Saudara Mohamad mengatakan bahawa tokoh-tokoh tasawuf telah mencetuskan banyak perkara-perkara pelik seperti kepercayaan wahdatul wujud dan ajaran mertabat tujuh yang berkeyakinan adanya penyatuan makhluk dengan Tuhan sehingga yang paling sempurna disebut sebagai mertabat ahadiat.Inilah yang dikatakan salah tanggap yang membawa kepada kekeliruan dan buruk sangka oleh Saudara Mohamad terhadap ulama dan ajaran tasawuf sehingga beliau membuat kesimpulan yang salah kononnya wahdatul wujud sama ertinya penyatuan makhluk dengan Tuhan.Ini adalah satu fitnah terhadap ajaran dan ulama tasawuf.Apakah fitnah yang lebih besar daripada ini.Untuk pengetahuan saudara Mohamad di dalam ajaran mertabat tujuh,makhluk tidak wujud pada peringkat ahadiah oleh itu bagaimana mungkin wujudnya penyatuan?Makhluk hanya wujud pada mertabat alam arwah apabila Allah menciptakan para ruh dan seterusnya ruh-ruh tersebut diberi misal pada mertabat alam misal kemudian barulah dijadikan dan diturunkan pada alam ajsam menurut misal yang telah ditetapkan oleh Allah.Kewujudan makhluk itu pula telah pun diketahui oleh Allah di dalam ilmunya yang azali dan ini dikatakan mertabat wahdah dan wahidiah.Ketiga-tiga mertabat yang teratas iaitu ahadiah ,wahdah dan wahidiah adalah mertabat qadim lagi azali dan ketiga-tiganya itu tidak berdahulu kemudian antara satu sama lain.Hanya sanya ditertibkan ahadiah itu yang pertama,wahdah yang kedua dan wahidiah yang ketiga hanyalah tertib aqli iaitu pada maqam syuhud dan fana dan bukan tertib yang hakiki kerana pada hakikatnya ketiga-tiganya itu adalah serentak iaitu qadim lagi azali.Pada mertabat ahadiah- wahdah dan wahidiah fana(daripada syuhud ahli sufi) di dalam zat yang aqdas tatkala seseorang sufi itu berada pada makam tauhid al zat.Ada pun makhluk tidak wujud malahan tidak mencium bau wujud sekali pun.Kewujudan makhluk hanya bermula pada mertabat alam arwah, alam misal, dan alam ajsam dan ketiga – tiga mertabat ini dinamakan mertabat hadith(baharu).Makhluk seperti yang ada sejak dari alam arwah hingga sekarang ini di alam ajsam hanyalah bekas dan hukum dari ilmu Allah yang azali itu.Apa yang cuba dihuraikan oleh para ulama tasawuf ialah sekelian makhluk yang ada tanpa kecuali sentiasa dan selama-lamanya berada di dalam ta’luk kudrat,iradat dan ilmu Allah Taala Yang Maha Esa.Dan sesungguhnya qayumiah(ingat!bukan zat) Allah Taala sentiasa dan selama-lamanya sari ke atas tiap-tiap zarratul wujud-samada dengan takluk ijad ataupun amdad? Jauh sungguh daripada apa yang dituduhkan oleh Saudara Mohamad iaitu makhluk bersatu dengan Tuhan.Nyatalah apa yang dihuraikan oleh para ulama tasawuf tersebut hanyalah tafsiran dari ayat 15 surah Al Faathir yang bermaksud, “wahai manusia kamu sekelian adalah fakir (bergantung dan berhajat kepada Allah selama-lamanya iaitu tatkala kamu belum jadi lagi,sedang dijadikan dan sesudah dijadikan) dan Allah itu Maha Kaya lagi Maha terpuji”Bukankah huraian tersebut selari dengan iktikad ahli sunnah wal jamaah.Tidak ada apa yang perlu dihairankan di dalam hal ini kecuali bagi orang-orang yang tidak memahami dengan sebenar-benarnya iktikad ahli sunnah wal jamaah dan tidak memahami penjelasan ahli-ahli tasawuf tentang perkara tersebut.
(bersambung...)
No comments:
Post a Comment