Para ulama radhiaLlahu anhum mengatakan adalah mati itu bukan bukan ketiadaan semata-mata dan bukan fana semata-mata.Tetapi mati itu adalah bercerai roh dari jasad dan terhalang antara keduanya daripada berhubung dan bertukar keadaan serta berpindah dari satu negeri (dunia) ke negeri yang lain (akhirat).Diriwayatkan oleh Hakim dan Thabrani bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Kematian itu adalah hadiah bagi orang yang beriman” Diriwayatkan oleh Ibnu Al Mubarak dan Ibnu Abi Al Dunya daripada AbduLlah bin Umar radhiaLlahu anhuma “Sesungguhnya dunia ini syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang yang beriman.Sesungguhnya perumpamaan orang yang beriman ketika keluar daripada dunia adalah seumpama orang yang dipenjarakan kemudian dikeluarkan daripada penjara lalu berbalik-baliklah ia pergi datang dalam keluasan”Diriwayatkan oleh Al Nasaii dan Al Thabarani RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Tidak seorang pun yang mati sedangkan dia mempunyai kebajikan di sisi Allah bahawa dia suka untuk dikembalikan ke dunia bagi merasai kenikmatan dunia melainkan orang yang mati syahid.Sesungguhnya orang yang mati syahid itu suka untuk kembali lagi ke dunia supaya mereka terbunuh sekali lagi setelah dilihatnya balasan Allah yang disediakan untuknya” Al Thabarani meriwayatkan daripada Abu Malik Al Asy’ari RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Ya Allah cintakanlah kematian kepada sesiapa sahaja yang mengetahui bahawa aku ini adalah utusanMu”
Sunat hukumnya atas setiap orang supaya membaikkan sangkaannya terhadap Allah terutama ke atas orang yang sakit berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Jabir bahawa Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Janganlah seseorang daripada kamu mati melainkan hendaklah dia membaikkan sangkanya terhadap Allah” Dan di dalam riwayat Ibnu Abi Al Dunya terdapat tambahan yang menyebutkan “Terdapat beberapa orang yang telah dikurangkan akibat dari buruk sangka mereka terhadap Allah.Maka berfirmanlah Allah:Demikianlah kalian berkurangan dengan sebab jahat sangka kalian terhadap Tuhan telah menjadikan kalian berkurangan maka jadilah kalian dari kalangan orang-orang yang rugi” Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Anas bahawa Nabi sallaLlahu alaihi wasallam telah hadir menziarahi seorang pemuda yang sedang nazak hendak meninggal dunia lalu baginda sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Bagaimana keadaan dirimu?” Pemuda itu menjawab “Aku harap kepada Allah dan aku takut dengan dosa-dosaku” Maka sabda baginda “Tidak berkumpul dua perkara ini yakni perasaan harap dan takut di dalam hati seseorang ketika hendak meninggal melainkan akan diberikan oleh Allah apa yang diharap-harapkannya dan diampunkan apa yang ditakutinya(dosanya)” Diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Hasan katanya “Telah sampai kepada kami hadis daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bahawa baginda bersabda “Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman:Aku tidak menghimpunkan dalam diri seseorang hamba itu dua ketakutan dan dua keamanan.Barangsiapa takut kepada Ku di dunia Aku akan amankan baginya di akhirat.Barangsiapa yang aman dariKu di dunia nescaya Aku takutkan baginya di akhirat” Dan dalam riwayat Ibnu Asaakir daripada Anas bahawa RasuluLlah sallallahu alaihi wasallam bersabda “Janganlah mati seseorang kamu melainkan hendaklah dia membaikkan sangkaannya kepada Allah kerana sesungguhnya baik sangka kepada Allah itu adalah harga bagi syurga” Di riwayatkan oleh Al Thabarani daripada Muaz bin Jabal bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Jika kalian menghendakki nescaya aku khabarkan apakah ucapan yang pertama yang diucapkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman pada hari kiamat dan apa pula yang akan diucapkan oleh hamba-hambaNya kepadaNya” Kata Muaz “Lantas kami berkata “Bahkan Ya RasuluLlah” Lalu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Sesungguhnya Allah berfirman bagi sekelian hamba-hambanya yang beriman:Adakah kamu semua suka untuk bertemu dengan Ku?Orang-orang yang beriman menjawab:Ya, wahai Tuhan kami.Allah berfirman:Kerana apa? Hamba-hambaNya yang beriman menjawab:Kerana kami mengharapkan kemaafanMu dan ampunanMu.Lantas Allah pun berfirman:Sesungguhnya telah wajib bagi kamu sekelian memperoleh keampunanKu”
