Wednesday, December 14, 2011

HIKMAH MENGINGATI KEMATIAN DAN CARA-CARANYA

Diriwayatkan oleh Hakimdaripada Abi Zarr radhiaLlahu anhu sabda Nabi sallaLlahu alaihi wasallam “Hendaklah kalian menziarahi kubur kerana dengannya kamu akan dapat mengingati hari akhirat.Mandikanlah jenazah kerana memandikan jenazah yang tidak bernyawa itu adalah pengajaran yang terbaik untuk kalian.Hendaklah kalian menyembahyangkan jenazah mudah-mudahan dengan menyembahyangkan jenazah itu akan mendukacitakan kalian.Sesungguhnya orang berdukacita itu adalah di dalam teduhan Allah di mana dia akan sentiasa dihadapkan kepada kebajikan.” Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiaLlahu anhu bahawa sesungguhnya RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah menziarahi makam bondanya.Baginda menangis dan menangis juga para sahabat di sekitar baginda.Lantas baginda bersabda “Aku telah bermohon kepada Allah untuk memohonkan keampunan bagi bondaku tetapi tidak diizinkan.Kemudian daku bermohon supaya diizinkan untuk menziarahi kuburnya lalu diizinkan.Maka hendaklah kalian menziarahi kubur kerana sesungguhnya dengan menziarahi kubur itu dapat mengingatkan kepada kematian” Diriwayatkan adalah Sayidina Ali KarramaLlahu wajhah melalui suatu kawasan perkuburan.Ketika baginda memandang kepada kubur-kubur tersebut baginda berkata “Wahai sekelian ahli kubur!Hendaklah kalian beritahukan kami keadaan kalian atau kami yang akan memberitahu kalian.Sesungguhnya orang yang telah pergi terlebih dahulu sebelum kami itu semua hartanya telah dibahagi-bahagikan dan isterinya telah pun bersuami baru.Rumah-rumah kalian telah pun diduduki oleh orang lain” Kemudian Sayidina Ali berkata kepada temannya “Demi Allah jika sekiranya mereka itu dapat berbicara pasti mereka akan mengatakan:Kami tidak melihat akan bekalan yang terlebih baik daripada takwa”

Ketahuilah sesungguhnya keras hati itu dapat diubati dengan beberapa perkara.Di antaranya ialah dengan menziarahi kubur,menghadiri majlis-majlis ilmu,mendengar sirah ahli-ahli ibadat dan ahli-ahli zuhud yang dahulu- dahulu serta banyak mengingati mati.Adalah diceritakan seorang perempuan menemui Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah radhiaLlahu anha dan berkata “Wahai ibuku!Apakah ubatnya bagi hati yang keras?” Lalu dijawab oleh Sayidatina Aisyah radhiaLlahu anha “Hendaklah engkau banyak mengingati mati” Lalu diperbuatnya sehingga jadi lembut hatinya.Dia datang dan mengucapkan terimakasih kepada Sayidatina Aisyah radhiaLlahu anha.Adalah mengingati mati merupakan kaedah yang sangat berkesan untuk mencegah diri daripada melakukan maksiat dan dengan mengingati mati juga seseorang akan mudah untuk meninggalkan kesenangan dunia dan mudah untuk bersabar di atas segala bala dan penderitaan.Lihatlah kepada orang yang akan menghadapi hukuman mati ketika dibawa untuk menjalani hukuman.Adakah hatinya akan terdorong untuk melakukan maksiat?Adakah ingin lagi hatinya kepada perhiasan dunia?Adakah hatinya akan memikir-mikirkan segala penderitaan yang sedang ditanggungnya selain daripada mati yang bakal dihadapinya?Berbeza keadaannya seseorang yang masih mempunyai harapan untuk hidup yang lama dan panjang cita-citanya yaitu berlawanan dengan segala yang tersebut.

