Tuesday, April 6, 2010

CONTOH-CONTOH TAKWIL NAS YANG MUTASYABIHAT MENURUT AHLI SUNNAH ALIRAN SALAF DAN KHALAF.

Berikut adalah contoh-contoh takwil berdasarkan metod salaf dan khalaf.
i)Firman Allah
يَخَافُونَ رَ‌بَّهُم مِّن فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُ‌ونَ
Ertinya : Mereka (para malaikat) takut kepada Tuhan mereka Yang di atas mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa Yang diperintahkan.(Annahli16:50)


Takwil salaf – Kita tidak mengetahui maksud ‘di atas’ di dalam ayat tersebut.Kita serahkan maknanya kepada Allah dan maha suci Allah itu daripada keadaannya berpihak samada di atas atau di bawah.
Takwil khalaf – Maksud ‘di atas’ itu ialah ‘ketinggian dan kebesaran’.Maka jadilah maksudnya para malaikat takut dengan ketinggian dan kebesaran Allah.
ii)Firman Allah
الرَّ‌حْمَـٰنُ عَلَى الْعَرْ‌شِ اسْتَوَىٰ
Ertinya : Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.(Ta Ha 20:5)
Takwil salaf – Kita tidak mengetahui maksud ‘bersemayam’ tersebut dan kita serahkan maknanya kepada Allah.Akan tetapi mustahil Allah daripada mengambil tempat dan mustahil zatNya itu daripada bersentuh dengan arasy.
Takwil khalaf – Maksud bersemayam itu ialah memerintah dan menguasai.Maka jadilah makna ayat tersebut Allah itu memerintah dan menguasai arasy.
iii)Firman Allah Taala
وَجَاءَ رَ‌بُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا
Ertinya : Dan Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),
Begitu juga disebut di dalam sebuah hadis
ﻴﻧﺯﻝ ﺍﷲ ﻋﺯ ﻭﺟﻝ ﻛﻝﻟﻴﻟﺔ ﺇﻟﻰ ﺳﻣﺎﺀ ﺍﻟﺩﻧﻴﺎ
Ertinya :Turun Tuhan kita pada setiap malam ke langit dunia….
Takwil salaf – Kita tidak mengetahui makna ‘datang’ dan ‘turun’ Tuhan di dalam ayat dan hadis tersebut dan kita serahkan maknanya kepada Allah.Akan tetapi mustahil Allah itu daripada sifat pergi datang dan berpindah – pindah.
Takwil khalaf - Yang dimaksudkan dengan datang Tuhan di dalam ayat tersebut ertinya telah ‘datang azab Tuhan’ atau ‘datang urusan Tuhan’ yang melengkapi azab dan rahmatNya dan yang dimaksudkan dengan ‘turun Tuhan’ di dalam hadis itu pula ertinya turun malaikat Tuhan kita.
iv)Firman Allah
وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَ‌بِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَ‌امِ
Ertinya : Dan akan kekallah wajah Tuhanmu Yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan:(Ar-Rahman 55:27)
Takwil salaf – Kita tidak mengetahui maksud wajah Allah di dalam ayat di atas , dan kita serahkan maknanya yang sebenar kepada Allah , tetapi kita mengiktikadkan mustahil Allah itu daripada bersamaan dengan makhluk beranggota wajah dan bersuku - suku.
Takwil khalaf – Yang dimaksudkan wajah di dalam ayat di atas ialah zat Allah.Maka jadilah makna ayat tersebut “Dan kekallah zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan”
v)Firman Allah
يَدُ اللَّـهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ ۚ

Ertinya :Tangan Allah itu di atas tangan – tangan mereka....(Al Fath 48:10)
Takwil salaf – Kami tidak mengetahui erti tangan Allah akan tetapi mustahil bagi Allah itu beranggota tangan dan bersuku – suku.
Takwil khalaf – Yang dimaksudkan dengan tangan itu ialah kudrat (kuasa).Maka jadilah maksud ayat tersebut kuasa Allah itu mengatasi kuasa mereka (manusia).
vi)Sabda rasulullah saw
ﻗﻟﺏ ﺍﻟﻣﺅﻣﻦ ﺑﻴﻦ ﺇﺼﺑﻌﻴﻦﻣﻦ ﺃﺼﺎﺑﻊ ﺍﻟﺭﺣﻣﻦ
Ertinya :Sesungguhnya hati orang yang beriman itu berada di antara dua jari daripada jari – jari Tuhan yang bersifat Rahman.
Takwil salaf – Kami tidak mengetahui makna ‘jari’ di dalam hadis di atas.Tetapi mustahil Allah swt itu mempunyai anggota jari dan bersuku – suku.
Takwil khalaf – Maksud dua jari tuhan itu ertinya dua sifat Tuhan iaitu kudrat (kuasa) dan iradat (kehendak).Maksudnya hati manusia itu sentiasa di dalam taaluk kuasa dan kehendak Allah.
Demikianlah contoh – contoh ayat mutasyabihat dan contoh – contoh takwil oleh ulama – ulama salaf dan khalaf.Kedua – duanya bermaksud mensucikan Allah daripada sifat mustahil dan keduanya itu adalah pegangan ahli sunnah.Wajib atas kita,setiap kali berjumpa dengan nas-nas yang mutasyabihat seperti contoh di atas,mentakwilkannya samada dengan takwil khalaf iaitu dengan makna yang menasabah dengan ketinggian zat Allah seperti yang telah diketahui daripada huraian mukhalafatuhu lil hawadis atau mentakwilkannya dengan takwil salaf iaitu diserahkan maknanya yang sebenar kepada Allah di samping mengiktikadkan suci Allah daripada simaatul huduth (ciri-ciri baharu yang sepuluh perkara) yang telah lalu. Kata Syeikh Ibrahim Al Laqqani di dalam nazamnya:
وكل نص أوهم التشبيها*اوله أو فوض ورم تنزيها
Ertinya:Tiap-tiap nas Al Quran atau hadis yang memberi waham ia akan tasybih Allah itu dengan yang bahru,takwil olehmu atau serahkannya olehmu akan pengetahuan itu kepada Allah dan kasad olehmu akan suci Allah Taala daripada menyerupai dengan segala yang baharu.

4 comments: