Saturday, November 12, 2011

AWAL PENCIPTAAN ALAM

Firman Allah Taala di dalam Al Quran:

الله خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Ertinya: Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.(Azzumar:62)

FirmanNya lagi:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْ‌شِ ۚ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْ‌ضِ وَمَا يَخْرُ‌جُ مِنْهَا وَمَا يَنزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُ‌جُ فِيهَا ۖ وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya: Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.(Al Hadid:4)

Ijmak sekelian muslimin bahawa Allah Taala telah menciptakan alam ini dalam tempoh enam hari seperti yang disebutkan di dalam Al Quran.Mereka berselisih adakah hari-hari itu menyamai seperti hari-hari kita atau sehari menyamai seribu tahun. Di sana ada dua pendapat di kalangan alim ulama.Mereka juga berselisih adakah sebelum penciptaan langit dan bumi ada makhluk lain yang diciptakan terlebih dahulu.Sebahagian ahlul kalam berkata sebelum kejadian langit dan bumi tidak ada makhluk lain yang dicipta dan adalah kedua-duanya langit dan bumi dicipta dari ketiadaan semata-mata.Tetapi berkata yang lain bahkan sebelum terciptanya langit dan bumi sudah ada makhluk lain yang dicipta terlebih dahulu kerana Allah Taala berfirman:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْ‌شُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِن قُلْتَ إِنَّكُم مَّبْعُوثُونَ مِن بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا إِنْ هَـٰذَا إِلَّا سِحْرٌ‌ مُّبِينٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: "Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati" tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: "Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)".(Hud:7)

Di dalam hadis yang diriwayatkan Imran bin Hasin disebutkan :Telah adalah Allah dan tidak ada sesuatu pun sebelumNya dan adalah arasyNya di atas air dan Dia telah menuliskan kejadian tiap-tiap sesuatu kemudian Dia mencipta langit dan bumi.

Berkata Imam Ahmad bin Hanbal telah menceritakan kami Bahaz telah menceritakan kami Hammad bin Salamah telah menceritakan kami Abu Ya’la ibnu Atha’ daripada Waqi’ bin Hudas daripada bapa saudaranya Abi Razin anak angkat ibnu Amir Al ‘Uqaili sesungguhnya ia berkata:Wahai RasuluLlah di mana Tuhan kita sebelum Dia mencipta langit dan bumi?RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda:Adalah Allah itu di dalam awan yang tebal di atasnya angin dan di bawahnya angin kemudian Dia mencipta arasyNya di atas air.

Kata Ibnul Arabi di dalam syarah Tirmizi pertanyaan tentang “di mana Tuhan kita” di dalam hadis di atas tidak bermaksud tempat tetapi bermaksud keadaan yakni bagaimana keadaan Tuhan kita sebelum mencipta langit dan bumi.Adapun yang dimaksudkan Allah itu dalam awan yang tebal bererti Allah itu terhijab dengan hijab yang maknawi.Berkata Yazid bin Harun ertinya Allah itu tidak ada sertaNya sesuatu.Kata Baihaqi di dalam Al Asma’ yang dimaksudkan dengan awan itu ialah awan yang maknawi yaitu Allah itu terhijab sehingga tidak terjangkau oleh ilmu.

Para ulama juga khilaf tentang apakah makhluk yang pertama dijadikan.Sebahagiannya berkata Dia menciptakan qalam sebelum yang lain-lain.Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Jauzi serta lain-lain.Kata Ibnu Jarir :Selepas Allah menciptakan qalam Dia menciptakan awan yang tipis.

Mereka berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Abu Daud dan Tirmizi daripada Ubadah ibnu Shamit ra katanya: RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda :Sesungguhnya makhluk yang pertama diciptakan Allah itu adalah qalam.Kemudian Allah berfirman kepadanya:Tulislah! Lalu qalam pun menuliskan pada ketika itu semua perkara yang akan berlaku sehingga hari kiamat.

Lafaznya oleh Imam Ahmad.Kata Tirmizi hadis hasan sahih gharib.

