Terdapat seruan sejak akhir-akhir in supaya umat Islam tidak terikat hanya kepada satu-satu mazhab,sebaliknya hendaklah memilih dan mengamalkan pendapat yang terkuat dari kalangan semua mazhab.Mereka juga mendakwa bahawa beriltizam hanya kepada satu satu mazhab merupakan suatu sikap yang menunjukkan pelakunya adalah seorang yang taksub mazhab.Bagi saya taksub mazhab ialah seseorang yang menyalahkan mazhab lain dan menganggap mazhabnya sahaja yang betul.Seseorang yang hanya beriltizam kepada satu-satu mazhab yang tertentu tidak semestinya dia menganggap mazhab orang lain itu salah.Jadi tidak ada relevannya tuduhan yang mengatakan orang yang beriltizam itu mempunyai sikap taksub mazhab?Kita jangan menyangka mazhab-mazhab fekah dalam Islam itu sama seperti sekte-sekte dalam agama-agama yang lain seperti sekte-sekte Keristian,Yahudi,Budha dan lain-lain.Punca lahirnya sekte-sekte tersebut adalah ‘kekeliruan’ dan ini menyebabkan terdapatnya sekte-sekte yang salah samada sebilangan atau semua sedangkan punca lahirnya mazhab-mazhab fekah dalam Islam adalah ‘kefahaman’.Ini bererti kesemua mazhab fekah yang di dalam lingkungan ahli sunnah adalah benar belaka dan empat mazhab yang wujud di dalam lingkungan ahli sunnah memberi erti kepada kita bahawa terdapat empat kefahaman yang muktabar dalam mengaplikasikan nas-nas agama dan jika terdapat perbezaan di dalam aspek-aspek yang tertentu maka ianya adalah ikhtilaf yang mengandungi rahmat bukan bererti sebahagiannya salah atau lemah.Oleh itu tidak timbul soal ada mazhab yang lemah atau yang kuat atau betul dan salah.Dan kita semestinyalah membezakannya dengan ‘tafriq’ yang membawa azab.Kita juga mesti sedar dengan bersungguh-sungguh bahawa imam-imam Hanafi,Maliki,Syafii dan Hanbali bukanlah pencipta kepada mazhab-mazhab yang mereka anuti,tetapi hanyalah peng ‘istimbat’ kepada kaedah-kaedah yang sememangnya telah wujud di dalam Al Quran dan sunnah.Hakikatnya ‘rahsia’ empat mazhab memang telah wujud di dalam Al Quran dan sunnah dan telah pun diamalkan oleh para sahabat dan tabiin samada secara langsung mahupun tidak,cuma pengamalannya belum lagi teratur dan belum dibukukan.Para imam mujtahid yang tersebutlah yang mengaturkannya dan membukukannya secara sistematik lalu dinisbatkan mazhab-mazhab yang mereka persetujui itu kepada nama-nama mereka walaupun dalam masa yang sama pada hakikatnya mazhab yang mereka anuti itu adalah kesinambungan dari mazhab sahabat dan tabiin sebelumnya.Oleh itu kesemua mazhab yang empat adalah berdasarkan kepada Al Quran dan sunnah malahan merupakan kesinambungan dari mazhab sahabat yang diakui nabi.
