Saturday, April 10, 2010

MENJAWAB TULISAN MOHAMAD ABDUL KADIR SAHAK

Berhubung dengan tulisan Mohamad Abdul Kadir Sahak,yang tersiar di dalam majalah ini keluaran November 2007 memaparkan kepada kita satu lagi contoh buruk fanatik jahil oleh golongan yang mendakwa kononnya sebagai pendokong aliran hadis dan sunnah berkisar isu-isu tasawuf,Al Ghazali dan sunnah.Persoalannya,adakah kekeliruan dan buruk sangka punca kepada salah tanggap,ataukah salah tanggap saudara Mohamad menjadi punca kepada kekeliruan dan buruk sangka?Bagi beliau oleh kerana berlaku penyelewengan di dalam tasawuf,maka tasawuf mesti dibuang dari agama Islam dan umat Islam mesti menjauhi amalan tersebut.Jika demikian di mana hendak diletakkan berpuluh-puluh ayat Al Quran dan juga hadis-hadis nabi yang menyarankan supaya kita mencintai Allah,mencintai akhirat,menjauhi sifat-sifat mazmumah dan menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah serta berusaha menghampirkan diri kepada Allah dan lain-lain?Bukankah itu semua perintah Allah dan RasulNya didalam Al Quran dan sunnah dan seterusnya dihimpunkan oleh para alim ulama di dalam satu disiplin ilmu yang dinamakan ilmu tasawuf?Kita tidak menafikan bahawa ilmu tasawuf telah dimasukki unsur-unsur penyelewengan namun cuba kita renungi secara adil ilmu manakah di dalam ruang lingkup ajaran Islam yang tidak dimasukki penyelewengan.Penyelewengan yang paling hebat telah berlaku di dalam aqidah yang kerananya telah melahirkan fahaman muktazilah, khawarij, qadariah, jabariah, murjiah, rafidhah, mujassimah, musyabbihah, bahaiyah, batiniah, qaramitah, qadiani dan lain-lain yang mana proses penyelewengan terus berjalan sampailah sekarang dan kemungkinan juga sehinggalah hari qiamat.Sehingga hari ini tidak ada satu orang ulama pun yang bercakap untuk membuang terus ilmu aqidah.Malahan dengan wujudnya segala macam peyelewengan tersebut maka ilmu aqidah sebagai satu cabang ilmu yang khusus dan berasingan justeru adalah terlebih sangat diperlukan.Ilmu tasawuf juga turut mengalami nasib yang sama.Membuang ilmu ini dari sukatan ajaran Islam tidak akan dapat menyelesaikan masalah malahan masalah akan menjadi semakin parah.Sepatutnya apabila tejadinya kemasukan penyelewengan di dalam sesuatu ilmu itu,maka pengkhususan ilmu semakin diperlukan supaya kita lebih mudah memantau ilmu tersebut dan mudah membersihkannya daripada sebarang anasir yang tidak diingini Janganlah pula kita hendak menafikan bahawa ilmu aqidah sebagai satu disiplin ilmu dalam Islam adalah bid’ah yang dimulakan oleh para ulama bermula pada kurun yang ketiga hijrah ekoran timbulnya syubhat dalam aqidah akibat munculnya fahaman-fahaman yang menyalahi aqidah sunnah.Pembelajaran aqidah seperti yang kita pelajari pada hari ini pada zaman Rasulullah malahan pada zaman khulafa Al Rasyidin tidak wujud kerana yang wujud pada masa itu adalah semata-mata pembelajaran Al Quran dan sunnah.Begitu juga dengan ilmu fikah yang terpaksa disusun oleh Imam Al Syafii untuk mengahadapi golongan inkar al sunnah pada zamannya.Para ulama pendahulu kita kesemuanya bekerja keras untuk menyelamatkan ajaran Islam daripada dimasukki penyelewengan dengan cara menyusun sesuatu cabang ilmu itu untuk memudahkan mereka mengasingkan dan menyingkirkan perkara-perkara yang dikenalpasti sebagai penyelewengan dan supaya musuh-musuh tidak berpeluang untuk menyusupkan sesuatu yang tidak sesuai dengan ajaran Islam tanpa dapat dikesan.Mereka tidak mengambil sikap seperti kita marahkan nyamuk kelambu dibakar.Misalnya, apabila terdapat fahaman tasawuf yang menyeleweng sikap kita ialah menghapuskan ajaran tasawuf dan menganggapnya bukan dari ajaran Islam.Sepatutnya jika timbul kepincangan seperti misalnya ada golongan tertentu yang mendakwa sebagai pengikut tasawuf yang mengatakan kesatuan Allah dan makhluk maka yang diperangi adalah fahaman itu sahaja.Mengapa pula tasawuf hendak dimusuhi?....Bersambung...

No comments:

Post a Comment