Wednesday, November 9, 2011

MENGENAL ULUMUL HADIS DAN BAHASANNYA

Perbahasan ilmu hadis terbahagi kepada dua bahasan yang utama iaitu:

1)Ilmu Hadis Riwayah

2)Ilmu Hadis Dirayah.


ILMU HADIS RIWAYAH


Iaitu ilmu yang membahaskan tentang cara-cara menaqalkan apa saja yang datang dari nabi samada perkataan nabi atau perbuatan nabi atau diam setuju nabi atau sifat nabi samada sifat kejadian atau sifat akhlak baginda secara terperinci.Melalui ilmu hadis riwayah ini seseorang dapat mengetahui kehendak yang sebenar dari sesuatu hadis itu dan dengan itu terpelihara daripada sebarang kesalahfahaman terhadap kehendak sebenar hadis-hadis nabi sehingga amalan dan hukum yang di dasarkan kepada sesuatu hadis itu menjadi tepat.


ILMU HADIS DIRAYAH.


Berkata Ibnu Al Akfani “Ilmu hadis yang tertentu dengan dirayah itu iaitu suatu ilmu yang membicarakan tentang hakikat riwayat samada dari segi syarat-syaratnya,jenis-jenisnya dan hukumnya.Begitu juga tentang keadaan para perawi dan syarat-syarat yang mesti dimilikki oleh mereka (para perawi) serta juga dibahaskan tentang pembahagian-pembahagian hadis dan apa-apa yang berhubung dengannya.”

Kata yang lain “Iaitu ilmu yang dapat mengetahui kaedah-kaedah pada mengenal sanad dan matan”

Kata Syekhul Islam Al Hafiz Ibnu Hajar “Sebaik-baik definisi bagi ilmu hadis dirayah itu ialah mengetahui cara-cara mengenal tentang keadaan perawi hadis dan hadis itu sendiri”

Kesimpulannya :Ilmu hadis yang khusus dengan ilmu hadis dirayah itu ialah himpunan kaedah-kaedah dan masalah-masalah pada mengenal para perawi hadis dan nilaian sesebuah hadis itu dari segi adakah sesuatu hadis itu makbul(diterima) atau mardud(tertolak).

Adapun tempat perbahasan ilmu hadis dirayah itu ialah di sekitar sanad dan matannya.Dari segi sanad dibahaskan tentang keadaan setiap seorang daripada perawi,adakah sesuatu sanad itu bersambung atau terputus dan lain-lain sebagainya.Dari segi matan pula dibahaskan samada sesuatu hadis itu sahih atau daif dan apa-apa yang berhubung dengannya.

Berdasarkan kepada definisi ilmu hadis riwayah dan dirayah ini dapat dibuat kesimpulan bahawa kedua-duanya saling berkait rapat dan yang satu tidak dapat berdiri sendiri tanpa yang lain.Tidak ada riwayah tanpa dirayah dan apabila sempurna dirayah maka akan sempurna jugalah riwayah.

Ilmu hadis dirayah juga dikenali dengan beberapa nama seperti Ulumul Hadis,Mustalahul Hadis dan Usulul Hadis.


KEPENTINGAN ILMU USULUL HADIS


1)Untuk mengenal dan membuat klasifikasi terhadap hadis-hadis misalnya untuk membezakan antara hadis-hadis yang cacat dengan yang sejahtera,yang daif dengan yang sahih,yang mauquf dengan yang marfu’ dan yang makbul(diterima) dengan yang mardud(ditolak)

2)Membantu umat Islam dalam hal menjadikan RasuluLlah salallaLlahu alaihi wasalllam sebagai ikutan secara sempurna dan tepat.

3)Suatu ilmu yang unggul yang dikhususkan Allah hanya kepada umat Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam sahaja yang mana umat-umat terdahulu tidak diberikan ilmu ini.


