Saturday, December 17, 2011

FADHILAT BASMALAH

Nabi sallaLlahu alaihi wasallam bersabda:

كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أبتر

Ertinya:Tiap-tiap pekerjaan yang penting-penting jika tidak dimulakan dengan membaca bismiLlahirrahmanirrahim maka pekerjaan itu kurang berkat.

Enam nabi membaca enam kalimah lalu diberikan kepada mereka enam perkara:

1)Nabi Adam telah membaca “AlhamduliLlah” lalu mendapat rahmat Allah.Allah menjawab ucapan baginda yang tersebut dengan firmanNya : ربك يرحمك (Yarhamuka Rabbuka) yang bererti Tuhan merahmatimu.

2)Nabi Nuh telah membaca : بِسْمِ اللَّـهِ مَجْرَ‌اهَا وَمُرْ‌سَاهَا lalu mendapat keselamatan dari kekelaman.

3)Nabi Ibrahim telah membaca :حسبي الله lalu diselamatkan daripada api Namrud.Firman Allah:

قُلْنَا يَا نَارُ‌ كُونِي بَرْ‌دًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَ‌اهِيمَ

Ertinya: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".( Al Anbia 21:69)

4)Nabi Ismail telah membaca: سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِ‌ينَ lalu ditebus darahnya dengan tebusan kibasy.Firman Allah:

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Ertinya: Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (As Saffat 37:107)

5)Nabi Musa telah membaca: لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم lalu dapat menghafaz kitab Taurat.Firman Allah:

فَخُذْهَا بِقُوَّةٍ

Ertinya: Terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, (Al A’raf 7:145)

6)Nabi Sulaiman membaca: إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّـهِ الرَّ‌حْمَـٰنِ الرَّ‌حِيمِ lalu disempurnakan kerajaannya.

Maka diharapkan bagi orang-orang yang beriman itu apabila mengekalkan membaca bismillahirrahmanirrahim diberikan kebajikan dunia dan akhirat. “Bismi” itu tiga hurufnya yaitu ‘ba’ , ‘sin’ dan ‘mim’. ‘Ba’ itu isyarat Baqa uLlah yakni kekal Tuhan sekelian alam. ‘Sin’ itu isyarat Salamun ‘alal mukminin yakni kesejahteraan atas sekelian orang yang beriman. ‘Mim’ itu isyarat Mahabbah yakni kasih bagi sekelian orang-orang yang arif.Adapun pada lafaz الله itu terdapat rahsia yang tidak ada pada nama-nama yang lain.Apabila digugurkan alifnya tinggal للهyaitu nama Allah yang sempurna.Apabila digugurkan lam yang pertama tinggal له isyarat kepada له ما في السموات والأرض yakni kepunyaanNyalah langit dan bumi ini dengan sekelian isi-isinya.Apabila digugurkan lam yang kedua tinggallah هُ isyarat kepada وهوالعلي العظيم yakni Dialah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Tersebut di dalam sebuah khabar tidak seorang pun yang kembali ke rumahnya melainkan diikuti oleh syaitan.Apabila ia masuk ke rumahnya dengan membaca bismiLlahirrahmanirrahim berkatalah syaitan “Tiada jalan bagiku memasuki rumah ini” Apabila dia mengambil makanan dengan membaca bismiLlahirrahmanirrahim berkata syaitan “Tiada jalan bagiku untuk memakan makanan ini” Apabila dia minum dengan membaca bismiLlahirrahmanirrahim berkata syaitan “Tiada jalan bagiku untuk meminum minuman ini” Apabila dia tidur dengan membaca bismiLlahirrahamnirrahim berkata syaitan “Tiada jalan bagiku untuk tidur di sini” Tetapi jikalau seseorang itu meninggalkan membaca bismiLlah ketika masuk ke rumahnya maka masuklah syaitan bersama-sama dengannya ke dalam rumah.Demikian juga apabila seseorang itu makan dan minum dengan tidak membaca bismiLlah,maka makan dan minumlah syaitan bersamanya.Begitu juga apabila seseorang itu menjimak isterinya dengan tidak membaca bismiLlah maka syaitan pun akan turut bersama-sama menjimak isterinya.Firman Allah subhanahu wataala:

وَشَارِ‌كْهُمْ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ وَعِدْهُمْ ۚ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُ‌ورً‌ا

Ertinya: Dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. (Al Isra 17:64)

Adalah dihikayatkan bahawasanya syaitan yang gemuk berjumpa dengan syaitan yang kurus.Berkata syaitan yang gemuk “Mengapakah aku lihat engkau begitu kurus sekali?” Maka jawab syaitan yang kurus “Kerana aku telah dikalahkan oleh seseorang.Dia sentiasa membaca bismiLlahirrahmanirrahim ketika keluar rumah,ketika masuk rumah ,ketika makan dan ketika minum menyebabkan aku lari daripadanya” Kemudian dia berkata kepada syaitan yang gemuk “Mengapakah aku lihat engkau ini gemuk –gemuk sahaja?” Jawab syaitan gemuk “Kerana aku sentiasa mengalahkan seseorang.Dia masuk ke rumahnya tanpa membaca bismiLlahirrahmanirrahim.Apabila makan dan minum juga dia tidak membaca bismillahirrahmanirrahim sehingga aku makan dan minum bersamanya.Malah aku menunggang di atas tengkuknya seperti menunggang binatang”

Adalah diceritakan bahawa Abu Muslim Al Khawalani mempunyai seorang hamba perempuan.Hamba perempuan itu menaruhkan racun ke dalam makanan dan minumannya tapi sedikitpun tidak memberi mudharat kepadanya.Akhirnya hamba perempuan itu berkata “Sudah lama aku memberi engkau racun tetapi mengapakah racun itu tidak memberi mudharat kepadamu?” Kta Abu Muslim “Mengapa engkau meracuni ku?” Perempuan itu berkata “Kerana engkau telah tua bangka tapi masih tidak mahu memerdekakanku” Abu Muslim berkata “Adalah aku setiap kali makan dan minum aku membaca bismiLlahirrahmanirrahim.Itulah sebabnya racun tidak memberi mudharat kepadaku dengan berkat bismillahirrahmanirrahim”

