Sunday, April 18, 2010

MENJAWAB ANAK KENYALANG BAHAGIAN 6

Berkenaan rumusan yang dibuat oleh Dr Muhammad bin Abdul Wahab Aqil maka kita dapat mengatakan seperti berikut:
i) Hujjahnya bahawa amalan talkin adalah bid’ah dalalah menunjukkan beliau telah mengabaikan hadis-hadis berkenaan talkin termasuklah hadis Abu Umamah dan wasiat Amru bin Al Ash.Secara tidak langsung menunjukkan beliau telah tidak menghormati pandangan para ulama yang lebih berwibawa seperti Imam Nawawi,Ibnu Hajar dan lain-lain yang mensunnatkannya malahan menuduh seolah-olah para ulama tersebut mengada-adakan perkara bid’ah padahal apa yang mereka fatwakan itu memang ada asalnya.Adakah beliau cuba mengatakan bahawa Amru bin Al Ash sebagai pembuat bid’ah dalalah?Wal iazubillah!
ii) Masalah akidah dan berita-berita ghaib bukanlah mahallunniza’(punca pertikaian)di dalam masalah talkin kerana perkara-perkara tersebut telah sabit melalui hadis-hadis yang lain.Tetapi apa yang menjadi masalah di sini ialah adakah talkin itu termasuk dalam perkara yang disunnatkan atau tidak.Dan di dalam hal ini para ulama yang mensunnatkan telah mengemukakan dalil dari hadis Abu Umamah dan wasiat Amru bin Al Ash.
iii) Ayat 5 surah Al Ahzab yang memerintahkan supaya dibinkan seseorang itu kepada nama bapanya adalah merupakan perintah dan kaedah umum.Ianya tidak menjadi dalil bagi menolak hadis-hadis berkenaan talkin yang bersifat khusus dan adalah maklum bahawa nas-nas yang umum tidak dapat membatalkan nas-nas yang khusus apabila nas yang khusus itu telah sah diterima sebagai dalil.
iv) Imam Ahmad mungkin mempunyai kefahaman yang tersendiri di dalam hal ini dan apa yang beliau katakan bahawa para salaf tidak mengerjakan amalan talkin tidak menjadi hujjah tentang batilnya hadis Abu Umamah dan wasiat Amru bin Al Ash.Ini ialah kerana,suatu sunnah itu meskipun hanya ada satu sahaja periwayatan,apabila ianya sahih maka wajib kita mengikutnya dan mengistimbat hukum daripadanya samada ianya diamalkan oleh salaf atau tidak kerana salaf hanyalah satu juzuk daripada ummah dan bukan keseluruhannya.Kaedah ini sebenarnya adalah kaedah yang disepakati antara beliau dengan Imam Al Syafii.Jadi sangat hairanlah kita apabila beliau mengatakan hal ini di dalam menolak talkin.Ataukah hadis tentang talkin ini tidak sampai kepada beliau?Jika inilah masalahnya,maka kaedah menyebutkan dengan jelas bahawa “al ithbat muqaddamun ala al nafyi” yang bermaksud pendapat yang menetapkan hendaklah didahulukan atas pendapat yang menafikan.Oleh itu perkataan Amru bin Al Ash hendaklah didahulukan daripada pendapat Imam Ahmad.Lagi pun Imam Ahmad walaupun seorang ulama besar ,namun ia bukanlah maksum.
v) Semasa Rasulullah saw masih hidup,bukan semua sahabat sempat hadir dalam upacara pengkebumian bersama Rasulullah apabila ada di antara mereka yang meninggal.Bahkan bagi sesetengah sahabat yang tinggal berjauhan jenazah mereka tidak diuruskan oleh Rasulullah pun sebaliknya hanya jiran terdekat,kaum kerabat atau kenalan terdekat seperti halnya sahabat yang meninggal sewaktu dalam penghijrahan ke Habsyah.Tidak kurang juga sahabat yang meninggal secara syahid di medan jihad di mana jenazah mereka tidak perlu