Menafsirkan
Al Quran semata-mata dengan berdasarkan fikiran hukumnya adalah haram berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Muhammad Ibnu Jarir rahimahuLlah taala di mana beliau
berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar telah menceritakan
kepada kami Yahya bin Said telah menceritakan kepada kami Sufyan telah
menceritakan kepadaku Abdul A’la iaitu Ibnu A’mir Al Tha’labi daripada Said bin
Jubair daripada Ibnu Abbas daripada nabi sallaLlahu alaihi wasallam baginda
bersabda:
مَنْ قَالَ فِيْ الْقُرْءَانِ بِرأْيِهِ أَوْ بِماَ لَا يَعْلَمُ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Ertinya:Barangsiapa
mengatakan sesuatu tentang Al Quran dengan pendapatnya atau dengan sesuatu yang
ia tidak ketahui maka hendaklah dia menempah tempatnya di dalam neraka.
Demikianlah
dikeluarkan oleh Al Tirmizi dan Nasaai daripada galur Sufyan Al Thauri .Abu
Daud meriwayatkannya daripada Musaddad daripada Abu A’wanah daripada Abdul A’la
secara marfuk.Berkata Al Tirmizi:Hadis
hasan.Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Yahya bin Talhah Al
Yarbu’i daripada Syarik daripada Abdul A’la secara marfuk.Tetapi dia
meriwayatkan daripada Muhammad bin Humaid daripada Al Hakam bin Basyir daripada
Amru bin Qais Al Malaa’i daripada Abdul A’la daripada Said daripada Ibnu Abbas
secara mauquf.Dan daripada Muhammad bin Humaid daripada Jarir daripada Laith
daripada Bikir daripada Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas daripada
kata-katanya .Wallahu a’lam .
Berkata Ibnu
Jarir telah menceritakan kepada kami Al Abbas bin Abdul Azhim Al Anbari telah
menceritakan kepada kami Hayyan bin Hilal telah menceritakan kepada kami Sahal
saudara lelaki kepada Hazam,telah
menceritakan kepada kami Imran Al Juni daripada Jundub sesungguhnya RasuluLlah
sallaLlahu alaihi wasallam bersabda:
مَنْ قَالَ فِيْ كِتَابِ اللّهِ
بِرأْيِهِ فَأَصَابَ فَقَدْ أَخْطَأَ
Ertinya:Barangsiapa
yang berbicara tentang kitab Allah berdasarkan kepada pendapatnya lalu
pendapatnya itu benar sesungguhnya dia telah melakukan kesalahan.
Sesungguhnya
hadis di atas telah diriwayatkan oleh Abu Daud ,Tirmizi dan Al Nasaai daripada
hadis Suhail bin Abu Hasan Al Qath’i.Kata Imam Al Tirmizi:Hasan gharib dan
sesungguhnya sebahagian ulama telah memperkatakan salah seorang perawinya iaitu
Suhail.
Berdasarkan
kepada lafaz hadis di atas barangsiapa yang berbicara tentang kitab Allah berdasarkan kepada
pendapatnya lalu pendapatnya itu benar sesungguhnya dia telah melakukan
kesalahan – Yang demikian adalah kerana dia membebankan dirinya dengan sesuatu
yang tidak diketahuinya dan melakukan perkara yang tidak diperintahkan dan
jikalaulah pendapatnya itu benar sekalipun dia tetap bersalah kerana tidak
mendatangi sesuatu perkara melalui
pintunya.Hukumnya adalah seperti orang yang menjatuhkan hukuman ke atas manusia
secara jahil iaitu tempatnya di neraka sekalipun penghakimannya
benar,hanyasanya dosanya adalah lebih ringan daripada orang yang salah.Wallahu
a’lam.
Demikianlah
Allah menamakan para penuduh itu sebagai pendusta.Firman Allah:
لَّوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا
بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَـٰئِكَ عِندَ اللَّـهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ
Ertinya:Maka
jika mereka tidak mendatangkan para saksi mereka itulah orang-orang yang
berdusta(Surah Al Nur:13)
Si penuduh adalah pendusta meskipun kadang-kadang
tuduhannya benar kerana dia menceritakan perkara yang tidak halal untuk
diceritakan walaupun apa yang diceritakannya itu adalah apa yang diketahuinya
kerana dia membebankan dirinya dengan sesuatu yang dia tidak ada ilmu
tentangnya.Wallahu a’lam.
Itulah
sebabnya satu jamaah dari kalangan ulama-ulama salaf mempersempitkan hukum
menafsirkan Al Quran bagi orang yang tidak mempunyai ilmu sepertimana yang
diriwayatkan oleh Syu’bah daripada Sulaiman daripada Abdullah bin Marrah
daripada Abu Ma’mar katanya telah berkata Abu Bakar Al Siddiq radhiaLlahu anhu:
أَيُّ أَرْضٍ تُقِلُّنِيْ وَأَيُّ سَمَاءٍ تُظِلُّنِيْ إِذْ قُلْتُ فِيْ كِتَابِ اللّهِ مَا لَا أَعْلَمُ
Ertinya:Bumi
manakah yang akan menanggungku?Langit manakah yang akan menaungiku?Apabila aku
berkata tentang kitab Allah sesuatu yang tidak aku ketahui.
Dan telah
berkata Abu Ubaid Al Qasim telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yazid
daripada Al Awwam bin Hausyab daripada Ibrahim Al Taimi bahawa Abu Bakar Al
Siddiq di tanya tentang firman Allah Taala yang berbunyi:
وَفَاكِهَةً وَأَبًّا
Ertinya:Dan
buah-buahan serta rumput-rumput
Lalu
Sayidina Abu Bakar radhiaLlahu anhu berkata:
أَيُّ سَمَاءٍ تُظِلُّنِيْ أَيُّ أَرْضٍ تُقِلُّنِيْ
إِذْ قُلْتُ فِيْ كِتَابِ اللّهِ مَا لَا أَعْلَمُ
Ertinya:Langit
manakah yang akan menaungiku?Dan bumi manakah yang akan menanggungku?Apabila
aku berkata tentang kitab Allah sesuatu yang aku tidak ketahui.
Ini adalah
riwayat yang munqathi’.
Berkata Abu
Ubaid juga telah menceritakan kepada kami Yazid daripada Humaid daripada Anas
bahawasanya Umar bin Al Khattab telah membaca di atas mimbar:
وَفَاكِهَةً وَأَبًّا
Ertinya:Dan
buah-buahan serta rumput-rumput.
Lalu beliau
berkata:Buah itu telah kami ketahui maka apakah yang dimaksudkan dengan
rumput-rumput?Kemudian ia kembali berkata kepada dirinya “Inilah yang dikatakan
takalluf wahai Umar”
Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tanzil net
No comments:
Post a Comment