Selain dari itu juga hati akan jadi lembut jika melihat kepada orang yang sedang menghadapi sakaratul maut kerana dengan melihat kepada orang yang sedang menghadapi sakaratul maut dan bagaimana keadaan nyawanya akan ditanggalkan dari jasadnya,bagaimana keluh kesahnya dan bagaimana keadaan sakitnya merupakan pengajaran yang sangat berkesan kerana adalah maklum bahawa semua manusia akan menghadapi keadaan yang sama.Kalaulah itu semua masih belum dapat melembutkan hatinya bererti ia juga tidak akan dapat mengambil pengajaran dari sesiapa jua yang mengajar.Kata Syeikh Abdul Wahab Al Sya’rani “ Telah sampai akan kami bahawa seorang lelaki melihat seseorang yang sedang memakan roti di kawasan perkuburan.Lalu lelaki itu berkata:Tidakkah engkau mendapat pengajaran dengan melihat kepada kubur-kubur ini sehingga menghalangmu daripada segala keinginan?”

Kata para ulama yang arif radhiaLlahu anhum seelok-eloknya bagi orang yang hendak menziarahi kubur itu pergi di dalam keadaan lapar kerana orang yang kenyang itu terhijab daripada mengambil pengajaran daripada kematian.Kemudian hendaklah jangan bercita-cita untuk melakukan maksiat kerana orang yang bercita-cita untuk melakukan maksiat itu berada di dalam hadrat para syaitan dan tidak akan jadi sahih segala pengajaran yang diperolehinya.Selain daripada itu hendaklah hatinya itu zuhud daripada dunia kerana gemar kepada dunia itu melazimkan keras hati.Kerana inilah kebanyakan manusia tidak mendapat pengajaran dengan ziarah kubur.Kadang-kadang walaupun dengan menziarahi kubur para aulia masih juga tidak memberi sebarang faedah kepada mereka.Tidakmenghasilkan sebarang tangisan keinsafan dan tidak jadi lembut hati mereka kerana kebanyakan mereka menjadikan ziarah kubur itu seumpama pesta atau berkelah di taman-taman dan di sungai-sungai.

Hendaklah kita pergi menziarahi kubur itu dengan keadaan bertafakkur memikirkan perkara yang akan sampai kepada kita pada akhirnya.Inilah yang dilakukan oleh salafussoleh radhiaLlahu anhum. Hendaklah semasa memasuki kawasan perkuburan jangan lupa memberi salam kepada sekelian ahli-ahli kubur dengan lafaz:

السلام عليكم دار قوم مؤمنين وإنا إنشاء الله بكم لاحقون

Bunyinya:Assalaamu ‘alaikum daara qaumim mukminiin wa innaa isyaa Allaahu bikum laahiquun.

Ertinya:Kesejahteraan ke atas kalian penghuni ‘negeri’ orang-orang yang beriman dan insya Allah sesungguhnya kami akan menyusuli kalian semua.

