Saturday, April 10, 2010

LAGI SAMBUNGAN MENJAWAB TULISAN MOHAMAD ABDUL KADIR SAHAK

Ramai pengkaji yang tersilap sangka dengan latar belakang Imam Al Ghazali yang merupakan seorang ahli tasawuf yang terulung kononnya oleh kerana beliau adalah seorang tokoh tasawuf maka beliau tidak mendalami ilmu hadis.Sama seperti.silap sangka kononnya Al Imam Al Syafii.yang oleh kerana seorang pakar hadis dan berkecimpung dalam fatwa dan hukum hakam maka beliau tidak mengetahui ilmu tasawuf malahan menentang ilmu tasawuf.Kebetulan pula barangkali ada satu dua pengamal tasawuf bid’i yang dikritik oleh Syafii lalu diheboh-hebohkan kononnya beliau menentang keras ilmu tasawuf.Sebenarnya ulama-ulama kita pada zaman dahulu.pakar dalam semua bidang agama.Pengkhususan hanyalah di bidang perjuangan.Kita ambil contoh katakanlah Al tabari walaupun perjuangannya lebih menonjol di bidang tafsir dan sejarah tetapi dalam masa yang sama beliau adalah pakar hukum, pakar bahasa,pakar akidah,pakar tasawuf akhlak dan budi pekerti dan lain-lain.Beliau mungkin tidak mengarang kitab nahu ,tetapi ini tidak bererti beliau tidak mengerti ilmu tersebut.Siapa lagi?Katakanlah,Ibnu Kathir yang sama minat perjuangannya dengan Al Tabari iaitu tafsir dan sirah dalam masa yang sama beliau adalah seorang ahli hadis,ahli qiraat,ahli tasawuf dan lain-lain.Keadaannya yang tidak pernah mengarang ilmu mustalah hadis tidak sesekali akan memberikan lesen kepada kita untuk menyimpulkan yang beliau tidak mendalami ilmu tersebut.Ulama-ulama lain pun demikian juga.Malah jika kita mencabut nama seribu ulama pun daripada ulama-ulama silam kita nescaya kita akan dapati ilmu mereka tidak tertumpu kepada bidang yang mereka berjuang dan mengajar sahaja malahan mereka boleh bercakap dan bersyarah di dalam apa bidang sekali pun di dalam lingkungan bidang-bidang agama.Lebih-lebih lagi dengan Imam Ghazali yang disenaraikan oleh para ulama sebagai mujaddid kurun kelima hijrah (Takrif Al Ahya)dan kebetulannya dia telah ditakdirkan Allah untuk membetulkan ilmu tasawuf dan mengembalikannya kepada neraca syariat Islam sesudah sebelumnya seolah-olah telah terlepas dari ikatan Al Quran dan Al hadis sehingga terdapat orang-orang yang cuba mengharamkan ilmu ini.Seperti juga ulama-ulama Islam yang lain sejarah pembelajaran Imam Al Ghazali dimulai dengan mempelajari Al Quran dan hadis dimana beliau telah mempelajari hadis secara taklik daripada Jarjan Abi Nasar Al Ismaili sebelum beliau menghafaz hadis-hadis tersebut dalam masa tiga tahun.(Lihat Ihya Ulum Al Din,Dar Al Kutub Al Ilmiah Juzuk 1 ms 4).Beliau sendiri meriwayatkan di dalam kitabnya Ihya ulumuddin kata-kata Imam Junaid iaitu hendaklah engkau menjadi seorang ahli hadis yang bertasawuf dan janganlah engakau menjadi seorang ahli tasawuf yang ahli hadis sebagai isyarat bahawa adalah sangat mustahak seseorang itu mendahulukan mempelajari hadis sebelum dia mengamalkan ajaran tasawuf.