Menurut sebahagian ulama Allah subhanahu wataala telah memuliakan dengan bismiLlahirrahmanirrahim ini dari awalnya hingga akhirnya atas tiga orang sahaja.Yang pertama kepada nabi Adam alaihissalam.Adalah sewaktu baginda diturunkan di atas dunia ini di dalamnya penuh dengan racun yang dapat membunuh.Lalu baginda diberikan bismiLlahirrahmanirrahim sebagai penawar sehingga selamat dari racun.Di samping itu baginda diberikan kerajaan di dalam dunia ini seluruhnya dari timur hingga ke barat.Tatkala wafat nabi Adam alaihissalam dikembalikan bismiLlahirrahmanirrahim itu kepada khazanahnya sehingga ketika Nabi Nuh alaihissalam menaiki bahtera baginda hanya membaca “bismiLlahi majreha wa mursaahaa” bukan bismiLlahirramanirrahim.Kemudian pada zaman Nabi Sulaiman bin Daud Allah Taala telah mengurniakan kepada baginda kerajaan yang meliputi dari timur hingga barat.lalu diperintahkan Jibril supaya masuk ke dalam syurga untuk mengambil “Khatim Khilafah” (Berupa cincin)untuk diberikan kepada Nabi Sulaiman.Jibril pun masuk ke dalam syurga dan mengambil khatim khilafah tersebut.Khatam tersebut terlalu hebat seperti bintang yang cemerlang dan seperti kilat yang menyambar dan harumnya seperti kasturi yang tersangat harum.Ianya diperbuat daripada emas yang merah dan permatanya adalah daripada yakut yang merah.Ketika Jibril membawanya ,tidak lalu ia atas batu dan tanah yang keras melainkan kesemuanya membaca “Subhanaka Ya Rabbana (Mahasuci Engkau wahai Tuhan Kami) apakah bau yang sangat harum ini” Lalu Jibril mengatakan “Inilah khatim khilafah yang Allah hadiahkan kepada Nabi Sulaiman alaihissalam” Adalah di atas khatim itu tersurat pada baris yang pertama بسم الله الرحمن الرحيم (BismiLlahirrahmanirrahim ertinya Dengan nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih) dan pada baris yang kedua لا إله إلا الله (Laa Ilaaha illaLlah ertinya Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya melainkan Allah) dan pada baris yang ketiga محمد رسول الله (MuhammadurrasuluLlah ertinya Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah).Ketika Jibril membawa khatim khilafah tersebut gemparlah para malaikat dengan tasbih dan taqdis dan bertanya kepada Jibril “Wahai Jibril!Kemuliaan apakah ini? Jawab Jibril “Inilah kemuliaan yang diberikan kepada NabiNya Sulaiman alaihissalam dan diberikan kepada nabi Sulaiman juga ilmu memahami percakapan burung-burung”.Adapun khatim tersebut diberikan kepada Nabi Sulaiman pada hari Jumaat 27 haribulan Ramadhan.Ketika Jibril memberikannya kepada Nabi Sulaiman ia berkata “Tahniah bagimu wahai Nabi Allah! Kerana mendapat kemuliaan dan hadiah ini.Hendaklah engkau pakai di tanganmu yang kanan dan jangan engkau pakai melainkan dalam keadaan bersuci.Sesungguhnya ia ini adalah khatim khilafah” Lalu Nabi Sulaiman pun memakai khatim khilafah tersebut dan baginda pun sujud kepada Allah dan sujud juga sekelian orang-orang yang berada di sekitar baginda dari kalangan kaum Bani Israil.Apabila mereka semua mengangkat kepala ,mereka tidak kuasa untuk memandang ke arah Nabi Sulaiman kerana nur dan kehebatan khatim (cincin) tersebut.Lalu Nabi Sulaiman bersabda “Hendaklah kalian mengucapkan Laa ilaaha illaLlah MuhammadurrasuluLlah” Lalu mereka pun mengucapkan dan barulah mereka dapat memandang kepada baginda.Adapun cincin tersebut apabila pada waktu malam kelihatan terang benderang seperti terangnya api pada pelita.Kemudian apabila wafat nabi Sulaiman dikembalikan lagi kalimah bismiLlahirrahmanirrahim kepada khizanahnya sehinggalah sampai kepada zaman Nabi Muhammad sallaLlahu alaihiwasallam yang mana baginda telah diutus untuk seluruh alam samada jin atau manusia.Baginda juga telah dimuliakan dengan diturunkan kalimah ini.Tetapi diturunkan kalimah ini tidak dengan sekaligus sebaliknya sedikit demi sedikit dan di dalam waktu yang berlain-lainan.Adalah pada permulaan Islam para sahabat apabila menyurat mereka hanya menuliskan bismikaLlahumma (dengan namamu Ya Allah).Sehinggalah apabila turun ayat Al Quran :

قُلِ ادْعُوا اللَّـهَ أَوِ ادْعُوا الرَّ‌حْمَـٰنَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman",(Al Isra 17:110)

Barulah mereka menulis dengan bismiLlahirrahman.Kemudian apabila turun ayat Al Quran:

إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّـهِ الرَّ‌حْمَـٰنِ الرَّ‌حِيمِ

Ertinya: Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya adalah bismillahirrahmanirrahim (An Naml 27:30)

Barulah dituliskan bismiLlahirrahmanirrahim.Ini mengambil masa selama sepuluh tahun.

Amru bin Ma’di karib telah berkata kepada Sayidina Umar bin Al Khattab radhiaLlahu anhuma “Tidakkah aku khabarkan kepadamu tentang keajaiban bismiLlahirrahmanirrahim? Ketika aku sedang berjalan-jalan di suatu padang daku telah melalui sebuah mahligai yang amat teguh.Di pintu ,duduk seorang tua di samping seorang hamba perempuan yang sangat cantik jelita.Aku pun berkata kepada diriku:Lebih baik aku bunuh lelaki tua itu dan aku rebut hambanya.Adalah pada ketika itu aku masih lagi kafir.Aku pun mendekatinya ,dengan pedang terhunus tetapi lelaki tua itu hanya mentertawakan aku.Aku berkata:Engkau mentertawakan aku? Dia berkata:Apakah yang engkau kehendakki?Kalau engkau berkehendak kepada makanan akan kami beri makan.Jika tidak,pergilah dari sini. Aku pun menjawab:Aku tidah mahu makan dan aku tidak akan pergi! Aku hanya mahu membunuhmu! Lalu orang tua tersebut masuk ke dalam mahligainya dan keluar semula dengan membawa sebilah pedang yang lebih besar daripada pedangmu ini(Umar).Ketika itu ia hanya berjalan kaki dan adalah aku sebagai orang Arab, aku malu untuk membunuh orang yang sedang berjalan kaki.Lalu aku turun dari kudaku.Aku berkata kepadanya:Tunggulah!Aku turun dari kudaku.Lalu aku pun bertarung dengannya.Ketika itu dia menggerakkan bibirnya membaca sesuatu.Akhirnya dia menjatuhkan daku dan duduk di atas dadaku. Sambil memegang janggutku dia berkata kepada hamba perempuannya:Ambilkan pisau!Aku akan menyembelih orang ini.Hambanya mengambilkannya sebilah pisau dan diletakkannya di atas halkumku.Maka aku berkata:Ampunkanlah daku. Dia berkata:Aku mengampuni kamu.Jika kamu menghendakki makanan akan kami berikan makanan.Jika tidak hendaklah kamu pergi dari sini. Namun aku sedikit pun tidak menjawab kerana merasa malu.Aku pun berlalu dari situ hanya dengan sedikit langkah kemudian aku berpaling semula dan terus menyerangnya semula dan kami bertarung lagi.Kali ini dia mengggerakkan bibirnya sekali lagi dan dengan mudah dia menghempaskan aku ke tanah dan duduk di atas dadaku.Aku kemudian berkata:Maafkanlah aku..Dia berkata:Aku akan memaafkan kamu.Jika kamu menghendakki makanan akan kami berikan makanan ,jika tidak pergilah dari sini.Aku pun berjalan beberapa langkah tetapi kemudian aku berpaling semula dan menyerang kembali dengan pantas dan sekali lagi bertarung dengannya.Sekali lagi dia menggerakkan bibirnya dan dengan mudah dia menghempas aku ke tanah dan dduduk di atas dadaku.Aku berkata kepadanya :Maafkanlah aku. Tetapi dia menjawab :Tidak!Melainkan dengan syarat kepalamu ku cukur.Maka kepalaku pun dicukur dan jadilah aku hambanya.(Kerana adat orang Arab jika seorang lelaki itu jatuh ke tangan seorang yang lain kemudian dicukur kepalanya jadilah dia hamba kepada orang yang mencukur kepalanya itu).Lalu aku tinggal berkhidmat kepadanya selama beberapa masa.Akhirnya aku berkata kepadanya:Wahai tuanku!Adalah aku ini orang muda sedangkan engkau adalah seorang yang telah tua tetapi bagaimana tuan dapat mengalahkan aku?Aku yakin bahawa tuan tidak akan mampu mengalahkan aku melainkan aku lihat tuan menggerakkan bibir membaca sesuatu.Apakah sebenarnya yang tuan baca bolehkah tuan ajarkan kepada saya? Dia menjawab:Aku tidak akan mengajarkan kepadamu melainkan engkau mesti memeluk Islam terlebih dahulu dan kemudian aku memerdekakan engkau. Lalu aku pun masuk Islam. Tuanku itu pun memberitahukan rahsianya kepadaku dengan mengatakan :Setiap kali aku akan berlawan dengan seseorang aku bacakan bismiLlahirrahmanirrahim.Tidak lama kemudian dia meninggal dunia.Adapun aku pula berkawin dengan anaknya dan mewarisi segala peninggalannya.Inilah yang nyata bagiku akan keberkatan bismiLlahirrahmanirrahim itu” Demikianlah Amru mengakhiri ceritanya.Ya Allah!Jadilkanlah kami semua daripada ahli bismiLlahirrahmanirrahim dan daripada umat Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam Ya Karim!

Sumber:JAM'UL FAWAID WA JAWAHIRUL QALAID OLEH SYAIKH DAUD BIN ABDULLAH AL FATTANI


No comments:

Post a Comment