Wednesday, December 21, 2011

TAKRIF USUL FIQH

Menggali hukum syariah daripada sumber-sumbernya tidak boleh dilakukan dengan sesuka hati berdasarkan kepada hawa nafsu tetapi hendaklah berdasarkan kepada metod-metod yang tertentu seperti yang dijalani oleh para mujtahid.Dengan cara itu barulah sesuatu ijtihad itu dapat diterima.

Adalah ilmu yang membicarakan tentang sumber-sumber hukum dan kehujahannya,mertabat-mertabat pendalilannya,syarat-syaratnya,kaedah-kaedah pengambilannya dan sebagainya itulah yang dinamakan sebagai ilmu usul fiqh.Berkata Ibnu Khaldun “Ilmu usul fiqh itu adalah salah satu daripada sebesar-besar ilmu syar’iyah,yang sangat nyata nilainya dan sangat banyak faedahnya” (Muqaddimah Ibnu Khaldun hlm 452)

TAKRIF ILMU USUL FIQH

Perkataan usul adalah berasal dari bahasa Arab yaitu merupakan kalimah jamak(plural) bagi perkataan “Asal” yang bererti asas bagi sesuatu.Adapun pada istilah ulama, kalimah “Asal” tersebut mengandungi beberapa makna berdasarkan kepada bebrapa penggunaan.Di antaranya ialah:

1)Bererti dalil.Seperti apabila dikatakan “Asal masalah ini adalah ijmak” bermakna dalil bagi masalah tersebut adalah berdasarkan kepada dalil ijmak.Makna inilah yang digunakan bagi perkataan usul fiqh.

2)Bererti “Yang Rajih” (yang paling tepat).Seperti apabila dikatakan “Asal bagi sesuatu perkataan hendaklah berdasarkan kepada ertinya yang harfiah” Bermakna yang paling tepat bagi memahamkan sesuatu perkataan itu hendaklah didahulukan kepada makna harfiahnya dan bukan makna kiasannya kecuali jika ada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya.Begitu juga jika dikatakan “Al Quran adalah asal jika dibandingkan dengan kias” Bermakna dalil Al Quran itu adalah lebih rajih dan lebih tepat dan hendaklah didahulukan berbanding dengan dalil daripada kias.

3)Bererti kaedah.Seperti apabila dikatakan “Keharusan memakan bangkai bagi orang yang dharurat itu adalah menyalahi asal” Bermakna menyalahi kaedah umum bagi orang yang biasa.

4)Bererti permulaan hukum yang mula berlaku.Seperti apabila dikatakan “Asal bagi seseorang itu ialah tidak mempunyai tanggungan” Bermakna permulaan yang mula berlaku bagi setiap orang ialah bebasnya mereka dari sebarang tanggungan sehinggalah ada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya.

Adapun perkataan “Fiqh” dari segi bahasa bererti ilmu dan kefahaman tentang sesuatu.Perkataan fiqh yang digunapakai dalam Al Quran pula tidak semata-mata merujuk kepada ilmu malah merujuk kepada kefahaman yang teliti,tanggapan yang tajam dan mengetahui tujuan percakapan.Contohnya seperti firman Allah:

قَالُوا يَا شُعَيْبُ مَا نَفْقَهُ كَثِيرً‌ا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَ‌اكَ فِينَا ضَعِيفًا ۖ وَلَوْلَا رَ‌هْطُكَ لَرَ‌جَمْنَاكَ ۖ وَمَا أَنتَ عَلَيْنَا بِعَزِيزٍ

Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!". (Hud 11:91)

FirmanNya lagi:

فَمَالِ هَـٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

Ertinya: Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (An Nisa 4:78)

Adapun perkataan fiqh pada istilah ulama yaitu ilmu tentang hukum-hukum syarak yang bersifat amali(perbuatan) yang dapat diusahakan daripada dalil-dalil yang tafsiliah (terperinci).Atau:(Dapat juga dikatakan) Bahawa fiqh adalah hukum-hakam itu sendiri.

Adapun makna hukum itu ialah menetapkan sesuatu kepada sesuatu yang lain samada ditetapkan kepada ya atau tidak.Seperti kita katakan “Matahari itu terbit” atau “Matahari itu tidak terbit” Contoh lain “Air itu panas” atau “Air itu tidak panas”. Dan hukum yang dimaksudkan di dalam perbincangan kita di sini ialah hukum tentang perbuatan seseorang mukallaf samada wajib,sunat,haram,makruh , harus, sah,fasad(rosak) atau batal.

