Sunday, April 18, 2010

MUJASSIMAH

Alhamdulillah setelah sekian lama huraian tentang sifat dua puluh terhenti akhirnya dapatlah saya menyambung dan sambungan kali ini masih lagi di bawah huraian sifat mukhalafatuhu lilhawadis yang mana kali ini saya akan membicarakan tentang fahaman mujassimah dan musyabbihah serta pendapat Imam Ibnu Taimiyah.
Terdapat satu aliran di dalam Islam yang telah pun pupus yang dipanggil aliran mujassimah iaitu satu fahaman yang mengiktikadkan bahawa Allah Taala itu mempunyai jisim (tubuh badan).Dasar yang menjadi pegangan fahaman ini ialah ayat – ayat Al Quran dan hadis yang mutasyabihat (samar maksudnya).Fahaman ini mengiktikadkan Allah Taala mempunyai tubuh , wajah , tangan , rusuk , kaki dan lain – lain sesuai dengan dasar pengambilan dalil oleh mereka iaitu makna yang zahir dari ayat – ayat Al Quran dan hadis – hadis yang mutasyabihat.Fahaman ini terbahagi dua :-
i)Golongan yang mengiktikadkan Allah Taala itu mempunyai jisim tetapi jisim Allah itu tidak serupa dengan jisim makhluk.Fahaman ini dihukumkan fasik (berdosa besar) lagi bid’ah (menyeleweng dari sunnah nabi) oleh kebanyakan ulama.
ii)Golongan yang mengiktikadkan Allah Taala mempunyai jisim dan jisim Allah itu adalah sama seperti jisim makhluk.Fahaman ini dihukumkan kafir dengan tanpa syak dan hendaklah dituntut supaya bertaubat , sekiranya enggan wajib dibunuh dengan ittifaq ulama.Fahaman ini juga dikenali dengan fahaman musyabbihah iaitu fahaman yang menyerupakan Allah dengan makhluk.

Ibnu Taimiyah.
Di dalam kurun ketujuh hijrah muncul seorang ulama yang bermazhab Hambali yang dikenali dengan panggilan IbnuTaimiyah.Beliau telah menimbulkan kontroversi di dalam dunia Islam apabila mengeluarkan fatwa – fatwa yang ganjil di bidang akidah dan kebanyakan pegangannya didapati condong ke arah fahaman mujassimah.Dasar yang menjadi pegangannya ialah memaknakan ayat – ayat mutasyabihat (yang samar) kepada makna yang zahir tanpa mentakwilkan dan tanpa mentakyifkan (bertanyakan bagaimana).Hasilnya beliau mengeluarkan fatwa bahawa wajib mengiktikadkan bahawa Allah itu berwajah tetapi wajahnya tidak serupa dengan wajah makhluk , bertangan tetapi tangannya tidak serupa dengan tangan makhluk dan seterusnya.Beliau mendakwa fahaman tersebut merupakan fahaman salaf dan akidah yang dipegangnya adalah akidah yang pertengahan iaitu tidak ta’thil (meniadakan) sifat – sifat Tuhan dan tidak tasybih (menyerupakan) Tuhan dengan makhluk.Para ulama ahli sunnah menentang pendapatnya yang tersebut dan akhirnya beliau dipenjarakan sebanyak dua kali oleh pemerintah dan seterusnya beliau meninggal dunia di dalam penjara di Damsyik.Beliau juga menuduh orang yang melakukan takwil sama seperti melakukan tahrif (mengubah) ayat – ayat Allah dan telah menyeleweng dari sunnah.