Para sahabat semuanya adalah ahli-ahli ilmu yang layak untuk mengeluarkan fatwa sekurang-kurangnya untuk diri sendiri tanpa perlu mereka bertaklid kepada orang lain dengan dalil keadaan mereka itu yang telah mendapat keampunan dan keredaan dari Allah dengan umum ayat Al Quran di samping kelebihan dan keberkatan yang mereka perolehi hasil pergaulan mereka dengan baginda saw.Dengan sebab itu ulama-ulama usul menegaskan perkataan seorang sahabi tidak menjadi hujjah ke atas sahabi yang lain memandang mereka sekeliannya sama-sama mujtahid.Akan tetapi ada beberapa orang dari mereka yang terdiri dari sahabat-sahabat besar di mana fatwa mereka adalah diutamakan dan lebih afdal dari yang lain.Misalnya,Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “ikutilah sunnahku dan sunnah khulafa al rasyidin selepasku..”Baginda juga bersabda mengingatkan sahabat-sahabatnya yang lain, “ikutilah dua orang ini(merujuk kepada Abu Bakar dan Umar) di saat aku telah tiada bersama kalian.”Baginda juga mengisyaratkan Ali ra sebagai pintu ilmu.Baginda bersabda yang bermaksud “barangsiapa yang ingin membaca Al Quran seperti mana ia telah diturunkan kepada aku hendaklah ia mencontohi bacaan Ibnu Mas’ud” dan di dalam riwayat yang lain “Ubai bin Kaab”.Baginda juga mengingatkan sahabat-sahabat lain yang hidup pada waktu itu bahawa apa yang dikatakan oleh Abdullah bin Mas’ud hendaklah kalian benarkan.Baginda bersabda yang bermaksud “Zaid (bin Thabit) adalah orang yang paling alim dari kalangan kamu di dalam ilmu faraid”.Baginda juga mendoakan Abdullah ibnu Abbas supaya diberi kefahaman dalam agama dan kefahaman di dalam takwil.Baginda memuji Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan ke Yaman iaitu Muaz bin Jabal dalam memahami usul-usul fatwa.Demikianlah para sahabat akhirnya telah berpecah kepada beberapa mazhab sesama mereka seperti mazhab Ibnu Mas’ud,mazhab Ibnu Abbas,mazhab Sayidina Ali,mazhab Ubai bin Kaab,mazhab Abu Hurairah,mazhab Zaid bin Thabit,mazhab Muaz bin Jabal dan lain-lain.Maka Rasulullah saw bersabda:
الله لا تسبوا أ صحابي فإنهم كالنجوم في السماء أيهم إقتديتم إنهديتم
Allah,jangan kalian mencaci sahabat-sahabatku,maka sesungguhnya mereka seumpama bintang-bintang di langit yang manapun kalian ikuti nescaya kalian akan mendapat petunjuk.
Rasulullah juga telah menyebut sebagai (tanbihat) kepada jenerasi akan datang kemunculan ulama-ulama selepas sahabat untuk diikuti kerana mereka adalah pewaris-pewaris sunnah baginda yang mulia dan pewaris ilmu para sahabat iaitulah Imam mazhab yang empat.Imam Abu Hanifah misalnya,maka dialah yang disebut oleh Rasulullah sebagai ‘lelaki Farsi yang mampu mencapai ilmu walaupun letaknya di bintang Thuraya’.Imam Malik dirujuk oleh Rasulullah sebagai ‘alim Madinah’ yang sesiapa yang hidup pada zaman itu tidak akan menemukan orang yang lebih alim dari beliau.Imam Syafii dirujuk oleh Rasulullah sebagai ‘alim Quraisy’ yang bakal lahir yang memenuhkan alam ini dengan ilmunya.Ada pun Imam Ahmad,memadailah beliau murid dan sahabat akrab Imam Syafii yang ilmu dan fatwanya tidak jauh berbeza daripada Imam Syafii.Tidak ketinggalan Rasulullah saw meramalkan datangnya seorang pembela Islam dan mengatakan “mereka adalah kaum(anak cucu) orang ini” sambil menunjukkan kepada Abu Musa Al Asy’ari sebagai isyarat kepada keimaman Abu Al Hassan Al Asy’ari ikutan di dalam akidah.Tujuan Rasulullah menyatakan ini semua adalah sebagai tanbih kepada umat Islam jenerasi selepas baginda termasuklah kita semua di hari ini supaya beriltizam dengan keempat-empat imam mazhab tersebut.
Sekarang timbul satu soalan.Mengapa seseorang itu dimestikan melazimi hanya kepada satu-satu mazhab yang tertentu sahaja dan tidak dibenarkan melompat-lompat mazhab kalaulah kesemuanya benar dan mengikut sunnah?Jawabnya seperti berikut:
Manusia adalah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu mujtahid dan muqallid.Seorang mujtahid adalah wajib baginya berijtihad dan jika ijtihadnya betul maka baginya dua(saham) kebajikan dan jika ijtihadnya salah maka baginya satu saham kebajikan.Ini bermakna,jika dia tersalah di dalam berijtihad maka kesalahannya diampunkan oleh Allah kerana ijtihad yang dilakukan itu dibuat di dalam keadaan dia layak untuk itu.Ada pun muqallid haram atasnya melakukan ijtihad sendiri. Bertanya serta mengikuti mana-mana mujtahid adalah fardu atas dirinya dengan dalil Al Quran yang berbunyi:
فاسئلوا اهل الذكر إن كنتم لا تعلمون
Ertinya:Maka bertanyalah kepada ahli-ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.
Jika dia berijtihad sendiri di dalam keadaan dia tidak layak berbuat demikian nescaya dia akan termasuk di dalam hadis Rasulullah saw yang berbunyi:
من فسر القرءان برأيه فليتبوأ مقعده في النار
Ertinya barangsiapa yang mentafsirkan Al Quran dengan fikirannya maka hendaklah dia menempah tempatnya di dalam neraka.
