Thursday, June 30, 2011

BERBUAT BAIK KEPADA IBUBAPA

1)Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 83 yang bermaksud
“Dan ingatlah ketika kami mengambil perjanjian dengan Bani Israil agar jangan menyembah melainkan kepada Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa.”
2)Firman Allah lagi yang dalam surah Annisa’ ayat 36 yang bermaksud
“Dan sembahlah Allah dan jangan kalian mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan kepada ibu bapa (hendaklah) berbuat baik.”
3)Firman Allah lagi dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud
“Dan kami telah wasiatkan kepada manusia tentang dua ibu bapanya (yang mana ) ibunya telah mengandungkannya di dalam keadaan kelemahan atas kelemahan dan (tempoh ) bercerai (susunya) di dalam jangkamasa 2 tahun bahawa hendaklah kamu semua bersyukur kepadaku (Allah ) dan kepada kedua ibu bapa dan kepada Akulah (Allah ) tempat kembali.”

KISAH SATU
Alqamah adalah seorang sahabat nabi yang salih dan kuat beribadat.Dengan takdir Allah pada suatu hari beliau jatuh sakit dan ada tanda-tanda yang beliau akan akan meninggal dunia.Hadirin yang menziarahinya telah mengajarnya kalimah syahadah,tetapi alangkah terperanjatnya kerana Alqamah tidak dapat mengucapkannya dan mulutnya seolah-olah terkunci.Melihatkan kepada keadaan yang cemas ini seorang sahabat telah datang menemui Rasulullah sambil berkata “binasalah Alqamah wahai Rasulullah.Beliau sekarang hampir menemui Allah tetapi tidak dapat mengucapkan syahadah walaupun kami mengajarnya.”Rasulullah segera pergi untuk melihat keadaan Alqamah.Baginda bersabda, “siapakah Alqamah di sisi kamu sekelian?”Hadirin serentak menjawab, “kami tidak mengetahuinya melainkan kebaikan ya Rasulullah.Beliau ialah seorang yang rajin bersolat,berpuasa dan membaca Al Quran.”Rasulullah kemudiannya bersabda, “Adakah Alqamah masih mempunyai ibu?”Jawab orang ramai, “Ada wahai Rasulullah.Tetapi baru-baru ini ibunya berkecil hati dengannya.”Kemudian Rasulullah bersabda, “panggillah ibunya ke mari”Lalu Sayidina Ali pun pergi memanggil ibunya dan berkata, “Wahai ibu Alqamah,sesungguhnya Rasulullah memanggil kamu datang dan sekiranya kamu enggan maka Rasulullah sendiri akan datang menemui kamu”Mendengar yang tersebut ibu Alqamah berkata, “Akulah yang terlebih utama datang kepada Rasulullah daripada baginda datang kepada aku.”Setelah beliau sampai Rasulullah pun bersabda, “Wahai ibu Alqamah,hendaklah engkau memaafkan anakmu kerana jikalau engkau tidak memaafkannya dia akan binasa.Sanggupkah kau melihat anakmu dibakar oleh api neraka?”Ibunya berkata, “Tidak wahai Rasulullah aku tidak sekali-kali akan memaafkannya kerana apa yang dilakukannya sungguh membuatkan aku marah dan kecewa”Akhirnya Rasulullah memerintahkan para sahabat mengumpulkan kayu api sambil berkata, “Jika engkau tidak mahu memaafkannya kami akan membakarnya hidup-hidup supaya dia terlepas dari kesusahan di hari akhirat.”Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka ibu Alqamah akhirnya berkata, “Wahai Rasulullah janganlah engkau membakarnya.Walaupun daku sangat marah kepadanya tetapi aku tidak sampai hati melihatnya dibakar di hadapan mataku.Saksikanlah sesungguhnya aku telah memaafkannya walau sebesar mana pun dosanya kepadaku.”Sebaik sahaja beliau berkata demikian,maka Rasulullah pun memerintahkan para sahabat supaya melihat Alqamah dan didapati Alqamah dapat mengucapkan syahadah dengan fasih dan lancar dan akhirnya beliau pun meninggal dunia.Selepas itu Rasulullah pun menyampai khutbah kepada orang ramai mengingatkan mereka tentang hak-hak ibu bapa.Baginda bersabda, “Sesungguhnya keredaan Allah adalah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah adalah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

