HALAMAN

Saturday, April 2, 2011

HUKUM AKAL






Adalah hukum itu ertinya menetapkan atau menafikan sesuatu perkara.Terbahagi hukum itu kepada tiga bahagian iaitu:-




1)Hukum syarak. Iaitu menetapkan atau menafikan sesuatu dengan berpandukan syarak iaitu Al Quran dan hadis.Contohnya menetapkan wajib solat lima waktu , haram minum arak dan lain – lain.




2)Hukum adat. Iaitu menetapkan atau menafikan sesuatu dengan berpandukan percubaan dan pemerhatian.Contohnya menetapkan api itu membakar , pisau dapat memutuskan , makanan dapat mengenyangkan dan sebagainya.Kesemua yang tersebut adalah berdasarkan pemerhatian dan percubaan.




3)Hukum akal. Iaitu menetapkan atau menafikan sesuatu tanpa berpandukan syarak dan tanpa membuat pemerhatian terlebih dahulu sebaliknya hanya berpandukan akal.Contohnya, menghukumkan wajib bagi sesuatu itu salah satu daripada dua perkara samada ia bergerak atau diam. Mengetahui hukum akal sangat penting di dalam mempelajari ilmu tauhid kerana perbahasan ilmu tauhid banyak berkisar kepada Zat dan Sifat Allah yang mana tidak dapat kita menghukumkan Zat dan Sifat Allah itu melainkan dengan akal.Jika dipersoalkan bukankah Zat dan Sifat Allah telah termaktub di dalam Al Quran dan hadis sehingga tidak lagi berhajat kepada akal bagi menetapkannya?Maka kita jawab, dengan mengatakan hajat manusia kepada akal di dalam menetapkan sifat – sifat Allah adalah sentiasa tetap berlaku walaupun sifat – sifat Allah telah pun dinyatakan di dalam Al Quran dan hadis kerana manusia tidak mampu untuk membenarkan apa yang dinyatakan oleh Al Quran dan hadis itu jika tidak dengan menggunakan akal.Malahan Al Quran itu sebagai mukjizat yang maknawi tidak akan terserlah kemukjizatannya jika tidak dihalusi melalui pengamatan dan penelitian akal.Banyak ayat – ayat Al Quran yang menyeru manusia agar menggunakan akal terutama di dalam mencari kebenaran.Misalnya firman Allah: ﻔﺎﻋﺘﺑﺭﻮﺍﻳﺎﺃﻮﻟﻰﺍﻷﻟﺑﺎﺐ




Ertinya :maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) Wahai orang-orang Yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. Di dalam sepotong hadis








Rasulullah saw bersabda:




ٱلدين هوالعقل لا دين لمن لا عقل له




Ertinya : Agama itu adalah akal , tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.








Para ulama telah berselisih pendapat di dalam menentukan peranan akal di dalam agama.Menurut Mazhab Asy’ariah , semua hukum agama baik yang berupa soal – soal keimanan dan soal – soal syariat dibinakan atas landasan syarak iaitu Al Quran dan hadis tetapi syaratnya adalah akal.Menurut Mazhab Maturidiah yang dianuti oleh kebanyakan pengikut – pengikut Hanafi terdapat perincian yang mana mereka berpegang bahawa di dalam soal – soal ketuhanan akal berperanan sebagai penetap hukum kerana soal – soal ketuhanan adalah soal yang nyata bagi semua manusia yang berakal dan syarak yakni Al Quran dan hadis hanya sanya datang untuk menguatkan apa yang telah ditetapkan oleh akal.Adapun di dalam perkara lain seperti soal – soal syariat (hukum – hakam) dan sam’iyat (perkara – perkara ghaib) maka tidak dapat tiada ianya dibinakan atas landasan Al Quran dan hadis semata – mata. Dengan itu dapat dibuat kesimpulan bahawa samada akal sebagai syarat atau sebagai penetap hukum kedua - dua mazhab tersebut ijmak bahawa akal adalah memainkan peranan yang penting di dalam soal – soal ketuhanan seperti yang dibahaskan di dalam ilmu tauhid.

No comments:

Post a Comment