Dikhususkan hukum itu sebagai hukum syarak apabila dalil-dalilnya diambil daripada sumber-sumber syarak samada secara langsung atau tidak langsung.Maka tidak termasuk dalam perbincangan kita di dalam hal ini misalnya hukum akal seperti menghukumkan bahawa “Keseluruhan itu lebih besar daripada sebahagian” atau “Satu itu adalah separuh daripada dua” atau “alam ini diciptakan” dan sebagainya.Tidak termasuk juga hukum yang diambil daripada pancaindera seperti menghukumkan bahawa “api itu panas”.Dan tidak termasuk juga hukum yang bersumberkan percubaan seperti menghukumkan “Racun itu dapat membunuh” Malah tidak termasuk juga hukum yang ditetapkan berdasarkan kaedah bahasa seperti menghukumkan bahawa isim kaana yang tunggal itu itu dibariskan dhommah dan khabarnya dibariskan atas seperti yang diketahui melalui kaedah bahasa Arab.

PENGERTIAN USUL FIQH DARI SEGI ISTILAH

Pengertian usul fiqh dari segi istilah itu ialah ilmu tentang kaedah-kaedah dan dalil-dalil yang bersifat umum yang digunakan bagi menginstimbat dan menggali hukum fiqah.Kaedah adalah premis umum yang digunakan untuk diterapkan ke atas masalah-masalah yang khusus.Sebagai contoh:Kaedah yang berbunyi “Setiap perintah menunjukkan kepada hukum wajib melainkan jika ada qarinah (sebab) yang menunjukkan sebaliknya” Jadi semua lafaz AlQuran dan hadis yang yang datang dengan lafaz perintah (fiil amar) maka ianya adalah dihukumkan wajib untuk dilaksanakan.Misalnya:

1)Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (Al Maidah 5:1)

2)Firman Allah Taala:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّ‌سُولَ

Ertinya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah (An Nur 24:56)

Berdasarkan kepada kaedah “Setiap perintah menunjukkan kepada hukum wajib” Kita mengetahui dari kedua-dua ayat di atas bahawa menyempurnakan perjanjian,mendirikan sembahyang,mengeluarkan zakat dan taat kepada Rasul itu hukumnya wajib kerana telah datang kepada kita dalam bentuk perintah (fiil amar).

Contoh lain:Kaedah yang berbunyi “Setiap larangan menunjukkan kepada hukum haram melainkan jika ada qarinah yang menunjukkan sebaliknya” Jadi semua lafaz Al Quran dan hadis yang datang dengan lafaz larangan (Nahi) itu adalah menunjukkan kepada hukum haram.Misalnya:

1)Firman Allah Taala:

وَلَا تَقْرَ‌بُوا الزِّنَىٰ

Ertinya: Dan janganlah kamu menghampiri zina (Al Isra 17:32)

2)Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (An Nisa 4:29)

Berdasarkan kepada kaedah “Setiap larangan menunjukkan kepada hukum haram” Kita mengetahui dari kedua-dua ayat tersebut bahawa melakukan zina dan memakan harta orang lain dengan jalan yang salah itu adalah haram hukumnya.

Yang dimaksudkan dengan dalil-dalil ijmali ialah sumber-sumber hukum syariah itu sendiri iaitu Al Quran,sunnah,ijmak dan kias.Mengenal dalil-dalil ijmali ini bererti mengetahui tentang kehujjahannya,mertabatnya dalam pendalilan,cara-cara pendalilan,pengertian ijmak dan syarat-syaratnya,jenis-jenis kias dan kecacatannya disamping mengenal akan kecacatan tersebut dan lain-lain.

Seorang ulama usul (usulfiqh) membahaskan tentang dalil-dalil ijmal ini bagaimana sesuatu dalil ijmal itu dapat menunjukkan kepada hukum syarak yang diambil daripada dalil juz’i.Adapun seorang faqih (ulama fiqh) pula membahaskan tentang dalil-dalil juz’iah bagi menggali hukum –hakam yang bersifat juz’I berdasarkan kepada kaedah-kaedah usuliah disamping perlu mengetahui dalil-dalil ijmali dan perbahasannya.

Rujukan:Al Wajiz Fii Usulil Fiqh(Dr Abdul Karim Zaidan)


No comments:

Post a Comment