Friday, October 31, 2014

MUQADDIMAH TAFSIR IBNU KATHIR 5


Di antara mereka yang ahli di dalam ilmu tafsir dari kalangan sahabat juga adalah Abdullah ibnu Abbas sepupu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam sendiri yang bergelar penterjemah Al Quran dan lautan ilmu dengan berkat doa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam ke atasnya di mana RasuluLlah pernah bersabda mendoakan beliau
اللّهُمّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Ertinya:Ya Allah!Berilah kepadanya kefahaman dalam agama dan ajarkanlah kepadanya ilmu takwil

Berkata Ibnu  Jarir:Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar,telah menceritakan kepada kami Waki’ telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Al A’masy daripada Muslim katanya bahawa AbduLlah Ibnu Mas’ud mengatakan:
نِعْمَ تُرْجُمَانُ الْقُرْءانِ ابْنُ عَبَّاس

Ertinya:Sebaik-baik penafsir Al Quran itu adalah AbduLlah Ibnu Abbas

Kemudian Ibnu Jarir juga meriwayatkan daripada Yahya bin Daud daripada Ishak Al Azraq daripada Sufyan daripada Al A’masy daripada Muslim bin Sabih Abi Al Dhuha daripada Masruq daripada AbduLlah Ibnu Mas’ud katanya:
نِعْمَ تُرْجُمَانُ لِلْقُرْءَانِ ابْنُ عَبَّاس

Ertinya :Sebaik-baik penafsir Al Quran itu ialah AbduLlah Ibnu Abbas.

Demikian juga yang diriwayatkan daripada Bandar daripada Ja’far bin Aun  daripada Al A’masy seperti itu.Isnad-isnadnya adalah sahih sampai kepada AbduLlah bin Mas’ud bahawa dia berbicara sedemikian berkenaan AbduLlah bin Abbas.AbduLlah bin Mas’ud wafat pada tahun 32H menurut pendapat yang sahih dan AbduLlah bin Abbas terus hidup selepas tempoh tersebut selama 36 tahun.Bayangkanlah betapa banyak ilmu yang beliau usahakan selepas AbduLlah bin Mas’ud.Berkata Al A’masy  daripada Abi Wail:
اسْتَخْلَفَ عَلِيٌّ عَبْدَ اللّهِ بْنَ عَبَّاسٍ عَلى الْمَوْسِمِ فَخَطَبَ النَّاسَ فَقَرَأَ فِي خُطْبَتِهِ سُورَةَ
 
الْبَقَرَةِ وَ فِي رِوَايَةٍ سُورَةَ النُّورِ فَفَسَّرَهَا تَفْسِيْرًا لَوْ سَمِعَتْهُ لرُّوْمُ
و التُّرُك والدَّيْلَمُ لَأَسْلَمُواْ
 




Ertinya:Sayidina Ali pernah melantik AbduLlah bin Abbas sebagai amir dalam satu musim haji lalu dia berkhutbah kepada orang ramai dan dia membaca di dalam khutbah tersebut surah Al Baqarah dan di dalam satu riwayat dikatakan surah Al Nur lalu dia mentafsirkan sehingga kalaulah mendengarnya orang-orang Rom,Turki dan Dailam nescaya semuanya masuk Islam.

Inilah sebabnya mengapa Ismail Ibnu Abdul Rahman Al Suddi Al Kabir banyak meriwayatkan tafsir daripada dua orang tokoh sahabat yang tersebut iaitu AbduLlah bin Mas’ud dan AbduLlah bin Abbas.Namun demikian ,kadang-kadang beliau juga meriwayatkan perkataan ahli-ahli kitab di mana RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam membenarkan untuk berbuat demikian dengan sabdanya:
 
بَلِّغُواْ عَنِّيْ وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُواْ عَنْ بَنِيْ إسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ


 عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

 
Ertinya:Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat dan ceritakanlah dari Bani Israil dan ianya bukan suatu dosa dan barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja nmaka hendaklah dia menempah tempatnya di dalam neraka.

 

Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari daripada AbduLlah bin Amru.Itulah sebabnya AbduLlah bin Amru radhiaLlahu anhuma di dalam peperangan Yarmuk di mana beliau memperolehi dua muatankitab kepunyaan ahli kitab lalu beliau menceritakan daripada kitab tersebut hasil kefahamannya daripada hadis di atas yang mengizinkan hal yang demikian.Namun demikian hadis-hadis Israiliat tersebut dipakai sebagai penguat dan penyokong dan tidak dijadikan sebagai dasar pegangan.





Berhubung dengan hal ini riwayat-riwayat Israiliat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:


i)Riwayat israiliat yang kita ketahui benarnya berdasarkan kepada Al Quran dan Al Hadis (yang sahih) yang ada di sisi kita.Maka ianya dianggap sahih.


ii)Riwayat israiliat yang menyalahi Al Quran dan hadis yang sahih maka ianya dihukumkan dusta.

iii)Riwayat israiliat yang mana Allah dan rasulNya mendiamkan perkara tersebut tidak mengiyakan atau menafikan maka hukumnya adalah kita tidak boleh menerima atau menolak tetapi diharuskan kita meriwayatkannya berdasarkan kepada keizinan RasuluLlah di dalam hadis baginda yang lalu.Biasanya riwayat-riwayat begini adalah berhubung dengan isu-isu yang tidak penting dari segi agama yang mana menjelaskan perkara-perkara seperti ini tidak mendatangkan sebarang faedah.
..bersambung...
 

 

Rujukan:
1)Tafsir Ibnu Kathir
2)http://tanzil.net/
 
 
 









 

 

No comments:

Post a Comment