SEKITAR PERTUMBUHAN ILMU USULUL HADIS


Pertumbuhan ilmu usulul hadis bermula seiringan dengan bermulanya usaha periwayatan hadis yang ditandai dengan kelahiran agama Islam sendiri.Pada perkembangan selanjutnya akar-akarnya mulai kelihatan semenjak kewafatan Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam apabila kaum muslimin ketika itu sangat mementingkan pengumpulan hadis-hadis nabi agar tidak hilang.Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh menghafaz,mengawal,meriwayat dan mencatat hadis-hadis yang mereka dengar.Tidak dapat dinafikan bahawa penulisan hadis muncul lebih awal daripada penulisan ilmu usulul hadis.Hal ini adalah lumrah memandangkan diri hadis itu sendiri adalah asal yang dituntut bagi maksud dihafaz,dipelajari dan diamalkan.Sedangkan usulul hadis pula hanyalah kaedah dan metod-metod pemeliharaan hadis itu sendiri yang ianya bukanlah asal yang dituntut bagi maksud sebaliknya hanyalah sebagai ilmu alat bagi memelihara maksud.

Para sahabat,tabi’in dan tabi’ al tabi’in sememangnya telah sedia mengamalkan kaedah-kaedah ilmiah dalam menapis apa jua perkhabaran yang sampai kepada mereka.Namun mereka belum lagi menuliskan kaedah-kaedah tersebut dalam bentuk sebuah kitab secara sistematik.Kemudian datanglah ulama-ulama selepas mereka lalu ulama-ulama tersebut menggali kaedah-kaedah yang telah diamalkan itu yang kemudiannya dituliskan sebagi satu cabang ilmu yang berasingan secara lebih tersusun.Adalah merupakan suatu yang lumrah bahawa di mana ada periwayatan hadis di kalangan salaf(sahabat,tabi’in dan tabi’ al tabi’in) maka di sana juga akan ada usaha pengecaman,kajiselidik dan pemeriksaan bagi setiap hadis yang disampaikan itu.

Seiring dengan perkembangan semasa ulumul hadis akhirnya berdiri sendiri menjadi suatu ilmu yang berasingan dengan pengkhususan yang tersendiri berbanding dengan cabang-cabang ilmu Islam yang lain.


CABANG-CABANG PENGAJIAN ULUMUL HADIS.


Pengajian ulumul hadis telah mencabangkan berbagai ilmu yang berkaitan dengannya seperti:

1)Pembahagian hadis kepada sahih,hasan dan daif.

2)Pembahagian hadis daif kepada munqati’,mu’adhal, dan mudharrab.

3)Bahasan jarah dan ta’dil seperti syarat-syarat jarah dan ta’dil,mertabat-mertabat jarah dan ta’dil dan lain-lain yang berkaitan.

4)Mengenal para perawi dan negeri kelahiran mereka.

5)Bagaimana membezakan perawi yang thiqah dengan perawi yang daif dan lain-lain yang bersangkutan.

Setiap satu cabang yang kecil-kecil daripada cabang-cabang tersebut dihuraikan dengan begitu mendalam sehingga setiap cabang itu dapat menjadi satu bab daripada ilmu ulumul hadis dan ditulis dalam kitab yang berasingan sehingga menjadikan cabang-cabang ilmu ulumul hadis itu tersangat banyak.Sebagai contoh Al Hakim dalam kitabnya “Makrifatu ‘ulumul hadis” telah menyebutkan sebanyak 52 cabang daripada ilmu ulumul hadis.Berkata Al Imam Al Sayuthi rhm “Cabang-cabang ilmu hadis itu sangat banyak sehingga tidak dapat dihitung.” Kata Al Hazimi “ilmu hadis itu mengandungi cabang yang banyak sehingga mencecah ratusan.Setiap satunya adalah ilmu yang berasingan.Kalaulah seorang penuntut menghabiskan seluruh umurnya nescaya dia tidak akan dapat menghabiskan dalam mempelajarinya”(Tadrib Al Ruwaat hlm 14)

Telah menyebut Ibnu Solah bahawa cabang-cabang ilmu hadis itu 65 cabang kesemuanya.


Rujukan:Usulul hadis ulumuhu wa mustalahuhu-Muhammad Ajjaj Al Khatib

No comments:

Post a Comment