KISAH DUA
Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang sangat kaya.Dia mempunyai tiga orang anak lelaki.Pada suatu hari beliau jatuh sakit dan ketiga-tiga anaknya telah bermesyuarat tentang siapakah di antara mereka yang sanggup memelihara bapa mereka yang sakit itu dengan syarat tidak boleh mewarisi harta bapa mereka jika dia meninggal kelak.Syarat ini adalah untuk mempastikan supaya anak yang menjaga itu tidak melakukan apa-apa perkara yang tidak baik ke atas bapa mereka.Akhirnya anak yang tua telah bersetuju untuk menjaga bapa mereka yang sakit itu walaupun dia tidak akan memperolehi apa-apa jika ditakdirkan bapa mereka meninggal dunia.Selang beberapa lama akhirnya bapa mereka meninggal dunia dan sepertimana yang disyaratkan anak yang tua itu tidaklah memperolehi harta pusaka peninggalan bapa mereka.Pada suatu malam anak yang tua telah bermimpi bertemu dengan Syeikh dan Syeikh itu telah berkata kepada beliau di dalam mimpinya, “Wahai orang yang berbuat baik kepada bapanya,pergilah engkau tempat sekian dan engkau galilah tanah di tempat itu nescaya engkau akan memperolehi satu dinar yang mana di dalam satu dinar itu terdapat keberkatan.”Keesokan harinya pergilah anak yang tua itu melakukan segala perkara yang dialamatkan di dalam mimpinya.Didapati benar seperti yang dinyatakan di dalam mimpinya di mana dia telah mendapatkan satu dinar lalu dia pergi ke pasar dan dengan satu dinar itu dia telah membeli dua ekor ikan lalu dibawanya pulang ke rumah.Apabila dibelah beliau mendapatkan sebutir batu permata yang sangat indah dan memperolehi sebutir lagi di dalam ikan yang lain.Beliau sangat hairan dengan kejadian itu sambil berkata di dalam hatinya, “Apalah gunanya batu permata ini bagi diriku.Lebih baik aku persembahkan sahaja kepada sultan.”Setelah dipersembahkan kepada sultan,maka sultan sangat gembira lalu menghadiahkannya tujuh puluh ekor keldai.Di atas tiap-tiap seekor keldai tersebut sarat dengan wang emas.Sultan pun berkata, “Pada hemat beta,permata ini ada pasangannya yang satu lagi.”Lelaki itu lantas berkata “ada tuanku,patik simpan di rumah patik.Kalau tuanku berkenan,biar patik ambil.”Setelah diambil lalu sultan pun mengurniakan lagi kepadanya tujuh puluh ekor keldai di mana di atas tiap-tiap seekor itu sarat membawa wang emas.Dengan berkat berbuat baik kepada bapanya lelaki itu akhirnya menjadi kaya-raya.

KISAH TIGA
Adalah diceritakan bahawa pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang salih tinggal berdua dengan ibunya yang telah tua.Berkali-kali lelaki tersebut memujuk ibunya agar mengizinkan dia bermusafir ke Mekah untuk mendalami ilmu agama.Ibunya tidak mahu beliau pergi kerana berharap kepadanya untuk menjaganya memandangkan beliau telah pun lanjut usia.Akhirnya pada suatu malam sewaktu ibunya tidur lelaki tersebut telah keluar secara senyap-senyap dan meninggalkan pesanan di atas sekeping kertas mengatakan beliau telah bermusafir ke Mekah.Keesokan harinya apabila ibunya membaca pesanan yang ditinggalkan,ibunya berasa sangat hiba dengan tindakan anaknya itu lantas beliau berdoa supaya Allah membutakan kedua-dua matanya.Ada pun lelaki itu semasa di Mekah belajarlah ilmu agama seperti yang dicitakannya.Pada suatu malam sewaktu beliau berjalan pulang dari masjid selepas isyak,kedengaranlah suara orang ramai yang heboh mengatakan ada seorang pencuri yang melarikan diri.Di dalam kekecohan itu tiba-tiba dia ditangkap oleh orang ramai kerana disangkakan pencuri.Walaupun dia menafikan tuduhan tersebut namun orang ramai tidak mempercayainya.Akhirnya sedarlah ia bahawa barangkali itulah balasan Tuhan kepadanya kerana perbuatannya meninggalkan ibunya dahulu lalu dia pun dihukum.Tangan dan kakinya dipotong dan kedua-dua biji matanya dikorek keluar lantas dikatakan kepadanya, “Inilah balasannya untuk orang yang mencuri!”Beliau sebaliknya berkata, “Tidak!Bahkan inilah balasan untuk orang yang menderhaka kepada ibunya.”Akhirnya beliau hidup merempat di Mekah dan menjadi seorang pengemis selama beberapa tahun.Adapun hal ibunya pula pada suatu musim haji telah mengikuti satu rombongan jemaah haji menuju ke Mekah.Sesampainya di sana dia telah terlihat seorang pengemis di dalam keadaan yang menyedihkan yang mana tangan dan kakinya kudung dan matanya pula buta.Dia merasa kasihan lalu bertanya bagaimana ehwalnya sehingga ia menjadi begitu.Pemuda itu lantas menceritakan kisahnya dari mula hingga akhir.Setelah mendengar cerita dari pemuda itu,sedarlah perempuan tua itu tadi bahawa itulah anaknya yang telah meninggalkannya dahulu kerana menuntut ilmu dengan tidak seizinnya.Tatkala itu dia tidak dapat menahan kesedihannya lalu menangis sambil memberitahu bahawa dialah ibunya.Kedua-dua beranak itu berpeluk-pelukan sambil menangis dan dengan takdir Allah kedua-duanya akhirnya meninggal dunia di situ juga.

KISAH EMPAT
Pada zaman dahulu ada seorang abid di kalangan Bani Israil yang bernama Juraij.Beliau mempunyai sebuah rumah ibadat yang khas untuknya beribadat yang diperbuat daripada tanah.Di sanalah beliau banyak menghabiskan masanya bermunajat dan melakukan ibadat kepada Allah.Pada suatu hari sewaktu beliau sedang khusyuk beribadat tiba-tiba dia terdengar suara ibunya memanggil.Beliau tidak menghiraukan panggilan ibunya kerana berpendapat bahawa ibadatnya itu lebih utama dari menyahut panggilan ibunya.Ini menyebabkan ibunya berkecil hati lalu mendoakannya supaya janganlah Allah mematikannya melainkan setelah dia difitnah dengan seorang pelacur.Kebetulan pula di negeri itu terdapat seorang perempuan pelacur lalu dia menggoda Juraij untuk berzina dengannya.Juraij telah menolak godaan tersebut.Kerana terlalu marah,pelacur itu kemudiannya telah berzina dengan seorang penggembala kambing sehingga melahirkan seorang anak dan dia pun mengumumkan kepada orang ramai bahawa anak itu adalah hasil perzinaannya dengan Juraij.Apabila orang ramai mendengar pengumuman tersebut mereka menjadi marah dan beramai-ramai pergi ke tempat peribadatan Juraij.Juraij telah dipukul dan rumah ibadatnya dirobohkan.Untuk membuktikan kebenarannya Juraij telah meminta supaya wanita itu dibawa kepadanya dengan anaknya sekali lalu dia pun mendirikan solat sunnat dua rakaat dan berdoa kepada Allah.Selesai bersolat dia menekankan telunjuknya ke pusat bayi tersebut lantas berkata, “Wahai budak!Dengan nama Allah terangkanlah sebenarnya siapakah bapamu?”Dengan izin Allah budak yang masih kecil itu dapat berkata dan menerangkan bahawa bapanya yang sebenar adalah penggembala kambing.Setelah didapati Juraij tidak bersalah orang ramai yang memukulnya merasa menyesal dan meminta maaf kepada Juraij dan mereka berjanji untuk membangunkan semula rumah ibadatnya daripada emas.Juraij sebaliknya menolak dan meminta supaya mereka membina semula rumah ibadatnya daripada tanah sahaja seperti dahulu.Setelah menyedari kesalahannya Juraij berjanji tidak akan menghampakan ibunya di lain kali.

KETERANGAN DARIPADA SUNNAH DAN ATHAR.
