Wednesday, April 7, 2010

NASIHAT UNTUK GOLONGAN ATEIS

Saya tertarik dengan isu bulan Jun yang diketengahkan oleh Mastika berkenaan dengan wujudnya segolongan manusia yang berfahaman ateis.Izinkan saya membuat komen di sini dan komen saya ini dalam format point-point secara ringkas.
1) Hidayah itu adalah milik Allah diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakkinya dan sesiapa yang dikehendakki oleh Allah untuk tersesat maka dia samasekali tidak akan dapat pertunjuk dan dia mungkin telah ditakdirkan untuk mati di dalam keadaan sesat.Apa sebab Tuhan mentakdirkan begitu hanya diketahui olehNya sahaja dan itu semua terpulang kepada rahsia dan hikmahNya yang maha tinggi kerana Allah Maha Bebas di dalam menentukan nasib hamba-hambanya dan hambanya pula maqhur lagi majbur menerima sahaja qadhak dari Allah.Namun dari segi ikhtiariah kita boleh katakan kepada orang-orang yang ateis itu,jika kalian tidak percaya kepada Allah kerana menurut kalian tidak ada bukti kewujudannya,maka kami akan membalas dengan soalan yang sama,iaitu apa pula buktinya bahawa Allah tidak wujud.Pasti kalian lebih-lebih lagi tidak akan dapat membuktikannya.Golongan ateis walaupun sehingga hari ini mengatakan Tuhan itu tidak wujud namun itu semua sekedar cakap sahaja.Mereka sendiri tidak dapat memberikan bukti konkrit yang menyokong dakwaan mereka.Allah berfirman yang bermaksud, "sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah menuruti sangkaan semata-mata sedangkan sangkaan tidaklah akan dapat membawa kepada kebenaran sedikit pun"
2) Alam ini bersifat binasa dan hancur dan tidak akan ada yang kekal.Ini dapat dilihat dengan mata kepala kita sendiri.Di samping itu juga alam ini mempunyai permulaan yang mana asalnya tidak wujud.Ini menunjukkan kewujudan alam ini merupakan kewujudan yang rendah.Apakah anda fikir kita yang wujudnya bersifat rendah ini lebih berhak untuk wujud daripada Allah sehingga kita tergamak untuk menafikan kewujudannya?Allah berfirman yang bermaksud, "Adakah pada kewujudan Allah itu terdapat syak?".Jawapannya pastilah tidak kerana jika kita syak dengan kewujudan Allah itu lebih baik kita syak dengan kewujudan diri kita sendiri.
3) Kita melihat dengan penglihatan.Jangan katakan kita melihat dengan mata kerana ramai yang ada mata tetapi tidak dapat melihat.Tetapi kita sendiri tidak dapat melihat apa yang dinamakan penglihatan itu apakah sebenarnya ia dan bagaimanakah rupanya.Tetapi kita tahu ia ada kerana jika tiada tentulah kita semua buta.Kita tahu penglihatan itu ada walaupun kita tidak dapat melihat apa yang dinamakan penglihatan itu kerana kita dapat merasakan kehadirannya semasa kita melihat sesuatu.Begitulah juga dengan pendengaran dan lain-lain.Ini bermakna bukanlah semua perkara yang kita tidak nampak itu tiada.Kerana di dalam diri kita sendiri pun sudah membuktikan bahawa memang ada sesuatu dalam diri kita yang kita tidak nampak tetapi kita tahu dia ada dan kita tidak mampu untuk menafikannya kerana kita dapat merasakannya.Firman Allah, "Dan pada diri kamu sendiri adakah kamu tidak memperhatikan?" Begitulah kita dapat merasakan kehadiran Allah itu walaupun kita tidak dapat melihatnya kerana kita dapat merasakan Dialah yang merancang hidup kita.Jangan kita mengatakan kita melakukan itu dan ini kerana kita sendirilah yang berkehendak.Jika itu yang kita percayai sebenarnya kita silap sebab kehendak itu bukan datang dari diri kita tetapi dijadikan Allah pada diri kita.Kita sebenarnya tidak berkehendak tetapi apa yang berlaku ialah kita hanya mengetahui yang