Wednesday, November 23, 2016

Sunday, November 2, 2014

MUQADDIMAH TAFSIR IBNU KATHIR 9


Dan telah berkata Abdu bin Humaid telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Harb telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid daripada Thabit daripada Anas katanya:

كُنَّا عِنْدَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللّهُ عَنْهُ وَفِيْ ظَهْرِ قَمِيْصِهِ أَرْبَعُ رَقَّاعٍ َفَقَرَأَ وَفَاكِهَةً وَأَبًّا فَقَالَ فَماَ الْأَبُّ ثُمَّ قَالَ هُوَ التَّكَلُّفُ فَمَاْ عَلَيْكَ أَنْ لَّا تَدْرِيَهُ
Ertinya:Kami sedang berada di sisi Umar bin Al Khattab radhiaLlahu anhu.Di belakang gamisnya terdapat empat tampalan lalu beliau membaca ayat:
Lalu dia bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “al abb” lalu beliau (umar) menjawab yang demikian adalah suatu takalluf.Kamu tidak berdosa jika kamu tidak mengetahuinya.
Semua ini kita tanggungakan maknanya atas bahawa Anas dan Umar radhiaLlahu anhuma memaksudkan ilmu tentang kaifiat “Al abb” yang tersebut kerana jika tidak ,bahawa keadaan al abb bahawasanya ianya merupakan rumput yang tumbuh di bumi tidak tersembunyi dari pengetahuan sesiapapun seperti firman Allah:
فَأَنبَتْنَا فِيهَا حَبًّا

Ertinya:Maka kami tumbuhkan padanya biji-bijian dan tanaman anggur (Surah Abasa:27)
Kata Ibnu Jarir telah menceritakan kepada kami Yakub bin Ibrahim telah menceritakan kepada kami Ibnu A’liyah daripada Ayyub daripada Ibnu Abi Mulaikah sesungguhnya Ibnu Abbas telah ditanya tentang suatu ayat yang kalaulah ditanyakan kepada sebahagian dari kalian pastilah mereka menjawabnya tapi beliau (Ibnu Abbas) menolak untuk menjawabnya.Isnadnya sahih.
Telah berkata Abu Ubaid telah menceritakan kepada kami Ismail bin Ibrahim daripada Ayyub daripada Ibnu Abi Mulaikah katanya:

سَأَلَ رَجُلٌ ابْنَ عَبَّاسٍ عَنْ يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ ؟ فَقَالَ لَهُ ابْنُ عَبَّاسٍ فَمَا يَوْمٌ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفِ سَنَةٍ؟  فَقَالَ الرَّجُلُ إِنَّمَا سَأَلْتُكَ لِتُحَدِّثَنِيْ فَقَالَ  ابْنُ عَبَّاسٍ هُمَا يَوْمَانِ ذَكَرَهُمَا اللّهُ فِيْ كِتَابِهِ  اللّهُ أَعْلَمُ بِهِمَا فَكَرِهَ أَنْ يَقُوْلَ فِيْ كِتَابِ  اللّهِ مَا لَا يَعْلَمُ
Ertinya:Seorang lelaki telah bertanya kepada Ibnu Abbas tentang suatu hari yang bersamaan seribu tahun.Lalu Ibnu Abbas bertanya kembali kepada lelaki itu bagaimana pula dengan satu hari yang bersamaan lima puluh ribu tahun?Lelaki itu berkata sesungguhnya aku datang  untuk bertanya kepadamu supaya engkau menceritakan kepadaku.Lalu Ibnu Abbas berkata:Kedua-duanya  adalah hari-hari yang Allah sebutkan  di dalam kitabNya yang mana hanya Allah lah yang lebih mengetahui hakikat keduanya.Ibnu Abbas tidak suka untuk mengatakan sesuatu tentang kitab Allah perkara yang tidak diketahuinya.
Berkata Ibnu Jarir, telah menceritakan kepadaku Yakub ibnu Ibrahim telah menceritakan kepada kami Ibnu Aliyah daripada Mahdi bin Maimun daripada Al Walid bin Muslim katanya:

جَاءَ طَلَقٌ بْنُ حُبَيْبٍ إِلَى جُنْدُب بْنِ عَبْدِ اللّهُ فَسَأَلَهُ عَنْ آيَةٍ مِنَ الْقُرْءَانِ فَقَالَ أُخْرِجُ عَلَيْكَ إِنْ كُنْتَ مُسْلِمًا إلّا مَا قُمْتَ عَنِّيْ أَوْ قَالَ أَنْ تُجَالِسَنِيْ