Rasulullah saw bersabda, “Seseorang anak itu tidak sesekali akan dapat membalas jasa bapanya melainkan bapanya menjadi seorang hamba lalu dia membelinya dan memerdekakannya.”Di dalam hadis lain Rasulullah saw bersabda, “berbuat baik kepada ibu bapa lebih afdhal daripada bersolat,bersedekah,berpuasa,mengerjakan haji atau umrah dan berjihad di jalan Allah.”Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang berpagi-pagi dan berpetang-petang membuat kedua ibu bapanya reda akan di bukakan dua pintu syurga untuknya.Jika dia hanya membuatkan salah seorang sahaja daripada mereka reda,maka hanya dibukakan untuknya satu sahaja pintu syurga.Walaupun keduanya zalim,walaupun keduanya zalim,walaupun keduanya zalim.”Sesiapa yang berpagi-pagi dan berpetang-petang membuatkan ibu bapanya marah akan dibukakan baginya dua pintu neraka untuknya.Jika dia hanya membuatkan salah seorangnya marah maka dibukakan untuknya satu pintu neraka.Walaupun keduanya zalim,walaupun keduanya zalim,walaupun keduanya zalim.”Di dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak seratus tahun perjalanan tetapi tidak dapat menciumnya oleh orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang memutuskan silaturrahim.”Di dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw bersabda, “Berbuat baiklah kepada ibumu,bapamu,saudara perempuanmu,dan saudara lelakimu,kemudian kepada saudara yang kurang mertabatnya dan seterusnya.”Adalah diriwayatkan bahawa Allah telah mewahyukan kepada nabi Musa dengan firmannya, “Wahai Musa, “Sesungguhnya sesiapa yang berbakti kepada kedua ibu bapanya walaupun dia menderhakaiKu nescaya aku tuliskan ia sebagai orang yang baik,dan barangsiapa yang yang berbakti kepadaKu tetapi ia menderhakai kedua ibu bapanya nescaya Aku tuliskannya sebagai orang yang derhaka.”Adalah dikatakan sewaktu nabi Ya’kub as masuk menemui anaknya nabi Yusuf as ,nabi Yusuf telah tidak berdiri untuk menghormati bapanya lalu Allah telah mewahyukan kepadanya, “Adakah engkau merasa berat untuk berdiri menghormati bapamu?Demi kemuliaanKu dan kebesaranKu Aku tidak akan melahirkan seorang pun dari keturunanmu yang akan menjadi nabi.”Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda, “Tidak seorang pun yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu dia menjadikan pahalanya untuk dua ibu bapanya jika keduanya Muslim melainkan Allah akan sampaikan pahalanya untuk keduanya dan baginya mendapat pahala seperti pahala orang tuanya itu tanpa dikurangkan sedikit pun dari pahala keduanya.”Telah berkata Malik bin Rabi’ah:Sewaktu kami duduk bersama Rasulullah,tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari Bani Salamah lalu berkata, “Wahai Rasulullah dapatkah aku berbakti kepada ibu bapaku walaupun mereka telah meninggal dunia?” Rasulullah saw menjawab, “Ya, iaitu hendaklah engkau mendoakan keduanya,dan pintalah keampunan bagi keduanya,dan tunaikanlah janji keduanya , dan muliakanlah teman keduanya dan hubungkanlah silaturrahim dengan orang yang ada hubungan silaturrahim dengan keduanya.”Di dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw bersabda, “Di antara kebajikan yang paling tinggi sekali ialah seseorang itu mencintai orang yang dicintai bapanya sesudah dia mencintai bapanya.”Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda berbuat baik kepada ibu itu akan digandakan pahalanya dua kali ganda.”Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda, “Doa ibu (ke atas anaknya )akan segera dikabulkan.”Lalu ditanya, “Ya Rasulullah mengapa begitu?” Jawab baginda, “Kerana ibu adalah orang yang paling mengasihi(anaknya)berbanding bapa dan doa dari orang yang mengasihi tidak akan dihampakan oleh Allah.”