kita berkehendak tatkala Allah menjadikan kehendak itu dalam diri kita.Kalau kita kata kehendak itu datangnya dari diri kita,maka kehendak itu tentulah berhajat kepada kehendak yang lain lalu kehendak untuk berkehendak itu pula datang dari mana?Kalau kita katakan kehendak itu datang dari diri kita tentulah kita telah mengetahui terlebih dahulu sebelum kita berkehendak.Tetapi apa yang berlaku kita hanya mengetahui setelah kita berkehendak.Ini menunjukkan ianya tidak datang dari diri kita tetapi datang dari Allah yang merancang dan memandu hidup kita.Begitulah juga dengan gerak hati yang lain-lain seperti cinta dan kasih kepada sesuatu termasuklah kepada ibu bapa dan anak-anak,benci dan lari dari bahaya dan sebagainya semuanya bukan terbit dari dari kita tetapi dijadikan oleh Allah yang merancang diri kita supaya kita berada di dalam keselamatan hinggalah ke suatu waktu yang ditentukanNya iaitu sampai ajal dan kita dikembalikan kepadaNya.Firman Allah yang maksudnya, "kamu tidak dapat berkehendak melainkan jika dikehendakki Allah" Berterimakasihlah kepada Allah yang merancang hidup kita dengan sebaik-baik perancangan.Cubalah rasai kehadiranNya.Firman Allah yang bermaksud, "Allah bersama kamu di mana sahaja kamu berada"
4) Alam ini tidak berlaku secara kebetulan kerana jika ia jadi secara kebetulan tentulah ia terjadi secara rawak.Tidak ada menafaat yang boleh kita ambil dari sesuatu yang terjadi secara rawak.Sedangkan kejadian alam ini penuh dengan hikmah dan menafaat yang berguna kepada manusia.Misalnya Tuhan menjadikan matahari kerana dengan tenaganya tumbuhan dapat melakukan proses fontosintisis dan seterusnya tumbuhan itu pula menjadi makanan kepada manusia dan haiwan.Adakah anda cuba mengatakan matahari berkata kepada dirinya sendiri bahawa "aku mesti jadi dan mewujudkan diriku sendiri supaya manusia dan tumbuhan dapat hidup?".Lalu matahari pun menjadikan dirinya sendiri.Beginikah yang kamu fikirkan wahai kaum ateis.Demikian juga panas yang berterusan tidak baik untuk manusia lalu dijadikan malam yang menutup alam dengan kegelapannya agar manusia menikmati suasana malam yang nyaman dan berehat setelah siangnya bekerja mencari rezki. Adakah kamu fikir manusia yang mengatur malam dan siang atau malam dan siang yang mengatur diri mereka sendiri.Dengan adanya bintang-bintang sebagai perhiasan langit manusia dapat mengira waktu dan kalendar dan mengetahui arah.Firman Allah yang bermaksud, "Maha suci Engkau (Allah) tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia"
5) Alam buana yang penuh berhikmah(bertujuan)ini adalah bukti nyata akan kewujudan Allah.Menurut sufi Allah itu dalil dan alam ini madlul.Allah yang membuktikan alam ini wujud dan bukannya alam yang menjadi bukti kepada wujud Allah.Oleh itu kewujudan Allah tidak perlu dibuktikan lagi kerana Allah sendiri adalah bukti dan bukti tidak perlu kepada bukti.Adalah diceritakan seorang lelaki tua sengaja membawa seorang lelaki yang berfahaman ateis ke dalam hutan yang banyak singa.Apabila melihat kepada tapak kaki singa yang terdapat di dalam hutan tersebut cepat-cepat lelaki ateis itu mengajak orang tua itu pulang lantas dikatakan kepadanya "kamu begitu yakin di dalam hutan ini terdapat singa hanya dengan melihat kepada kesan tapak kakinya sahaja sedangkan kamu belum pun betul-betul melihat singa tersebut.Tetapi mengapa kamu tidak dapat yakin kepada wujud Allah sedangkan kamu melihat kesan-kesan ciptaan Allah yang jelas di hadapan mata kamu?"Imam Abu Hanifah pernah ditanya tentang dalil wujud Allah lalu beliau