Wednesday, January 5, 2011

Menjauhi murtad , syirik , kufur , munafik , zindik dan bid’ah.

Bagi menjauhi murtad , syirik , kufur , munafik , zindik dan bid’ah yang tersebut seseorang itu hendaklah :-
1)Melengkapkan diri dengan ilmu tauhid , syariah dan tasawuf dan mendapatkan bimbingan dari guru yang mursyid.Sekiranya tidak diperolehi guru yang mursyid maka hendaklah dia belajar dengan guru yang pernah belajar dengan guru yang mursyid.Sekiranya ini pun tidak diperolehi maka hendaklah dia belajar dengan mana – mana guru yang masyhur benar ilmunya yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama dan lagi berpegang dengan ulama – ulama berikut iaitu :
i)Berpegang dengan salah seorang samada Imam Abu Hasan Al Asy’ari atau Abu Mansur Al Maturidi di bidang akidah.
ii)Berpegang dengan salah satu daripada mazhab yang empat iaitu Syafii , Maliki , Hambali dan Hanafi di bidang syariat.
iii)Berpegang dengan Imam Al Ghazali di bidang tasawuf.
Sekiranya tiada ulama di negerinya ,maka wajiblah dia berhijrah ke negeri yang mempunyai ulama dan tidak dimudahkan dia berpada dengan keadaan yang tersebut kerana urusan agama itu sangat besar tuntutannya lebih-lebih lagi yang menyentuh perkara akidah.
2)Sentiasa bermujahadah bagi mengamalkan ilmu – ilmu tersebut di dalam kehidupan sehari – hari.
3)Membanyakkan doa kepada Allah supaya sentiasa diberi kekuatan dan hidayah di dalam mengamalkan ajaran Islam yang tulen dan jauh daripada amalan – amalan yang bercanggah dengan agama Islam.

Husnul khatimah
Husnu ertinya baik.Al khatimah ertinya kesudahan.Jadi khusnul khatimah ertinya baik kesudahan tatkala mati.Lawannya suul khatimah iaitu buruk kesudahan semasa mati.Suul khatimah (buruk kesudahan) terbahagi kepada dua :-
1)Mati di dalam keadaan maksiat.
2)Mati di dalam kekufuran dan kesesatan dari segi akidah.Wal iyazubillah.Inilah yang paling membimbangkan kita.
Untuk mengelakkan dari suul khatimah maka kita hendaklah membanyakkan taubat zahir dan batin dengan taubat yang nasuhah di samping melatih dan membiasakan diri melakukan ketaatan zahir dan batin khususnya memelihara solat lima waktu.Para ulama mengatakan kami tidak pernah mendengar orang yang memelihara solat lima waktu yang mati di dalam keadaan suul khatimah.Imam Abu Hanifah rhm mengatakan bahawa ada tiga perkara yang jika dilakukan biasanya seseorang itu akan mati di dalam suul khatimah iaitu :-
1)Kurang bersyukur dengan nikmat iman.
2)Tidak menaruh perasaan takut terhadap kemungkinan mati di dalam suul khatimah.
3)Melakukan kezaliman terhadap sesama makhluk.
Demikian juga para ulama mengatakan bahawa mengekalkan maksiat tanpa melakukan taubat memudahkan seseorang itu mati di dalam keadaan suul khatimah.Nauuzubillahi min zaalik.