Seorang lelaki pernah bertanya Rasulullah saw, “Ya Rasulullah kepada siapakah aku perlu berbuat baik?”Jawab baginda, “Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu.”Lalu dia berkata, “Aku sudah tidak mempunyai dua ibu bapa lagi.”Maka Rasulullah saw pun menjawab, “Berbuat baiklah kepada anak-anakmu.Sepertimana ibu bapamu mempunyai hak yang perlu kamu tunaikan begitulah juga dengan anak-anakmu,mereka juga mempunyai hak yang perlu kamu tunaikan.”Di dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw bersabda, “Allah merahmati seorang bapa yang menolong anaknya di dalam mentaatinya.”Para ulama kebanyakannya berpendapat taat kepada ibu bapa itu wajib walaupun di dalam perkara syubhat.Hanya sanya si anak tidak perlu mentaati keduanya di dalam perkara yang haram secara nyata dan terang-terangan.Sehingga apabila jika ibu bapa diketahui akan berkecil hati jika kita tidak makan bersama mereka di dalam makanan yang ada unsur syubhat maka wajiblah kita makan bersama mereka kerana menjauhi syubhat itu tuntutan warak yang sunnat sedangkan mentaati ibu bapa adalah wajib secara pasti.Demikian juga adalah haram hukumnya kita bermusafir untuk sesuatu tujuan yang harus atau sunnat melainkan dengan izin keduanya.Begitu juga dengan musafir untuk menunaikan fardu haji kerana kewajipan haji adalah kewajiban yang boleh ditangguhkan.Begitu juga bermusafir untuk menuntut ilmu yang bukan fardu ain kesemuanya itu tidak harus melainkan dengan izin dua ibu bapa.Berkata Abu Said Al Khudri:Seorang lelaki telah berhijrah kepada Rasulullah dari negeri Yaman dengan tujuan menyertai jihad.Maka Rasulullah saw bersabda kepada beliau, “Adakah engakau masih mempunyai ibu bapa di Yaman?”Dia menjawab, “Ya,ada”Lalu Rasulullah bertanya, “Adakah dia mengizinkan engkau untuk berjihad?”Dia menjawab, “Tidak.”Lalu Rasulullah saw bersabda, “Pulanglah engkau kepada keduanya.Jika dia mengizinkan bolehlah engkau berjihad.Jika tidak,maka hendaklah engkau berbuat baik kepada keduanya sedaya upaya kamu kerana itulah kebaikan yang akan engkau bawa bertemu Allah nanti selepas tauhid.”Kemudian dating pula seorang lelaki yang lain untuk meminta izin daripada baginda untuk menyertai peperangan.Lalu Rasulullah saw bertanya, “Adakah engkau masih mempunyai ibu?”Dia menjawab,”Ya.”Maka Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah engkau tetap tinggal bersama ibumu sesungguhnya syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.”Di dalam suatu peristiwa yang lain seorang lelaki dating kepada Rasulullah untuk membai’ah baginda atas hijrah seraya berkata, “Ya Rasulullah saw aku tinggalkan dua ibu bapaku dalam keadaan menangis.”Lantas Rasulullah saw bersabda, “Pulanglah kamu kepada keduanya dan buatlah keduanya gembira sebagaimana engkau telah membuat keduanya menangis.”

KESIMPULAN
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al Quran,kisah-kisah tauladan,hadis dan athar para sahabat dan orang-orang yang salih itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu kewajiban yang tidak ada keuzuran sama sekali ke atas diri seorang yang bernama ‘anak’.Jika ditakdirkan seseorang itu dengan sebab usahanya mencapai kejayaan dan nikmat yang gilang gemilang samada di dunia mahu pun di akhirat,maka dia adalah terhutang dengan ibu bapanya di atas kejayaan tersebut kerana ibu bapanyalah yang menjadi sebab kewujudannya sehingga dia dapat menikmati kejayaan tersebut.Andaikata tidak ada apa-apa kebaikan yang telah diberikan oleh ibu bapanya kepada seseorang anak itu melainkan sebab yang satu ini sahaja pun,maka itu pun sudah memadai untuk dia berkewajiban membalas jasa kedua ibu bapanya.Anak yang derhaka bukan sahaja akan dibalas di akhirat nanti malahan akan di balas ketika dia masih di dunia lagi.Oleh itu marilah kita semua berazam dan berjanji bahawa mulai dari hari ini kita akan menambahkan kebaktian dan ketaatan terhadap kedua ibu bapa kita demi menjamin kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.