menjawab, "sebentar, kerana aku sedang memikirkan tentang sebuah kapal yang penuh dengan barang-barang berharga dan berlayar dari satu pelabuhan kepada suatu pelabuhan tetapi tidak ada orang di dalamnya dan tidak ada yang mengemudikannya"Lalu orang yang bertanya merasa hairan dan mengatakan "ini adalah sesuatu yang mustahil!"Lalu Abu Hanifah menjawab "jika begitu alam yang penuh dengan barangan yang berharga dan berjalan dengan sempurna mengikut peraturan ini tentulah mustahil juga jika dikatakan tidak ada yang mencipta dan memandunya"Seseorang datang kepada Imam Malik dan bertanya dalil kewujudan Allah.Imam Malik menjawab, "adanya pelbagai bahasa di dunia ini itulah dalil kewujudan Allah"Hari ini jika seseorang bercakap bahasa Melayu yang salah ijmak seluruh orang Melayu akan mengatakan Bahasa Melayunya salah sebab di dalam bahasa Melayu itu ada peraturan nahu yang standard.Begitu juga dengan bahasa – bahasa yang lain.Siapakah yang menciptakan Bahasa Melayu itu wahai orang-orang ateis?Adakah kamu cuba mengatakan nenek moyang orang-orang Melayu dahulu belum mengerti apa-apa bahasa lalu mereka bermesyuarat sesama mereka dan berkata mari kita cipta satu bahasa untuk diri kita dan kita namakan bahasa itu bahasa Melayu.Inikah yang kamu fikirkan?Imam Al Syafii pernah ditanya tentang dalil wujud Allah.Beliau mengatakan, "lihatlah kepada daun tut dimakan oleh lebah menghasilkan madu.Dimakan oleh ulat menghasilkan sutera.Dimakan oleh kambing menghasilkan tahi.Daun yang sama ,warna yang sama dan rasa yang sama tetapi menghasilkan tiga perkara yang berbeza.Bukankah itu bukti kebijaksanaan Allah"Imam Ahmad berkata "lihatlah kepada telur yang diliputi oleh kulit cengkerang yang keras.Tidak ada pintu tidak ada tingkap.Di luarnya putih seperti perak.Di dalamnya kuning seperti emas.Tiba-tiba ia pecah dan menetas lalu keluarlah seekor anak ayam yang cantik hidup dan bergerak.Bukankah itu dalil kebijaksaan Allah yang menciptakannya?"Seorang yang warak pernah berkata "ambillah satu biji benih nangka dan potonglah dan lihatlah di dalamnya.Adakah padanya daun,batang dan buah?Tetapi benih yang sama apabila ditanam dan tumbuh maka keluarlah daripadanya batang,daun dan buah.Dari mana datangnya batang?Dari mana datangnya daun?Dari mana datangnya buah?Jawapannya satu iaitu dari Allah.
6) Segala bukti-bukti yang dinyatakan di atas hanyalah dapat dilihat oleh orang –orang yang berakal(ulul albab)dan orang-orang yang bertabiat baik dan itulah sebenarnya tujuan Allah melahirkan kita di dunia ini iaitu untuk menguji siapakah di antara kita yang berakal dan bertabiat baik.Jika tidak ,maka tidak ada masalah bagi Allah untuk menzahirkan ZatNya Yang Aqdas untuk dilihat oleh kita.Dan jika Allah berbuat demikian maka bererti tidak adalah ujian tersebut dan batallah tujuan dijadikan manusia itu.Begitu juga tidak ada masalah bagi Allah untuk memperlihatkan kepada kita alam akhirat yang dialami oleh orang-orang yang telah meninggal dunia kepada orang-orang yang hidup.Namun Allah dengan hikmahNya yang tinggi menyembunyikan perkara-perkara tersebut sebagi ujian keimanan dan kepatuhan dan Dia menuntut kita supaya beriman dan patuh kepadanya tanpa ragu-ragu.Orang-orang yang berakal mengenal Allah dengan ilmu dan dalil-dalil.Orang yang bertabiat baik pula mengenal Allah dengan jalan zauk dan perasaan seperti yang dicapai menerusi jalan kesufian.Sebab itulah kekufuran itu berpunca dari dua sebab yang utama iaitu kejahilan(tidak berakal) yang disebut kafir dhalalah dan akhlak yang buruk yang disebut kafir maghdhub.