(Lihat Ihya Ulum Al Din Dar Al Kutub Al Ilmiah Sub Kitab,Kitab Al Ilm ms 28) Dan sudah pastilah nasihat Imam Junaid tersebut beliaulah orang yang pertama sekali mengamalkannya.Beliau mempelajari ilmu tasawuf daripada Abu Ali Al Farmadi Guru-gurunya yang lain termasuklah Abu Ishak Al Asfaraini(lihat Manhaj Al Abidin) dan Imam Haramain Al Juwaini.seorang tokoh agung mazhab Syafii dan merupakan Guru Besar dan tenaga pengajar di Madrasah Nizamiah dan daripada beliaulah Imam Ghazali mempelajari ilmu kalam dan falsafah (sebagai ilmu perbandingan)dan seterusnya menggunakan ilmu tersebut untuk untuk menolak fahaman falsafah.Jika melihat daripada sejarah hidup dan perjalanan beliau dalam menuntut ilmu serta pengakuan ulama-ulama yang sezaman dengannya seperti Ibnu Asakir dan lain-lain termasuklah guru-guru dan murid-muridnya sendiri yang ada di antaranya terdiri dari ulama-ulama besar ,sangat sukarlah kita terima dakwaan yang mengatakan Imam Ghazali tidak mendalami ilmu hadis.Bahkan itu semua cukup sebagai bukti beliau memang memiliki pengetahuan hadis yang memadai, hanya sanya beliau tidak berkecimpung di bidang tersebut sebagai medan perjuangannya kerana beliau telah ditakdirkan Allah Taala untuk membetulkan ilmu tasawuf dalam erti kata mengembalikannya kepada landasan Al Quran dan Al sunnah.Pendapat yang mengatakan bahawa Imam Al Ghazali tidak mempunyai keahlian di dalam membezakan antara hadis-hadis sahih,daif dan mauduk adalah pendapat yang sukar diterima kerana bukti-bukti yang ada pada kita tidak menyokong pendapat tersebut.Al Allamah Abdul Kadir bin Sheikh Al Idrus menyebutkan di dalam kitabnya Takrif Al Ahya Bi fadail Al Ihya dengan mengatakan, “Dan kesimpulan daripada pembelaan terhadap Imam Al Ghazali dan salah seorang dari yang membela itu ialah Al Hafiz Al Iraqi, sesungguhnya kebanyakan hadis-hadis yang disebutkan oleh Imam Al Ghazali itu bukanlah mauduk seperti yang dijelaskan oleh beliau (Imam Al Iraqi)di dalam Takhrijnya Adapun hadis-hadis mauduk yang ditulisnya itu adalah sangat sedikit.Itu pun dia (Al Ghazali) meriwayatkannya sebagai mutabaah dan dengan menggunakan lafaz ‘diriwayatkan’(untuk menunjukkan hadis tersebut tidak sabit tetapi dibawanya sebagai tambahan).Adapun kritikan tentang kitabnya yang mengandungi hadis-hadis daif itu adalah suatu kritikan yang gugur(tidak layak dipertimbangkan) kerana telah tetap (oleh kaedah ulama hadis)bahawa hadis daif itu adalah diamalkan di dalam perkara fadail al a’mal.Begitu juga dengan hal-hal yang bersangkutan dengan pembalasan hari akhirat ,merupakan dari sisi yang sama dengan fadail al a’mal.Dan lagi beliau Al Ghazali tidak terkeluar dari kebiasaan ulama huffaz yang menuliskan hadis-hadis daif di dalam kitab-kitab mereka kadang-kadang tanpa menyebutkan kedaifan sesuatu hadis itu sedangkan kitab tersebut merupakan kitab fikah yang ditulis oleh ulama-ulama mutakaddimin.Pada hal kitab yang ditulis oleh Imam Al Ghazali pula hanyalah sebuah kitab yang bertaraf fadail al a’mal.Sehinggalah datang Imam Al Nawawi dari kalangan ulama mutaakhirin yang menyebutkan kelemahan hadis-hadis tersebut...” (Takrif Al Ahya Bi Fadail Al Ihya Dar Al kutub Al Ilmiah ms 8)Demikianlah kata Al Allamah Abdul Kadir di dalam Takrif Al Ahya.
(BERSAMBUNG...)

No comments:

Post a Comment