Ibnu Taimiyah di dalam neraca pertimbangan
Para ulama terbahagi tiga di dalam menghukum Ibnu Taimiyah seperti berikut :-
i)Sebahagian ulama menghukum fahaman yang disiarkannya itu sebagai bid’ah dan menghukum Ibnu Taimiyah sebagai fasik.Bahkan ada juga yang sampai mengkafirkan beliau.
ii)Sebahagian ulama mendakwa bahawa beliau telah bertaubat dari fahamannya sewaktu berada di dalam penjara Damsyik.
iii)Sebahagian ulama mengakui bahawa beliau adalah seorang ulama besar dan mengakui jasa – jasanya dan di dalam masa yang sama mengakui juga bahawa terdapat sesetengah dari fatwanya yang daif (mempunyai kelemahan) atau khilaf (kesilapan) dan kekhilafan itu pula sungguhpun sangat serius namun berkemungkinan tidak disengajakan dan tidak sampai menafikan jasa dan kewibawaannya yang lain - lain.Lagi pun besar sangkaan kita bahawa dia berniat baik.Hanya tersilap di dalam meng ibaratkan kata – katanya.Inilah yang sebaik – baiknya menjadi pegangan kita dan sebaik – baiknya kita mendoakan semoga Allah mengampuninya.
Para ulama telah menjawab segala dakwaan Ibnu Taimiyah itu yang mana ringkasnya adalah seperti berikut :-
i)Beliau mendakwa bahawa akidahnya adalah akidah salaf.Di antara hujjah yang beliau gunakan ialah kata – kata Imam Malik iaitu salah seorang ulama salaf tatkala beliau ditanya tentang maksud duduk bersila (menetap atau bersemayam) Tuhan di atas arasy yang mana Imam Malik menjawab antara lain
ﺍﻹﺳﺗﻭﺍﺀ ﻣﻌﻟﻭﻡ ﻭﺍﻟﻛﻳﻓﻳﺔﻣﺟﻬﻭﻝ ﻭﺍﻹﻳﻣﺎﻥ ﺑﻪ ﻭﺍﺟﺏ ﻭﺍﻟﺳﺅﺍﻝ ﻋﻧﻪ ﺑﺩﻋﺔ
Ertinya :Duduk bersila itu telah diketahui , kaifiatnya tidak (diketahui , beriman dengannya itu wajib dan bertanya-tanya tentangnya itu bid’ah.
Ibnu Taimiyah memahamkan kata – kata Imam Malik tersebut seperti berikut “duduk bersila bagi Allah itu telah diketahui tetapi kaifiat duduk bersila bagi Allah itu tidak diketahui , beriman dengannya iaitu Allah itu duduk bersila itu wajib dan bertanya – bertanya tentang ertinya itu bid’ah.”Lalu beliau membuat kesimpulan bahawa Imam Malik memaksudkan Allah itu duduk bersila cuma duduk bersila Allah itu tidak sama seperti duduk bersila makhluk.Ternyata Ibnu Taimiyah telah tersilap memahamkan kata – kata Imam Malik padahal bukan begitu yang Imam Malik maksudkan sebab kalaulah duduk bersila bagi Allah itu telah diketahui bagaimana mungkin kaifiatnya tidak diketahui?Yang demikian adalah tanaqudh yakni bertentangan antara pangkal dengan hujung.Tidak mungkin Imam Malik akan mengeluarkan kenyataan yang mengandungi tanaqudh (bertentangan pangkal dengan hujung) seperti itu.Yang sebenarnya maksud Imam Malik tersebut ialah “duduk bersila seperti yang difahami oleh orang – orang Arab itu telah diketahui tetapi kaifiat (maksud) duduk bersila bagi Allah itu tidak diketahui , beriman dengannya iaitu bahawa itulah lafaz yang diturunkan Allah iaitu lafaz istiwa (duduk bersila) hukumnya wajib dan bertanya – tanya maksudnya adalah