ditalkinkan.Mereka yang jenazahnya diuruskan oleh Rasulullah sendiri adalah terlalu sedikit.Ini belum diambil kira sahabat yang meninggal di permulaan Islam di mana kebanyakan hukum belum lengkap sempurna.Sesetengah jenazah pula mungkin tidak ditalkinkan oleh Rasulullah secara sengaja agar tidak disalahfahamkan sehingga disangkakan bahawa amalan bertalkin itu wajib.Dan bukan semua amalan pengkebumian yang dilakukan bersama Rasulullah dihadiri oleh para sahabat memandangkan sebahagian daripada mereka ada yang keluar samada untuk urusan jihad,dakwah mahu pun peribadi.Mereka yang hadir dan sempat menyaksikan amalan bertalkin mungkin hanya beberapa orang.Itu pun mungkin ramai di antara mereka yang meriwayatkan hadis tentang pengkebumian yang dihadiri oleh Rasulullah saw mungkin telah mengabaikan perkara talkin memandangkan ihtimam dan persepsi para sahabat terhadap satu-satu hadis itu berlain-lainan. Sebagai contoh hadis yang berbunyi, “fi khamsin la ya’lamuhunna illa Llah….(ila akhiril hadis)”yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah sebenarnya adalah sambungan daripada hadis Jibril riwayat Sayidina Umar tetapi Umar tidak meriwayatkannya,samada kerana beliau telah meninggalkan majlis Rasulullah lebih awal atau pun kerana bahagian yang awal daripada hadis tersebut lebih menarik hatinya lalu beliau meriwayatkan hanya bahagian yang menjadi ihtimamnya sahaja atau pun kerana beliau berpandangan bahawa bahagian yang akhir itu tidak mengandungi hukum yang baru dengan nisbah keseluruhan hadis maka beliau meriwayatkan bahagian yang awal sahaja supaya lebih ringkas.Perkara yang sama juga adalah berkemungkinan untuk berlaku di dalam hal talkin ini.Kita juga jangan menyangka apabila Rasulullah saw mentalkin jenazah,baginda semestinya duduk bersila di perkuburan lantas memulakan talkin seperti yang diadatkan oleh orang-orang sekarang.Talkin yang dilaksanakan oleh Rasulullah itu mungkin dilakukan secara tidak langsung dan bukan semestinya kelihatan begitu rasmi seperti yang dilakukan oleh orang-orang kita sekarang.Hanya apabila Rasulullah telah melakukan walaupun sekali tetaplah ia menjadi sunnah sampai bila-bila.Seperti halnya dengan solat tarawih yang pada asalnya dilakukan oleh Rasulullah saw bersendirian dan secara sepontan tetapi oleh Umar diadatkannya secara berjemaah supaya jangan sampai sunnah Rasulullah yang tersebut mati.Dan selepas Rasulullah saw wafat para sahabat bertebaran ke seluruh alam bagi urusan dakwah dan jihad dan tidak tinggal selonggok untuk memungkinkan adanya proses sampai menyampai sesama mereka.Sebaliknya hadis tentang talkin hanya disampaikan oleh sahabat yang mengetahuinya kepada murid-murid mereka yang merupakan orang tempatan di tempat mereka tinggal atau bermustautin yang juga merupakan jenerasi tabiin seperti yang didapati dari hadis yang diriwayatkan dari Abu Umamah Al Bahili yang kebetulannya merupakan sunnah qauliyah dan telah sampai kepada kita melalui galur yang daif.Ini semua mungkin menjelaskan kepada kita mengapa hadis tentang talkin ini tidak diketahui oleh kebanyakan salaf.Ini samalah dengan setengah-setengah hadis yang tertentu,yang tidak sampai kepada setengah-setengah ulama dan kalau pun sampai kepada mereka ianya sampai melalui jalur yang daif sehingga hadis yang tertentu itu tidak menjadi amalan bagi sesetengah mazhab,seperti hadis tentang kenajisan anjing yang tidak sampai kepada ulama-ulama Malikiah,atau pun sampai tetapi melalui sanad yang daif di sisi mereka atau sebab-sebab yang lain.Namun dengan rahmat Allah dan dengan adanya empat mazhab dalam Islam,maka kekurangan ini dapat ditampung oleh mazhab yang lain sehingga tidak ada satu pun sunnah nabi yang tidak diamalkan di alam ini.Inilah juga sebahagian dari maksud hadis, “ikhtilafu ummati rahmah.”Berbalik kepada hadis berkenaan talkin yang daif itu tadi, hadis tersebut sungguh pun daif tetapi disokong oleh hadis wasiat Amru bin Al As yang merupakan hadis sahih lalu diistimbat oleh sebahagian ulama dari umat ini sehingga hadis daif tersebut sah untuk diamalkan dan dijadikan asas bagi hukum sunnat talkin.Demikianlah hikmatullah menghendakki supaya jangan ada di antara sunnah nabiNya yang ‘mati’ sehingga ia tetap diamalkan oleh sebahagian daripada penduduk alam kerana dengan ‘mati’nya satu sunnah bererti kehilangan satu rahmat yang tidak ternilai bagi umat Islam khususnya dan seluruh alam umumnya.Akan tetapi sangat disayangkan,kita hidup pada zaman munculnya ‘ulama-ulama dan mujtahid-mujtahid tikus’. Jika labu itu permukaannya tidak rata,maka itu wajar, kerana asal kejadiannya memang begitu.Tetapi oleh sang tikus diandaikannya konon ada kesilapan di dalam penciptaannya lalu cuba meratakannya untuk memperbaikkinya namun apa yang berlaku labu yang telah sedia elok itu akhirnya menjadi rosak.Dengan cara yang sama ‘mujtahid-mujtahid tikus’ ini mempunyai prasangka yang buruk kepada para ulama.Saya katakan mereka ada perasaan sangka buruk pada ulama kerana tindak-tanduk mereka seolah-olah mengesyaki bahawa para ulama mengeluarkan hukum secara jahil atau sengaja menyanggahi sunnah nabi.Mereka ini kebanyakannya adalah pengikut-pengikut Wahhabi yang berfikiran singkat yang menyeru kepada penyatuan dan keterbukaan mazhab yang pada hakikatnya adalah ‘mazhab rojak’.Mereka ini sebenarnya adalah golongan yang terfitnah oleh pendapat sesetengah ulama yang tertentu tanpa kefahaman yang tepat dan dengan sebab kejahilan,mereka tidak melihat kesan buruk dari konsep yang mereka pegangi dan pertahankan sehingga ‘manhaj sinting’ mereka diwar-warkan kononnya manhaj ahli sunnah.Semoga Allah menyelamatkan kita dari fitnah ini yang ianya adalah sebahagian dari fitnah akhir zaman di mana orang-orang jahil berbangga-bangga kononnya mereka memahami Al Quran dan hadis lalu mengeluarkan fatwa yang ternyata menyanggahi fatwa ulama yang bertaraf mujtahid yang lebih berwibawa dan lebih kepercayaan bagi umat.Kalaulah amalan bertalkin ini dihapuskan kita sendirilah yang patut menangisi kejahilan kita dengan sesungguhnya. Ya Allah!Engkau telah mentakdirkan sunnah nabimu diselamatkan oleh satu jemaah ulama dari kalangan umat ini,oleh itu berikanlah kekuatan kepada kami untuk berjuang mempertahankannya dari dihapuskan oleh manusia-manusia yang tidak bertanggung jawab.Amin ya Rabbal alamin.

MENJAWAB ANAK KENYALANG BAHAGIAN TUJUH(AKHIR)

No comments:

Post a Comment