Ertinya:Talaq bin Hubaib telah datang kepada Jundub bin Abdullah lalu menanyainya satu ayat daripada Al Quran.Lalu dia berkata aku mengeluarkan sekiranya engkau seorang muslim melainkan engkau tidak tinggal bersamaku.
Berkata Malik daripada Yahya bin Said daripada Said bin Al Musayyib sesungguhnya beliau ketika ditanyakan tentang tafsir suatu ayat daripada Al Quran dia berkata:
إِنَّا لَا نَقُوْلُ فِيْ الْقُرْءَانِ شَيْئًا

Ertinya:Sesungguhnya kami tidak akan mengatakan sesuatu pun tentang Al Quran.
Kata Laith daripada Yahya bin Said daripada Said bin Al Musayyib sesungguhnya dia tidak mengatakan sesuatu pun kecuali apa yang diketahuinya daripada Al Quran.
Berkata Syu’bah daripada Amru bin Murrah dia berkata:

سَأَلَ  رَجُلٌ سَعِيْدَ ابْنَ الْمُسَيِّبِ عَنْ آيَةٍ مِنَ الْقُرْءَانِ فَقَالَ لَا تَسْئَلْنِيْ عَنِ الْقُرْءَانِ وَسَلْ مَنْ يَزْعَمُ أَنَّهُ لَا يَخْفَى عَلَيْهِ مِنْهُ شَيْئٌ يَعْنِيْ عِكْرِمَةً

Ertinya:Telah bertanya seorang lelaki kepada Said bin Al Musayyib tentang suatu ayat daripada Al Quran lalu dia berkata jangan lah kamu bertanya kepadaku tentang Al Quran sebaliknya tanyakanlah kepada orang yang mendakwan tidak tersembunyi sesuatu pun daripadanya  daripada Al Quran itu-Yang beliau maksudkan adalah Ikrimah.
Telah berkata Ibnu Syauzab telah menceritakan kepadaku Yazid bin Abu Yazid katanya:

كُنَّا نَسْأَلُ سَعِيْدَ بْنَ الْمُسَيِّبِ عَنِ الْحَرَامِ وَالْحَلَالِ وَكَانَ أَعْلَمَ النَّاسِ فَإِذَاْ سَأَلْنَاهُ عَنْ تَفْسِيْرِ آيَةٍ مِنَ الُقُرْءَانِ سَكَتَ كَأَنْ لَّمْ يَسْمَعْ

 

Ertinya:Adalah kami menanyakan Said bin Al Musayyib berkenaan haram dan halal padahal beliau adalah sealim-alim manusia.Tetapi apabila kami tanyakan tentang tafsir suatu ayat daripada Al Quran beliau mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar.
Telah berkata Ibnu Jarir telah menceritakan kepadaku Ahmad bin Abdah Al Dhabbi telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid telah menceritakan kepada kami Ubaidillah bin Umar Katanya:

لَقَدْ أَدْرَكْتُ فُقَهَاءَ الْمَدِيْنَةَ وَإِنَّهُمْ لَيُعَظِّمُواْ الْقَوْلَ فِيْ التَّففْسِيْرِ مِنْهُمْ سَالِمٌ بْنُ عَبْدِ اللّهِ وَالْقَاسِمُ بْنُ مُحَمَّدٍ وَسَعِيْدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ وَنَافِعٌ

Ertinya:Aku telah bertemu fuqaha-fuqaha Madinah dan sesungguhnya mereka itu menganggap adalah satu hal yang sangat besar membicarakan tentang tafsir.Di antara mereka adalah Salim bin Abdillah,Al Qasim bin Muhammad,Said bin Al Musayyib dan Nafi’.
Dan telah berkata Abu Ubaid telah menceritakan kepada kami AbduLlah bin Saleh daripada Laith daripada Hisyam bin Urwah dia berkata:
مَا سَمِعْتُ أَبِيْ تَأَوَّلَ آيَةً مِنْ كِتَابِ اللّهِ قَطٌّ

Ertinya:Aku tidak pernah mendengar bapaku mentakwilkan satu ayat pun daripada kitab Allah sekali-kali.
 
 ...bersambung...


Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net
 
 
 
 

Saturday, November 1, 2014

MUQADDIMAH TAFSIR IBNU KATHIR 8


Menafsirkan Al Quran semata-mata dengan berdasarkan fikiran hukumnya  adalah haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad Ibnu Jarir rahimahuLlah taala di mana beliau berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar telah menceritakan kepada kami Yahya bin Said telah menceritakan kepada kami Sufyan telah menceritakan kepadaku Abdul A’la iaitu Ibnu A’mir Al Tha’labi daripada Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas daripada nabi sallaLlahu alaihi wasallam baginda bersabda:

مَنْ قَالَ فِيْ الْقُرْءَانِ بِرأْيِهِ أَوْ بِماَ لَا يَعْلَمُ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Ertinya:Barangsiapa mengatakan sesuatu tentang Al Quran dengan pendapatnya atau dengan sesuatu yang ia tidak ketahui maka hendaklah dia menempah tempatnya di dalam neraka.

Demikianlah dikeluarkan oleh Al Tirmizi dan Nasaai daripada galur Sufyan Al Thauri .Abu Daud meriwayatkannya daripada Musaddad daripada Abu A’wanah daripada Abdul A’la secara marfuk.Berkata Al  Tirmizi:Hadis hasan.Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Yahya bin Talhah Al Yarbu’i daripada Syarik daripada Abdul A’la secara marfuk.Tetapi dia meriwayatkan daripada Muhammad bin Humaid daripada Al Hakam bin Basyir daripada Amru bin Qais Al Malaa’i daripada Abdul A’la daripada Said daripada Ibnu Abbas secara mauquf.Dan daripada Muhammad bin Humaid daripada Jarir daripada Laith daripada Bikir daripada Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas daripada kata-katanya .Wallahu a’lam .

Berkata Ibnu Jarir telah menceritakan kepada kami Al Abbas bin Abdul Azhim Al Anbari telah menceritakan kepada kami Hayyan bin Hilal telah menceritakan kepada kami Sahal saudara  lelaki kepada Hazam,telah menceritakan kepada kami Imran Al Juni daripada Jundub sesungguhnya RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ قَالَ فِيْ كِتَابِ اللّهِ  بِرأْيِهِ فَأَصَابَ فَقَدْ أَخْطَأَ

Ertinya:Barangsiapa yang berbicara tentang kitab Allah berdasarkan kepada pendapatnya lalu pendapatnya itu benar sesungguhnya dia telah melakukan kesalahan.

Sesungguhnya hadis di atas telah diriwayatkan oleh Abu Daud ,Tirmizi dan Al Nasaai daripada hadis Suhail bin Abu Hasan Al Qath’i.Kata Imam Al Tirmizi:Hasan gharib dan sesungguhnya sebahagian ulama telah memperkatakan salah seorang perawinya iaitu Suhail.

Berdasarkan kepada lafaz hadis di atas barangsiapa yang berbicara  tentang kitab Allah berdasarkan kepada pendapatnya lalu pendapatnya itu benar sesungguhnya dia telah melakukan kesalahan – Yang demikian adalah kerana dia membebankan dirinya dengan sesuatu yang tidak diketahuinya dan melakukan perkara yang tidak diperintahkan dan jikalaulah pendapatnya itu benar sekalipun dia tetap bersalah kerana tidak mendatangi sesuatu perkara  melalui pintunya.Hukumnya adalah seperti orang yang menjatuhkan hukuman ke atas manusia secara jahil iaitu tempatnya di neraka sekalipun penghakimannya benar,hanyasanya dosanya adalah lebih ringan daripada orang yang salah.Wallahu a’lam.
Demikianlah Allah menamakan para penuduh itu sebagai pendusta.Firman Allah:

لَّوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَـٰئِكَ عِندَ اللَّـهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ

Ertinya:Maka jika mereka tidak mendatangkan para saksi mereka itulah orang-orang yang berdusta(Surah Al Nur:13)
Si  penuduh adalah pendusta meskipun kadang-kadang tuduhannya benar kerana dia menceritakan perkara yang tidak halal untuk diceritakan walaupun apa yang diceritakannya itu adalah apa yang diketahuinya kerana dia membebankan dirinya dengan sesuatu yang dia tidak ada ilmu tentangnya.Wallahu a’lam.
Itulah sebabnya satu jamaah dari kalangan ulama-ulama salaf mempersempitkan hukum menafsirkan Al Quran bagi orang yang tidak mempunyai ilmu sepertimana yang diriwayatkan oleh Syu’bah daripada Sulaiman daripada Abdullah bin Marrah daripada Abu Ma’mar katanya telah berkata Abu Bakar Al Siddiq radhiaLlahu anhu:

أَيُّ أَرْضٍ تُقِلُّنِيْ وَأَيُّ سَمَاءٍ تُظِلُّنِيْ إِذْ قُلْتُ فِيْ كِتَابِ اللّهِ مَا لَا أَعْلَمُ

Ertinya:Bumi manakah yang akan menanggungku?Langit manakah yang akan menaungiku?Apabila aku berkata tentang kitab Allah sesuatu yang tidak aku ketahui.
Dan telah berkata Abu Ubaid Al Qasim telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yazid daripada Al Awwam bin Hausyab daripada Ibrahim Al Taimi bahawa Abu Bakar Al Siddiq di tanya tentang firman Allah Taala yang berbunyi:
وَفَاكِهَةً وَأَبًّا

Ertinya:Dan buah-buahan serta rumput-rumput
Lalu Sayidina Abu Bakar radhiaLlahu anhu berkata:

أَيُّ سَمَاءٍ تُظِلُّنِيْ أَيُّ أَرْضٍ تُقِلُّنِيْ إِذْ قُلْتُ فِيْ كِتَابِ اللّهِ مَا لَا أَعْلَمُ

Ertinya:Langit manakah yang akan menaungiku?Dan bumi manakah yang akan menanggungku?Apabila aku berkata tentang kitab Allah sesuatu yang aku tidak ketahui.
Ini adalah riwayat yang munqathi’.
Berkata Abu Ubaid juga telah menceritakan kepada kami Yazid daripada Humaid daripada Anas bahawasanya Umar bin Al Khattab telah membaca di atas mimbar:
وَفَاكِهَةً وَأَبًّا

Ertinya:Dan buah-buahan serta rumput-rumput.
Lalu beliau berkata:Buah itu telah kami ketahui maka apakah yang dimaksudkan dengan rumput-rumput?Kemudian ia kembali berkata kepada dirinya “Inilah yang dikatakan takalluf wahai Umar”

 ...bersambung...

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net

MUQADDIMAH TAFSIR IBNU KATHIR 7


Apabila tidak ditemui  sesuatu tafsir dari Al Quran atau sunnah atau dari sahabat-sahabat nabi maka para ulama ramai yang merujukkan tafsirannya kepada para tabiin misalnya seperti Mujahid bin Jabbar kerana sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat alim di dalam ilmu tafsir.Sepertimana kata Muhammad Ibnu Ishak telah menceritakan kepada kami Aban bin Saleh daripada Mujahid dia berkata:
عَرَضْتُ الْمُصْحفَ عَلَى ابْنِ عَبَّاسٍ ثَلَاثَ عَرَضَاتٍ مِنْ فَاتِحَةِ إلَى خَاتِمَتِهِ أُوَفِّقُهُ عِنْدَ كُلِّ
آيَةٍ مِنْهُ وَأَسْأَلُهُ عَنْهَا
 
 
Ertinya:Aku membentangkan mushaf (Al Quran) atas Ibnu Abbas sebanyak tiga kali daripada surah Al Fatihah sehingga surah yang penghabisan dan aku berhenti pada setiap ayat dan bertanya kepadanya tentang setiap ayat tersebut.
Telah berkata Ibnu Jarir,telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib ,telah menceritakan kepada kami Tholaq bin Ghanam daripada Uthman Al Makki daripada Abi Mulaikah katanya:
رَأَيْتُ مُجَاهِدًا سَأَلَ ابْنَ عَبّاسٍ عَنْ تَفْسِيْرِ الْقُرْءَانِ وَمَعَهُ أَلْوَاحُهُ قَالَ فَيَقُولُ لَهُ ابْنُ  عَبّاسٍ أُكْتُبْ حَتَّى سَأَلَهُ عَنِ التَّفْسِيْرِ كُلِّهِ

Ertinya:Aku melihat Mujahid bertanya kepada Ibnu Abbas tentang tafsir Al Quran dan dia membawa bersamanya beberapa papan loh lau berkata Ibnu Abbas kepadanya “Tulislah!” sehingga dia berkata kepadanya tentang tafsir Al Quran sekeliannya.

Itulah sebabnya adalah Sufyan Atthauri berkata:
إِذَا جَاءَكَ التَّفْسِيْرُ عَنْ مُجَاهِدٍ فَحَسْبُكَ بِهِ

Ertinya:Apabila datang kepadamu tafsir Al Quran daripada Mujahid maka itu mencukupi bagimu.