Adapun jumhur berpendapat seperti yang dinaqalkan oleh Al Hafiz Abul ‘Ala’ Al Hamzani dan lain-lain:Sesungguhnya arasy diciptakan sebelum qalam.Qaul ini diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada galur Addhahhak daripada Ibnu Abbas sepertimana dalilnya yang terdapat di dalam Sahih Muslim.Ia berkata:Telah menceritakan kepadaku Abu Al Tahir Ahmad bin Amru bin AbdulLah bin Amru bin Al Sarah telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahhab telah menceritakan kepadaku Abu Hani Al Khawalani daripada Abi Abdirrahman Al Jiili daripada AbduLlah bin Amru bin Al As dia berkata:Aku mendengar RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda Allah telah menulis takdir sekelian makhluk 50,000 tahun sebelum menciptakan langit dan bumi.Baginda bersabda :Telah adalah arasyNya di atas air.

Telah berkata para ulama bahawa penetapan waktu dalam menuliskan takdir itu yang dimaksudkan ialah takdir yang dituliskan di loh mahfuz.Adapun takdir yang di dalam ilmu Allah itu qadim lagi azali tidak bergantung dengan masa.

Mereka (para ulama yang berpendapat bahawa arasy adalah makhluk yang terawal dicipta) berkata:Sesungguhnya hadis di atas menunjukkan bahawa arasy telah dicipta sebelum dituliskan segala takdir.Maka tetaplah bahawa arasy adalah makhluk yang pertama dicipta sebelum qalam sepertimana pendapat jumhur.Dan ditakwilkan hadis yang menunjukkan qalam adalah makhluk yang pertama diciptakan yakni yang pertama diciptakan dari jenis alamnya.

Telah berkata Ibnu Jarir bahawa telah berkata lain-lain ulama :Bahkan Allah telah menciptakan air terlebih dahulu sebelum arasy.Telah meriwayatkan Asuddi daripada Abi Malik dan daripada Abi Salih daripada Ibnu Abbas dan daripada Murrah daripada Ibnu Mas’ud dan daripada beberapa orang dari kalangan sahabat RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam kata mereka:Sesungguhnya Allah itu arasyNya di atas air dan tidak ada sesutu pun yang dicipta sebelum air.

Ibnu Jarir telah menghikayatkan daripada Muhammad bin Ishak sesungguhnya dia mengatakan:Awal makhluk yang diciptakan Allah itu adalah nur dan zulmat lalu diceraikan keduanya lalu jadilah zulmat itu malam yang gelap gelita dan nur itu siang yang terang benderang.

Berkata Ibnu Jarir:Sesungguhnya dikatakan makhluk yang diciptakan Allah selepas qalam itu adalah Kursi.Kemudian diciptakan selepas kursi itu arasy.Kemudian diciptakan selepas itu angin dan zulmat.Kemudian diciptakan air lalu diletakkan arasy di atas air.

Kesimpulannya para ulama telah khilaf tentang apakah makhluk yang diciptakan oleh Allah sepertimana berikut:

1)Ada ulama yang mengatakan makhluk yang pertama dicipta itu adalah arasy.

2) Ada ulama yang mengatakan makhluk yang pertama dicipta itu adalah qalam.

3) Ada ulama yang mengatakan makhluk yang pertama dicipta itu adalah air.

4) Ada ulama yang mengatakan makhluk yang pertama dicipta itu adalah nur dan zulmat.

Dan di antara semua pendapat itu pendapat yang paling kuat sekali adalah pendapat yang pertama.Perbahasan ini hanyalah menyentuh tentang awal makhluk yang dicipta dalam bentuk jisim.Adapun awal makhluk yang dicipta jika ditinjau dari segi keseluruhannya tentulah Nur Muhammad seperti yang dapat di lihat di sini.

Wallahu a’lam-Hanya Allah sajalah yang terlebih mengetahui.

Rujukan :Al Bidayah wal Nihayah oleh Ibnu Kathir.

No comments:

Post a Comment