HALAMAN

Monday, April 19, 2010

MENJAWAB KASSIM AHMAD BAHAGIAN 1

Merujuk kepada tulisan Kassim Ahmad(AL ISLAM –Julai 2006 )dalam responsnya terhadap Nordi Achie maka ada beberapa kekeliruan yang ditimbulkan oleh beliau berhubung dengan dakwaannya tentang percanggahan hadis dengan Al Quran, lalu untuk membuktikan wujudnya percanggahan itu beliau mengemukakan contoh tentang hukuman rejam di mana Al Quran menyebutkan hukumannya adalah sebat seratus rotan sementara hadis menyebutkan rejam sehingga mati.Sebenarnya tidak wujud pertentangan di sini,kerana Al Quran menerangkan hukum bagi penzina yang belum berkahwin,sementara hadis yang menyebutkan hukuman rejam itu pula untuk menerangkan hukum bagi penzina yang sudah berkahwin.Oleh itu tidak wujud pertentangan di sini.Nampaknya Kassim belum pandai membezakan yang mana dikatakan bertentangan dan yang mana tidak.Apabila Al Quran menyebutkan hukum secara umum kemudian hadis menerangkan hukum yang sama secara khusus maka yang umum diamalkan umumnya dan yang khusus diamalkan khususnya.Jika seorang Guru Besar berkata, semua murid mesti mendengar arahan saya dan Penolong Kanan. Apabila di dalam keadaan tertentu,dia berkata,bahawa semua murid mesti menunggu di dalam dewan,kemudian Penolong Kanan pula berkata,murid tingkatan tiga menunggu di kantin tentulah yang nyata dari arahan tersebut ialah,kecuali murid tingkatan tiga,mereka hendaklah menunggu di kantin.Mengapa Kassim bersikap pura-pura tidak faham tentang perkara ini .Di samping itu juga sebenarnya hukuman rejam pernah diturunkan oleh Allah di dalam Al Quran tetapi kemudian dimansukhkan bacaannya.Walaubagaimanapun perlaksanaan hukumannya adalah kekal kerana sabit di dalam hadis-hadis yang sahih.Ayat Al Quran yang dimansukhkan bacaannya itu berbunyi:
الشيخة والشيخ إذا زنيا فاارجموهما البتة...

Ertinya:Orang tua perempuan dan orang tua lelaki apabila telah melakukan zina hendaklah kalian rejam keduanya…
Hikmah pemansukhan bacaan di samping pengekalan hukumnya ialah untuk memelihara Al Quran dari lafaz-lafaz yang tidak sesuai dengan kitab suci di samping tidak mengurangkan bentuk hukumnya yang sangat penting.Oleh kerana sangat pentingnya hukuman rejam ke atas penzina yang muhsan ini,maka Allah menurunkan satu ayat mengenainya, tetapi oleh kerana di dalam masa yang sama bunyinya adalah tersangat jijik untuk didengar(maklumlah orang tua berzina), dan ‘tidak cantik’untuk berada di dalam Kitab Allah yang kita dituntut selalu membacanya, dan membacanya adalah ibadat maka Allah memansukhkan bacaannya, tetapi hukumnya yang penting itu dikekalkan sehinggalah hari kiamat untuk kesejahteraan umat manusia.Di dalam diri kita sendiri ada anggota badan yang kita malu untuk menyebutnya tetapi ianya penting dan kita menggunakannya setiap hari.
Tentang hukuman bunuh ke atas orang yang murtad,hikmahnya adalah seperti berikut:
a)Orang yang murtad adalah pengkhianat yang paling jahat,kerana ia menolak kebenaran setelah mengetahuinya, maka oleh, itu hukuman mati adalah layak baginya..Buktinya, mereka telah pun memeluk Islam walaupun tanpa paksaan dalam erti kata yang sebenarnya,yang mana ini menunjukkan kemasukan mereka ke dalam Islam itu setelah mengetahui bahawa Islam adalah agama yang benar.Ini berbeza dengan orang yang kafir asli kerana mereka adalah orang-orang yang jahil sejak mula.Oleh kerana keadaan yang berbeza itu, maka hukuman juga turut berbeza.Tidak timbul soal ‘tunggang terbalik logik’ di sini.
b)Dengan adanya hukuman ini, agama Islam akan terpelihara
daripada musuh di dalam selimut,kerana ini bermakna,sesiapa yang ingin memeluk Islam atas sebab-sebab tertentu dan niat yang tidak ikhlas, akan terpaksa berfikir dua kali mengenainya.
Justeru itu,hukuman bunuh seperti yang disebutkan di dalam hadis ke atas orang yang murtad adalah logik ,benar dan sesuai.
Berkenaan ayat Al Quran yang menyebutkan bahawa tiada paksaan dalam agama ,sebenarnya ayat-ayat tersebut telah dimansukhkan hukumnya dengan diturunkan ayat-ayat perang.Sebab itulah orang kafir yang masih belum memeluk Islam dipaksa secara ‘simbolik’(bukan paksaan dalam ertikata yang sebenar)dalam bentuk bayaran jizyah.Hikmah mengapa orang-orang kafir yang asli hanya dipaksa dalam bentuk jizyah dan tidak dihukum bunuh seperti orang-orang murtad,jawapannya ialah kerana di dalam kes mereka itu wujud syubhat dan telah maklum hudud adalah gugur di dalam perkara yang ada syubhat.Bersalahan orang yang murtad, yang mana mereka adalah terang-terangan orang yang menolak kebenaran.Maka jelaslah ,ayat –ayat yang menyebutkan tiada paksaan di dalam agama hanyalah pada awal perkembangan agama Islam.Kemudiannya dimansukhkan setelah turunnya ayat-ayat perang yang kerana itu orang-orang kafir dituntut membayar jizyah melainkan orang yang murtad, dipaksa dalam erti kata yang sebenar-benarnya dengan cara dibunuh kerana sebab-sebab yang disebutkan di atas.Walaubagaimanapun hukuman tersebut tidak dilaksanakan secara membuta tuli.Malahan diberi tempoh selama tiga hari dan disiasat sebab-sebab ia menjadi murtad.Jika didapati seseorang itu murtad kerana sebab-sebab yang tertentu, maka hendaklah dihilangkan sebab-sebab tersebut.Jika disebabkan oleh kurang kefahaman, maka hendaklah diberi kefahaman sampai ia benar-benar faham.Persoalannya,wajarkah paksaan wujud di dalam agama, samada dalam bentuk simbolik atau dalam erti kata yang sebenar ?Jawapannya:Bagi agama Islam ia adalah wajar.Sebabnya:Agama Islam adalah satu-satunya agama
yang benar yang diiktiraf oleh Allah dan Dia telah menjadikan
keselamatan itu hanya di dalam agama Islam serta menjanjikan pula sesiapa yang mati di dalam agama selain Islam akan di kekalkan di dalam neraka seperti firmanNya:
ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو في الأخرة لمن الخاسرين
Ertinya:Barangsiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam,maka tidak akan diterima dan dia di akhirat akan menjadi orang yang rugi.
‘Tidak diterima’ bererti,kekal di dalam neraka buat selama-lamanya.Oleh itu,adalah adil jika orang kafir dipaksa memeluk Islam dan membiarkan mereka dalam kesesatan adalah satu kezaliman yang tidak boleh dimaafkan.Walaubagaimanapun mereka tidak boleh dibunuh,kerana membunuh mereka di dalam keadaan mereka tidak tahu apakah kesalahan mereka adalah suatu kezaliman yang lain pula!Maka Allah telah mensyariatkan suatu kaedah yang sangat cantik melalui paksaan secara halus dengan adanya mekanisma dakwah dan jizyah yang mana ini akan meruntun akal budi mereka untuk berfikir dan mencari jawapan apakah sebenarnya agama Islam ini yang benar-benar dan begitu beria-ia menggalakkan orang lain memeluknya sehingga dituntut membayar jizyah kepada sesiapa yang masih belum Islam?Secara tidak langsung,ini akan mendorong mereka untuk mempelajari Islam dan mengetahui sendiri kebaikan agama ini dan seterusnya terpulanglah kepada mereka sendiri untuk menentukan masa depan mereka di akhirat.Inilah yang saya maksudkan paksaan secara simbolik atau paksaan secara halus.Tanpa dakwah dan jizyah agama Islam akan jadi cacat,kerana dengan itu jadilah ia suatu agama yang tak kisah sama seperti agama-agama lain.Suatu agama itu jika bersifat tak kisah,maka itulah dalil akan kepalsuannya.Begitu pula dengan hanya dakwah sahaja,tanpa jizyah, menunjukkan agama Islam tidak serius di dalam menggalakkan orang lain memeluk Islam,kerana salah satu fungsi jizyah ialah menyampaikan mesej kepada orang kafir bahawa seruan kami ini adalah serius!Di sini saya ingin mengemukakan
persoalan untuk difikirkan bersama dan saksama.Jika anak anda ditimpa penyakit yang merbahaya,sedangkan dia enggan makan ubat atau dirawat oleh doktor wajarkah kita memaksanya?Saudara Kassim sebagai bapa tolong jawab.Jika,anak anda enggan ke sekolah darjah satu atau ada bapa enggan menyekolahkan anaknya,wajarkah kita memaksanya?Jika jawapannya tidak,bererti anda menentang pandangan umum dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memperuntukkan hukuman untuk itu.Jika jawapannya ‘wajar’,maka sudah tentu paksaan di dalam agama juga adalah wajar dengan kewajaran yang terlebih aula kerana ianya menyelamatkan seseorang dari azab yang berkekalan.Sementara mentaliti orang-orang kafir di dalam perkara ini samalah seperti mentaliti kanak-kanak yang tidak dapat membezakan antara kepercayaan yang sesat dengan kepercayaan yang dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah yang kekal. Kecualilah kalau anda menaruh sangkaan bahawa ada agama selain Islam yang dapat menyelamatkan manusia di akhirat nanti,maka di dalam hal ini tidak ada ‘ubat’ untuk anda melainkan ada pada diri anda sendiri yang mana anda perlu menyelesaikannya terlebih dahulu.Kesimpulannya menggunakan ayat yang telah dimansukhkan hukumnya untuk membuktikan pertentangannya dengan hadis adalah hujjah yang tidak relevan dan mudah diketepikan.(bersambung...)

No comments:

Post a Comment