Dan seperti Mujahid juga ramai lagi para mufassirin dari kalangan tabiin seperti Said bin Jubair,Ikrimah hamba kepada Ibnu Abbas,Atha’ bin Rabah,Al Hasan Al Basri,Masruq ibnu Al Ajda’,Said bin Al Musayyib,Abu Al A’liah,Arrabi’ bin Anas,Qatadah,Al Dhahak bin Muzaham dan lain-lainnya dari kalangan tabiin dan tabi’ al tabiin dan orang-orang selepas mereka.Lalu disebutkan kesemua pendapat mereka tentang ayat-ayat Al Quran dan terjadilah perbezaan pada lafaznya sehingga orang-orang yang tidak mengerti menyangka itu adalah perselisihan padahal tidak sedemikian kerana sebahagian musfassirin tersebut menerangkan sesuatu ayat dengan makna yang melazimi atau yang serupa dengannya .Sebahagian lagi menunjukkan makna ayat secara tepat padahal kesemuanya itu merujuk kepada makna yang satu jua pada kebanyakan tempat.Maka hendaklah orang-orang yang berakal menyedari perkara ini.Allah jualah yang memberi petunjuk.Menurut Syu’bah   bin Al Hajjaj dan lain-lain,perkataan para tabiin di dalam masalah furuk(cabang) tidak menjadi hujjah maka bagaimana pula ia menjadi hujjah di bidang tafsir?Hal ini bermaksud perkataan seseorang tabiin tidak menjadi hujjah ke atas seseorang tabiin yang lain yang berbeza pendapat dengannya dan inilah pendapat yang sahih.Adapun sekiranya berijmak atas sesuatu perkara maka tidak diragukan lagi bahawa persepakatan mereka itu menjadi hujjah.Jika terdapat perbezaan pendapat di kalangan mereka maka perkataan seseorang tabiin tidak menjadi hujjah ke atas tabiin yang lain atau atas orang yang selepas mereka dan kembalilah penafsiran tersebut kepada bahasa Arab atau sunnah atau kaedah-kaedah umum bahasa Arab atau perkataan para sahabat.
  ...bersambung...

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net

MUQADDIMAH TAFSIR IBNU KATHIR 6


Berhubung dengan hal ini riwayat-riwayat Israiliat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:
i)Riwayat israiliat yang kita ketahui benarnya berdasarkan kepada Al Quran dan Al Hadis (yang sahih) yang ada di sisi kita.Maka ianya dianggap sahih.
ii)Riwayat israiliat yang menyalahi Al Quran dan hadis yang sahih maka ianya dihukumkan dusta.
iii)Riwayat israiliat yang mana Allah dan rasulNya mendiamkan perkara tersebut tidak mengiyakan atau menafikan maka hukumnya adalah kita tidak boleh menerima atau menolak tetapi diharuskan kita meriwayatkannya berdasarkan kepada keizinan RasuluLlah di dalam hadis baginda yang lalu.Biasanya riwayat-riwayat begini adalah berhubung dengan isu-isu yang tidak penting dari segi agama yang mana menjelaskan perkara-perkara seperti ini tidak mendatangkan sebarang faedah.
 

Kerana tidak adanya apa-apa kepentingan dari segi agama, maka itulah sebabnya ulama-ulama ahli kitab sendiri banyak yang berkhilaf di dalam hal-hal sedemikian dan ini diikuti pula dengan banyaknya khilaf dari kalangan mufassirin yang mengambil riwayat daripada mereka.Di antara contoh-contoh yang tersebut misalnya siapa-siapa sahaja nama-nama ashabul kahfi ,apakah warna anjing mereka, dan berapakah bilangan mereka yang sebenar?Seperti juga tongkat nabi Musa itu dari jenis kayu apa? Apakah nama-nama burung yang dihidupkan oleh Allah atas permintaan nabi Ibrahim?Anggota lembu yang manakah yang digunakan oleh nabi Musa alaihissalam untuk memukul mayat orang yang mati dibunuh?Apakah nama pokok yang dijadikan tempat  Allah berbicara dengan nabi Musa?Dan lain-lain sebagainya yang tidak diberitahukan oleh Allah di dalam Al Quran daripada perkara-perkara yang kalau dijelaskan sekalipun tidak mengandungi sebarang faedah kepada seseorang mukallaf itu dari segi agamanya dan dunianya.

