang terdiri daripada Hindu , Budha dan lain – lain.
ii)Menafikan kam munfasil bagi zat Allah.
Ertinya menafikan bilangan yang bercerai bagi zat Allah dengan ertikata menafikan ada zat lain yang menyamai zat Allah.
Esa Allah dari segi sifat juga terbahagi kepada dua :-
i)Menafikan kam muttasil bagi sifat Allah.
Ertinya menafikan bilangan yang berhubung bagi sifat Allah dengan ertikata menafikan berbilang – bilang sifat Allah pada satu – satu jenis seperti menafikan bahawa bagi Allah itu ada dua atau lebih sifat kudrat (kuasa) ,dua atau lebih sifat iradat (kehendak) , dua atau lebih sifat ilmu , dua atau lebih sifat hayat (hidup) dan sebagainya.Ini semua wajib dinafikan daripada Allah.
ii)Menafikan kam munfasil pada sifat.
Ertinya menafikan bilangan yang bercerai bagi sifat Allah dengan ertikata menafikan ada zat lain yang sifatnya menyamai sifat Allah.
Esa Allah dari segi af’al (perbuatan) hanya satu iaitu menafikan kam munfasil pada af’al (perbuatan) Allah iaitu menafikan bilangan yang bercerai bagi perbuatan Allah dengan ertikata menafikan ada perbuatan lain yang menyamai perbuatan Allah dari segi memberi bekas pada perbuatannya.Adalah perbuatan yang lain dari perbuatan Allah iaitu perbuatan sekelian makhluk tidak memberi bekas hanya sekedar usaha semata – mata.
Kesimpulannya akan terhasil maksud mengesakan Allah itu apabila kita telah menafikan kam yang lima yang tersebut di atas iaitu :-
i)Menafikan kam muttasil bagi zat Allah.
ii)Menafikan kam yang munfasil bagi zat Allah.
iii)Menafikan kam yang muttasil bagi sifat Allah.
iv)Menafikan kam yang munfasil bagi sifat Allah.
v)Menafikan kam yang munfasil bagi af’al Allah.

Lawan sifat wahdaniah itu ialah ta’addud ertinya berbilang – bilang.
Ta’addud ertinya berbilang – bilang Tuhan dua atau lebih samada berbilang – bilang itu dari segi zat atau sifat samada bilangan yang berhubung atau bercerai atau berbilang dari segi af’al (perbuatan) dengan ertikata ada perbuatan lain yang menyamai perbuatan Allah Taala.Berbilang – bilang itu mustahil bagi Allah dan wajib kita percaya Allah itu esa yakni satu.

Dalil wahdaniah
Dalil naklinya firman Allah Taala
ﻟﻭ ﻛﺎﻦ ﻔﻴﻬﻤﺎ ﺀﺍﻟﻬﺔﺇﻻ ﺍﷲ ﻟﻔﺴﺪﺗﺎ
Ertinya : Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan Yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.
Dalil akli Allah itu bersifat esa (satu) ialah beberapa perkara seperti berikut :-
i)Kita telah mengetahui Allah itu wajib bersifat dengan sifat kidam yakni sedia ada dan bersifat juga dengan sifat baqa’ yakni kekal selamanya.Zat yang bersifat dengan kidam mustahil akan binasa kerana wujudnya bersifat wajib (wajibul wujud) bukan harus.Hal ini mewajibkan keadaannya itu esa kerana mustahil berbilang – bilang yang kadim.Dengan kata lain zat yang kadim tidak menerima berbilang – bilang.
ii)Kita telah mengetahui bahawa Allah dengan sifatnya yang kadim menyalahi yang baharu di dalam sepuluh perkara seperti yang dihuraikan dalam menghuraikan sifat mukhalafah yang lalu.Di antara sifat – sifat Allah yang menyalahi yang baharu itu ialah tiada baginya pihak kiri , kanan , depan , belakang , atas dan bawah.Tidak syak lagi zat yang bersifat dengan sifat tersebut tidak sesekali akan ada duanya.Jika ada dua nescaya wujud pihak iaitu yang satu di sebelah yang lain.Yang demikian adalah mustahil dikatakan pada zat yang kadim.
iii)Jika ada dua Tuhan yang berkuasa keduanya dan keduanya sama – sama menjadikan tiap – tiap satu daripada alam ini nescaya berlakulah fenomena dua kudrat (kuasa) bertakluk ke atas maqdur (ciptaan) yang satu maka yang demikian mustahil.Bandingannya seperti dua batang pen yang ditekankan serentak di atas kertas pada ‘point’ yang sama untuk menghasilkan titik yang satu.Yang demikian adalah mustahil.Jika yang satu mendahului yang lain nescaya berlakulah ‘tahsilul hasil’ (salah satunya menghasilkan perkara yang telah dihasilkan).Yang demikian adalah sia – sia.Sia – sia pada pekerjaan Tuhan itu hukumnya mustahil.
Maka nyatalah berdasarkan kepada fakta – fakta di atas mustahil Allah itu berbilang – bilang.Wajib kita mengiktikadkan Allah itu esa yakni satu.

No comments:

Post a Comment