7) Kita terhalang dari melihat nikmat dan siksaan yang dialami oleh orang-orang yang telah mati walaupun kita menggali kubur mereka kerana tujuan yang telah dinyatakan di atas.Di samping itu juga orang yang telah mati itu telah berada di alam yang lain iaitu alam ghaib sementara kita yang hidup ini pula berada di alam yang lain iaitu alam nyata.Kita yang berada di alam nyata ini tidak dapat melihat perkara-perkara yang di alami oleh mereka di alam ghaib.Ini samalah seperti orang yang bermimpi yang hanya melihat perkara-perkara yang dialami oleh mimpinya sahaja dan tidak dapat melihat perkara-perkara yang wujud di alam sedar.Rasulullah saw bersabda, "Manusia itu sekeliannya tidur.Apabila mereka mati barulah mereka terjaga"Perumpamaan ini tidak akan sempurna melainkan dengan suatu misal seperti berikut.Diumpamakan sepuluh orang sakit di dalam sebuah hospital diberitahu oleh doktor bahawa di dalam proses merawat mereka,mereka akan diberi suatu ubat yang unik yang akan membuatkan mereka tidur untuk sementara waktu.Semasa mereka tidur itu mereka akan mengalami mimpi yang sama dan akan bertemu di alam mimpi.Di alam mimpi itu pula mereka akan dapat bercakap-cakap seperti sewaktu jaga.Doktor akan mengejutkan mereka secara bergilir-gilir untuk dibawa ke suatu tempat khas untuk menerima rawatan.Pesakit yang telah dikejutkan oleh doktor itu akan kelihatan di alam mimpi keadaannya terbaring dan tidak bergerak-gerak.Apabila segala-galanya telah berjalan lancar dan mereka telah pun ditidurkan dan berada di alam mimpi,maka sampailah giliran pesakit yang pertama dikejutkan oleh doktor.Apabila pesakit tersebut berkelakuan terbaring dan tidak bergerak-gerak di alam mimpi maka pesakit-pesakit yang lain pun tahulah bahawa gilirannya telah sampai.Pesakit yang berkenaan pun dibawa ke bilik pembedahan untuk dibedah.Oleh kerana penyakitnya terlalu kronik ditambah pula oleh faktor-faktor usia dan lain-lain pesakit itu terpaksa dibedah tanpa dibius.Maka pesakit itu pun menjerit dan meraunglah sambil menangis kesakitan semasa dilakukan pembedahannya oleh doktor.Keadaannya yang tersiksa itu tidak diketahui oleh rakan-rakannya yang lain yang berada di dalam mimpi.Sebaliknya mereka hanya melihat teman mereka itu cuma terbaring sahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang mengenainya walaupun pada hakikatnya ia sedang tersiksa!Kemudian sampailah giliran pesakit yang kedua.Sama seperti pesakit yang pertama,beliau kelihatan di alam mimpi dalam keadaan terbaring tidak bergerak-gerak apabila dikejutkan oleh doktor.Oleh kerana penyakitnya masih di tahap yang ringan dan terkawal,maka rawatannya adalah mudah iaitu hanya diberikan beberapa pil dan dibenarkan pulang di mana dia boleh menikmati kehidupannya seperti sedia kala.Dia pun pulang ke rumah dengan di temani isteri.Di rumah,dia menikmati kehidupan yang sejahtera di samping isteri dan menikmati makanan kegemarannya.Keadaannya itu juga tidak di ketahui oleh rakan-rakan yang lain yang masih lagi berada di alam mimpi.Mereka hanya melihatnya terbaring sedangkan realitinya dia sedang menikmati kehidupan yang damai sejahtera.Demikianlah perumpamaan antara alam dunia dan alam akhirat.Kita yang berada di alam dunia ini semua adalah seumpamakan pesakit-pesakit yang ditidurkan dan sedang menjalani kehidupan di alam mimpi.Pesakit yang menghidap penyakit kronik itu tadi adalah diumpamakan orang-orang yang bersalah yang tidak melakukan amal saleh di mana setelah meninggal dunia,walaupun ahli dunia hanya melihatnya terbaring dan tidak mengenainya oleh sesuatu apa pun pada hakikatnya menerima hukuman yang sangat dahsyat.Pesakit yang yang ringan tadi pula adalah diumpamakan orang-orang yang beriman dan beramal saleh.Dia menjalani kehidupan akhiratnya di dalam keadaan yang penuh nikmat.Apabila kita menggali perkuburan dan melihat mayat yang reput dengan tulang belulangnya,percayalah itu semua hanya mimpi dan ilusi dunia semata kerana pada hakikatnya si mati sedang berhadapan dengan salah satu daripada dua perkara samada mendapat nikmat atau azab.Oleh itu terpulang kepada kita masing-masing bagaimana kita mencorakkan mimpi dan ilusi kita semasa di dunia ini bagi menghadapi hari kebangkitan nanti.Kepada golongan yang mengaku ateis,sedarlah dari mimpi anda sebelum sampai masanya kamu 'dikejutkan'.Wallahu a'lam walahul mathalul a'la.

No comments:

Post a Comment