Namun harus hukumnya meriwayatkan khilaf tentang perkara-perkara di atas seperti firman Allah di dalam surah Al Kahfi misalnya.
 
 
سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا
 
 
 
Ertinya:Ada di antara mereka yang akan mengatakan bilangan mereka itu tiga yang keempatnya anjing dan ada juga yang akan mengatakan bilangan mereka adalah lima orang yang keenamnya anjing sebagai meneka-neka akan perkara yang ghaib.Dan berkata oleh segolongan yang lain pula jumlah mereka itu adalah tujuh orang dan yang kelapannya anjing.Katakanlah Tuhanku lebih mengetahui akan jumlah mereka semua dan tidaklah yang mengetahui bilangan mereka itu melainkan sedikit.Maka janganlah engkau berbahas tentang bilangan mereka melainkan dengan hujjah yang nyata dan janganlah engkau tanyakan kepada mereka seorang pun tentang bilangan mereka. (Surah Al Kahfi :22)

Ayat di atas mengandungi pengajaran tentang adab di dalam membicarakan soal-soal yang tidak ada kepastian dari nas yang sahih dan mengajar kita bagaimana menangani isu-isu seperti yang tersebut.Di dalam ayat  di atas Allah menyebutkan tiga pendapat di mana Allah mendhaifkan dua pendapat yang pertama dan membiarkan pendapat yang ketiga.Hal ini menunjukkan bahawa pendapat yang ketiga itulah yang sahih kerana jikalaulah pendapat yang ketiga itu salah seperti Allah menolaknya sepertimana Dia menolak dua pendapat yang pertama.Kemudian Allah menyebutkan bahawa mengetahui bilangan ashabul kahfi itu adalah merupakan perkara yang di luar kemampuan manusia biasa dengan firmanNya:
 
قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم

Ertinya:Katakanlah Tuhanku lebih mengetahui akan jumlah mereka semua.
Sesungguhnya tidak ada yang mengetahui akan yang demikian itu melainkan sedikit iaitu hanya mereka yang telah diberitahu oleh Allah sahaja.Kerana itulah di dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman:
فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا

Ertinya:Maka janganlah engkau berbahas tentang bilangan mereka melainkan dengan hujjah yang nyata.
 

Yakni janganlah engkau memberati dirimu dengan sesuatu yang di luar kemampuanmu pada mengetahuinya dan janganlah engkau bertanya kepada mereka tentang yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka juga tidak mengetahui perkara tersebut kecuali  dengan meneka-neka dan mengagak-ngagak akan perkara yang ghaib.

Ayat di atas merupakan suatu pengajaran yang baik bagaimana menguruskan perkara khilaf di dalam hal ini.Yakni hendaklah kita membentangkan semua pendapat lalu kemudian menerangkan mana yang sahih dan mana yang batil di antara kesemua pendapat tersebut .Hendaklah juga diterangkan faedah-faedah daripada khilaf tersebut dan hasilnya supaya tidak berpanjangan pertikaian dan perselisihan di dalam perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah dan menafaat.Maka hendaklah kita menyibukkan diri dengan sesuatu yang paling penting kemudian barulah pergi kepada yang kurang penting dan seterusnya.Barangsiapa yang membahaskan perkara-perkara khilafiah di dalam sesuatu masalah tanpa menyebutkan semua pendapat ulama di dalam masalah tersebut maka yang demikian itu merupakan satu kekurangan kerana boleh jadi kebenaran itu ada pada pendapat yang ditinggalkan.Begitu juga sekirannya kesemua pendapat dikemukakan tanpa menerangkan mana pendapat yang sahih maka yang demikian itu juga satu kekurangan.Jika ia mensahihkan pendapat yang tidak sahih secara sengaja bererti ia dengan sengaja telah melakukan dusta.Jika dilakukan secara jahil bererti telah melakukan satu kesalahan.Demikian juga orang yang mengangkat perkara-perkara khilafiah di dalam perkara-perkara yang tidak ada faedah di dalamnya atau dia menghikayatkan beberapa pendapat yang berbeza-beza pada lafaznya padahal kembali maknanya kepada satu atau dua makna,maka sesungguhnya dia telah membuang-buang waktu dan melebih-lebihkan perkara yang tidak sahih dan perkara itu adalah seperti orang yang memakai dua pakaian kedustaan.Allah sajalah yang memberi taufik ke jalan yang benar.

...bersambung...


Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net