bid’ah.”Ternyata Imam Malik tidak mengetahui maksud duduk bersila bagi Allah dan menyerahkan maknanya kepada Allah dan tidak menggalakkan kita daripada bertanya ertinya dan inilah fahaman salaf yang sebenar bukan seperti dakwaan Ibnu Taimiyah bahawa Allah itu duduk bersila tetapi duduk bersila Allah itu tidak sama seperti duduk bersila makhluk.Ya Allah kami berlindung daripada iktikad seperti itu dan janganlah Engkau menggelincirkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami dan peliharalah kami daripada azab api neraka!
ii)Beliau mendakwa bahawa akidah yang dipegangnya adalah akidah yang pertengahan tidak ta’thil (meniadakan) dan tidak tasybih (menyerupakan) sifat – sifat Tuhan dengan sifat – sifat makhluk.Sukar bagi kita menerima dakwaannya itu.Sebagai contoh kita ambil perkataan ‘yadullah’ yang disebutkan di dalam Al Quran yang jika diterjemahkan secara harfiah bererti ‘tangan Allah’.Lafaz ‘yadun’ yang bererti tangan , di dalam Bahasa Arab secara hakikinya merujuk kepada suatu anggota yang terdiri daripada jari , kuku ,telapak , pergelangan , hasta , tulang , daging dan kulit.Inilah makna yang hakiki dari kata yadun atau tangan dalam Bahasa Arab.Apabila Ibnu Taimiyah mengertikan lafaz ‘tangan Allah’ di dalam Al Quran dengan makna tangan yang hakiki tanpa takwil bererti beliau telah mengiktikadkan jisim bagi Allah.Kemudian apabila beliau mengatakan tangan itu tidak serupa tangan makhluk bererti beliau telah meniadakan maksud tangan yang hakiki yang beliau telah tetapkan sendiri sebagai sifat Tuhan dan ini bererti beliau telah melakukan ta’thil (meniadakan sifat – sifat Tuhan).Oleh itu dakwaannya bahawa akidahnya sebagai akidah pertengahan iaitu tidak ta’thil dan tidak tasybih adalah tidak benar.Sebaliknya akidah yang beliau pegang itu adalah separuh mengambil fahaman tasybih dan separuh mengambil fahaman ta’thil.Fahaman seperti ini adalah merbahaya.
iii)Beliau menafikan takwil sedangkan adanya takwil nas – nas Al Quran dan hadis – hadis yang mutasyabihat itu merupakan ijmak seluruh ulama Islam samada salaf mahupun khalaf.Mereka hanya berselisih tentang bentuk takwil sahaja.Firman Allah
ﻭﻤﺎﻳﻌﻟﻢﺗﺄﻭﻳﻟﻪﺇﻻﺍﷲﻭﺍﻟﺭﺍﺴﺧﻭﻦﻓﻲﺍﻟﻌﻟﻢﻴﻘﻭﻟﻭﻦﺁﻤﻧﺎﺑﻪﻛﻝﻤﻦﻋﻧﺪﺭﺑﻧﺎ
Ertinya : padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu
ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami"
Ayat di atas memberi nas bahawa takwil itu memang ada.Rasulullah saw memuji Khalid Al Walid dengan menyebut beliau sebagai
ﺳﻳﻑ ﻣﻦ ﺳﻳﻭﻑ ﺍﷲ
Ertinya :Satu pedang dari pedang – pedang Allah.
Bermaksud Khalid seorang pahlawan yang gagah dan berani di dalam membela agama Allah.Secara tidak langsung suatu isyarat dari rasulullah tentang wujudnya takwil.Tidak ada seorang ulama pun baik salaf mahupun khalaf yang mengertikan dengan bahawa ‘Khalid adalah pedang Allah yang tidak sama dengan pedang makhluk’.Allah swt berfirman di dalam hadis qudsi

