Zat adalah suatu perkara yang dikenali melalui sifat.Sifat pula ialah hal keadaan sesuatu zat.Sebagai contoh kapur tulis adalah zat.Sementara putih , bulat dan panjang adalah sifat – sifatnya.Sangat tidak jauh jika kita katakan bahawa sifat – sifat sesuatu zat itu mendifinisikan zatnya.Oleh itu mengetahui sifat adalah penting bagi mengenali zat sesuatu.
Sifat – sifat Allah
Bagi mencapai maksud mengenal Allah maka perlulah seseorang mengetahui sifat – sifatnya.Sebagaimana yang telah diketahui adalah sifat – sifat Allah itu tidak terhingga banyaknya tetapi yang wajib diketahui secara tafsil satu persatu ialah dua puluh sifat yang wajib , dua puluh sifat yang mustahil dan satu sifat yang harus.Jika dipersoalkan mengapakah sifat – sifat Allah yang wajib diketahui itu dua puluh sahaja?Mengapa tidak dua puluh satu misalnya atau dua puluh lima atau lain – lain.Maka jawabnya ialah kerana memadailah dengan dua puluh itu kita dapat membezakan antara Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar – benarnya iaitu Allah dengan tuhan – tuhan lain yang tidak layak disembah hanya dipertuhankan oleh orang – orang yang jahil yang mengikut hawa nafsu.Sebagai misalan katakanlah kita hendak membezakan kapur tulis dengan benda – benda lain.Walaupun kapur tulis itu mempunyai beberapa sifat namun , jika kita tersalah di dalam memilih sebahagian daripada sifat kapur itu untuk diterangkan maka mungkin akan menimbulkan kekeliruan.Misalnya jika kita katakan kapur itu ialah sesuatu yang berwarna putih.Yang demikian adalah tidak memadai sebab banyak juga benda lain yang berwarna putih.Atau kita kata ianya sesuatu yang bersifat bulat dan panjang.Juga tidak memadai kerana banyak juga benda lain yang bersifat bulat dan panjang.Tetapi jika kita katakan ianya sesuatu yang digunakan untuk menulis di papan hitam maka dengan sendirinya orang ramai dapat mengetahui bahawa yang dimaksudkan adalah kapur tulis tanpa menerangkan sifat – sifatnya yang lain.Maka cukup dengan satu sifat sahaja seseorang itu sudah dapat membezakan antara kapur tulis dengan benda – benda lain.Demikianlah sifat – sifat Tuhan itu banyak seperti penyayang , pengasih dan sebagainya.Namun jika kita menerangkan bahawa Tuhan yang berhak disembah iaitu Allah bersifat umpama penyayang misalnya , maka masih boleh berlaku kekeliruan walaupun sifat penyayang itu memang sifat Allah sebab orang Keristian pun percaya bahawa tuhan yang mereka percayai itu bersifat penyayang.Orang Budha dan Hindu juga percaya tuhan yang mereka sembah bersifat penyayang.Jadi apakah sifat Tuhan yang benar – benar membezakan antara Allah Tuhan Yang Layak Disembah dengan tuhan – tuhan yang lain yang sebenarnya bukan tuhan?Maka dengan sebab itulah akhirnya di dalam banyak – banyak sifat Allah itu para ulama akhirnya memilih dua puluh sifat Allah untuk dihuraikan dan diwajibkan ke atas tiap – tiap orang awam mempelajarinya secara terperinci kerana memadailah dengan dua puluh sifat itu seseorang dapat membezakan antara Allah sebagai ilah (Tuhan yang layak disembah) dengan tuhan – tuhan lain yang sebenarnya bukan tuhan.Sifat – sifat tersebut seperti wujud , kidam , baqa’, mukhalafatuhu taala lil hawadith dan seterusnya hingga akhir dua puluh sifat.Akan tetapi sifat – sifat Allah yang selain dua puluh itu juga tidak dilupakan bahkan wajib diimani oleh tiap – tiap orang Islam sekurang – kurangnya dengan secara ijmal (ringkas).Jadi bukanlah bermakna dengan mempelajari sifat dua puluh itu kita hanya mempercayai bahawa Allah itu hanya mempunyai dua puluh sifat sahaja bahkan kerana memadailah dengan dua puluh sifat itu kita dapat membezakan Allah sebagai Zat Yang Layak Disembah dengan tuhan – tuhan yang palsu lagi batil seperti yang dipercayai oleh orang – orang bukan Islam.
No comments:
Post a Comment