HALAMAN

Sunday, April 3, 2011

BAHAGIAN HUKUM AKAL






Adalah hukum akal itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu :-




1)Wajib akli iaitu menetapkan sesuatu itu mesti ada pada akal.




2)Mustahil akli iaitu menetapkan sesuatu itu mesti tiada pada akal.




3)Harus akli iaitu menetapkan sesuatu itu boleh ada dan boleh tiada pada akal.




Wajib akli terbahagi kepada dua iaitu :-




1)Wajib akli dharuri iaitu menetapkan sesuatu itu mesti ada pada akal hal keadaannya mudah tanpa perlu difikir – fikirkan secara mendalam.Contohnya menetapkan wajib sesuatu yang asalnya tiada itu , tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan berkehendak kepada yang menciptakannya.Hal ini mudah dihukumkan oleh akal akan wajibnya tanpa berkehendakkan kepada perbahasan yang lebih lanjut.




2)Wajib akli nazari iaitu menetapkan sesuatu itu mesti ada hal keadaannya tidak mudah.Contohnya wajib alam ini bersifat baharu.Hal ini tidak mudah bagi akal menghukumkannya bahkan berkehendak kepada perbahasan dan pemikiran yang mendalam.




Mustahil akli juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu :-




1)Mustahil akli dharuri iaitu menetapkan sesuatu itu mesti tiada pada akal hal keadaannya mudah seperti menetapkan mustahil pada akal sesuatu yang asalnya tiada , boleh ada dengan sendirinya jika tiada yang menciptakannya.




2)Mustahil akli nazari iaitu menetapkan sesuatu itu mesti tiada secara akal dengan memerlukan kepada perbahasan yang mendalam seperti menetapkan mustahil pada akal bagi Allah bersamaan dengan segala makhluknya. Harus akli juga terbahagi kepada dua iaitu :-




1)Harus akli dharuri iaitu menetapkan sesuatu itu boleh ada dan boleh tiada pada akal hal keadaannya mudah seperti menetapkan sesuatu itu harus pada akal ia bergerak selama – lamanya atau diam selama – lamanya atau ia bergerak dan diam secara berganti – ganti.




2)Harus akli nazari iaitu menetapkan sesuatu itu boleh ada dan boleh tiada hal keadaanya susah seperti menetapkan harus pada akal bagi Allah Taala memasukkan orang yang taat ke dalam neraka dan memasukkan orang yang bermaksiat ke dalam syurga.Bukannya mudah untuk akal menetapkan bahawa harus bagi Allah memasukkan orang yang baik ke dalam neraka dan memasukkan orang yang jahat ke dalam syurga.Tetapi perlu diingat ini hanyalah pada makam munazarah (perbahasan) iaitu jika dipandang dari segi asal hukum akal semata – mata.Ada pun jika dipandang dari segi janji Allah di dalam Al Quran dan hadis , orang yang baik itu tetaplah akan dimasukkan ke syurga dan orang yang jahat tetaplah akan dimasukkan ke dalam neraka.Namun ianya sabit dengan janji Allah bukan dengan hukum akal.




Kita hendaklah menyedari dan memahami dengan bersungguh bahawa mengetahui hukum akal dan bahagian – bahagiannya adalah termasuk di dalam kewajiban seseorang muslim kerana ianya adalah asas bagi makrifatullah dan merupakan wasilah bagi mengenal Allah.Sungguhpun permulaan wajib di dalam agama itu adalah mengenal Allah tetapi permulaan wajib di dalam mengenal Allah itu adalah dengan mengetahui hukum akal.Sebahagian ulama mengatakan bahawa mengetahui hukum akal dan bahagian – bahagiannya itulah akal kerana tidak seorang pun yang tidak mengetahuinya melainkan orang tersebut tidak berakal.

No comments:

Post a Comment