ﺍﻟﻛﺑﺭﻳﺎﺀ ﺇﺯﺍﺭﻱﻭﺍﻟﻌﻇﻣﺔ ﺭﺩﺍﺋﻲ ﻓﻣﻥ ﻧﺎﺯﻋﻧﻲ ﻓﻳﻬﻣﺎ ﺃﺪﺧﻟﻪ ﺍﻟﻧﺎﺭ
Ertinya :Kesombongan itu ialah pakaianKu dan kebesaran itu adalah selindangKu.Sesiapa yang cuba menyaingi Aku di dalam keduanya nescaya aku masukkan ke dalam neraka.
Secara tidak langsung juga satu isyarat dari pihak Allah sendiri tentang wujudnya takwil yang mana takwil pakaian itu adalah kesombongan dan takwil selindang itu adalah kebesaran.Tidak ada seorang ulama juga yang mengertikan pakaian dan selindang itu dengan pakaian dan selindang Allah yang tidak sama dengan pakaian dan selindang makhluk.Firman Allah di dalam Al Quran
ﻭﻻﺗﺟﻌﻝﻴﺪﻚﻤﻐﻟﻭﻟﺔﺇﻟﻰﻋﻧﻘﻚﻭﺗﺑﺴﻁﻬﺎﻛﻝﺍﻟﺑﺴﻁ
Ertinya :Janganlah kamu menjadikan tangan – tangan kamu terbelenggu pada tengkuk – tengkuk kamu dan janganlah kamu menghamparkannya sehampar – hamparnya.
Bermaksud janganlah kamu bersikap terlalu kedekut dan janganlah bersikap terlalu boros di dalam berbelanja.Tidak ada seorang pun ulama baik salaf mahupun khalaf yang mengertikan bahawa firman ini mengharamkan kita dari membelenggukan tangan pada tengkuk dan menghamparkan tangan.Bukankah itu suatu takwil yang nyata.Padahal ayat tersebut adalah ayat yang berhubung hal syariat yang mana harus bagi Allah mensyariatkan apa sahaja dan ditinjau dari sudut asal taabbudi lebih aula kita mematuhi zahir nas dalam perkara ini kerana kalau hanya setakat untuk tidak membelenggukan tangan dan menghamparkannya maka bukanlah di luar kemampuan manusia dan bukanlah pula sesuatu yang mustahil untuk dilakukan maka tidak berhajat kepada takwil.Namun kerana adanya qarinah yang lain maka para ulama lantas mentakwilkannya dan meninggalkan maksudnya yang zahir.Inikan pula ayat yang berhubung dengan sifat – sifat Allah yang boleh mendatangkan sangkaan akan sesuatu yang tidak layak bagi zatNya yang maha tinggi jika tidak ditakwilkan.Oleh itu atas dasar apakah Ibnu Taimiyah menafikan adanya kaedah takwil di dalam nas – nas yang mutasyabihat?Sesungguhnya Allah jualah yang lebih mengetahui.
iv)Beliau menyamakan takwil dengan tahrif (mengubah) dan orang yang melakukan takwil didakwanya sebagai orang yang mengubah ayat – ayat Al Quran.Pendapatnya bertentangan dengan sunnah kerana nabi pernah mendoakan Abdullah bin Abbas supaya diberikan kefahaman di dalam agama dan supaya tahu tentang ilmu takwil.Rasulullah saw bersabda
ﺍﻟﻟﻬﻡ ﻓﻗﻬﻪ ﻓﻲﺍﻟﺪﻳﻥ ﻭﻋﻟﻣﻪ ﺍﻟﺗﺄﻭﻳﻝ
Ertinya : Ya Allah berikanlah beliau kefahaman dalam agama dan ajarkanlah beliau ilmu tentang takwil.
Jelas rasulullah saw sendiri mendoakan Abdullah bin Abbas supaya diberikan ilmu takwil.Ini menunjukan takwil itu tidak sama dengan tahrif (mengubah ayat Allah).Jika tidak tentu rasulullah saw tidak mendoakan Ibnu Abbas dengan doa tersebut.Adakah sesiapa sanggup mengatakan rasulullah mendoakan Ibnu Abbas supaya menjadi seorang yang melakukan tahrif?Wal iyazubillah! (bersambung...)

2 comments:

  1. Merangkaklah nanti cari syeikhul Islam nak mintak maaf. Kamu ni jenis ikut cakap orang sahaja.

    Sila rujuk kajian Dr Mohd Kamil tentang Ibnu Taimiyah dan pendapat ulama muktabar.

    ReplyDelete
  2. Apa bedanya mujasimah Dangan aqidah salafi Wahabi ? Kok kayaknya sama ya ?

    ReplyDelete