Sesungguhnya telah diceritakan di dalam hadis-hadis bahawa Malaikat Maut itu mempunyai beberapa utusan yang dihantarnya sebelum dia mencabut nyawa seseorang.Tersebut di dalam satu riwayat bahawa salah seorang dari nabi-nabi Allah alaihissolatu wassalam telah berkata kepada Malaikat Maut “Adakah engkau mempunyai utusan yang engkau hantarkan kepada manusia untuk mengingatkan mereka?” Jawab Malaikat Maut “Benar!Demi Allah!Aku mempunyai utusan yang sangat banyak yang di antaranya adalah penyakit ,sakit ,uban , tua ,merosotnya pendengaran dan merosotnya penglihatan.Jika itu pun tidak dapat mengingatkan manusia dan mereka tidak bertobat daripada dosa-dosa mereka dan tidak berbekal untuk mati, sewaktu mereka mati aku akan menyeru mereka sewaktu mereka mati dengan perkataan:Tidakkah telah aku hantar utusan kepadamu satu demi satu untuk mengingatkanmu?Akulah yang terakhir datang dan tidak akan ada lagi peringatan yang lain yang akan datang!” Diriwayatkan di dalam sebuah hadis sesungguhnya tidak ada satu hari pun yang terbit matahari dan tidak ada satu hari pun yang terbenam matahari melainkan Malaikat Maut menyeru “Wahai anak empat puluh tahun!Inilah masanya mengambil bekal dengan berfikir dengan hati kamu dan dengan amalan anggota kamu jika anggota kamu masih kuat.Wahai anak limapuluh tahun!Sesungguhnya telah hampirlah tempoh dan telah hampirlah masanya untuk menuai.Wahai anak enampuluh tahun!Kamu lupa akan siksa (di akhirat) dan lalai dari kematian” Adalah dikatakan bahawa inilah yang dimaksudkan di dalam Al Quran:
أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ
Ertinya: Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran (Fathir 35:37)
Al Thabarani menafsirkan perkataan “naziir (rasul yang memberi amaran)” di dalam ayat ini yaitulah uban.
Adalah Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis sesungguhnya seseorang yang telah dipanjangkan usianya oleh Allah sehingga enampuluh tahun maka itu bererti Allah telah memanjangkan untuknya tali kesabaranNya yang mana Allah bersabar di atas sikapnya yang sia-sia dan bermain-main.Dan tidaklah sepatutnya bagi seseorang yang telah berumur enampuluh tahun itu membuang masa dengan sia-sia dan bermain-main.Diriwayatkan juga di dalam sebuah hadis bahawa Allah Taala memandang kepada wajah orang yang telah tua itu lima kali pada setiap hari dan Allah berfirman “Wahai anak Adam!Usiamu telah tua , tulangmu telah lemah dan ajalmu telah hampir.Hendaklah engkau malu kepada Ku seperti Aku malu kepadamu kerana sesungguhnya Aku ini malu untuk menyiksa orang yang mempunyai uban”
Di antara utusan yang diutuskan kepada manusia untuk mengingatkan mereka kepada kematian itu adalah juga dengan datangnya penyakit. Disebutkan di dalam sebuah hadis sesungguhnya RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Demam itu adalah utusan yang mengingatkan kepada kematian”Menurut setengah ulama di antaranya juga ialah kematian keluarga,kaum kerabat,orang-orang yang dikasihi dan inilah peringatan yang paling berkesan bagi setiap masa.Adalah diriwayatkan bahawasanya Malaikat Maut telah masuk menemui Nabi Daud alahissalam lalu Nabi Daud berkata kepadanya “Siapakah engkau?” Lalu Malaikat Maut itu menjawab “Akulah orang yang tidak takut kepada raja-raja,tidak dapat dihalang oleh kota dan tidak menerima suap dan upah” Nabi Daud berkata “Rupa-rupanya kamu ini Malaikat Maut.Aku tidak bersedia untuk bertemu denganmu” Lalu kata Malaikat Maut “Wahai Daud!Di mana si fulan jiranmu?Di mana si fulan kerabatmu?Di mana si fulan sahabatmu?” Jawab Nabi Daud “Telah mati mereka semuanya” Lalu kata Malaikat Maut “Tidakkah di dalam diri mereka sekeliannya itu terdapat pengajaran bagi sesiapa yang hendak bersedia?”
Menurut satu riwayat adalah orang yang pertama-tama beruban itu adalah Nabi Ibrahim Al Khalil alaihis solatu wassalam.Ketika kembalinya daripada mengorbankan anaknya beruban ia dengan satu uban di janggutnya.Ini menghairankan isterinya Sarah dan beliau tidak menyukainya hingga berkata “Buangkan ia daripadamu” Kemudian turunlah Malaikat Maut memberi salam kepada Nabi Ibrahim dengan mengatakan “Assalamu ‘alaika Ya Ibrahim!(Kesejahteraan atasmu wahai Ibrahim)” Padahal nama baginda sebelumnya adalah Abram.Ditambahkan “ha” jadi Ibrahim.Perkara tersebut menyukakan Nabi Ibrahim.Keesokan harinya apabila baginda bangun didapati telah beruban sekelian janggutnya.Adalah disebutkan di dalam sebuah hadis sesungguhnya Allah malu menyiksa hamba-hambanya yang mempunyai uban.WaLlahu a’lam bissawab.
Sumber:Kasyful Ghummah Fi Ahwalil Mauta Fil Barzakh Wal Qiyamah oleh Syeikh Daud bin AbduLlah Al Fatani.
No comments:
Post a Comment