Ketika sampai pada frasa “insya Allah sesungguhnya kami akan menyusuli kalian semua” hendaklah diingatkan di dalam hatinya bahawa suatu hari nanti dia juga pasti akan ke sana menyusuli mereka.Kematian itu adalah pasti yang tidak ada syak padanya sedangkan perkataan insya Allah hanyalah istithna’ pada adat jua.Hendaklah seseorang itu berhati-hati agar jangan terlangkah atau terpijak kubur-kubur orang beriman semasa melalui kawasan perkuburan apalagi membuang air kecil atau air besar.Pahala ziarah seseorang itu tidak dapat menampung segala kesalahan-kesalahan yang telah disebutkan.Apabila seeorang berdiri di sisi kubur yang diziarahinya hendaklah dia mengambil iktibar betapa si mati yang berada di bawah tanah itu terasing daripada keluarga dan kekasihnya dan betapa mereka itu bercita-cita untuk kembali ke dunia untuk beramal saleh tetapi tidak diperkenankan.Istimewa kalau kubur yang diziarahi itu adalah kubur raja-raja.Fikirlah bagaimana bertukarnya kemuliaan mereka menjadi kehinaan.Bagaimana di waktu hidup mereka bergelimang dengan kemewahan ,dikelilingi keluarga dan handai taulan.Hidup mengumpul harta dan kemewahan.Tiba-tiba datanglah mati itu dengan terkejut tanpa ‘appoinment’ tanpa perjanjian.Dengan sekelip mata mereka ‘pergi’ tanpa membawa bekalan.Jika kubur itu adalah kubur keluarga ,saudara atau temannya hendaklah diingat bagaimana sewaktu mereka masih hidup dahulu sibuk mengejar cita-cita.Sibuk mengumpulkan harta membina rumah,menguruskan kebun,dan di dalam keadaan kesihatan mereka memakan berbagai jenis makanan dan meminum berbagai jenis minuman.Kini semua cita-cita mereka telah terputus sedangkan rumah dan harta mereka sedikit pun tidak dapat menolong.Muka mereka cantik rupawan kini hanya menghadap tanah dan jasad mereka hancur di dalam bumi.Fikirkanlah betapa kini isteri mereka menjadi janda.Anak-anak mereka menjadi yatim.Kini mereka hina setelah dahulu mereka mulia.

Janganlah seseorang itu tertipu dengan badannya yang sihat dan panjangnya cita-cita.Betapa ramainya orang yang disambar maut dalam keadaan badan yang sihat dengan tidak ada amaran sedikitpun.Bahkan mereka tidak terlintas pun akan mati pada itu.Sesungguhnya pastilah tidak akan lama, bahawa apa yang berlaku ke atas mereka akan berlaku juga ke atas kita.Jika itu berlaku pastilah penyesalan tidak akan ada gunanya lagi.

Kata Hasan Al Basri radhiaLlahu anhu “Apabila seseorang kamu berdiri di sisi kubur hendaklah dikenangkannya keadaan penghuni kubur berkenaan, betapa mengalir air matanya pada pipinya dan betapa dimakan ulat lidah mereka.Padahal dulunya dia adalah seorang yang dapat mengalahkan orang lain dengan kefasihan lidahnya.Tetapi lihatlah betapa sekarang lidahnya bertaburan di atas tanah”

Kata setengah orang-orang yang arif apabila seseorang itu menziarahi kubur seseorang yang diketahuinya mencuai-cuaikan agama semasa hidupnya hendaklah jangan kembali melainkan setelah dia mendoakan atas penghuni kubur tersebut dan sehingga dia yakin bahawa doanya telah dikabulkan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam semasa menziarahi kubur ayahnda dan bondanya.Baginda telah berdoa kepada Tuhan supaya menghidupkan keduanya sehingga keduanya beriman dengan kerasulan baginda.Jadilah keimanan keduanya itu sebagai kesempurnaan ke atas mereka.Jika tidak adalah keduanya itu telah mati di zaman fatrah dan adalah maklum bahawa orang yang mati pada zaman fatrah itu diampuni Allah.

Disebut pula oleh Salmah Ibnu Zaid Al Jashfi radhiaLlahu anhu bahawa Allah juga telah menghidupkan bapa saudara baginda Abu Talib sehinggalah Abu Talib beriman dengan baginda.Sesungguhnya ini adalah perkara biasa jika ditinjau dari segi mukjizat dan kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepada baginda.Syeikh Al Hafiz Jalal Al Din Al Sayuthi telah mengarang beberapa risalah tentang perkara ini dan dia telah menyebut bahawa seramai dua belas orang hafiz yang menyatakan demikian.Syeikh Abdul Wahab Sya’rani mengatakan bahawa inilah iktikad kami yang akan kami bawa bertemu Allah di akhirat nanti.Wallahu a’lam bissawab.

Sumber:Kasyful Ghummah Fi Ahwalil Mauta Fil Barzakh Wal Qiyamah oleh Syeikh Daud bin AbduLlah Al Fatani.



1 comment: