Monday, April 12, 2010

MENJAWAB ANAK KENYALANG BAHAGIAN 3

Jadi ternyata beristidlal dengan ayat 39 surah Al Najm tentang tidak sampainya pahala bacaan Al Quran kepada roh orang yang telah mati adalah istidlal yang daif kerana ayat tersebut bersifat umum.Sedangkan para ulama yang membolehkan telah berhujjah dengan nas yang lebih khusus iaitu hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas di mana Rasulullah saw pernah melalui dua perkuburan yang kedua penghuninya di azab oleh Allah kerana yang seorang tidak membersihkan kencing dan seorang lagi melakukan namimah.Lalu rasulullah saw memacakkan pelepah tamar yang telah dibelah dua sambil bersabda “semoga Allah meringankan siksa daripada kedua-duanya selama pelepah tamar tersebut masih basah(hijau)”.Imam Nawawi mengemukakan beberapa pendapat para ulama tentang illah keringanan siksa ke atas ahli-ahli kubur berkenaan.Salah satu daripada sebabnya yang menjadi pegangan kebanyakan ulama-ulama tafsir ialah kerana rahmat yang turun hasil daripada tasbih pelepah tamar tersebut selama pelepah tamar tersebut masih basah.Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah di dalam Al Quran bahawa tidak ada sesuatu pun melainkan kesemuanya bertasbih kepada Allah dan memujiNya.Jika sekiranya diharapkan keringanan siksa hanya kerana semata-mata tasbih daripada pelepah tamar yang tersebut maka diharapkan keringanan siksa itu dengan bacaan Al Quran adalah terlebih aula.(Rujuk Sahih Muslim Syarah Nawawi,Dar Al Ihya Al Turath Al Arabi jilid 2 juzuk 3 halaman 200 hingga 202).Walaupun Imam Nawawi mengemukakan beberapa pandangan ulama dalam mensyarahkan hadis tersebut namun sesiapa sahaja yang membuat penelitian dengan cermat dan saksama pasti mendapati bahawa pendapat kebanyakan ulama-ulama tafsir tersebut itulah lebih aula untuk dipegang kerana pendapat mereka adalah hampir kepada zahir siaqul hadis dan disokong dengan hujjah Al Quran bahawa tiap-tiap sesuatu adalah bertasbih dan memuji Allah.
Bertolak dari situlah dalam hal ini,para ulama mengatakan sampai pahala bacaan itu adalah dengan syarat ianya dibaca di sisi mayat atau di sisi kubur.Adapun jika dibaca di tempat lain maka diperlukan niat dan doa supaya Allah menyampaikan pahala bacaan itu kepada roh si mati,dan sabit pahalanya itu dengan doa bukan dengan sebab qiraat semata-mata dan adalah maklum bahawa tiada khilaf di kalangan muslimin tentang sampainya doa kepada orang yang telah meninggal dunia samada doa itu berupa doa keampunan atau pun doa diberikan kebajikan.Di dalam hal ini berdoa ke atas mayat setelah membaca Al Quran adalah lebih baik lagi daripada berdoa semata-mata kerana menafaatnya terlebih umum memandangkan orang yang berdoa itu mendapat dua fadilat iaitu fadilat berdoa dan fadilat membaca Al Quran.
Tentang Imam Ahmad yang berpendapat bahawa membaca Al Quran ke atas kubur itu kononnya bid’ah adalah sesuatu yang diragui kerana Al Imam Al Ghazali meriwayatkan di dalam Ihya daripada Ali bin Musa Al Haddad ia berkata, “Daku pernah menghantar satu jenazah bersama Imam Ahmad dan bersama-sama kami ada Muhammad bin Qudamah Al Jauhari.Apabila mayat telah dikebumikan datanglah seorang yang buta lalu membaca Al Quran di sisi kubur tersebut maka Imam Ahmad berkata kepada orang tersebut,saudara! Sesungguhnya membaca Al Quran di sisi kubur itu adalah bid’ah.Apabila kami keluar dari kawasan perkuburan, Muhammad bin Qudamah Al Jauhari berkata kepada Imam Ahmad, wahai Abu Abdillah!apakah pendapat kamu tentang Mubasyir bin Ismail Al Halabi?Dia berkata, thiqah(kepercayaan).Kata Muhammad bin Qudamah lagi,adakah anda menulis sesuatu daripadanya?Imam Ahmad menjawab,ya!Abu Qudamah pun berkata,telah menceritakan daku oleh Mubasyir bin Ismail daripada Abdul Rahman bin Al Ala’ bin Al Jalaj daripada bapanya sesungguhnya ia berwasiat jika sekiranya ia telah dikebumikan hendaklah dibacakan di pihak kepalanya permulaan surah Al Baqarah dan penutupnya lantas ia berkata, aku mendengar Ibnu Umar telah berwasiat seumpama itu.Setelah mendengar keterangan Muhammad bin Qudamah yang tersebut lantas Imam Ahmad berkata kembalilah kepada lelaki tadi dan katakan kepadanya bacalah(Al Quran itu untuk orang yang telah mati)”Berdasarkan kepada riwayat tersebut ternyata bahawa Imam Ahmad memang pada mula-mulanya memfatwakan bahawa membaca Al Quran di sisi kubur itu adalah bid’ah namun kemudiannya beliau telah menarik balik fatwa tersebut.Malahan Muhammad bin Ahmad Al Maruzi berkata “aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata sekiranya kamu memasuki kawasan perkuburan maka bacalah fatihatul kitab,al muawwizatain dan qul hu wallahu ahad dan berdoalah supaya pahalanya disampaikan kepada ahli-ahli kubur kerana yang demikian itu akan sampai kepada mereka”(Rujuk Ihya Ulumuddin,Dar Al Kutub Al Ilmiah Juzuk 4 sub kitab Zikrul Maut wa ma ba’dahu halaman 428).

MENJAWAB ANAK KENYALANG BAHAGIAN 4

No comments:

Post a Comment