Zikir dan tahlil
Salah satu amalan yang diharapkan dapat memudahkan mati di dalam husnul khatimah itu ialah dengan membanyakkan dan mengekalkan zikir.Zikir ertinya mengingati Allah dengan hati , lidah dan perbuatan.Kelebihan zikir itu sangat banyak.Di antaranya ialah :-
1)Orang yang berzikir itu adalah orang yang hidup di sisi Allah dan orang yang tidak berzikir itu adalah orang yang mati di sisi Allah.
2)Zikir menguatkan iman dan menambah cinta kepada Allah.
3)Zikir dapat melepaskan diri daripada sifat munafik.
4)Zikir dapat melepaskan daripada siksa kubur.
5)Orang yang berzikir akan masuk syurga sambil tersenyum – senyum.
6)Zikir adalah cara untuk membersihkan hati.
7)Zikir adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah.
8)Pertolongan Allah adalah sentiasa bersama – sama orang yang berzikir.
9)Bumi tempat di mana seseorang itu berzikir merasa bangga ke atas bahagian – bahagian bumi yang lain.
10)Zikir memberi kententeraman kepada hati.
Tahlil iaitu mengucapkan la ilaha illallah adalah zikir yang paling afdhal.Sabda rasulullah saw
ﺃﻓﺿﻝ ﻣﺎ ﻗﻟﺖ ﺃﻧﺎﻭﺍﻟﻧﺑﻳﻭﻦ ﻣﻦ ﻗﺑﻟﻲ ﻻ ﺇﻟﻪ ﺇﻻ ﺍﷲ
Ertinya :Perkataan yang paling afdhal yang diucapkan oleh aku dan nabi – nabi sebelum daripada aku ialah la ilaha illallah yakni tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.
Adalah zikir itu terbahagi kepada dua :-
1)Zikir jahar iaitu zikir dengan menguatkan suara.Terdapat hadis yang membenarkan zikir dengan cara menguatkan suara seperti di dalam peristiwa seorang sahabat yang bernama Zul Bujdain yang berzikir dengan kuat sehingga sebahagian manusia menuduhnya riak atau gila.Lalu tuduhan tersebut dinafikan oleh rasulullah saw dan bersabda bahkan beliau adalah seorang yang beriman dan mencintai Allah.Zikir dengan cara menguatkan suara ini adalah baik bagi orang yang masih dikuasai oleh nafsu ammarah dan hatinya masih dikuasai kelalaian kerana dengan cara itu dapatlah dia mengejut dan menjagakan hatinya dari kelalaian yang tersebut.
2)Zikir khafi iaitu zikir di dalam hati.Rasulullah saw bersabda
ﻔﺿﻞ ﺍﻟﺫﻛﺭ ﺫﻛﺭ ﺍﻟﺧﻔﻲﻭﺃﻔﺿﻞ ﺍﻟﺭﺯﻕ ﻣﺎ ﻳﻛﻓﻲ
Sebaik – baik zikir itu ialah zikir khafi dan sebaik – baik rezeki itu ialah yang mencukupi.
Daripada hadis tersebut dapatlah diketahui bahawa kedua – dua jenis zikir di atas boleh dilakukan dan setiap satunya mempunyai faedah dan keistimewaan yang tersendiri.Bagi seseorang yang di dalam proses mendidik hati , maka zikir jahar adalah sesuai untuknya.Adapun bagi mereka yang mempunyai hati yang mantap maka zikir khafi adalah baik baginya.
Boleh juga melakukan zikir tanpa mendatangkan nafi dan isbat seperti dikatanya Allah , Allah , Allah.Tersebut di dalam hadis qudsi bahawa Allah berfirman kepada malaikat Israfil
ﻳﺎ ﺇﺴﺭﺍﻓﻳﻝ ﺇﺫﺍﺴﻣﻌﺖ ﻓﻲ ﺍﻷﺭﺽ ﻗﺎﺋﻼ ﻳﻗﻭﻝ ﺍﷲ ﺍﷲ ﻓﺂﺧﺭ ﺍﻟﻧﻔﺧﺔ ﺃﺭﺑﻌﻳﻦ ﺴﻧﺔ ﺇﻛﺭﺍﻣﺎ ﻟﻗﺎﺋﻟﻬﺎ
Ertinya :Wahai Israfil jika kamu mendengar di atas bumi seseorang yang menyebut Allah , Allah maka tangguhkanlah kiamat empat puluh tahun lagi sebagai memuliakan orang tersebut.
Namun sesetengah ulama berpendapat zikir Allah , Allah semata – mata itu bid’ah melainkan jika diniatkan ertinya al ma’bud bil haq yakni yang berhak disembah dengan sebenarnya.Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment