Berhubung
dengan hal ini riwayat-riwayat Israiliat dapat dibahagikan kepada tiga
bahagian:
i)Riwayat
israiliat yang kita ketahui benarnya berdasarkan kepada Al Quran dan Al Hadis
(yang sahih) yang ada di sisi kita.Maka ianya dianggap sahih.
ii)Riwayat
israiliat yang menyalahi Al Quran dan hadis yang sahih maka ianya dihukumkan
dusta.
iii)Riwayat
israiliat yang mana Allah dan rasulNya mendiamkan perkara tersebut tidak
mengiyakan atau menafikan maka hukumnya adalah kita tidak boleh menerima atau
menolak tetapi diharuskan kita meriwayatkannya berdasarkan kepada keizinan
RasuluLlah di dalam hadis baginda yang lalu.Biasanya riwayat-riwayat begini
adalah berhubung dengan isu-isu yang tidak penting dari segi agama yang mana
menjelaskan perkara-perkara seperti ini tidak mendatangkan sebarang faedah.
Kerana tidak
adanya apa-apa kepentingan dari segi agama, maka itulah sebabnya ulama-ulama
ahli kitab sendiri banyak yang berkhilaf di dalam hal-hal sedemikian dan ini
diikuti pula dengan banyaknya khilaf dari kalangan mufassirin yang mengambil
riwayat daripada mereka.Di antara contoh-contoh yang tersebut misalnya
siapa-siapa sahaja nama-nama ashabul kahfi ,apakah warna anjing mereka, dan
berapakah bilangan mereka yang sebenar?Seperti juga tongkat nabi Musa itu dari
jenis kayu apa? Apakah nama-nama burung yang dihidupkan oleh Allah atas
permintaan nabi Ibrahim?Anggota lembu yang manakah yang digunakan oleh nabi
Musa alaihissalam untuk memukul mayat orang yang mati dibunuh?Apakah nama pokok
yang dijadikan tempat Allah berbicara
dengan nabi Musa?Dan lain-lain sebagainya yang tidak diberitahukan oleh Allah
di dalam Al Quran daripada perkara-perkara yang kalau dijelaskan sekalipun
tidak mengandungi sebarang faedah kepada seseorang mukallaf itu dari segi
agamanya dan dunianya.
Namun harus
hukumnya meriwayatkan khilaf tentang perkara-perkara di atas seperti firman
Allah di dalam surah Al Kahfi misalnya.
Ertinya:Ada
di antara mereka yang akan mengatakan bilangan mereka itu tiga yang keempatnya
anjing dan ada juga yang akan mengatakan bilangan mereka adalah lima orang yang
keenamnya anjing sebagai meneka-neka akan perkara yang ghaib.Dan berkata oleh
segolongan yang lain pula jumlah mereka itu adalah tujuh orang dan yang
kelapannya anjing.Katakanlah Tuhanku lebih mengetahui akan jumlah mereka semua
dan tidaklah yang mengetahui bilangan mereka itu melainkan sedikit.Maka
janganlah engkau berbahas tentang bilangan mereka melainkan dengan hujjah yang
nyata dan janganlah engkau tanyakan kepada mereka seorang pun tentang bilangan
mereka. (Surah Al Kahfi :22)
Ayat di atas
mengandungi pengajaran tentang adab di dalam membicarakan soal-soal yang tidak
ada kepastian dari nas yang sahih dan mengajar kita bagaimana menangani isu-isu
seperti yang tersebut.Di dalam ayat di
atas Allah menyebutkan tiga pendapat di mana Allah mendhaifkan dua pendapat
yang pertama dan membiarkan pendapat yang ketiga.Hal ini menunjukkan bahawa
pendapat yang ketiga itulah yang sahih kerana jikalaulah pendapat yang ketiga
itu salah seperti Allah menolaknya sepertimana Dia menolak dua pendapat yang
pertama.Kemudian Allah menyebutkan bahawa mengetahui bilangan ashabul kahfi itu
adalah merupakan perkara yang di luar kemampuan manusia biasa dengan firmanNya:
Ertinya:Katakanlah
Tuhanku lebih mengetahui akan jumlah mereka semua.
Sesungguhnya
tidak ada yang mengetahui akan yang demikian itu melainkan sedikit iaitu hanya
mereka yang telah diberitahu oleh Allah sahaja.Kerana itulah di dalam ayat yang
seterusnya Allah berfirman:
فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا
Ertinya:Maka
janganlah engkau berbahas tentang bilangan mereka melainkan dengan hujjah yang
nyata.
Yakni
janganlah engkau memberati dirimu dengan sesuatu yang di luar kemampuanmu pada
mengetahuinya dan janganlah engkau bertanya kepada mereka tentang yang demikian
itu kerana sesungguhnya mereka juga tidak mengetahui perkara tersebut kecuali dengan meneka-neka dan mengagak-ngagak akan
perkara yang ghaib.
Ayat di atas
merupakan suatu pengajaran yang baik bagaimana menguruskan perkara khilaf di
dalam hal ini.Yakni hendaklah kita membentangkan semua pendapat lalu kemudian
menerangkan mana yang sahih dan mana yang batil di antara kesemua pendapat
tersebut .Hendaklah juga diterangkan faedah-faedah daripada khilaf tersebut dan
hasilnya supaya tidak berpanjangan pertikaian dan perselisihan di dalam
perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah dan menafaat.Maka
hendaklah kita menyibukkan diri dengan sesuatu yang paling penting kemudian
barulah pergi kepada yang kurang penting dan seterusnya.Barangsiapa yang
membahaskan perkara-perkara khilafiah di dalam sesuatu masalah tanpa
menyebutkan semua pendapat ulama di dalam masalah tersebut maka yang demikian
itu merupakan satu kekurangan kerana boleh jadi kebenaran itu ada pada pendapat
yang ditinggalkan.Begitu juga sekirannya kesemua pendapat dikemukakan tanpa
menerangkan mana pendapat yang sahih maka yang demikian itu juga satu
kekurangan.Jika ia mensahihkan pendapat yang tidak sahih secara sengaja bererti
ia dengan sengaja telah melakukan dusta.Jika dilakukan secara jahil bererti
telah melakukan satu kesalahan.Demikian juga orang yang mengangkat
perkara-perkara khilafiah di dalam perkara-perkara yang tidak ada faedah di
dalamnya atau dia menghikayatkan beberapa pendapat yang berbeza-beza pada lafaznya
padahal kembali maknanya kepada satu atau dua makna,maka sesungguhnya dia telah
membuang-buang waktu dan melebih-lebihkan perkara yang tidak sahih dan perkara
itu adalah seperti orang yang memakai dua pakaian kedustaan.Allah sajalah yang
memberi taufik ke jalan yang benar.
...bersambung...
Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net
...bersambung...
Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net
No comments:
Post a Comment