Di antara adab - adab seorang muqallid itu dia hendaklah beriltizam dengan mazhab yang ia ikuti.Misalnya orang yang bermazhab Syafii hendaklah ia beriltizam dengan mazhab Syafii.Sebagai seorang muqallid dia tidak mempunyai hujjah di hadapan Allah di akhirat kelak untuk mempertahankan dirinya.Dia hanya mengharapkan syafaat dari orang yang benarnya mendapat dua pahala dan tersalahnya mendapat satu pahala.Inilah yang dimaksudkan dengan syafaat para ulama sepertimana bunyi hadis:
يشفع يوم القيامة الأنبياء ثم العلماء ثم الشهداء
Termasuk di dalam syafaat ulama itu ialah syafaat yang diberikan ke atas orang-orang yang mengikuti mazhab mereka dan kemudiannya ada tersalah di dalam sesetengah fatwa mereka yang tentunya tidak disengajakan.
Dari sini timbul pula satu persoalan.Jika kesemua mazhab itu benar,mengapa pula kita tidak boleh berpindah-pindah mazhab?Maka di sinilah kita mesti benar-benar faham apa itu mazhab.Tetapi malangnya persoalan yang begitu penting ini sering diabaikan oleh kaum muda yang begitu sembrono dan bernafsu di dalam menyeru umat Islam supaya kononnya ‘memilih pendapat terkuat’dari mana-mana mazhab!Secara ‘simple’nya,mazhab bererti metod dan di dalam konteks perbincangan kita,mazhab bererti metod dalam pengistimbatan hukum.Metod yang digunakan oleh Imam Hanafi disebut mazhab Hanafi.Metod yang digunakan oleh Imam Malik disebut mazhab Maliki.Metod yang digunakan oleh Imam Syafii dipanggil mazhab Syafii dan metod yang digunakan oleh Imam Ahmad dinamakan mazhab Hanbali.Secara dasarnya keempat-empat mazhab bersepakat tentang empat dasar hukum Islam iaitu Al Quran,sunnah,ijmak dan qias.Keempat-empat dasar ini disebut usul dan usul-usul inilah yang membezakan antara mazhab ahli sunnah dengan mazhab-mazhab yang lain.Setiap mazhab dalam lingkungan ahli sunnah pula mempunyai kaedah dan prinsip yang berbeza di dalam memahami usul dan perbezaan di dalam kaedah itulah membawa kepada perbezaan dalam hukum-hakam atau furuk.Jumlah furuk ini pula adalah tersangat banyak dan tidak terbatas namun ia tetap berasal dari salah satu usul yang kita sebutkan.Di sinilah ramai dari kita yang tersilap memahamkan bahawa perbezaan mazhab adalah perbezaan furuk padahal perbezaan mazhab adalah perbezaan kaedah di dalam memahami usul yang mana perbezaan kaedah di dalam memahami usul itulah yang seterusnya membawa kepada perbezaan di dalan furuk.Sebagai contoh,Imam Al Syafii memfatwakan batal wuduk bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang halal nikah kerana berdasarkan ayat Al Quran:
.......أو لامستم النساء......
Di mana di dalam ayat di atas dinyatakan bahawa di antara perkara-perkara yang membatalkan wuduk itu ialah menyentuh perempuan yang halal nikah.Tetapi Hanafiah tidak beranggapan demikian kerana mereka mengertikan perkataan ‘laamasa’ di dalam ayat di atas dengan erti ‘bersetubuh’.Syafi’iah menjawab bahawa erti ‘laamasa’ dengan makna bersetubuh itu majazi bukan hakiki sedangkan telah maklum bahawa makna hakiki itu hendaklah didahulukan daripada makna majazi kecualilah kalau ada qarinah yang menghendakki supaya dipalingkan maknanya kepada makna yang majazi.Di sini Hanafiah mengemukakan hadis Aisyah sebagai qarinah yang mana Rasulullah saw pernah memegang kaki Sayiditina Aisyah sewaktu bersolat lalu baginda meneruskan solat.Tetapi Syafi’iah menjawab bahawa hadis tersebut mengandungi ‘ihtimal’(kebarangkalian) kerana di dalam hadis tersebut tidak dinyatakan adakah semasa Rasulullah saw menyentuh itu di dalam keadaan berlapik atau tidak.Barangkali semasa Rasulullah saw menyentuh kaki Aisyah, baginda menyentuhnya di dalam keadaan berlapik.Oleh kerana hadis tersebut mengandungi ihtimal maka ianya belum cukup kuat untuk dijadikan qarinah bagi mengatasi pengertian ayat Al Quran di atas.Hanafiah juga mengemukakan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Daud dan Nasaai yang menyatakan Rasulullah saw pernah mencium salah seorang isteri baginda lalu baginda bersolat tanpa berwuduk.Dijawab oleh Syafi’iah,bahawa hadis tersebut mursal dan telah maklum bahawa Imam Al Syafii tidak berhujjah dengan hadis mursal kecuali mursal Hasan Al Basri dan mursal Said ibnu Al Musayib.Jadi nyatalah kedua-dua mazhab tersebut adalah benar kerana kedua-duanya mempunyai alasan dan prinsip yang tersendiri di dalam mengistimbat hukum dan asal khilaf keduanya terletak kepada penggunaan hadis mursal.Siapakah di kalangan kita yang berani mengatakan mazhab Syafii lebih kuat daripada mazhab Hanafi atau sebaliknya.Sekiranya seorang Syafii hendak mengamalkan mazhab Hanafi di dalam masalah di atas,maka dia juga wajib meraikan semua furuk masalah yang diasaskan berdasarkan hadis mursal.Jika tidak amalannya batal di sisi dua imam.Misalnya seperti batal wuduk disebabkan tertawa yang nyata suara,wajib mengkadhak puasa sunnat yang batal dengan sengaja,batal jual beli jika si pembeli muflis atau mati sebelum pembayaran dan sebagainya.Dengan sebab itulah kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melompat-lompat mazhab.Mengamalkan mana-mana mazhab adalah harus dengan syarat iltizam tetapi adalah satu kesalahan jika kita merojakkan mazhab kerana ia akan membawa kepada terbatalnya kebanyakan hukum Islam.
Cubalah para pembaca bayangkan misalnya seorang yang malas bersolat lalu dia mengamalkan mazhab Syafii serta hanya bersolat lima waktu sahaja dan meninggalkan solat ratibah dan solat witir kerana kerana katanya kedua-duanya tidak wajib di sisi Imam Syafii.Semasa bersolat pula dia menoleh ke kiri dan ke kanan dan kadang-kadang menyisir-nyisir rambutnya dengan pergerakan yang melebihi tiga kali berturut-turut kerana katanya tidak batal solat menurut fatwa Imam Hanbali.Begitu juga di dalam bab wuduk dia hanya menyapu sedikit rambut kerana katanya itulah had yang wajib di sisi Imam Syafii.Kemudian dia menyentuh isterinya dengan tidak perlu mengambil wuduk semula dengan alasan ianya diharuskan oleh Imam Abu Hanifah.Kemudian katakanlah dia minat melukis lalu dia pun berpegang pula kepada mazhab Maliki yang mengharuskan gambar-gambar yang bernyawa.Barangkali dia meminati sukan renang maka berseluar dalamlah dia di kolam renang kerana kononnya ada qaul dalam mazhab Maliki yang memfatwakan bahawa aurat lelaki itu hanyalah kemaluan depan dan kemaluan belakang.Dia juga mungkin tidak segan-segan menggunakan dan menyentuh produk dari bahan babi kerana katanya yang demikian diharuskan dalam mazhab Maliki.Sesekali dia teringin untuk menjamah daging anjing lalu dia pun bertaklidlah kepada qaul yang mengharuskan memakan daging anjing dari kalangan mazhab Maliki.Cubalah bayangkan apakah yang akan terjadi kepada agama orang itu.Dia akan menjadi zindik yang tak beragama sama sekali.Adakah ini yang kita inginkan berlaku di dalam masyarakat Islam?Walaupun nanti kita berkata bahawa bukan itu maksud kita di dalam mengharuskan melompat mazhab,tetapi sedarkah kita bahawa samada kita suka atau tidak