Tuesday, April 20, 2010

Qiamuhu Taala binafsihi.

Sifat yang kelima daripada sifat – sifat Allah yang wajib diketahui oleh mukallaf satu persatu itu ialah qiamuhu Taala bi nafsihi.Qiamuhu Taala bi nafsihi ertinya berdiri dengan sendirinya Allah Taala.Maksudnya ialah Allah itu tidak berhajat kepada yang lain dan bukanlah maksud berdiri itu berdiri lawan duduk.Yang demikian adalah mustahil bagi Allah dan telah pun diketahui semasa membahaskan sifat mukhalafah yang lalu.Dengan kata lain Allah itu tidak memerlukan kepada :-
i)Zat yang lain untuk menjadikan diriNya.Ini telah pun diketahui daripada sifat kidam yang lalu.
ii)Sesuatu bagi mencukupkan kekuranganNya kerana Dia maha suci daripada sifat kekurangan.
iii)Pembantu bagi membantunya di dalam mentadbir alam.

Lawan sifat sifat qiamuhu Taala bi nafsi ialah ihtiajuhu ilal ghair.
Lawan qiamuhu bi nafsihi itu ialah ihtiajuhu ilal ghair ertinya Allah berhajat kepada yang lain.Mustahil Allah itu berhajat kepada yang lain wajib kita percaya Allah itu berdiri sendiri yakni tidak berhajat kepada yang lain.

Dalil qiamuhu Taala bi nafsihi
Dalil naklinya firman Allah
ﺇﻦ ﺍﷲ ﻟﻐﻧﻲ ﻋﻦ ﺍﻟﻌﺎﻟﻤﻴﻦ
Ertinya : Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
Dalil aklinya ialah jika Allah itu berhajat kepada yang lain dalam erti kata berhajat kepada yang menjadikan maka mustahil kerana akan menafikan kidam bagi Allah dan membawa kepada dur dan tasalsul.Jika Dia berhajat kepada sesuatu yang menyempurnakan kekurangannya atau berhajat kepada yang membantunya dalam ketuhanannya maka yang demikian mustahil kerana kekurangan itu sifat bagi baharu (makhluk).Mustahil bagi Allah itu menyamai sesuatu yang baharu kerana jika Dia menyamai dengan yang baharu bererti Dia juga baharu dan berhajat pula kepada yang menjadikan.Yang demikian juga mustahil kerana membawa kepada dur dan tasalsul.Oleh itu sabitlah Allah itu berdiri dengan sendiri iaitu tidak berhajat kepada yang lain.

No comments:

Post a Comment