1)Mengenal nama – nama Allah.
2)Mengenal sifat – sifat Allah.
3)Mengenal af’al (perbuatan) Allah.
Adalah nama – nama Allah dan sifat – sifatNya itu tersangat banyak yang mana tidak dapat dihinggakan banyaknya dan tidak seorang pun yang mengetahuinya melainkan Allah sahaja.Oleh itu para ulama membahagikan makrifat itu kepada dua peringkat iaitu:-
1)Mengenal secara ijmal. Ertinya mengenal secara umum dengan cara merangkumi iaitu dengan mengiktikadkan bahawa Allah itu Zat Yang Wajib Disembah yang bersifat dengan sifat – sifat kamalat (kesempurnaan) yang tidak terhingga banyaknya dan Maha Suci Ia daripada sekelian sifat – sifat kekurangan yang tidak layak dengan ketuhananNya dan Dia mempunyai nama – nama yang elok yang tidak diketahui banyaknya melainkan Dia.
2)Mengenal secara tafsil. Ertinya mengenal dengan huraian satu persatu dua puluh sifat yang wajib bagi Allah , lawannya dua puluh sifat yang mustahil dan satu sifat yang harus dengan dihuraikan bagi tiap – tiap satu sifat itu dari hal pengertiannya , pembahagiannya serta dalilnya samada dalil akli atau nakli.Begitu juga wajib seseorang itu mengenal dan mengetahui nama – nama Allah yang sembilan puluh sembilan (asma ul husna) secara tafsil kerana nama - nama Allah yang sembilan puluh sembilan itu terdapat di dalam Al Quran dan hadis. Kedua – dua peringkat makrifat di atas wajib atas tiap – tiap mukallaf. Bagi makrifat pula mempunyai tiga syarat iaitu :-
1)Iktikad yang jazam. Ertinya wajib seseorang itu mengenal Allah dengan keyakinan yang teguh dan iktikad yang mantap tanpa syak , zan , dan waham.Syak itu ertinya keadaan hati yang berada di dalam keadaan antara yakin dengan tidak yang bersamaan padanya antara percaya dengan tidak percaya.Zan pula bererti keadaan hati yang berat kepada yakin tetapi ada sedikit ketidakyakinan.Waham pula bererti keadaan hati yang berat kepada tidak yakin tetapi ada sedikit keyakinan.Ketiga – tiganya tertolak dan menafikan makrifat bahkan menafikan iman.
2)Muafakat dengan yang sebenar. Ertinya sesuatu makrifat dan kepercayaan itu mestilah kepercayaan yang diredai Allah yang diajar oleh nabi dan diiktikadkan oleh para sahabat dan salafussoleh.Kepercayaan yang tidak diredai Allah , menyalahi ajaran nabi dan bertentangan dengan kepercayaan salfussoleh tidak dinamakan makrifat.
3)Dengan dalil. Ertinya sesuatu kepercayaan itu hendaklah disertai dalil yakni bukti – bukti yang berupa dalil nakli dan juga akli.Sesuatu kepercayaan yang tidak disertai bukti dan dalil tidak dinamakan makrifat tetapi dinamakan taklid. Taklid
Taklid ertinya menuruti kepercayaan orang lain seperti guru atau ibu bapa tanpa memeriksa dalil dan bukti.Taklid terbahagi kepada dua iaitu :-
1)Taklid yang jazam. Ertinya taklid yang sangat teguh sehingga kepercayaan dan keyakinannya tidak berubah selama – lamanya walupun orang yang diikutinya berubah pendirian.
2)Taklid yang ghairu jazam. Taklid yang tidak teguh dan sentiasa di dalam keraguan dan berubah – ubah pendirian dan dapat berubah juga apabila orang yang diikutinya itu telah berubah pendirian. Menurut pendapat yang kuat dari kalangan ulama , hukum iman orang yang bertaklid itu , sekiranya taklidnya jazam , maka imannya adalah sah.Hanya sanya ia berdosa kerana meninggalkan kewajiban belajar.Namun ia berada di dalam keadaan bahaya bergantung kepada orang yang diikutinya.Sekiranya benar orang yang diikutinya maka selamatlah ia dan sekiranya tidak maka binasalah ia bersama dengan orang yang diikutnya.Wal iyazubillah. Sekiranya taklidnya tiada jazam maka imannya tidak sah kerana menyerupai imannya tatkala itu dengan syak , zan dan waham.
Oleh sangatlah penting tiap – tiap seseorang mempelajari ilmu tauhid bersungguh – sungguh daripada guru – guru yang berkelayakan dengan disertai dalil yang jelas sehingga dapat mengeluarkan dirinya daripada taklid kepada ilmu dan daripada syak kepada yakin memandangkan perkara akidah ini adalah sangat besar bahayanya dan tidak dimudahkan seseorang itu bertaklid semata – mata.
No comments:
Post a Comment