sesungguhnya kitalah yang membuka pintu yang membolehkan perbuatan melompat mazhab itu disalah gunakan.Lebih-lebih lagi agama Islam di sepanjang sejarahnya sentiasa sahaja terdedah kepada musuh-musuh yang sentiasa mempunyai agenda-agenda jahat di dalam usaha untuk merosakkan ajarannya dan memporak perandakan kehidupan para penganutnya.Di dalam kebanyakan hal pula, ‘pendapat yang terkuat’ di kalangan ulama sebenarnya mengandungi takrif yang sangat subjektif dan hampir-hampir dapat dikatakan tidak ada satu pun piawai yang benar-benar dapat dipegangi untuk mengukur bahawa pendapat si anu itu kuat dan pendapat si fulan itu pula lemah.Di dalam masa yang sama kita juga sependapat bahawa imam-imam mazhab dan juga imam-imam di dalam sesebuah mazhab itu semuanya tidaklah maksum dan kemungkinan untuk mereka tersilap tetap ada,namun prinsip agama adalah jelas bahawa kesilapan para imam mujtahid adalah lebih baik dari benarnya orang-orang yang jahil.Ini ialah kerana kesilapan para mujtahid tetap diganjari pahala sedangkan benarnya orang yang jahil itu satu kesalahan.Salahnya terletak kepada keberaniannya mengeluarkan pendapat padahal dia tidak mempunyai kelayakan untuk itu.Al hasil yang dapat kita simpulkan adalah kesemua mazhab tersebut sama-sama kuat dan kesemuanya berdasarkan kepada Al Quran dan sunnah.Perbuatan merajihkan samada sesuatu mazhab itu betul atau salah pada dasarnya tidak menjadi satu kesalahan jika dilakukan dengan niat untuk ilmu dan perbandingan.Itu pun hendaklah dilakukan oleh orang yang benar-benar berwibawa dengan disertai kefahaman bahawa pentarjihan yang dilakukan itu bukanlah satu hujjah mutlak ke atas mazhab yang dirajihkannya dan adalah satu perkara yang tidak terpuji jika dilakukan dengan niat memaksa dan mempengaruhi orang awam supaya meninggalkan atau merojakkan mazhabnya di dalam juzuk-juzuk masalah kerana ia bakal menjuruskan kepada kerosakan yang tidak dapat kita bayangkan kesannya nanti.Faedah pentarjihan itu adalah untuk memudahkan seseorang membuat pilihan samada mahu beramal dengan sesuatu mazhab itu secara keseluruhan atau meninggalkannya secara keseluruhan bukannya menjadikan sesuatu mazhab sebagai mangsa cantas,tampal dan sunting oleh sebilangan manusia yang berkemungkinan besarnya tidak bertanggung jawab.
Golongan yang pro kepada ajaran lompat-melompat di dalam mazhab ini sering tersalah atau menyalahgunakan akan maksud kata-kata Imam Al Syafii yang masyhur yang mengatakan bahawa apabila pendapat beliau bertentangan dengan hadis yang sahih maka hendaklah dilontarkan (dibuang) pendapat beliau itu dan hendaklah dipegang hadis yang sahih tersebut.Saya katakan,benar Imam Al Syafii berkata demikian,tetapi kita mesti bertanya kepada diri kita sendiri dahulu,bahawa kata-kata beliau itu ditujukan kepada siapa?Kata-kata beliau itu bukan ditujukan kepada kita-kita ini semua.Kata-kata itu ditujukan kepada ashaab beliau seperti Imam Buwaiti,Imam Ahmad dan lain-lain serta kepada ulama-ulama mujtahid dalam lingkungan mazhabnya seperti Imam Nawawi,Imam Ghazali,Syeikh Ibnu Hajar,Imam Al Sayuti dan lain-lain.Adalah tidak masuk akal jika kita menyangka Imam Al Syafii meminta kita semua yang sesetengahnya Al Quran pun tidak hafal kecuali beberapa potong ayat,hadis empat puluh pun tidak hafal melainkan satu dua hadis itu pun dengan ditinggalkan sanadnya,Bahasa Arab pun tidak master belum lagi dikira penguasaan terhadap ilmu-ilmu alat untuk ijtihad yang sememangnya bersimpang siur,tiba-tiba hendak menyemak dan merajihkan pendapat beliau seenaknya.Semoga Allah memelihara kita dari ego dan hawa nafsu yang tersembunyi dan menganugerahkan kita sepenuh-penuh penghormatan dan ketaatan kepada para ulama pewaris nabi dan menyelamatkan kita dari tipu daya syaitan yang licik….Amin ya Rabbal alamin.
Akhirul kalam sebelum saya menutup tulisan ini saya suka menyeru kepada seluruh umat Islam samada yang ulama mahu pun di kalangan orang awam supaya sentiasa beriltizam dengan mazhab masing-masing dan janganlah terpedaya dengan seruan-seruan golongan yang menganjurkan lompat-melompat di dalam mazhab walaupun yang menganjurkannya itu bertaraf seorang Tantawi atau Qardhawi atau Zidani,kerana walau pun mereka itu lebih ilmunya daripada kita namun belum cukup mujtahid untuk merajihkan pendapat para ulama mujtahid.Sekian wassalam.
No comments:
Post a Comment